Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

M. Suppaya dan ahli keluarganya yang tinggal di sebuah rumah usang di atas tanah kerajaan di Sungai Jelok, Kajang, mendapat berita baik apabila Hee Loy Sian selaku Ahli EXCO Kerajaan Negeri Selangor dan juga ADUN kawasan Kajang mengumumkan keputusan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini.

Mesyuarat MTES bersetuju untuk Suppaya diberikan tawaran tapak tanah di kawasan berdekatan Taman Mas, Kajang, iaitu tempat yang sama di mana 6 buah keluarga bekas kakitangan kerajaan yang tinggal di Kuarters Hospital Kajang yang diberi lot tanah semasa tanah mereka perlu memberi laluan kepada Hospital Kajang. Selain itu, JKR Selangor juga diminta untuk memberikan wang sewa rumah bulanan sebanyak RM500 untuk tempoh setahun kepada keluarga Suppaya.

Turut bersama semasa pengumuman keputusan ini ialah Muhammad Razif B Ruba’ai selaku Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat, Suppaya sekeluarga, S. Arutchelvan yang merupakan aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang membantu dalam memperjuangkan kes ini, ASP Abdul Hadi Bin Abd Rasip dari IPD Kajang dan Ong Seng Peng selaku Ahli Majlis Perbandaran Kajang.

Pihak keluarga Suppaya memaklumkan bahawa sebaik sahaja mereka mendapat wang sewaan rumah, mereka akan mengosongkan tanah tersebut dalam masa sebulan. Pihak Pegawai Daerah pula mengatakan bahawa mereka memerlukan lebih banyak masa untuk memproses permohonan di bawah Jadual 1 Kanun Tanah Negara. Namun, Hee Loy Sian amat tegas dan mengatakan bahawa ini adalah keputusan MTES. Beliau meminta pihak Pejabat Tanah memberi surat jaminan dalam masa dua minggu, dan jika ada sebarang masalah, maka isu ini perlu dibawa semula kepada MTES.

Keluarga Suppaya amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas keputusan ini. Impian mereka untuk mendapatkan rumah atas tanah milik sendiri sejak tahun 1960-an akhirnya menjadi realiti. Hanya beberapa bulan lalu, salah seorang anak mereka meninggal dunia kerana kemalangan. PSM pula mengucapkan terima kasih kepada Hee Loy Sian dan Pejabat Tanah kerana isu ini dapat diselesaikan tanpa pengusiran atau perobohan paksa.

Ini adalah berita baik kerana hanya lebih 6 bulan yang lalu, rumah Encik Suppiah diancam pengusiran dan perobohan secara paksa apabila jentolak, polis dan pasukan penguatkuasa dalam lebih 30 orang bersedia untuk melakukan satu lagi pengusiran paksa. Pihak PSM pada masa itu bertungkus lumus untuk cuba menyelamatkan rumah rakyat miskin ini. Akhirnya operasi perobohan rumah ini dapat dibatalkan setelah campurtangan daripada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang memberi pesanan bahawa perobohan hanya akan dilakukan setelah rumah atau tanah alternatif diberikan. 

Ekoran itu, pada 4 Mei 2021, sekali lagi mesyuarat diadakan di mana Suppaya diminta untuk membuat permohonan tanah dan tarikh baharu untuk mengosongkan rumah adalah pada bulan Ogos 2021. Namun demikian, disebabkan faktor pandemik dan sebagainya, urusan permohonan tanah hanya dapat dilaksanakan pada akhir bulan September 2021.

(gambar arkib) Suasana semasa cubaan perobohan rumah keluarga Suppaya pada 12 April 2021.

Latar belakang

M. Suppaya dan keluarganya tinggal di sebuah rumah di atas tanah kuarters Hospital Kajang di Sungai Jelok, sejak tahun 1960-an, apabila ibu kepada Suppaya dibenarkan untuk mendirikan rumah di atas tanah tersebut kerana dia ialah seorang kakitangan yang lama bekerja di pejabat Majlis Daerah Kajang pada masa itu. Ibu Suppaya pernah membuat permohonan untuk mendapatkan hak milik tanah yang diduduki mereka pada tahun 1970-an, tetapi ditolak dan hanya diberikan lesen tumpangan sementara (TOL). Suppaya pernah mengemukakan permohonan untuk geran tanah dengan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat pada tahun 2013, tetapi juga tidak mendapat kelulusan.

Komuniti yang tinggal di atas tanah kuarters hospital tersebut menghadapi pengusiran pada tahun 2016 apabila 6 buah keluarga menerima notis pengosongan tanah daripada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat kerana tanah tersebut akan digunakan untuk membina hospital bersalin yang baharu oleh Kementerian Kesihatan. Rumah Suppaya tidak termasuk dalam 6 buah rumah yang menerima notis pengusiran pada masa itu kerana dikatakan tidak mengganggu projek pembinaan hospital. 6 buah keluarga tersebut menghadapi pengusiran pada tahun 2017 tetapi akhirnya kemelut mereka diselesaikan apabila mereka ditawarkan penempatan semula di kawasan sekitar Jalan Reko, Kajang. Rumah Suppaya tidak diganggu pada masa itu dan juga tidak diberikan tawaran penempatan semula kerana dikatakan tidak kena mengena dengan projek pembinaan hospital itu.

Namun, Suppaya mula menerima notis pengosongan tanah daripada Pejabat Daerah dan Tanah pada 4 Disember 2017 atas alasan tanah yang diduduki rumahnya diambil untuk projek pembinaan hospital. Setelah isu berlarutan selama hampir dua tahun tanpa penyelesaian, keluarga Suppaya menerima notis amaran yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 pada 29 Julai 2020, iaitu ketika negara kita dilanda ancaman pandemik COVID-19.

Keluarga Suppaya bersama dengan Arutchelvan telah berjumpa dengan ADUN Kajang, Hee Loy Sian, dan Hee telah menjanjikan untuk menghentikan pengusiran. Dalam satu mesyuarat yang diadakan di Pejabat Daerah dan Tanah pada 1 September 2020 yang dipengerusikan oleh ADUN Kajang dan juga Exco negeri Selangor, diputuskan bahawa keluarga Suppaya boleh ditawarkan tempat ganti di Jalan Reko, seperti 6 buah keluarga yang dikehendaki berpindah sebelum ini. Maka Suppaya juga membuat permohonan tetapi disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka proses ini mengambil masa kerana tidak dapat membeli peta daripada Bahagian Ukur tanah. Satu cubaan merobohkan rumah keluarga Suppaya pada 12 April 2021 telah diberhentikan setelah campurtangan daripada Menteri Besar Selangor.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s