(foto: AFP)

Selepas sebulan setengah dipulihkan jawatannya sebagai Presiden Sudan berikutan perjanjian dengan pihak tentera, Abdalla Hamdok meletak jawatannya pada 2 Januari 2022, menandakan krisis politik yang berterusan di Sudan. Pada hari yang sama, 3 orang demonstran dibunuh oleh pasukan keselamatan semasa memprotes terhadap kekuasaan tentera, menjadikan jumlah orang yang terbunuh sejak rampasan kuasa tentera pada 25 Oktober 2021 mencecah 57 orang.

Rakyat Sudan telah turun berprotes secara beramai-ramai di jalanan sejak bulan Oktober 2021 untuk membantah tindakan rampasan kuasa tentera yang dipimpin oleh Jeneral Abdel Fattah al-Burhan. Kerjasama antara pihak tentera dengan kumpulan orang awam yang terbentuk selepas Revolusi Sudan yang menggulingkan pemerintahan kediktatoran Omar al-Bashir untuk menyelia proses transisi ke demokrasi terbukti amat rapuh, dengan pihak tentera yang bimbang dengan perubahan radikal bertindak untuk menghalang pengembalian kuasa politik yang sebenar ke dalam tangan masyarakat awam. Pihak tentera melancarkan rampasan kuasa pada 25 Oktober 2021 dengan membubarkan badan pentadbiran perkongsian kuasa antara tentera dan orang awam, di samping menyingkirkan Abdalla Hamdok daripada jawatan Presiden. Rampasan kuasa tentera tersebut mencetuskan gelombang protes rakyat yang besar-besaran. Walaupun Abdalla Hamdok dipulihkan jawatannya sebagai Presiden pada 21 November 2021 berikutan perjanjian yang dibuatnya bersama dengan pihak tentera, tetapi gerakan rakyat Sudan yang berprotes di jalanan menolak perjanjian yang menggadai proses transisi demokratik tersebut. Rakyat Sudan meneruskan mobilisasi di jalanan untuk memperjuangkan demokrasi yang sebenar dengan hasrat menyempurnakan proses Revolusi Sudan yang jauh belum selesai.

Krisis politik terkini di Sudan ini berlaku dalam keadaan ekonomi terjejas teruk kerana pandemik COVID-19, dengan kadar pengangguran yang tinggi, harga makanan yang semakin meningkat dan kadar inflasi mencecah 360%. Kesusahan rakyat Sudan juga berkaitan dengan perampasan kekayaan negara itu oleh golongan elit pemerintah selama beberapa dekad yang lalu dan konflik bersenjata yang berterusan. Sementara itu, kuasa imperialis Amerika Syarikat bersama-sama dengan Kesatuan Eropah serta negara-negara serantau, khususnya Mesir dan negara-negara Teluk Parsi yang anti-demokratik, telah bekerjasama dalam cubaan untuk menghalang dan menggagalkan usaha perubahan radikal yang dibawa oleh rakyat Sudan.

Dengan protes jalanan masih berterusan, pihak tentera yang berkuasa telah menggunakan pelbagai cara untuk mematahkan kebangkitan rakyat Sudan. Pihak tentera memutuskan rangkaian telekomunikasi dan mengerahkan pasukan keselamatan untuk menindas para demonstran dengan cara yang ganas. Namun, rakyat Sudan yang tegas memperjuangkan demokrasi tidak gentar dan tidak berganjak daripada tuntutan mereka untuk menamatkan pemerintahan tentera. Aksi jalanan masih berterusan di Khartoum dan pelbagai tempat yang lain di negara Sudan…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *