Mengatasi Pelbagai Krisis Kapitalisme

Deklarasi Bersama Penganjur Persidangan Sosialisme 2021

5 Disember 2021

Krisis kapitalisme semakin hari semakin menjadi lebih teruk dan melampau.

Persidangan Kemuncak Iklim Glasgow (COP26) baru-baru ini mengesahkan (sekali lagi) bahawa sebuah iklim yang sesuai untuk hidup – dan oleh itu memastikan kemandirian spesies kita – itu sedang terancam, pemerintah kapitalis tidak mempunyai jawapan yang bermakna untuk keperluan rakyat.

Golongan elit kapitalis lebih mengutamakan keuntungan korporat berbanding sebuah iklim yang sesuai untuk hidup, berbanding kesihatan dalam pandemik sedunia, dan berbanding mata pencarian asas rakyat di tengah-tengah krisis ketidaksamarataan global.

Penganjur persidangan Sosialisme 2021 percaya bahawa adalah mustahak bagi rakyat biasa menolak agenda kelas pemerintah dan membentuk sebuah gerakan yang menentang elit kapitalis, secara ideologikal dan praktikal.

Pada dasarnya kita perlu menggantikan sistem mereka yang menindas dan berpandukan keuntungan dengan sebuah alternatif yang berasaskan kuasa rakyat dan memenuhi keperluan manusia.

Kami terangsang dengan solidariti dalam kalangan kuasa berhaluan kiri di rantau ini. Solidariti ini ditunjukkan melalui penganjuran persidangan ini dan juga projek-projek yang lain.

Kami berharap untuk membina kerjasama kiri yang lebih kuat dengan berasaskan:

* Sosialisme

Sosialisme ialah alternatif yang praktikal kepada kapitalisme.

* Pengagihan semula kekayaan

Golongan bilionair telah menjadi lebih kaya semasa pandemik. Kekayaan ini harus diambil semula dan digunakan untuk kepentingan rakyat.

* Kesihatan untuk semua

Apartheid vaksin global ialah contoh yang jelas untuk ketidakadilan di bawah kapitalisme yang mengutamakan keuntungan. Setiap orang di dalam setiap negara berhak untuk menikmati perkhidmatan kesihatan yang percuma dan berkualiti baik.

* Demokrasi rakyat yang sebenar, melawan penindasan negara

Kami menyatakan solidariti kami bersama dengan perjuangan demokrasi rakyat dari bawah di Thailand, Myanmar, Hong Kong, Sudan dan seluruh dunia.

* Kesamarataan gender

Penindasan terhadap Wanita ialah salah satu tonggak utama masyarakat kapitalis. Kami menyokong bukan sahaja kesamarataan undang-undang yang sepenuhnya malah juga pembebasan wanita yang sebenar. Kami juga menyokong hak rakyat untuk menentukan identiti dan ekspresi gender mereka.  

* Pertahankan hak pekerja

Setiap orang berhak untuk mendapatkan kerja yang terjamin, gaji yang mencukupi dan persekitaran kerja yang selamat. Kerajaan harus menjamin pekerjaan penuh dan pekerja harus menikmati sepenuhnya hak untuk berorganisasi dalam kesatuan sekerja serta mempertahankan hak kita di tempat kerja.  

* Keadilan iklim global

Pemanasan global ialah cabaran terbesar yang sedang dihadapi umat manusia, dan pemerintah kapitalis telah terbukti tidak mampu untuk menghadapi cabaran ini. Kerajaan-kerajaan negara harus mengambil tindakan unilateral untuk memastikan tiada lagi projek bahan api fosil dibangunkan dan projek-projek yang sedia ada akan diberhentikan secara berperingkat. Negara-negara kaya harus membayar hutang iklim mereka kepada negara-negara Selatan Global, termasuk teknologi dan pembiayaan karbon sifar.  

* Bantah “Perang Dingin” baharu

Kami membantah ancaman serangan kuasa imperialis pimpinan Amerika Syarikat yang mensasarkan China, dan kami menyeru untuk penyahtenteraan di perairan Asia Tenggara (Laut China Selatan).

* Hentikan sekatan bersifat jenayah ke atas Venezuela dan Kuba

Hentikan campurtangan imperialis di Amerika Latin.

* Solidariti dengan perjuangan rakyat menentukan nasib sendiri

Kami memanjangkan solidariti kami kepada rakyat tertindas di mana-mana sahaja, termasuk Papua, Palestin, Kashmir dan Rojava.

* Keadilan untuk petani

Bangunkan sebuah program yang komprehensif untuk meningkatkan jaminan makanan, untuk memastikan akses rakyat kepada makanan sihat dan melindungi mata pencarian petani-petani kecil tempatan di semua negara. Kami memberi penghormatan kepada kemenangan petani-petani India yang berjaya menewaskan serangan daripada kerajaan Modi.

Golongan elit kapitalis tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat. Alternatifnya ialah sosialisme yang berasaskan organisasi akar umbi dan demokrasi popular. Kami mengikrarkan solidariti kami untuk memajukan perjuangan demi mencapai matlamat ini.

**********

Penganjur Sosialisme 2021 terdiri daripada:

Kenyataan bersama ini juga boleh didapati dalam versi Bahasa Inggeris, Bahasa Indonesia, Bahasa Thai dan Bahasa Tionghua.

3 thoughts on “Mengatasi Pelbagai Krisis Kapitalisme: Deklarasi Bersama Penganjur Sosialisme 2021

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *