Hari Sabtu lepas memberikan kejutan yang buruk kepada penduduk Taman Sri Muda, Shah Alam, apabila banjir menenggelamkan rumah dan kenderaan mereka. Menurut penduduk di situ, kejadian sedemikian belum pernah berlaku di kawasan tersebut sebelum ini.

“Dalam 20 minit sahaja, paras air naik sehingga ke paras bahu dan leher kami”, ujar salah seorang penduduk. “Kalau sebelum ini, kawasan dekat dengan sungai sahaja yang kena [banjir].”

Selain Taman Sri Muda yang diliputi air banjir, kawasan pangsapuri kos rendah di Taman Sri Lembayung, Seksyen 25, Shah Alam, turut dinaiki air selama dua hari semenjak malam Sabtu lalu. 

Penduduk Taman Sri Lembayung kelihatan membersihkan kenderaan yang diselaputi mendapan lumpur akibat banjir. Menurut penduduk di situ, paras air naik dalam masa 20 minit sehingga ke paras leher. “Nasib baik ada [bekalan] air lagi, sampai sekarang [bekalan] elektrik masih tiada lagi”, kata seorang penduduk. Penduduk di situ turut mendakwa bahawa rumah pam air di Sungai Klang yang berhampiran gagal untuk berfungsi, menyebabkan kenaikan paras air tidak dapat dikawal.

Hasil tinjauan semasa misi bantuan Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada 20 dan 21 Disember 2021, adalah didapati bahawa rakyat tidak memerlukan lawatan dan lambaian tangan daripada orang kenamaan VIP ataupun ahli politik. “Buat apa mereka naik bot dan menjadi ‘pelancong’ banjir yang melawat mangsa? Mereka yang duduk dalam kerusi berkuasa itu harus mengatur dan menggerakkan segala aset Kerajaan seberapa segera yang boleh, bukannya lawat kami sambil melambai-lambaikan tangan,” tegas kata A. Sivarajan, Setiausaha Agung PSM.

“Apa yang diperlukan sekarang ialah peralatan pembersihan, sambungan bekalan elektrik, bekalan air bersih dan perkhidmatan pembersihan serta pungutan sampah yang semakin bertimbun.”

“Oleh kerana kebanyakan rumah di sini tenggelam sehingga ke paras bumbung, maka kebanyakan tilam, bantal dan perabot rumah rosak dan terpaksa dibuang. Sudahlah mangsa terpaksa mengambil cuti untuk membersihkan rumah mereka, maka mana ada masa mereka hendak mencari tempat pembuangan sampah yang sesuai. Di sinilah pihak berkuasa harus bertindak cepat untuk membekalkan tong sampah dan tong RORO kepada semua kawasan yang memerlukannya.”

“Mangsa juga memerlukan bantuan peralatan pembersihan seperti jet air, hos, penceduk lumpur, penggosok lantai dan sebagainya. Walaupun ramai rakyat prihatin dan juga badan bukan kerajaan telah turun membantu mangsa banjir, tetapi skop bantuan mereka terhad kepada keperluan makanan dan kemudahan asas. Aset utama Kerajaan seperti penjana elektrik, tangki bekalan air, jet air, pam air dan sebagainya harus digerakkan dengan segera.”

PSM juga mengesa supaya briged kesihatan Kementerian Kesihatan ditempatkan di kawasan-kawasan banjir ini agar mengawal apa jua wabak akibat air banjir kotor yang mengambil masa untuk surut di Shah Alam.

“Cukup sudah dengan lawatan dan lambaian kamu, wahai VIP pemerintah, rakyat perlukan tindakan tegas sekarang untuk meringankan beban dan kos kehilangan harta benda mereka,” kata Sivarajan.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *