PUTRAJAYA – 17 DISEMBER 2021: Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Gerakan Guaman Rakyat (GEGAR) menyerahkan satu memorandum kepada Jabatan Peguam Negara pada hari ini untuk menggesa supaya satu inkues diadakan berkenaan dengan kes kematian dalam tahanan Muhammad Hidayat.

Muhammad Hidayat telah didapati mati semasa dalam tahanan di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, Pahang, pada 11 Oktober 2021. Muhammad Hidayat ditahan polis pada 8 Oktober 2021, lebih kurang 11 pagi, tetapi meninggal dunia dalam tempoh masa kurang daripada 72 jam selepas berada dalam tahanan polis. Insiden kematian Muhammad Hidayat ini amat memeranjatkan dan menimbulkan kecurigaan daripada keluarganya.

Menurut keluarganya, Muhammad Hidayat yang ditahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya, dikatakan tidak mempunyai masalah kesihatan dan berada dalam keadaan sihat semasa ditahan. Namun, kematiannya yang terkejut itu menimbulkan persoalan daripada keluarganya tentang punca kematian. Bagaimana seorang yang sihat boleh mati tidak lama selepas berada dalam tahanan polis?

Oleh yang demikian, keluarga Muhammad Hidayat bersama-sama dengan organisasi masyarakat sivil yang prihatin pada isu kematian dalam tahanan mengemukakan permohonan kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk mengadakan satu prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Muhammad Hidayat semasa berada dalam tahanan polis di IPD Pekan. Prosiding inkues terhadap kematian dalam tahanan polis adalah sejajar dengan keperluan yang ditetapkan di bawah Bab XXXII Kanun Prosedur Jenayah, “Siasatan Kematian”.

Peguam yang mewakili keluarga Muhammad Hidayat sudah pun menghantar satu surat permohonan bagi siasatan lanjut terhadap punca kematian kepada Jabatan Peguam Negara pada 1 November 2021, tetapi masih tidak menerima sebarang maklum balas sehingga kini. Keluarga Muhammad Hidayat juga membuat dua aduan polis di IPD Kuantan untuk menuntut satu siasatan yang bebas, adil, berkecuali, lengkap dan menyeluruh ke atas kematian Muhammad Hidayat untuk mengenal pasti punca kematiannya.

Dalam memorandum yang ditujukan kepada Tan Sri Idrus Harun selaku Peguam Negara, SUARAM dan GEGAR mengetengahkan beberapa perkara berkaitan dengan kematian Muhammad Hidayat, antaranya:

  • Pada ketika penangkapan dibuat, mangsa (Muhammad Hidayat) dan keluarga mangsa tidak diberitahu sebab penahanannya, dan orang yang ditahan akan dibawa ke balai polis yang mana satu. Pihak polis telah menahan mangsa dan terus membawanya pergi.
  • Setelah hampir 10 jam penahanan, iaitu lebih kurang pukul 9 malam pada hari yang sama, barulah keluarga mangsa dihubungi oleh pihak polis untuk dimaklumkan tentang sebab penahanan.
  • Keluarga mangsa telah dimaklumkan bahawa sebelum mangsa meninggal dunia, mangsa telah mengalami gejala muntah-muntah. Namun, pihak polis hanya memberikan ubat paracetamol (Panadol) kepada mangsa.
  • Semasa diterangkan punca kematian oleh Dr. Sri Marni selaku Ketua Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, keluarga mangsa diberitahu bahawa punca kematian mangsa adalah akibat daripada saluran darah yang tidak normal pecah (spontaneous intracranial bleed). Turut disahkan oleh Dr. Sri Marni, ianya adalah akibat daripada serangan angin ahmar (strok).
  • Perkara ini membuat keluarga mangsa ragu dengan keadaan mangsa sebelum beliau meninggal dunia, kerana seseorang yang menghadapi serangan atau gejala strok akan menunjukkan simptom-simptom awal yang tertentu dan seterusnya akan menjadi lemah selama beberapa jam sebelum meninggal dunia. Persoalannya, mengapa mangsa tidak diberikan rawatan segera sehingga menyebabkan komplikasi yang lebih parah?

“Kematian dalam tahanan, sama ada ia disebabkan salah guna kuasa, kecuaian mahupun masalah kesihatan, merupakan isu yang perlu dipandang serius. Kebajikan tahanan sewaktu ditahan adalah di bawah tanggungjawab penuh pihak berwajib yang menahan mereka. Ini bertepatan dengan undang-undang domestik mahupun antarabangsa,” kata memorandum yang diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

SUARAM dan GEGAR serta keluarga mangsa menggesa Jabatan Peguam Negara untuk mengarahkan satu prosiding inkues supaya dijalankan untuk menyiasat punca kematian Muhammad Hidayat, dan mengambil tindakan yang sewajar sekiranya terdapat unsur-unsur kecuaian dan salah guna kuasa semasa pengendalian orang yang ditahan.

SUARAM dan GEGAR juga mengetengahkan tuntutan masyarakat sivil untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC), yang bukan sahaja mampu menyiasat dan mengumpul bukti-bukti berkenaan aduan, tetapi juga dapat mengambil tindakan disiplin ke atas apa-apa salah laku oleh pihak polis.

GEGAR turut meminta pada Peguam Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang Undang) dan Ketua Polis Negara untuk mengadakan satu sesi perbincangan mengenai cadangan memperkenalkan Rang Undang-Undang Koroner bagi memperkukuhkan sistem penguatkuasaan undang-undang di Malaysia supaya ia setaraf dengan negara-negara lain yang sudah wujudnya undang-undang sama seperti Singapura dan United Kingdom.

Memorandum yang ditujukan kepada Peguam Negara tersebut telah diserahkan oleh Ahmad Faiz selaku wakil keluarga mangsa dan diterima oleh Hasmiza selaku Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Peguam Negara. Turut hadir bersolidariti ialah S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *