ILO - Screenshot_2019-04-03 International Labour Organization.png

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menyambut ulangtahun ke-100 penubuhannya pada tahun ini. ILO merupakan sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang bertanggungjawab untuk menetapkan standard perburuhan antarabangsa.

ILO boleh dikatakan sebagai institusi global yang paling tua pada masa kini.

ILO sekarang ini mempunyai sebanyak 187 negara anggota. 186 daripada 193 negara anggota PBB dan Kepulauan Cook yang bukan anggota PBB telah menganggotai ILO. Negara anggota PBB yang tidak menyertai ILO ialah Andorra, Bhutan, Liechtenstein, Micronesia, Monaco, Nauru dan Korea Utara.

ILO mengamalkan struktur triparti, iaitu sejenis mekanisme yang melibatkan perwakilan daripada 3 pihak – kerajaan, majikan dan pekerja – dalam proses membuat keputusan. Struktur triparti ini nampaknya “unik” untuk sebuah institusi antarabangsa, kerana melibatkan wakil pekerja bersama dengan wakil majikan dalam proses perbincangan dan membuat keputusan, sesuatu yang amat jarang dalam arena politik antarabangsa yang formal. Namun, sepanjang sejarah perkembangan sistem kapitalis dan perjuangan rakyat,  struktur triparti sebegini sering digunakan oleh kelas pemerintah untuk mewujudkan “pendamaian antara kelas” dan menyekat perkembangan gerakan pekerja yang radikal daripada memperjuangkan perubahan secara total yang menggugat sistem kapitalis.

Secara amnya, ILO menyokong model kapitalisme yang mempunyai unsur-unsur kebajikan pekerja, di mana pekerja akan dilindungi undang-undang dan mendapat layanan yang sewajar, sebagai “balasan” kepada mereka kerana menerima “hak majikan untuk mengurus” dan “hak” majikan untuk mengambil keuntungan yang dihasilkan oleh pekerja, dengan mengangkat prinsip tripartisme yang berasaskan rundingan kolektif di peringkat nasional dan sektor pekerjaan.

ILO-a.jpg

 

Sejarah penubuhan ILO

ILO ditubuhkan secara bersama dengan Liga Bangsa selepas Perang Dunia I. Pada ketika itu, dunia sedang melalui satu era yang penuh dengan konflik dan pergolakan, di samping perubahan sosial dan teknologi yang pesat. Perang Dunia I (1914-1918) yang merupakan peperangan antara kuasa-kuasa imperialis Eropah untuk mempertahankan kepentingan kelas kapitalis di negara masing-masing, telah membawa kehancuran yang teruk kepada masyarakat dunia, khususnya di Eropah. Rakyat jelata mengalami trauma akibat perang dan ekonomi negara turut hancur. Peta dunia telah dilukis semula kerana peperangan. Sementara itu, pekerja-pekerja yang menaburkan tenaga buruh mereka siang dan malam walaupun ketika perang cuba menyuarakan tuntutan mereka secara lantang.

Pada penghujung Perang Dunia I, tercetusnya gelombang revolusi yang diterajui oleh golongan pekerja yang radikal. Ketidakpuasan hati terhadap ketidaksamarataan dan penindasan pekerja yang semakin meningkat, membawa benua Eropah ke ambang revolusi. Di Rusia, kebangkitan kelas pekerja pada tahun 1917 mencetuskan dua revolusi: Revolusi Februari yang menjatuhkan pemerintahan Tsar dan kemudiannya Revolusi Oktober yang membentuk sebuah negara pekerja baru yang ditadbir oleh sebuah parti revolusioner, iaitu Parti Bolshevik. Di Jerman, kebangkitan massa rakyat yang hebat menjatuhkan kerajaan Kaiser dan menamatkan Perang Dunia I. Kelas pemerintah, iaitu kelas kapitalis, terasa amat tergugat apabila berdepan dengan gelombang revolusi yang hebat ini.

Sama ada di Rusia atau Jerman, atau di negara lain yang mengalami kemusnahan akibat perang imperialis, pekerja-pekerja menuntut perjanjian damai yang memasukkan langkah-langkah untuk menjamin keadaan kerja yang lebih baik untuk pekerja. Peraturan buruh antarabangsa dan hak kesatuan sekerja semakin mendapat perhatian umum. Kelas pemerintah terpaksa berkompromi dengan gerakan pekerja di banyak negara.

Sementara itu, parti-parti demokrat sosial dalam Internasional Kedua yang sebelum ini menyokong penglibatan negara masing-masing dalam Perang Dunia I, juga mendesak untuk perubahan dalam dasar perburuhan demi meredakan kebangkitan pekerja yang mampu menggegarkan sehingga menjatuhkan sistem kapitalis. Internasional Kedua yang ditubuhkan pada penghujung abad ke-19 oleh parti-parti pekerja, mengalami perpecahan antara golongan reformis dan golongan revolusioner ketika tercetusnya Perang Dunia I. Gerakan pekerja dan sosialis yang mengamalkan semangat internasionalis dan anti-perang, selalunya menentang eksploitasi pekerja dan peperangan antara negara kapitalis yang mengorbankan nyawa pekerja secara sia-sia. Namun, kebanyakan pimpinan parti sosialis yang reformis di Eropah pada masa itu menyokong negara masing-masing untuk menyertai perang imperialis, sehingga golongan sosialis yang revolusioner akhirnya mengambil keputusan untuk berpecah daripada Internasional Kedua.

Apabila negara-negara Kuasa Bersekutu yang menang dalam Perang Dunia I mengadakan Persidangan Damai Paris pada tahun 1919, pemimpin-pemimpin kerajaan negara kapitalis tersebut cuba mencari jalan untuk mengurangkan sokongan ramai terhadap gelombang revolusi sosialis. Maka, pemimpin-pemimpin Kuasa Bersekutu bersetuju bahawa perlu memasukkan klausa-klausa yang melindungi hak pekerja dan kebebasan kesatuan sekerja dalam perjanjian pendamaian. Ini merupakan satu kompromi kelas kapitalis untuk menghalang perebakan gelombang revolusi sosialis dan mengekalkan “keharmonian perusahaan” yang menjamin keuntungan kapitalis.

Persidangan Damai Paris menubuhkan Suruhanjaya mengenai Perundangan Buruh Antarabangsa yang terdiri daripada wakil dari 9 buah negara, iaitu Amerika Syarikat, Belgium, Britain, Czechoslovakia, Itali, Jepun, Kuba, Perancis dan Poland. Suruhanjaya Buruh bermesyuarat untuk kali pertama pada 1 Februari 1919, dengan tugasan untuk menggubal Perlembagaan ILO. Suruhanjaya Buruh ini dipengerusikan oleh Samuel Gompers, pengasas dan pemimpin Persekutuan Buruh Amerika (American Federation of Labor, AFL). Gompers sebagai seorang pemimpin kesatuan sekerja di Amerika Syarikat, mendukung hak pekerja untuk berorganisasi secara menyeluruh, hak untuk rundingan kolektif, jam kerja lebih pendek yang terjamin dan gaji yang lebih tinggi. Namun, Gompers ialah seorang yang anti-Sosialis. Gompers dan AFL yang dipimpinnya menyokong penglibatan Amerika Syarikat dalam Perang Dunia I. Walaupun seorang warga Amerika Syarikat mempengerusi Suruhanjaya Buruh untuk menggubal Perlembagaan ILO, tetapi Amerika Syarikat tidak menyertai ILO pada awalnya kerana Kerajaan Amerika Syarikat berputus untuk tidak menyertai Liga Bangsa. Amerika Syarikat hanya menyertai ILO pada tahun 1934, satu-satunya organisasi di bawah sistem Liga Bangsa yang dianggotai Amerika Syarikat.

ILO - labour commission 1919.jpg
Anggota-anggota Suruhanjaya mengenai Perundangan Buruh Antarabangsa menghadiri Persidangan Damai Paris pada tahun 1919. Orang yang ketiga dari kiri di barisan depan ialah Samuel Gompers.

Dalam Bahagian XIII Perjanjian Versailles, iaitu perjanjian pendamaian untuk menamatkan Perang Dunia I secara rasminya yang ditandatangani pada 28 Jun 1919, telah menyatakan penubuhan sebuah pertubuhan tetap yang terdiri daripada Persidangan Agung Perwakilan Anggota dan Pejabat Buruh Antarabangsa. ILO ditubuhkan sebagai sebahagian usaha negara-negara anggota Liga Bangsa untuk mengekalkan keamanan antarabangsa.

Persidangan Buruh Antarabangsa yang Pertama diadakan di Washington DC bermula pada 29 Oktober 1919, menandakan kelahiran ILO secara rasminya. Persidangan ILO yang pertama telah meluluskan 6 perjanjian ataupun Konvensyen ILO yang terawal, berkaitan dengan jam kerja, pengangguran, perlindungan bersalin, kerja malam untuk wanita, umur minimum dan kerja malam untuk orang muda.

Konvensyen No. 1 ILO, ialah Konvensyen Jam Kerja (Industri), telah menghadkan jam kerja dalam industri kepada 8 jam sehari dan 48 jam seminggu. Ini ialah tuntutan utama gerakan pekerja sejak abad ke-19 yang mencetuskan mogok besar-besaran dan sambutan Hari Buruh 1 Mei setiap tahun.

Mereka yang mengasaskan ILO mengiktiraf kepentingan keadilan sosial dalam menjamin keamanan, dan menyedari bahawa ketidakadilan dan kesusahan yang dialami oleh golongan pekerja akan mencetuskan rusuhan yang mengancam keamanan serta keharmonian dunia, maka perlu memperbaiki keadaan pekerja. Dalam erti kata lain, elit politik pada masa itu menyedari bahawa golongan pekerja akan bangkit menggugat “keharmonian” yang menjamin keuntungan kapitalis jika tuntutan mereka untuk penambahbaikan keadaan kerja tidak direalisasikan. Elit politik pada masa itu juga memahami bahawa ekonomi dunia saling bergantung dan perlunya kerjasama antara negara untuk mewujudkan keadaan kerja di negara-negara yang bersaing untuk pasaran.

Pada tahun 1920, Pejabat Buruh Antarabangsa, iaitu sekretariat tetap ILO, dibuka di Geneva, Switzerland. Albert Thomas, seorang pemimpin moderat daripada Parti Sosialis Perancis, dilantik sebagai Ketua Pengarah yang pertama untuk Pejabat Buruh Antarabangsa.

ILO - winnipeg strike.jpg

Gerakan pekerja ketika awal penubuhan ILO

Persekutuan Kesatuan-kesatuan Sekerja Antarabangsa (International Federation of Trade Unions, IFTU) yang berkait rapat dengan parti-parti pekerja bersifat reformis telah menerima dan menyesuaikan dirinya dengan cepat dalam mekanisme ILO sejurus selepas penubuhannya, walaupun IFTU bersikap kritikal terhadap ILO pada awalnya.

Gerakan kesatuan sekerja di Eropah sudah berpecah ketika Perang Dunia I, apabila kebanyakan pemimpin kesatuan yang dipengaruhi fahaman reformis telah membuang semangat internasionalis gerakan pekerja dan menyokong kelas pemerintah masing-masing dalam perang imperialis.

Selepas tamatnya Perang Dunia I, satu persidangan antarabangsa untuk kesatuan-kesatuan sekerja diadakan di Bern, Switzerland, pada 5-9 Februari 1919, iaitu lebih kurang sama masa dengan Suruhanjaya Buruh memulakan kerja menggubal Perlembagaan ILO. Sementara itu, parti-parti pekerja dan sosialis yang bersifat reformis juga mengadakan persidangan di Berne pada 3-9 Februari 1919 untuk menghidupkan semula Internasional Kedua yang berpecah ketika Perang Dunia I. Golongan reformis ini menolak penglibatan dalam Internasional Komunis (ataupun Internasional Ketiga) yang ditubuhkan oleh parti-parti kiri yang menyokong Revolusi Oktober di Rusia. Golongan reformis tidak mahu melakukan Revolusi Dunia untuk menjatuhkan sistem kapitalis antarabangsa. Golongan reformis percaya bahawa pembaharuan untuk memperbaiki kehidupan pekerja boleh dibuat di bawah kerangka sistem kapitalis secara beransur-ansur, maka mereka bersedia berkompromi dengan kelas kapitalis dan mengekalkan sistem kapitalis itu dengan apa jua cara pun.

Kemudiannya pada bulan Julai 1919, kongres penubuhan IFTU diadakan di Amsterdam, Belanda. Wakil kesatuan sekerja dari 14 buah negara (Amerika Syarikat, Belanda, Belgium, Britain, Czechoslovakia, Denmark, Jerman, Luxemburg, Norway, Perancis, Sepanyol, Sweden dan Switzerland) telah hadir dalam kongres tersebut. Kesemua perwakilan ke Kongres Amsterdam adalah dari Eropah, kecuali wakil dari Amerika Syarikat, iaitu Samuel Gompers selaku wakil AFL yang juga merupakan pengerusi Suruhanjaya Buruh yang ditubuhkan Persidangan Damai Paris pada masa itu. Kesemua kesatuan sekerja ini datang dari negara perindustrian utama di dunia pada ketika itu. Itali ialah satu-satunya negara perindustrian utama yang tiada wakil kesatuan sekerja hadir dalam kongres IFTU kerana perwakilannya menghadapi masalah passport untuk melawat Belanda.

IFTU sejak penubuhannya berhubung rapat dengan parti-parti demokrat sosial di Eropah, iaitu parti-parti reformis yang pemimpin-pemimpin mereka pernah membuang prinsip internasionalis gerakan pekerja dan menyokong perang imperialis. Parti-parti reformis yang asalnya daripada Internasional Kedua kemudiannya menubuhkan “Internasional Buruh dan Sosialis” (LSI) dalam persidangan di Hamburg pada tahun 1923. Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD) merupakan parti utama yang mendominasi LSI. LSI kemudiannya digantikan oleh Internasional Sosialis (SI) selepas Perang Dunia II.

Pesaing kepada IFTU, ialah Internasional Kesatuan Buruh Merah, ataupun lebih dikenali sebagai Profintern, sebuah badan kesatuan sekerja antarabangsa yang ditubuhkan pada tahun 1921 oleh Komunis Internasional untuk menyelaraskan aktiviti-aktiviti kesatuan sekerja yang revolusioner. Profintern menggangap IFTU sebagai organisasi yang mengamalkan “subahat kelas” dengan kapitalis dan menghalang revolusi sosialis. Namun, selepas birokrasi Stalinis memperkukuhkan kuasanya di Kesatuan Soviet, unsur-unsur radikal dan revolusioner dalam gerakan pekerja yang disusun oleh parti-parti komunis yang bergabung dalam Internasional Komunis turut dihakis oleh fahaman Stalinis. Kebanyakan parti komunis dan kesatuan sekerja terpaksa menurut arahan daripada Moscow untuk pelaksanaan program and aksi, menjadikan mereka kehilangan kebebasan untuk bertindak mengikut keadaan semasa negara masing-masing sehingga membantut proses revolusi di negara yang berlainan, misalnya Revolusi China pada tahun 1925-27. Profintern merosot pengaruhnya pada pertengahan tahun 1930-an sebelum dibubarkan pada tahun 1937 ketika pemerintahan Stalin mengubah dasar luarnya kepada pembentukan Fron Rakyat.

Walau bagaimanapun, gerakan pekerja yang cukup kuat di negara-negara perindustrian pada awal abad ke-20, dan juga kebimbangan elit pemerintah terhadap Revolusi Sosialis yang berkemungkinan menular ke seluruh dunia, akhirnya memaksa kelas kapitalis menerima hakikat bahawa perlu mewujudkan standard buruh antarabangsa yang melindungi hak dan kebajikan pekerja. Kompromi bersejarah sebegini diperhebatkan lagi selepas Perang Dunia II dengan kemunculan sistem negara kebajikan.

ILO-cefd2248-8e94-11e8-9c19-97ddb835432b.jpg

Dari Zaman Meleset ke Perang Dunia II

Pada tahun 1926, Jawatankuasa Pakar mengenai Aplikasi Konvensyen dan Cadangan ditubuhkan oleh ILO untuk memantau dan memastikan kebertanggungjawaban negara-negara anggota terhadap Konvensyen ILO yang diratifikasi oleh mereka. Walaupun ILO boleh menerima aduan tentang pelanggaran terhadap standard perburuhan antarabangsa, tetapi ia tiada kuasa untuk mengenakan sekatan ekonomi terhadap mana-mana negara.

Pada tahun 1929, akibat daripada kegagalan sistem kapitalis pasaran bebas, bermula dengan Amerika Syarikat, kemelesetan ekonomi melanda seluruh dunia. Kemelesetan ekonomi yang amat teruk ini mewujudkan pengangguran yang berleluasa. Kerja-kerja ILO pada masa itu berhubungkait secara langsung dengan mencari penyelesaian kepada kemelesetan ekonomi yang paling teruk dalam sejarah itu.

Apabila Franklin Delano Roosevelt mengambilalih jawatan Presiden Amerika Syarikat pada tahun 1933, kerajaan Amerika Syarikat menyedari bahawa perlunya kerjasama antarabangsa untuk menangani isu-isu buruh yang menjadi sebahagian penting kepada penyelesaian kepada krisis ekonomi. Oleh yang demikian, Amerika Syarikat menyertai ILO untuk menjadi negara anggotanya pada tahun 1934, walaupun Amerika Syarikat tidak pernah menyertai Liga Bangsa sepanjang kewujudannya.  Roosevelt pernah berkata pada tahun 1941, “Saya ingat dengan jelas bahawa pada masa itu ILO masih satu mimpi. Bagi ramai ia adalah mimpi liar. Siapa pernah dengar bahawa kerajaan-kerajaan berhimpun bersama untuk meningkatkan standard perburuhan di atas pesawat antarabangsa? Lebih liar lagi adalah idea bahawa rakyat yang terkesan secara langsung – pekerja-pekerja dan majikan-majikan dari pelbagai negara – harus berpegang tangan dengan kerajaan dalam menentukan standard perburuhan ini.”

Persidangan Buruh Serantau yang pertama diadakan pada tahun 1936 di Santiago, Chile, dihadiri oleh perwakilan dari negara-negara benua Amerika. Ini merupakan persidangan ILO peringkat serantau yang pertama.

ILO - 1st American Regional Meeting, Santiago, Chile.jpg
Persidangan ILO rantau Amerika yang pertama di Santiago, Chile, pada tahun 1936.

Perang Dunia II bermula pada tahun 1939 apabila tentera Jerman menceroboh Poland. Tidak lama kemudian, tentera Jerman sudah pun mengepung Switzerland, iaitu negara di mana ILO berpusat. Pada bulan Ogos 1940, ILO memindahkan operasinya ke pejabat sementara di Montreal, Kanada. ILO beribupejabat sementara di Montreal sehingga tahun 1948 dan berpindah balik ke Geneva.

Ketika Perang Dunia II menghampiri penghujungnya, ILO meluluskan “Deklarasi Philadelphia” dalam Persidangan ILO ke-26 yang diadakan di Philadelphia, Amerika Syarikat, pada tahun 1944, dengan tujuan memastikan ILO terus relevan untuk menghadapi cabaran selepas Perang Dunia II.

Deklarasi Philadelphia menegaskan dan memfokus kepada prinsip-prinsip penting ILO, termasuk:

  • Buruh bukan komoditi;
  • Kebebasan bersuara dan berpersatuan adalah penting untuk mengekalkan kemajuan;
  • Kemiskinan di mana-mana tempat mendatangkan bahaya kepada kemakmuran di semua tempat;
  • Perang terhadap kehendak memerlukan kekuatan yang tahan lasak untuk mempromosikan kebajikan bersama;
  • Semua manusia, tanpa mengira kaum, kepercayaan atau seks, mempunyai hak untuk mendapatkan kesejahteraan material dan pembangunan spiritual dalam keadaan yang bebas dan bermaruah, dengan kejaminan ekonomi dan peluang samarata.
ILO - declaration philadelphia.jpg
Edward J. Phelan (duduk paling kanan) selaku Ketua Pengarah ILO (1941-1948) menandatangani Deklarasi Philadelphia pada 17 Mei 1944 di depan Franklin D. Roosevelt (duduk kiri) selaku Presiden Amerika Syarikat masa itu dan Walter Nash (duduk tengah) selaku Presiden Persidangan Buruh Antarabangsa ke-26.

Selepas tamatnya Perang Dunia II, ILO menyertai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang baru ditubuhkan ketika itu pada tahun 1946. ILO menjadi agensi khusus yang pertama untuk PBB. Ini juga menjadikan ILO sebagai pusat perdebatan politik sepanjang zaman Perang Dingin.

ILO ketika Perang Dingin

Perang Dingin antara Blok Barat yang dipimpin oleh Amerika Syarikat dengan sekutunya dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Blok Timur yang diketuai oleh Kesatuan Soviet dengan sekutunya dalam Pakatan Warsaw, wujud sejurus selepas tamatnya Perang Dunia II. Imbangan kuasa antara dua blok kuasa antarabangsa ini telah mencorak politik dunia untuk 45 tahun selepasnya.

Kesatuan Soviet yang ditubuhkan pada tahun 1922 berikutan Revolusi Oktober 1917, pada awalnya mengambil sikap memusuhi ILO, kerana menganggap agensi ini sebagai plot kapitalis untuk menipu pekerja-pekerja dan menghakis kesedaran kelas mereka (di mana memang ada asasnya untuk anggapan ini). Namun, Kesatuan Soviet menyertai Liga Bangsa pada tahun 1934 sebagai usahanya menyekat perluasan kuasa fasis di Eropah pada masa itu. Penyertaan Kesatuan Soviet dalam Liga Bangsa menjadikannya negara anggota ILO secara automatik, tetapi penglibatannya dalam ILO pada tahun 1930-an amat terhad. Kesatuan Soviet kemudiannya dipecat keanggotaannya dalam Liga Bangsa dan ILO pada tahun 1939 kerana menceroboh Finland. Kesatuan Soviet kemudiannya menyertai semula ILO pada tahun 1954, iaitu selepas kematian Stalin. Negara-negara Blok Timur turut mengikut jejak langkah Kesatuan Soviet untuk mengaktifkan semula keanggotaan mereka dalam ILO. Seperti yang berlaku pada PBB, penyertaan Kesatuan Soviet dan sekutunya dalam ILO, juga menjadikan ILO salah satu medan pertarungan politik diplomatik Perang Dingin antara dua blok kuasa besar.

Persidangan ILO Rantau Asia yang pertama diadakan pada tahun 1947 di New Delhi, India, dengan wakil dari 18 buah negara dan wilayah hadir dalam persidangan tersebut. India baru mencapai kemerdekaan daripada penjajahan British pada tahun itu. Benua Asia dan Afrika mengalami gelombang perjuangan pembebasan nasional yang hebat selepas Perang Dunia II, dengan satu demi satu negara mencapai kemerdekaan daripada penjajahan Eropah. Proses penyahjajahan di negara-negara Asia dan Afrika, memberi satu nafas baru kepada politik sedunia. Struktur dan aktiviti ILO turut dipengaruhi dengan semakin banyak negara yang baru merdeka menyertainya ketika gelombang penyahjajahan yang hebat pada tahun 1950-an dan 1960-an.

Pada tahun 1948, ILO meluluskan Konvensyen Kebebasan Berpersatuan dan Perlindungan untuk Hak Berorganisasi (No. 87), yang merupakan salah satu Konvensyen Asas ILO. Konvensyen tersebut menetapkan hak pekerja untuk menubuhkan dan menyertai organisasi pilihan mereka tanpa memerlukan kebenaran.

Pada tahun 1949, ILO meluluskan Konvensyen Hak untuk Berorganisasi dan Rundingan Kolektif (No. 98), yang menetapkan bahawa pekerja-pekerja harus dilindungi daripada tindakan diskriminasi yang anti-kesatuan, di samping menikmati hak untuk rundingan kolektif.

Persidangan ILO Rantau Eropah yang pertama diadakan di Geneva, Switzerland, pada tahun 1955. Persidangan ILO Rantau Afrika yang pertama diadakan di Lagos, Nigeria, pada tahun 1960, ketika banyak negara Afrika mencapai kemerdekaan pada tahun itu. 1960 digelar “Tahun Afrika”, dengan menyaksikan sebanyak 17 buah negara Afrika mencapai kemerdekaan daripada pemerintahan penjajah Eropah pada tahun itu, dan lebih 32 buah negara lagi menjadi negara berdaulat dalam tempoh masa 3 tahun selepas itu.

Pada tahun 1961, Gerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) ditubuhkan di Belgrade, ibu negara Yugoslavia pada masa itu, sebagai usaha menyatukan negara-negara yang tidak bersekutu secara rasmi dengan kedua-dua blok kuasa utama dalam Perang Dingin, untuk mengelakkan negara-negara sedang membangun di Dunia Ketiga daripada menjadi mangsa percaturan kuasa ketika Perang Dingin.  Negara-negara anggota NAM memainkan peranan sebagai pengimbang kepada pertembungan antara dua blok kuasa Perang Dingin dalam organisasi antarabangsa seperti ILO.

ILO menubuhkan Institut Antarabangsa untuk Kajian Buruh yang berpusat di Geneva pada tahun 1960. ILO menubuhkan Pusat Latihan Antarabangsa di Turin, Itali, pada tahun 1965.

Persidangan ILO pada tahun 1964 meluluskan Deklarasi Menentang Apartheid, mengutuk kerajaan Afrika Selatan yang mengamalkan dasar perkauman pada masa itu.

Pada tahun 1969, ketika ILO menyambut ulangtahun ke-50, ILO telah dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel, atas usahanya memperkenalkan pembaharuan yang menghapuskan ketidakadilan yang paling nyata di banyak negara.

ILO-wcms_655366.jpg
David A. Morse (kanan) selaku Ketua Pengarah ILO (1948-1970) menerima Hadiah Keamanan Nobel daripada Aase Lionaes (kiri) selaku Pengerusi Jawatankuasa Nobel untuk Parlimen Norway, pada 10 Oktober 1969 di Oslo, Norway.

Pada tahun 1975, pengundian perwakilan dalam Persidangan ILO memberikan status pemerhati kepada Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO). Perwakilan daripada Amerika Syarikat dan Israel meninggalkan mesyuarat itu. Amerika Syarikat kemudiannya menarik diri daripada ILO secara rasminya pada tahun 1977. Amerika Syarikat juga tidak berpuas hati dengan ILO yang mengutuk sekutu rapatnya Israel atas sebab diskriminasi kaum dan pencabulan hak kesatuan sekerja yang dilakukan oleh rejim zionis di wilayah Palestin yang didudukinya. Namun, Amerika Syarikat menyertai semula ILO pada tahun 1980 selepas berjaya mendapat kompromi daripada ILO, antaranya adalah ILO menyokong “Konsensus Washington” yang menjadi asas kepada perluasan ekonomi neo-liberal pada penghujung zaman Perang Dingin.

Pada tahun 1977, ILO meluluskan Deklarasi mengenai Syarikat Multinasional, dengan tujuan memberi panduan kepada syarikat multinasional dalam bidang seperti pengambilan kerja, latihan, keadaan kerja, keselamatan dan kesihatan, serta hubungan perusahaan. Pada ketika itu, syarikat multinasional dengan modal besar semakin memainkan peranan penting dalam mempengaruhi ekonomi dunia dengan perluasan ekonomi neo-liberal yang berlaku di bawah mantra “globalisasi”.

Pada tahun 1981, negara Poland yang diperintah oleh parti komunis yang bersifat Stalinis pada masa itu mengisytihar darurat dan menyekat aktiviti kesatuan sekerja Solidarnosc dengan ramai pemimpin kesatuan ditahan. Solidarnosc merupakan kesatuan sekerja independen yang ditubuhkan pada tahun 1980 selepas aksi mogok pekerja di Limbungan Kapal Gdańsk yang berjaya. Jawatankuasa Kebebasan Berpersatuan ILO mengkaji kes ini dan mengemukakan aduan terhadap Poland dalam Persidangan Buruh Antarabangsa pada tahun 1982. Satu suruhanjaya siasatan ditubuhkan untuk menyemak kes ini dan mendapati bahawa Poland telah melanggar dua konvensyen yang diratifikasinya, iaitu Konvensyen Konvensyen Kebebasan Berpersatuan dan Perlindungan untuk Hak Berorganisasi (No. 87) dan Konvensyen Hak untuk Berorganisasi dan Rundingan Kolektif (No. 98). ILO dan banyak negara memberi tekanan kepada kerajaan Poland sehingga mengiktiraf status yang sah di sisi undang-undang untuk Solidarnosc pada tahun 1989. Pengiktirafan Solidarnosc membuka ruang kepada negara Poland menuju ke demokrasi, dengan pilihanraya bebas diadakan dan kerajaan parti komunis di Poland akhirnya dijatuhkan.

ILO-wcms_655367.jpg
Lech Walesa (berdiri tengah), Pengerusi Solidarnosc, menghadiri Persidangan Buruh Antarabangsa pada tahun 1981.

Pasca Perang Dingin

Menuju ke penghujung Zaman Perang Dingin, pada tahun 1980-an, model ekonomi Keynesian yang diaplikasi di banyak negara sejak tamatnya Perang Dunia II telah digantikan dengan model ekonomi neo-liberal. Ekonomi neo-liberal menekan pada liberalisasi perdagangan, penswastaan, penyahkawalseliaan terhadap modal dan pengurangan perbelanjaan kerajaan dalam perlindungan kebajikan sosial. Kerajaan-kerajaan yang mengamalkan dasar neo-liberal telah melaksanakan dasar yang melemahkan instrumen untuk dialog sosial (dalam erti kata lain, pengaruh kesatuan sekerja semakin dihakis, sama ada dengan cara yang keras ataupun lembut), sementara perbelanjaan untuk keselamatan sosial dan kebajikan semakin dikurangkan. Mekanisme tripartisme yang pernah menjadi kebanggaan ILO semakin tidak bermakna kerana imbangan kuasa antara modal dan buruh telah terganggu dengan dominasi kuasa korporat multi-nasional yang semakin kuat.

Keruntuh Tembok Berlin pada tahun 1989 dan pembubaran Kesatuan Soviet pada tahun 1991, menandakan tamatnya Perang Dingin. Penguasaan korporat besar terhadap ekonomi dunia telah dipacukan oleh proses perluasan kuasa korporat melalui “globalisasi” yang dipandukan oleh insitusi-institusi global yang mengamalkan dasar neo-liberal, termasuk Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO). “Konsensus Washington” dijadikan preskripsi dasar yang dipaksakan oleh institusi kewangan global (IMF dan Bank Dunia) ke atas negara-negara sedang membangun untuk membayar hutang negara mereka. Konsensus Washington mendukung langkah-langkah neo-liberal seperti liberalisasi perdagangan, penswastaan, penyahkawalseliaan terhadap modal dan pemansuhan sistem negara kebajikan, untuk menyelamatkan keuntungan korporat multinasional.

ILO melancarkan Progran Antarabangsa mengenai Penghapusan Buruh Kanak-kanak (IPEC) pada tahun 1992, satu program yang paling meluas setakat ini untuk menghapuskan buruh kanak-kanak. Menurut statistik ILO, program tersebut menyumbang kepada pencapaian mengeluarkan lebih 86 juta orang kanak-kanak daripada situasi buruh kanak-kanak di seluruh dunia.

Deklarasi ILO mengenai Prinsip-prinsip dan Hak Asas di Tempat Kerja diluluskan pada tahun 1998, mempertanggungjawabkan negara-negara anggotanya untuk menghormati dan mempromosi prinsip dan hak asas pekerja dalam 4 kategori sama ada mereka sudah meratifikasi Konvensyen ILO yang berkaitan atau tidak. 4 kategori prinsip dan hak asas pekerja yang dimaksudkannya ialah:

  1. Kebebasan untuk berpersatuan dan pengiktirafan berkesan terhadap hak untuk rundingan kolektif;
  2. Penghapusan segala bentuk buruh secara paksaan;
  3. Penghapusan buruh kanak-kanak secara efektif;
  4. Penghapusan diskriminasi berkenaan dengan pekerjaan.

Deklarasi ini menyatakan dengan jelas bahawa hak-hak pekerja ini adalah universal, dan perlu diaplikasikan di semua negara tanpa mengira tahap pembangunan ekonomi. Deklarasi ini menyebut secara khususnya kumpulan-kumpulan dengan keperluan khas, termasuk penganggur dan pekerja migran. Deklarasi ini mengiktiraf bahawa pertumbuhan ekonomi sahaja tidak mencukupi untuk menjamin ekuiti, kemajuan sosial dan pembasmian kemiskinan.

ILO telah mengenalpasti 8 Konvensyen ILO sebagai “Konvensyen Asas” yang meliputi subjek-subjek yang dianggap sebagai prinsip dan hak asas di tempat kerja.

8 Konvensyen Asas ILO ialah:

  1. Konvensyen Kebebasan Berpersatuan dan Perlindungan Hak untuk Berorganisasi, 1948 (No. 87)
  2. Konvensyen Hak untuk Berorganisasi dan Rundingan Kolektif, 1949 (No. 98)
  3. Konvensyen Buruh Paksa, 1930 (No. 29)
  4. Konvensyen Penghapusan Buruh Paksa, 1957 (No. 105)
  5. Konvensyen Umur Minimum, 1973 (No. 138)
  6. Konvensyen Bentuk-bentuk Terburuk Buruh Kanak-kanak, 1999 (No. 182)
  7. Konvensyen Ganjaran Samarata, 1951 (No. 100)
  8. Konvensyen Diskriminasi (Penggajian dan Pekerjaan), 1958 (No. 111)

Pada tahun 1999, ILO melancarkan Agenda Kerja Sesuai (Decent Work Agenda), dengan menumpukan pada pengwujudan peluang pekerjaan, perluasan perlindungan sosial, penggalakan dialog sosial dan jaminan hak di tempat kerja. Pada tahun itu juga, “Karnival Menentang Modal” di Cologne, Jerman, ketika Persidangan Kemuncak G8, dan protes besar-besaran membantah WTO di Seattle, Amerika Syarikat, menandakan permulaan gelombang perjuangan menuntut keadilan global yang baru (gerakan ini digelar sebagai “anti-globalisasi” oleh media arus perdana) .

Pada tahun 2002, ILO menubuhkan Suruhanjaya Sedunia mengenai Dimensi Sosial untuk Globalisasi, satu badan bebas untuk mengkaji pelbagai aspek globalisasi. Laporan Suruhanjaya ini yang diterbitkan pada tahun 2004, mengemukakan cadangan-cadangan untuk membina konsensus yang meluas di kalangan pemain-pemain utama dalam globalisasi. Usaha ini dianggap sebagai cubaan pertama untuk mencari asas bersama berkenaan dengan subjek yang paling kontroversi dan memecah-belahkan pandangan pada masa itu. Namun, usaha ini nampaknya hanya sekadar komestik untuk menampilkan wajah globalisasi yang bersifat “kemanusiaan”, sedangkan ketidakadilan sosial semakin serius akibat daripada globalisasi yang melibatkan perluasan kekuasaan korporat multinasional.

Pada tahun 2008, ILO meluluskan Deklarasi mengenai Keadilan Sosial untuk Globalisasi yang Adil. Deklarasi ini mempromosi kerja sesuai (decent work) melalui pendekatan berintegrasi yang mensasar pada 4 objektif strategik yang tidak dapat dipisahkan, saling berkaitan dan saling menyokong: pengwujudan pekerjaan, perlindungan sosial, dialog sosial, dan hak-hak di tempat kerja. Deklarasi ini mempromosi dialog sosial dan tripartisme sebagai kaedah yang paling sesuai untuk menterjemahkan pembangunan ekonomi kepada kemajuan sosial dan kemajuan sosial kepada pembangunan ekonomi. Pada tahun yang sama, krisis subprima di Amerika Syarikat mencetuskan krisis kewangan sedunia, dan menjadi apa yang dianggap sebagai kemelesetan ekonomi yang paling teruk sejak Zaman Meleset 1930-an. Pasaran saham di seluruh dunia mengalami keruntuhan nilai saham dan kerajaan-kerajaan di banyak negara bertungkus-lumus untuk menyelamatkan bank-bank yang menghadapi risiko bankrap dengan wang rakyat. Krisis ini terjadi kerana penyahkawalseliaan terhadap sistem kewangan global yang semakin serius sejak tahun 1980-an. Banyak negara menghadapi kegawatan ekonomi dan kadar pengangguran yang tinggi akibat daripada krisis ini.

Pada tahun 2009, dalam konteks krisis kewangan sedunia yang menyebabkan pengangguran berleluasa, kemiskinan dan ketidaksamarataan, Persidangan Buruh Antarabangsa ILO meluluskan Perjanjian Kerja Sedunia (Global Jobs Pact), dengan matlamat merangsang pemulihan ekonomi, menjana pekerjaan, di samping memberikan perlindungan kepada pekerja-pekerja dan keluarga mereka. ILO menggesa kerajaan-kerajaan supaya meletakkan penjanaan pekerjaan sebagai tumpuan utama dalam strategi pemulihan ekonomi masing-masing. Negara-negara seperti Amerika Syarikat dan China telah memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi untuk menangani masalah krisis ekonomi.

Pada tahun 2015, Persidangan Agung PBB menetapkan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang merangkumi 17 agenda untuk dilaksanakan selewat-lewatnya pada tahun 2030, dengan tujuan membasi kemiskinan, melindungi bumi dan memastikan kesejahteraan untuk semua.  Tunjang utama Agenda Kerja Sesuai ILO telah dimasukkan dalam Matlamat 8 “mempromosi pembangunan ekonomi yang berkekalan, inklusif dan mampan, peluang pekerjaan dan kerja sesuai untuk semua”.

Untuk memahami dan merespon terhadap cabaran baru berkaitan dengan perubahan sifat kerja di seluruh dunia, ILO menubuhkan Suruhanjaya Global mengenai Masa Depan Kerja pada tahun 2017, dan menerbitkan sebuah laporan bertajuk “Kerja untuk Masa Depan Lebih Cerah” pada bulan Januari 2019, dengan cadangan “agenda berpusatkan manusia untuk masa depan kerja”.

ILOworkersrally_wide-c734fc5b3e6e40ae06ef804bb426566ceb47832a-s800-c85.jpg

Tripartisme dan dialog sosial

ILO merupakan satu-satunya organisasi antarabangsa PBB yang mana kerajaan tiada kuasa undi yang eksklusif. Perwakilan majikan dan pekerja mempunyai suara yang seimbang dengan kerajaan dalam proses menggubal standard antarabangsa dan dasar ILO. Konsep ini digelar “tripartisme”.

Tripartisme melibatkan kesatuan sekerja, pertubuhan majikan dan kerajaan sesebuah negara untuk bekerjasama sebagai “rakan kongsi sosial” dalam menguruskan ekonomi negara dan menetapkan dasar ekonomi melalui konsultasi, rundingan, kompromi dan perjanjian kontrak antara tiga pihak.

ILO juga memperkenalkan konsep “dialog sosial”. Dialog sosial yang dimaksudkan oleh ILO melibatkan semua jenis rundingan, konsultasi atau pertukaran maklumat berkaitan dengan dasar ekonomi dan sosial, yang mana boleh wujud sebagai satu proses triparti, ataupun hanya proses biparti (dua pihak) antara pekerja dengan majikan tanpa penglibatan kerajaan. Proses dialog sosial boleh dilakukan sama ada secara formal atau informal, di peringkat nasional, wilayah atau syarikat. Matlamat utama dialog sosial adalah menggalakkan pembentukan konsensus dan penglibatan demokratik di kalangan pihak-pihak berkepentingan utama dalam dunia kerja. Struktur dan proses dialog sosial dianggap berjaya sekiranya dapat menyelesaikan isu ekonomi dan sosial yang penting, menggalakkan urustadbir yang baik, mengekalkan keharmonian/kestabilan sosial dan industri, di samping meningkatkan kemajuan ekonomi.

Untuk membolehkan dialog sosial yang berkesan, perlu adanya:

  • Kesatuan sekerja dan pertubuhan majikan yang kuat dan bebas, dengan keupayaan teknikal dan akses kepada maklumat yang berkaitan untuk melibatkan diri dalam dialog sosial;
  • Kesungguhan dan komitmen politik daripada semua pihak untuk melibatkan diri dalam dialog sosial;
  • Perlindungan hak asas untuk kebebasan berpersatuan dan rundingan kolektif;
  • Sokongan institusi yang sesuai (termasuk undang-undang, peraturan, peruntukan sumber dan sebagainya daripada pihak kerajaan).
  • Ketelusan, keikhlasan, saling hormat-menghormati dan pemahaman daripada semua pihak terlibat.

Di tempat kerja, dialog sosial boleh memperbaiki keadaan kerja dan menyumbang kepada prestasi ekonomi. Dialog sosial boleh menjadi pemandu yang kuat untuk kestabilan, ekuiti, produktiviti dan pertumbuhan secara mampan. Di peringkat nasional, dialog sosial dan tripartisme boleh menjamin demokrasi keterlibatan, tempat kerja yang selamat dan pekerja mendapat faedah yang adil daripada pembangunan ekonomi. Secara idealnya begini.

Konsep tripartisme diperkenalkan sejak ILO ditubuhkan 100 tahun dahulu. Ketika Perang Dunia I, kerajaan yang mentadbir negara-negara Pihak Bersekutu telah memberikan banyak janji kepada kesatuan sekerja dan majikan supaya mereka memberi sokongan dan sumbangan kepada usaha peperangan imperialis. Pihak majikan, khususnya pemodal besar, semestinya menyokong penuh usaha perang kerana kerajaan bersifat imperialis memang dibentuk untuk melindungi kepentingan modal. Pihak pekerja pula, ramai di kalangan kelas pekerja diperdaya oleh parti-parti demokrat yang bersifat reformis supaya memberi kepercayaan kepada kerajaan kapitalis untuk melibatkan diri dalam peperangan imperialis yang sebenarnya tidak berkaitan langsung dengan kepentingan kelas pekerja. Kesatuan-kesatuan sekerja yang diketuai pemimpin reformis telah memberhentikan usaha menuntut hak pekerja dan menyekat sebarang mogok pekerja ketika perang. Sebagai “balasan” terhadap “kemurahan hati” pekerja ini dan juga untuk mengelakkan kesatuan sekerja terpengaruh oleh pemikiran revolusioner pada masa itu, wakil pekerja dibenarkan untuk terlibat dalam proses triparti bersama dengan pihak majikan dan pihak kerajaan di negara masing-masing, selagi penglibatan pekerja ini tidak mengubah apa-apa sifat asas sistem kapitalis.

Pada tahun 1976, ILO meluluskan Konvensyen Konsultasi Triparti (Standard Perburuhan Antarabangsa) (No. 144) yang mensyaratkan negara anggota yang meratifikasinya untuk mengamalkan konsep rundingan triparti dalam pelaksanaan standard ILO di negara masing-masing. Konvensyen ini menetapkan bahawa majikan dan pekerja harus mempunyai perwakilan yang samarata dalam mana-mana badan yang menjalankan konsultasi ILO di negara masing-masing, dan konsultasi perlu berlangsung sekurang-kurangnya sekali setiap tahun.

Deklarasi ILO mengenai Keadilan Sosial untuk Globalisasi yang Adil pada tahun 2008 menegaskan kepentingan dialog sosial dan tripartisme.

ILO-Amazon_we_are_not_robots-678x355.jpg

Tripartisme satu alat kelas pemerintah untuk menjinakkan kelas pekerja?

Sistem “triparti” dibentuk, untuk mengendalikan urusan berkaitan dengan pekerjaan dalam bidang perindustrian secara khususnya dan menguruskan ekonomi kapitalis secara amnya, terbukti agak berkesan untuk kelas pemerintah (golongan kapitalis dan elit politik yang berkhidmat untuk mereka dalam kerajaan) mengelakkan percanggahan kelas itu berkembang sehingga di luar kawalan mereka. Sistem triparti membolehkan proses rundingan dan tawar-menawar berjalan secara licin untuk mengelakkan “gangguan” seperti mogok pekerja dan tindakan langsung pekerja yang menjejaskan keuntungan kapitalis. Tripartisme sebagai satu kaedah untuk “pendamaian antara kelas” yang mampu mengekalkan keamanan dalam sistem ekonomi kapitalis, berfungsi untuk menyekat atau mengurangkan potensi gerakan pekerja diradikalisasikan oleh politik kiri yang lebih bersifat revolusioner.

Tiga pihak dalam sistem triparti, nampaknya berkedudukan samarata, tetapi realitinya agak berbeza daripada idealnya.

Dalam negara kapitalis, walaupun terdapat pilihanraya demokratik, kerajaan yang mentadbir biasanya dipengaruhi oleh kepentingan kelas kapitalis. Kerajaan yang korup akan menerima rasuah secara terus daripada golongan kapitalis ataupun dibeli oleh mereka; ada juga elit kerajaan yang “terhutang budi” kepada kelas kapitalis yang memberi “sumbangan ikhlas” semasa kempen pilihanraya; kerajaan yang paling demokratik dan bersih pun, golongan kapitalis dapat mempengaruhi keputusan kerajaan dengan menaburkan wang yang banyak dalam kerja-kerja melobi penggubalan dasar yang pro-kapitalis. Jadi, walaupun tiga pihak yang berasingan, tetapi pihak pekerja sebenarnya satu lawan dua dalam sistem triparti. Lebih teruk lagi adalah wakil pekerja itu datang daripada “kesatuan kuning” yang pro-majikan ataupun birokrat kesatuan yang tiada kesedaran perjuangan kelas, menjadikan kapitalis 3 – pekerja 0 dalam sistem triparti!

Walau bagaimanapun, jika gerakan kesatuan sekerja itu cukup kuat, masih boleh mendesak untuk perubahan dasar yang berpihak kepada pekerja. Sistem triparti itu boleh wujud pun sebabnya kelas pemerintah takut pada gerakan pekerja. Namun, apabila gerakan pekerja lemah, sistem triparti pun akan menjadi langsung tidak memanfaatkan pekerja.

Tripartisme memang satu mekanisme yang hanya wujud dalam sistem kapitalis, dan berperanan untuk memastikan hubungan sosial di bawah kerangka sistem kapitalis itu tidak terganggu. Tripartisme tidak akan terpakai lagi sekiranya ekonomi tidak lagi dikuasai oleh kapitalis. Gerakan koperasi pekerja telah mewujudkan entiti pengeluaran ekonomi yang berbeza, iaitu koperasi pekerja yang tiada majikan. “Tripartisme” memang tidak dapat lagi diaplikasikan dalam entiti pengeluaran yang diuruskan oleh pekerja sendiri, iaitu sejenis pengurusan ekonomi yang jauh lebih demokratik berbanding tripartisme.

ILO-BiFab+Workers+March+Scottish+Parliament+_LzB2Ygte1Ol.jpg

Retorik cantik, realiti pedih

Dalam Perkara 427, Seksyen II, Prinsip-prinsip Am, Bahagian XIII Perjanjian Versailles (ataupun dikenali sebagai Perlembagaan ILO) yang ditandatangani pada tahun 1919, telah termaktubnya bahawa “buruh tidak boleh dianggap hanya sebagai komoditi ataupun barang untuk perdagangan”. Dalam Deklarasi Philadelphia yang diluluskan dalam Persidangan ILO pada tahun 1944 pula, dinyatakan bahawa “Persidangan ini menegaskan prinsip-prinsip asas di mana Organisasi ini didasarkan, khususnya, bahawa buruh bukan satu komoditi”. Kenyataan yang terkandung dalam dokumen asas ILO ini, jelasnya merupakan satu respon kepada kritikan golongan sosialis terhadap sistem kapitalis. Tokoh-tokoh kiri seperti Karl Marx pernah mengemukakan analisis yang mendalam untuk menerangkan masalah komodifikasi tenaga buruh (iaitu menjadikan tenaga buruh manusia itu sejenis barangan yang boleh dijual beli sesuka hati). Walaupun ILO menolak tanggapan buruh itu komoditi sejak 100 tahun dahulu, tetapi hakikatnya sehingga hari ini, tenaga buruh masih bagaikan komoditi di banyak tempat. Jikalau tenaga kerja manusia itu tidak dianggap komoditi, maka tidak wujudnya lagi “pasaran buruh”. Perjuangan gerakan pekerja sejak awal lagi telah mencabar amalan komodifikasi buruh, dengan memperjuangkan layanan yang lebih bersifat kemanusiaan dan bermaruah untuk semua pekerja, sehinggalah pembebasan pekerja itu sendiri.

Sepanjang sejarah ILO, organisasi antarabangsa ini mengeluarkan banyak dokumen yang ditulis dengan istilah-istilah yang progresif dan sedap didengar, banyak kenyataan yang menyentuh tentang etika, moral, maruah, kesamarataan, keadilan sosial, pembangunan yang adil dan sebagainya, tetapi secara realitinya ILO masih satu alat yang dikuasai oleh golongan kapitalis.

ILO walaupun namanya “Pertubuhan Buruh”, tetapi hakikatnya unsur buruh hanya satu pertiga dalam komposisi organisasi ini mengikut struktur triparti, dan nisbah sebenarnya lebih rendah dengan ramai pemimpin/birokrat kesatuan sekerja telah dijinakkan oleh sistem kapitalis. Berbanding dengan ILO, agensi-agensi antarabangsa yang memegang kuasa sebenar (seperti WTO dan IMF), langsung tiada perwakilan daripada gerakan pekerja, malah pemimpin kesatuan sekerja yang paling pro-kapitalis pun tiada apa-apa posisi dalam agensi-agensi ini.

PBB yang ditubuhkan dengan mandat menjaga keamanan dunia, sudahpun gagal untuk menghalang peperangan dan jenayah terhadap kemanusiaan di banyak negara untuk lebih 7 dekad yang lepas, apatah lagi ILO yang tidak mempunyai kuasa yang banyak. Sama ada PBB atau ILO, institusi antarabangsa yang sentiasa menggunakan retorik berbunga-bunga ini merupakan contoh manifestasi demokrasi borjuis yang klasik: persidangan demi persidangan yang menghimpunkan sekumpulan individu yang tidak berguna untuk bercakap tentang betapa baiknya dunia ini, sementara pengarah-pengarah syarikat multinasional dan pemodal-pemodal besar yang menentukan perkara penting yang mempengaruhi dunia di belakang tabir.

ILO cuba menjadikan proses globalisasi itu lebih inklusif, demokratik dan mendatangkan manfaat kepada semua negara serta rakyat melalui usaha seperti penubuhan Suruhanjaya Dunia mengenasi Dimensi Sosial untuk Globalisasi. Namun, usaha ini akhirnya hanya menjadi ruangan sembang kosong tanpa hasil yang konkrit untuk menjamin keadilan sosial dalam proses globalisasi neo-liberal yang mengkayakan kapitalis mahakaya dengan memiskinkan lagi rakyat miskin. ILO cuba mempersembahan wajah “kemanusiaan” untuk globalisasi kapitalis neo-liberal ketika rakyat bawahan di serata dunia diserang secara bertubi-tubi oleh dasar pro-bisnes yang menggadaikan hak rakyat.

ILO-francia3_1.jpg_1718483346.jpg

Perjuangan pekerja yang memenangkan hak dan maruah

Hak dan maruah pekerja yang dimenangkan oleh golongan pekerja di banyak negara hari ini, adalah hasil perjuangan kolektif yang berterusan pekerja itu sendiri, bukannya ihsan golongan kapitalis yang tiba-tiba insaf dan sedar tentang tanggungjawab sosialnya ataupun melalui “usaha murni” organisasi antarabangsa seperti ILO. Banyak “kebaikan” yang dilakukan oleh ILO sebenarnya adalah reaksi kepada desakan daripada gerakan pekerja yang berterusan.

Walaupun ILO begitu tidak berguna sebenarnya, tetapi banyak standard perburuhan antarabangsa yang diluluskan oleh ILO boleh digunakan sebagai rujukan gerakan pekerja untuk membawa tuntutan perjuangan pekerja ke depan, khususnya dalam keadaan standard tersebut masih belum tercapai lagi.

Jika bukannya gerakan pekerja yang cukup kuat dan perjuangan masyarakat yang cukup gigih, standard-standard perburuhan ILO itu tidak akan wujud. Apabila gerakan pekerja dilemahkan, hak pekerja yang dimenangkan dahulu akan dihakis, dengan golongan kapitalis langsung tidak menghiraukan apa-apa standard perburuhan dan kerajaan pula tidak peduli langsung sekiranya majikan melanggar peraturan perlindungan buruh.

Oleh itu, jangan kita terlalu menaruh harapan bahawa institusi global seperti ILO dapat mengubah nasib rakyat biasa, khususnya institusi global yang terpengaruh kuat oleh kepentingan kapitalis global. Adalah penting untuk pekerja sentiasa bersedia memperjuangkan hak pekerja dan ini hanya boleh dilakukan secara berterusan dengan organisasi dari bawah.

ILO - 238cb8a0ea444ea9b278af39ddcef511_18.jpg

One thought on “ILO 100 tahun: Pembela pekerja atau barua kapitalis?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s