20191025 - 1911228.jpeg

oleh S. Arutchelvan

Baru-baru ini, kita dapat dengar pertukaran pandangan daripada Menteri Sumber Manusia dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengenai pindaan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 yang dibentangkan dalam Parlimen. Dalam senario yang tidak pernah wujud, kedua-dua Kesatuan Pekerja dan Persekutuan Majikan nampaknya bersetuju dalam bantahan terhadap pembaharuan yang diperkenalkan dalam pindaan undang-undang tersebut.

Kami daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang telah berada di barisan hadapan perjuangan pekerja, memang memahami kebimbangan yang dibangkitkan oleh kesatuan-kesatuan dan juga hujah-hujah oleh Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran. Kami berpandangan bahawa pembaharuan ini bukannya teruk sepenuhnya dan terhadap perkara-perkara yang baik dalam pindaan yang dikemukakan.

Biar saya meletakkan beberapa perkara dalam konteks. Gerakan kesatuan sekerja di negara kita hari ini merangkumi kurang daripada 7% jumlah tenaga kerja, malah peratusan kesatuan yang terlibat dalam perjanjian kolektif (CA) adalah lebih kecil lagi. Ini adalah keadaan sebenar untuk kesatuan-kesatuan sekerja hari ini. Jadi, kesatuan-kesatuan sekerja hari ini adalah jauh berbeza daripada kesatuan-kesatuan sekerja pada zaman dahulu.

Kesatuan-kesatuan sekerja telah dicekik oleh Kerajaan selama ini, di mana banyak undang-undang yang diluluskan sebelum ini telah meletakkan kesatuan-kesatuan sekerja dalam keadaan yang sangat sukar. Kemasukan buruh migran dalam jumlah besar, sama ada berdokumen atau tidak berdokumen, juga melemahkan kebolehan kesatuan sekerja untuk berunding dan membuat tuntutan. Selain itu, perubahan struktur penting yang lain seperti kerja fleksibel, kerja kontrak dan ekonomi gig sekarang, telah menjadikan ia hampir tidak mustahil untuk mengorganisasi kesatuan sekerja.

Dengan tangan, kaki dan mulut mereka yang terikat, kesatuan-kesatuan sekerja diminta untuk mempersembahkan prestasi pula. Pemukulan terhadap kesatuan sekerja (union busting) telah memastikan aktivis kesatuan yang kuat dipatahkan dan kesatuan mereka dihancurkan. Berasaskan latar belakang ini, kami boleh memahami kebimbangan kesatuan-kesatuan sekerja. Walaupun demikian, terdapat juga banyaknya kesatuan sekerja yang tidak berguna langsung – Kesatuan Kuning dan pegawai kesatuan semata-mata menganggapnya sebagai kerjaya yang menguruskan kesatuan seperti perniagaan keluarga mereka sendiri – tidak membenarkan perubahan kepimpinan kesatuan, tiadanya pembaharuan dalaman ataupun tidak demokratik secara dalaman. PSM pernah mengendalikan masalah daripada ramai pekerja yang selain menghadapi masalah dengan majikan, mereka juga tidak berpuas hati dengan kepimpinan kesatuan mereka.

Persoalan besar adalah adakah pindaan terhadap Akta Perhubungan Perusahaan terbaru ini akan membawa kemajuan atau kemunduran kepada gerakan pekerja dan kepentingan mereka? Menteri Sumber Manusia telah berkata Kementeriannya telah memberi jaminan kepada semua pihak bahawa pindaan ini ialah sebahagian daripada semakan semula secara menyeluruh untuk bertindak menuju ke arah mematuhi standard perburuhan antarabangsa. Standard Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) adalah bagus dan kami pasti bukannya semua standard ini telah dimasukkan ke dalam undang-undang kita. Adalah baik jika kita boleh melihat sedikit pergerakan sejarah tentang pindaan ini.

Sepintas lalu sejarah pindaan undang-undang buruh

Kemuncak gerakan buruh di negara kita adalah pada era 1945-1948 apabila Persekutuan Kesatuan-kesatuan Sekerja Pan-Malaya (PMFTU) yang mewakili dua pertiga daripada jumlah tenaga kerja pada masa itu berkuasa. Ini merupakan era Kesatuan Buruh Am (GLU) di mana kuasa pekerja berada di puncaknya. Ini menyebabkan pemerintah penjajah British terpaksa menyekat kesatuan-kesatuan ini untuk melindungi kepentingan perniagaan mereka dan margin keuntungan mereka. Pada bulan Ogos 1946, undang-undang digubal untuk mendaftarkan semua kesatuan sekerja supaya kerajaan dapat memantau kesatuan-kesatuan ini. Kesatuan-kesatuan yang besar dinafikan pendaftaran dan pejabat-pejabat kesatuan dipantau oleh kerajan. Kesatuan yang pro-British sememangnya digalakkan oleh pihak berkuasa.

Pada tahun 1948, pihak British menggunakan Darurat untuk menghancurkan gerakan kesatuan sekerja dan 95% daripada semua kesatuan yang progresif diharamkan; anggota-anggota kesatuan ditangkap, dibuang negeri dan malah adanya sesetengah antara mereka dibunuh.

Pada tahun 1949, pihak British menggubal Ordinan Pertikaian Perusahaan. Ia memaksa kesatuan-kesatuan untuk menyelesaikan isu-isu melalui rundingan. Ia juga mengharamkan sambutan Hari 1 Mei – Hari Pekerja. Pada masa itu, kerajaan memberi sokongan sepenuhnya kepada majikan untuk menggunakan polis dalam memecahkan kesatuan dan menyuraikan barisan piket.

Selepas kemerdekaan, Kerajaan Perikatan yang diketuai UMNO menggubal Ordinan Kesatuan Sekerja 1959. Ini merupakan gelombang kedua untuk melemahkan kesatuan selepas Kesatuan Buruh Am dihancurkan semasa Darurat 1948. Di bawah ordinan baru ini, perpaduan kesatuan dipecahkan lagi apabila keanggotaan kesatuan dalam sektor industri yang sama tidak dibenarkan. Misalnya, industri elektrik dan elektronik dipisahkan dan tidak boleh membentuk kesatuan yang sama. Pendaftar Kesatuan Sekerja (RTU) juga diberikan kuasa mutlak untuk menyaman, membatalkan atau menafikan pendaftaran kesatuan sekerja.

Selepas pembentukan Malaysia, Akta Perhubungan Perusahaan (IRA) digubal pada tahun 1967. Akta inilah di mana Menteri Sumber Manusia diberi kuasa sepenuhnya untuk membuat keputusan tentang pertikaian perusahaan. Akta baru ini juga mempunyai tetapan undang-undang yang menyekat mogok dan melambat-lambatkan kerja. Akta Perhubungan Perusahaan juga menafikan pekerja sektor kerajaan hak untuk membawa pertikaian mereka ke mahkamah perusahaan. Gelombang ketiga untuk memecahkan kesatuan berlaku di sini apabila sektor kerajaan dan semi-kerajaan disekat daripada membentuk kesatuan bersama dengan sektor swasta. Ini menyebabkan 56 buah kesatuan daripada sektor awam terpaksa meninggalkan MTUC.

Setiap kali berlaku Darurat juga melihat undang-undang baru diperkenalkan untuk menyekat kesatuan-kesatuan sekerja. Semasa Darurat 1969, peraturan baru digubal dengan syarat bahawa hanya pekerja yang sudah bekerja untuk 3 tahun baru boleh memegang jawatan dalam kesatuan sekerja. Ahli-ahli parti politik dilarang daripada memegang jawatan dalam kesatuan sekerja. Kita boleh menganggap undang-undang ini bertujuan untuk menghalang orang seperti V. David, Zainal Rampak and Karam Singh daripada aktif dalam kesatuan-kesatuan sekerja. Pada masa itu juga kesatuan-kesatuan dilarang daripada berunding dengan majikan-majikan berkenaan isu-isu kenaikan pangkat, pembuangan kerja, skop pekerjaan dan pemindahan kerja.

Selepas Mogok Pekerja-pekerja MAS pada tahun 1978, Kerajaan Barisan Nasional menggubal peraturan baru dalam Ordinan Kesatuan Sekerja untuk menghalang kesatuan-kesatuan daripada menganjurkan tindakan industri. RTU diberi kuasa yang luas untuk menyekat kebebasan berpersatuan sementara Menteri Sumber Manusia berkuasa untuk membatalkan mana-mana kesatuan yang mengancam kepentingan negara. Setiap kebangkitan pekerja telah ditangani dengan undang-undang baru untuk menyekat kesatuan dan perjuangannya.

Pada tahun 1980-an, Malaysia secara beransur-ansur menuju ke arah negara perindustrian. Akta Kerja 1955 dipinda pada tahun 1980 untuk membenarkan buruh migran dibawa masuk, dan had jam kerja lebih masa (OT) ditingkatkan daripada 32 jam sebulan kepada 64 jam sebulan. Dasar Pandang Ke Timur Mahathir juga memastikan bahawa kesatuan nasional tidak boleh ditubuhkan dalam sektor elektronik dan hanya kesatuan dalaman (in-house union) dibenarkan. Ini barangkali gelombang keempat untuk kesatuan sekerja dipecahkan.

Selepas pekerja-pekerja memenangi pampasan yang besar, khususnya dalam kes kesatuan pekerja Harris Solid State pada tahun 1990, Kerajaan terus meminda Akta Perhubungan Perusahaan pada tahun 2007 di mana bayaran gaji tertunggak ke belakang sekarang dihadkan kepada 24 bulan dan ini boleh dikurangkan lanjut untuk 30% lagi sekiranya pekerja didapati menyumbang kepada tindakan majikan, dan 30% boleh dikurangkan lagi jika pekerja mempunyai satu lagi kerja sepanjang perjalanan kes.

Pada tahun 2011, Kerajaan meminda Akta Kerja 1955 untuk membenarkan di sisi undang-undang “kontraktor untuk buruh”. Ini adalah satu lagi pukulan kepada gerakan kesatuan sekerja kerana sekarang tanggungjawab majikan dipindahkan kepada “kontraktor”. Sekarang pekerja tidak boleh membentuk kesatuan dan perlu berurusan dengan kontraktor.

Oleh itu, setiap pindaan undang-undang sehingga hari ini adalah disebabkan penindasan terhadap gerakan kesatuan sekerja untuk memikat hati kelas kapitalis dan kelas peniaga. Walau bagaimanapun, pekerja-pekerja juga mendapat pencapaian kerana perjuangan yang berterusan seperti Hari 1 Mei diisytihar sebagai cuti umum, penggubalan Akta Gaji Minimum, dan yang baru-baru ini peningkatan cuti bersalin kepada 90 hari. 

Pindaan Akta Perhubungan Perusahaan 2019 = Baik atau Buruk?

Banyak hujah pergi kepada persoalan sama ada MTUC telah dirujuk atau tidak semasa merangka pindaan Akta Perhubungan Perusahaan. Pengalaman kami berurusan dengan kerajaan sekarang ini dan sebelum ini, nampaknya sama sahaja. Sudah pasti adanya perundingan tetapi ia tidak bertukar menjadi persetujuan.

Mari kita pergi kepada pindaan itu sendiri di mana PSM nampaknya mengambil pendirian bahawa terdapat beberapa pindaan yang agak baik yang tidak boleh dinafikan atau kredit perlu diberikan.

Sebagai permulaan, Menteri Sumber Manusia telah menghapuskan kuasanya dalam hampir semua bidang undang-undang dan sekarang ini kuasa terletak dalam tangan Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan. Ini merupakan salah satu tuntutan yang kami bawa semasa zaman BN, di mana kami biasanya menghujahkan bahawa Menteri mempunyai terlalu banyak kuasa. Dengan pindaan sekarang ini, kuasa Menteri untuk merujukkan representasi mengenai kes pemberhentian kerja ke Mahkamah Perusahaan dipindahkan kepada Ketua Pengarah. Ini sudahpun dalam praktik dan ia mengurangkan karenah birokrasi. Sekarang kes akan terus dirujuk ke Mahkamah Perusahaan setelah proses rundingan damai gagal, tanpa perlunya campurtangan Menteri.

Satu lagi pindaan yang kami sebagai aktivis melihat ia amat berguna adalah membenarkan pekerja diwakili oleh orang pilihan mereka kecuali peguam. Sememangnya peguam tidak akan gembira dengan ini. Sekarang ini pihak majikan biasanya akan mempunyai pegawai atasan atau penasihat untuk mewakili mereka sementara pekerja-pekerja dengan kesatuan akan diwakili oleh kesatuan. Namun, adanya 93% pekerja tidak mempunyai kesatuan, walaupun MTUC ketika ini membantu pekerja-pekerja ini, tetapi prosesnya tidak begitu terus-menerus, di mana ia bergantung kepada kepimpinan MTUC sama ada mereka membenarkan surat untuk orang lain mewakili pihak pekerja atau tidak. Dengan pindaan ini, masyarakat sivil, badan bukan kerajaan (NGO) dan NGO yang mesra pekerja dapat mewakili pekerja. Ini pastinya akan membantu ramai pekerja kerana kebanyakan mereka tidak berada dalam kesatuan sekerja. Satu lagi penambahbaikan adalah pekerja-pekerja dengan ketidakupayaan mental boleh diwakili oleh ahli keluarga mereka ketika prosiding rundingan damai.

Satu lagi kemajuan yang penting adalah had maksimum 24 bulan untuk menuntut gaji ke belakang dimansuhkan untuk kes-kes yang melibatkan pemberhentian kerja kerana pemukulan terhadap kesatuan. Ini bermakna Mahkamah Perusahaan boleh memutuskan award tanpa terhad kepada sekatan dalam Jadual Kedua Akta Perhubungan Perusahaan. Ini juga bermakna pihak majikan akan berfikir betul-betul sebelum meneruskan agenda memukul kesatuan.

Pindaan sekarang juga menghentikan tanggapan bahawa tindakan mogok itu sesuatu yang bersifat jenayah, di mana sebelum ini seorang pekerja boleh dipenjarakan kerana menganjurkan atau menyertai mogok tetapi sekarang ini telah ditukar kepada hanya denda. Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa menyertai mogok tidak akan menyebabkan anda dipenjarakan. Ini mungkin akan membantu kesatuan-kesatuan sekerja supaya lebih berani untuk menganjurkan mogok walaupun terdapat undang-undang lain yang menyekat hak asas pekerja ini – hak untuk menarik diri daripada melakukan buruh.

Satu lagi pindaan dalam Akta Perhubungan Perusahaan adalah membenarkan pekerja-pekerja yang diberhentikan daripada badan berkanun untuk memfailkan tuntutan pemberhentian tidak adil di Jabatan Perhubungan Perusahaan. Ini akan membolehkan lebih ramai orang dilindungi di bawah Akta Perhubungan Perusahaan.

Satu lagi pindaan yang baik adalah seksyen 32(1)(e) yang baru di mana apa-apa award yang diputuskan oleh Mahkamah Perusahaan adalah terikat pada keluarga pekerja yang meninggal dunia. Sekarang ini semua tuntutan pekerja akan berakhir sekiranya mati.

Satu lagi kelemahan teknikal besar yang ditangani dalam pindaan ini adalah berkenaan kes pekerja tidak dirujuk kerana masalah teknikal mengenai persoalan tarikh pemberhentian kerja. Sekarang dengan pindaan baru dalam seksyen 29 Akta ini, ia memberi kuasa kepada Mahkamah Perusahaan untuk mendengar dan memutuskan perkara ini walau apapun tarikh pemberhentian kerja yang dinyatakan dalam keterangan Ketua Pengarah.

Seksyen 33C yang baru dalam pindaan akan membuka ruang kepada mana-mana orang yang tidak berpuas hati dengan award Mahkamah Perusahaan untuk merayu kepada Mahkamah Tinggi dalam tempoh 14 hari. Ini adalah sesuatu yang tiada sebelum ini.

Durinya – Berbagai kesatuan di tempat kerja yang sama

Saya berpendapat bahawa salah satu isu yang paling besar dalam pindaan ini adalah membenarkan lebih daripada satu kesatuan untuk wujud dalam sesuatu tempat kerja dan memberikan mandat kepada kesatuan dengan sokongan terbesar untuk melakukan rundingan kolektif. Saya rasa kesatuan yang sedia ada melihat ini sebagai satu ancaman kerana kesatuan alternatif yang ditaja oleh majikan boleh dibentuk untuk melemahkan kesatuan yang ada sekarang. Ini mungkin boleh menjadi bentuk baru dalam pemukulan terhadap kesatuan.

PSM mempunyai pandangan yang bercampur-campur mengenai pindaan ini. Kami sedia mengetahui bahawa bagaimana Kerajaan sebelum ini menubuhkan Pertubuhan Buruh Malaysia (MLO) untuk melemahkan MTUC. Di sisi yang lain pula, daripada pengalaman kami sendiri, kami telah melihat pemimpin-pemimpin pekerja yang sebenar tidak dapat menguasai kesatuan yang sedia wujud kerana kepimpinan kesatuan yang sedia ada mungkin akan mewujudkan amalan dalaman yang tidak demokratik untuk memastikan mereka terus berkuasa dalam kesatuan. Dengan pindaan ini, ia membenarkan pemimpin-pemimpin pekerja yang sebenar untuk membentuk kesatuan alternatif untuk mewakili pekerja. Kemudian, sekiranya kesatuan itu begitu popular dan boleh mendapat kepercayaan pekerja-pekerja, maka mereka boleh akhirnya diberi kuasa untuk memasuki perjanjian kolektif.

Hari ini walaupun tanpa pindaan pada Akta, keanggotaan kesatuan sekerja masih kurang daripada 7% dan terdapat banyak cara di mana kesatuan boleh dipecahkan. Oleh itu, walaupun pindaan ini mungkin mempunyai kekurangannya, tetapi ia mungkin juga boleh digunakan untuk semak-dan-imbang kesatuan yang sedia ada kerana tiada kesatuan akan mempunyai monopoli untuk mewakili pekerja. Ini akan membenarkan lebih banyak kesatuan dibentuk.

Kesimpulan

Sebahagian daripada pindaan dalam Akta Perhubungan Perusahaan memang dapat menangani beberapa isu yang dibangkitkan untuk selama ini. Pindaan sekarang juga mengurangkan birokrasi dan memberi lebih manfaat kepada pekerja. Ia juga membolehkan mahkamah untuk memainkan peranan yang lebih penting berbanding pihak Eksekutif.

Ia juga akan membolehkan lebih banyak kesatuan ditubuhkan dan menangani beberapa isu berkaitan dengan pemukulan terhadap kesatuan. Namun, seperti yang telah dikatakan oleh K. Veeriah daripada MTUC Bahagian Pulau Pinang, adalah baik untuk kita melihat pakej sepenuh dalam pembaharuan undang-undang ini, khususnya tentang pindaan lain dalam Akta Kesatuan Sekerja dan Akta Kerja.

Pindaan akta ini juga lebih inklusif dan mesra. Ia juga cuba menggunakan denda dan penalti yang lebih tinggi untuk menangani isu ketidakpatuhan.

Pindaan ini mengatakan bahawa penubuhan kesatuan-kesatuan sekerja tidak lagi terhad kepada tred, industri atau pekerjaan yang sama. Ini akan membolehkan kewujudan kepelbagaian dalam organisasi kesatuan sekerja. Ini sesuatu yang akan diuji.

Sekarang ini dengan wujudnya sistem kontrak dan ekonomi gig, ia akan lebih sukar untuk membentuk kesatuan. Mungkin pindaan ini akan membolehkan lebih banyak kesatuan ditubuhkan dan menentukan masa hadapan mereka secara kolektif. Ini adalah sesuatu yang berbaloi untuk dicuba kerana kebanyakan kesatuan sekerja sekarang ini tidak berkembang dan banyaknya yang sedang gulung tikar.

Kami yakin bahawa peranan kami adalah terus memperkasakan pekerja dan bekerjasama dengan MTUC serta kesatuan-kesatuan yang lain untuk membawa kemajuan kepada gerakan pekerja dan kesejahteraan pekerja. Undang-undang boleh diubah dan dipinda. Apa yang diperlukan adalah gerakan pekerja yang kuat untuk melindungi kepentingan pekerja dan juga membina gerakan kesatuan sekerja yang sebenar untuk mengembalikan zaman kegemilangan kesatuan sekerja dan kuasa rundingan pekerja.

Perjuangan diteruskan…

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s