oleh S. Arutchelvan – 12 April 2021, Sungai Jelok, Kajang

Pada hari Sabtu lalu, beberapa orang anggota polis yang berpakaian biasa melawat rumah M. Suppaya. Beliau menunjukkan kepada mereka dokumen permohonan Jadual 1 untuk tanah ganti seperti yang dipersetujui dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ahli Exco Selangor pada bulan September 2020. Pada malam itu, Ketua Cawangan Khas Daerah Kajang pula hendak berbincang sesuatu. Saya berasa tidak senang hati dan telah menyuruh Sukran, anak kepada M. Suppaya, untuk berhubung dengan pejabat ADUN Kajang, iaitu pihak yang memberi syor bahawa mereka boleh tinggal di sana sehingga adanya tempat alternatif untuk mereka. Saya mula merasakan bahawa mungkinkah peristiwa seperti perobohan gerai-gerai di Bangi Lama akan berlaku di sini. Yang bezanya adalah, itu gerai manakala ini ialah rumah kediaman.

Namun, peristiwa yang sama seperti hari Selasa lalu berulang semula. Jentolak, polis dan pasukan penguatkuasa dalam lebih 30 orang bersedia membuat satu lagi pengusiran paksa. Faktor COVID-19, kesengsaraan rakyat dan sebagainya tidak menjadi sebahagian daripada pertimbangan mereka.

Ketika berdepan dengan Penolong Pegawai Daerah (ADO) Hulu Langat, Encik Razif, beliau dengan cukup tegasnya mengatakan bahawa adanya arahan jelas daripada Tuan DO (Pegawai Daerah) untuk merobohkan rumah. Saya cuba berusaha mengatakan ini bekas pekerja di pejabat DO dahulu, mereka dulunya ada TOL (Lesen Tumpangan Sementara), dulu tanah diberikan, dan mereka juga pernah membuat permohonan tanah untuk beberapa kali tetapi gagal. Namun, penguatkuasa Pejabat Daerah dan Tanah sama seperti hari Selasa lalu, tidak mahu berkompromi. Kemudian Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Saudara Ong dan Saudara Bala serta seorang Pegawai Khas kepada ADUN Kajang, Puan Aida, cuba berdialog untuk menangguhkan perobohan, dan mengatakan bahawa YB ADUN Kajang dan juga Ahli Exco Kerajaan Negeri meminta operasi ditangguhkan supaya diadakan mesyuarat, tetapi permintaan mereka juga ditolak kerana arahan daripada DO jelas dan nyata.

Akhirnya operasi ini dapat dihentikan apabila YAB Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, mengatakan bahawa kerajaan akan memberi rumah ganti alternatif sebelum perobohan dan inilah juga permintaan kami. Kemudian beliau menghantar mesej teks kepada saya dan memberitahu bahawa beliau akan memaklumkan kepada DO. Saya membawa pesanan ini dan tunjuk kepada ADO yang kemudiannya telah beredar dari situ sekejap, dan dia kembali dengan mengumumkan operasi perobohan ditangguhkan atas arahan baharu.

Maka satu situasi buruk menjelang Ramadan dan Tahun Baharu Orang India dapat dielakkan. Keluarga Suppaya dapat berasa lega.

Satu polisi Kerajaan Negeri Selangor yang penting adalah pengusiran hanya boleh dijalankan setelah adanya penempatan baharu. Polisi ini seperti tidak diendahkan. Dalam masa seminggu ini, saya sudah letih mengatakan perkara yang sama. Dan memandangkan sekarang ialah zaman pandemik COVID-19, seharusnya Keajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan lebih prihatin dan lebih bertimbang rasa. Namun, mereka semua buat pekak sahaja. Sudah tiba masanya kepentingan rakyat terbanyak dan golongan berpendapatan rendah menjadi agenda utama pemerintah.

Selamat menyambut bulan Ramadan dan selamat menyambut Tahun Baharu Orang India.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

Latar belakang isu pengusiran paksa di Sungai Jelok

Rumah yang menghadapi pengusiran paksa dan ancaman perobohan pada 12 April 2021 tersebut diduduki oleh M. Suppaya dan keluarganya. Keluarga tersebut tinggal di rumah ini sejak tahun 1960-an, apabila ibu kepada Suppaya dibenarkan untuk mendirikan rumah di atas tanah kuarters Hospital Kajang kerana dia ialah seorang kakitangan yang lama bekerja di pejabat Majlis Daerah Kajang pada masa itu. Ibu Suppaya pernah membuat permohonan untuk mendapatkan hak milik tanah yang diduduki mereka pada tahun 1970-an, tetapi ditolak dan hanya diberikan lesen tumpangan sementara (TOL). Suppaya pernah mengemukakan permohonan untuk geran tanah dengan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat pada tahun 2013, tetapi juga tidak mendapat kelulusan.

Komuniti yang tinggal di atas tanah kuarters hospital tersebut menghadapi pengusiran pada tahun 2016 apabila 6 buah keluarga menerima notis pengosongan tanah daripada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat kerana tanah tersebut akan digunakan untuk membina hospital bersalin yang baharu oleh Kementerian Kesihatan. Rumah Suppaya tidak termasuk dalam 6 buah rumah yang menerima notis pengusiran pada masa itu kerana dikatakan tidak mengganggu projek pembinaan hospital. 6 buah keluarga tersebut menghadapi pengusiran pada tahun 2017 tetapi akhirnya kemelut mereka diselesaikan apabila mereka ditawarkan penempatan semula di kawasan sekitar Jalan Reko, Kajang. Rumah Suppaya tidak diganggu pada masa itu dan juga tidak diberikan tawaran penempatan semula kerana dikatakan tidak kena mengena dengan projek pembinaan hospital itu.

Namun, Suppaya mula menerima notis pengosongan tanah daripada Pejabat Daerah dan Tanah pada 4 Disember 2017, atas alasan tanah yang diduduki rumahnya diambil untuk projek pembinaan hospital. Setelah isu berlarutan selama hampir dua tahun tanpa penyelesaian, keluarga Suppaya menerima notis amaran yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 pada 29 Julai 2020.

Keluarga Suppaya bersama dengan Arutchelvan telah berjumpa dengan ADUN Kajang, Hee Loy Sian, dan Hee telah menjanjikan untuk menghentikan pengusiran. Dalam satu mesyuarat yang diadakan di Pejabat Daerah dan Tanah pada 1 September 2020 yang dipengerusikan oleh ADUN Kajang dan juga Exco negeri Selangor, diputuskan bahawa keluarga Suppaya boleh ditawarkan tempat ganti di Jalan Reko, seperti 6 buah keluarga yang dikehendaki berpindah sebelum ini. Oleh itu, Suppaya juga membuat permohonan; tetapi disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka proses ini mengambil masa kerana tidak dapat membeli peta daripada Bahagian Ukur Tanah.

Namun, sebelum mendapat apa-apa tawaran untuk penempatan semula, keluarga Suppaya menerima satu lagi notis perobohan rumah, dan pasukan penguatkuasa telah dikerahkan untuk melakukan operasi perobohan pada 12 April 2021 atas arahan Pengawai Daerah Hulu Langat.

One thought on “Sebuah lagi rumah B40 diancam perobohan paksa menjelang bulan Ramadan dan Tahun Baharu India

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *