oleh Rani Rasiah        

(18 Disember setiap tahun ialah Hari Migran Antarabangsa. Tarikh ini ditetapkan untuk menyambut Hari Migran Antarabangsa setiap tahun kerana Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu meluluskan satu resolusi berkenaan dengan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Perlindungan Hak-hak Semua Pekerja Migran dan Anggota Keluarga Mereka pada 18 Disember 1990.)        

Syarikat perladangan gergasi yang beribupejabat di Malaysia seperti FGV Holdings, Sime Darby Plantations dan IOI Corporation sama-sama memalukan di peringkat antarabangsa kerana menggunakan buruh paksa dalam operasi mereka di Malaysia yang bergantung pada tenaga buruh migran. Produk-produk mereka telah diharamkan oleh pihak berkuasa kastam Amerika Syarikat (AS), dan digugurkan daripada rantaian pembekalan.

Beberapa buah syarikat sarung tangan – termasuk pembuat sarung tangan getah perubatan yang terbesar di dunia Top Glove, Supermax Corporation dan Smart Glove – merupakan antara beberapa perniagaan yang bertumbuh pesat pada ketika berlakunya pandemik yang membinasa – juga berkongsi kemasyhuran ini kerana perhambaan moden dan pencabulan hak asasi manusia di tempat kerja dan asrama pekerja mereka.

Liga ini juga termasuk syarikat-syarikat seperti Goodyear Malaysia, salah satu pembuat tayar terbesar di dunia, dan ATA IMS Bhd, pembekal alat ganti utama kepada pembuat perkakas rumah beribupejabat UK, Dyson Ltd, di mana ATA IMS memperoleh 80% hasil pendapatannya.

Ini hanyalah senarai pesalah untuk dua tahun yang lalu, dan adalah masuk akal untuk membayangkan terdapat banyak lagi syarikat besar lain yang juga boleh dimasukkan ke dalam liga yang tidak menyenangkan ini, jika mereka kurang bernasib baik.

Kejahatan syarikat-syarikat ini adalah pada zaman moden ini, mereka tetap mempunyai mentaliti pemilik hamba, melayan pekerja-pekerja mereka seperti hamba, seolah-olah mereka memiliki wanita dan lekaki ini yang tidak berhak untuk menikmati hak asasi manusia dan hak pekerja. Sesetengah daripada mereka ini langsung tidak mempedulikan garis panduan kerajaan mengenai perumahan, menghimpitkan pekerja-pekerja mereka ke dalam asrama yang tidak bersih sehingga membolehkan penyakit berjangkit seperti COVID-19 merebak dan mewujudkan kluster penyakit yang besar. Dalam kalangan syarikat gergasi terbesar di dunia ini adalah mereka yang melanggar undang-undang buruh yang paling asas, tidak membayar gaji berbulan-bulan lamanya, dan membuat potongan gaji yang tidak sah di sisi undang-undang. Menundukkan pekerja dengan memegang pasport pekerja merupakan satu lagi jenayah. Sesetengah syarikat mengenakan pekerjanya bekerja lebih masa 229 jam sebulan – lebih daripada dua kali ganda berbanding 104 jam sebulan yang dibenarkan di sisi undang-undang! Sesetengah syarikat menuntut semula yuran pengambilan kerja secara haram melalui ikatan hutang. Pekerja-pekerja wanita diganggu secara seksual di sesetengah tempat kerja; pekerja-pekerja dipukul dan diserang pada zaman ketika semua manusia dikatakan adalah bebas dan masyarakat adalah bebas daripada perhambaan.

Jelas sekali bahawa jenayah terhadap pekerja migran bukannya kerana perniagaan sedang bergelut pada ketika masa yang sukar. Konglomerat-konglomerat bertaraf dunia menunjukkan bahawa mereka tidak ragu-ragu untuk menggunakan cara yang melanggar undang-undang dan menindas demi mengurangkan kos bagi meningkatkan keuntungan. Pekerja-pekerja tempatan dan migran sudah pun merupakan mangsa kepada penekanan gaji, memperoleh gaji tahap kelaparan RM1,200 sebulan dan tidak mampu untuk dihimpit lebih lanjut lagi. Malaysia yang 70% ekonominya adalah bergantung pada eksport menekan gaji untuk bersaing dengan ekonomi bergaji rendah yang lain di rantau ini supaya menarik pelaburan asing. Yang anehnya, penekanan gaji dalam rantaian pembekalan, eksploitasi tenaga buruh terhadap jutaan pekerja di negara-negara sedang membangun tidak disenaraikan sebagai petunjuk kepada buruh paksa oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), dan tidak ditegur oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP). Jadi, ia seolah-olah pelabur asing ini orang yang baik, bukannya pemilik hamba seperti roda gigi berantai. Pesisir ekonomi bergaji rendah kita dengan produknya yang sangat rendah harganya merupakan asas kepada asal usul penjanaan keuntungan yang hebat untuk jenama global besar. Keuntungan bagi roda gigi, syarikat-syarikat pembuatan Malaysia, adalah pucat sekali berbanding dengannya.

Tindakan CBP dicetuskan oleh petisyen daripada kumpulan-kumpulan masyarakat prihatin yang menerima aduan mengenai pencabulan hak pekerja dan hak asasi manusia daripada pekerja-pekerja. Apa yang mengecewakan tentang ini adalah petisyen ini merupakan tindakan jalan terakhir, selepas cubaan demi cubaan untuk memperbetulkan situasi melalui aduan kepada agensi-agensi buruh yang berkaitan sehingga peringkat Kementerian yang bertanggungjawab menemui kegagalan. Jadi, aduan mengenai buruh paksa di kilang-kilang Malaysia yang diketengahkan oleh CBP telah dibawa kepada perhatian pihak berkuasa di Malaysia berulang kali, tetapi masih belum diselesaikan.

Pengharaman produk Malaysia, dan pemutusan kontrak yang bernilai dengan syarikat-syarikat Malaysia, menyebabkan kerajaan bertindak pantas dan mengusahakan inisiatif seperti Pelan Tindakan Nasional Buruh Paksa. Sungguh mengecewakan bahawa walaupun masyarakat sivil melobi bertahun-tahun lamanya untuk menyelesaikan isu buruh migran dari puncanya, tetapi hanya sedikit hasilnya.

Jalan ke hadapan untuk pekerja-pekerja dalam keadaan suram dengan majikan yang eksploitatif, kerajaan yang berat mulut dan modal global yang dominan, adalah perubahan diwujudkan pada tiga peringkat:

  1. Kerajaan Malaysia harus merombak semula situasi migrasi buruh secara radikal dan serta-merta dengan menggubal sebuah dasar migrasi buruh yang komprehensif berdasarkan cadangan-cadangan dalam Rancangan Malaysia ke-11, dan cadangan-cadangan daripada Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing yang ditubuhkan oleh Kabinet sebelum ini. Dasar kerajaan harus menangani faktor-faktor yang membawa kepada kebergantungan keterlaluan terhadap buruh migran, jumlah pekerja tidak berdokumen yang besar, perdagangan manusia, buruh paksa dan pencabulan-pencabulan hak yang lain. Dasar ini harus menghapuskan semua orang tengah dan entiti swasta, memastikan pengambilan pekerja adalah berasaskan kekurangan buruh (selepas mengambil kira populasi pelarian) – untuk melengkapkan dan bukannya menjejaskan buruh tempatan – dan menjamin hak asasi manusia bagi semua pekerja. Yang penting adalah harus memastikan hak pembelaan yang berkesan, untuk pekerja-pekerja yang bermasalah mengakses keadilan secara selamat.
  2. Di peringkat ASEAN, kerajaan-kerajaan harus berbincang bagaimana mereka secara bersama dapat mewujudkan kerjasama untuk gaji lebih tinggi, cukai korporat lebih tinggi dan undang-undang alam sekitar yang baik untuk rantau ini, bukannya perlumbaan ke bawah yang bersifat bunuh diri pada masa kini. Eksploitasi terhadap buruh migran bukannya disebabkan secara utamanya oleh ketidakcekapan moral majikan-majikan di ASEAN. Ia ialah sebahagian yang penting dalam persaingan bermati-matian di mana perusahaan kecil dan sederhana (SME) kita terperangkap dalamnya – mereka perlu mencapai kos pengeluaran yang serendah mungkin supaya dapat menarik pelaburan asing (FDI) dan meningkatkan bahagian pasaran. Persekitaran operasi yang berasaskan persaingan bermati-matian tidak boleh tidak menghasilkan keadaan “serupa hamba” untuk kebanyakan pekerja yang paling terjejas.  
  3. ILO dan CBP harus berhenti mengamalkan dwistandard yang menganggap penekanan gaji sebagai halal dan membiarkan jenama besar melepaskan diri. Penekanan gaji melibatkan penafian sebahagian besar gaji yang perlu dibayar (berbanding dengan gaji minimum yang dibayar untuk kerja yang sama oleh pekerja-pekerja di negara-negara maju), dan oleh itu pengekstrakan buruh percuma. Jadi, penekanan gaji harus disenaraikan oleh ILO sebagai petunjuk eksploitasi, pencabulan hak asasi manusia dan buruh paksa.

==========

Rani Rasiah ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan juga anggota Gabungan Hak Pembelaan Pekerja Migran (R2R).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *