(gambar arkib)

Berikut ialah memorandum yang diserahkan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) kepada Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara pada bulan Julai 2021. Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara ditubuhkan di bawah Majlis Perundingan Gaji Negara untuk menjalankan kajian terhadap Perintah Gaji Minimum yang perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali dalam setiap dua tahun mengikut Seksyen 25 (1), Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

**********

Pengenalan

Dasar gaji minimum diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2012 selepas lebih 20 tahun perjuangan oleh pelbagai organisasi pekerja seperti Jaringan Rakyat tertindas (JERIT), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan kumpulan-kumpulan lain. Mulai bulan Januari 2013, gaji minimum ditetapkan pada RM900 sebulan bagi Semenanjung Malaysia dan RM800 sebulan bagi Sabah dan Sarawak. Sebenarnya pihak kami mencadangkan kadar gaji minimum RM900 ini pada tahun 2002, iaitu mengikut parameter penentu pada ketika itu, tetapi ianya hanya diperkenalkan 11 tahun kemudian. Kerajaan menetapkan gaji minimum pada permulaannya dengan amaun yang kecil.

Kerajaan juga memutuskan untuk mengkaji semula kadar gaji minimum ini setiap dua tahun. Mengikut janji ini, kadar gaji minimum yang baharu harus dilaksanakan pada bulan Januari 2015, tetapi itu tidak berlaku. Seterusnya gaji minimum ditingkatkan kepada RM1,000 sebulan di Semenanjung Malaysia dan RM920 di Sabah dan Sarawak dengan pelaksaan mulai bulan Julai 2016. Selepas itu, kajian kedua hanya dilakukan pada tahun 2018 dan gaji minimum diselaraskan untuk Semenanjung dan Sabah dan Sarawak. Tetapi kenaikan kadar gaji minimum yang diumumkan pada awalnya hanya sebanyak RM50. Setelah protes pekerja di hadapan Parlimen, gaji minimum baharu ditukar kepada RM1,100 sebulan untuk seluruh Malaysia dan pelaksanaannya bermula bulan Januari 2019. Semasa kenaikan gaji minimum kepada RM1,100, Kerajaan Pakatan Harapan pada masa itu memberi janji bahawa gaji minimum akan dikaji sekali lagi pada tahun 2019. Selepas itu, mulai bulan Februari 2020, gaji minimum dinaikkan kepada RM1,200 hanya di 57 buah bandar utama sahaja. Inilah situasi sampai sekarang.

Sejak tahun 2015, PSM telah beberapa kali menyerahkan memorandum untuk menyatakan bahawa kadar gaji minimum dan kenaikan pada setiap kali ia dikaji adalah amaun yang sangat kecil dan masih tidak munasabah kepada pekerja di Malaysia. Walaupun Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara memberi cadangan kadar gaji minimum yang tinggi mengikut formula Kerajaan sendiri, tetapi akhirnya Kabinet Kerajaan langsung tidak mempertimbangkan cadangan Jawatankuasa Teknikal ini. Pada tahun 2015, PSM memberi cadangan supaya gaji minimum ditingkatkan kepada RM1,500 sebulan dan tuntutan ini kini telahpun berubah mengikut keadaan ekonomi negara dan sumbangan pekerja. Tuntutan pekerja terkini adalah RM1,800 sebagai gaji minimum di negara ini. Adakah tuntutan ini akan diambil serius oleh Kerajaan sekarang?

Oleh yang demikian, kami ingin membentangkan beberapa justifikasi penting mengapa gaji minimum harus ditingkatkan sekurang-kurangnya ke RM1,800 untuk penyelarasan semula tahun 2021. Hujah kami adalah seperti berikut:

Justifikasi 1: Kadar kemiskinan yang tidak relatif

Kami difahamkan bahawa, formula yang digunakan oleh Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara dalam pengiraan gaji minimum adalah seperti berikut:

Pada awal pelaksanaan dasar gaji minimum, kadar kemiskinan (PLI) yang telah digunakan oleh kerajaan adalah sangat rendah dan tidak menggambarkan kemiskinan sebenar dalam masyarakat. Pada masa ini, tahun 2021, sebarang penetapan semula gaji minimum harus dilaksanakan selaras dengan PLI baharu yang telah diumumkan oleh Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) pada tahun 2020, iaitu RM2,208 sebulan yang mengambil kira keperluan makanan yang optimum dan pemakanan yang sihat, serta 146 barang bukan makanan dari corak perbelanjaan isi rumah B20 dalam tinjauan perbelanjaan isi rumah tahun 2019.

Dengan PLI yang sedemikian, tahap gaji minimum yang boleh dicadangkan oleh kerajaan dengan menggunakan kadar kemiskinan baharu yang ditetapkan adalah seperti berikut:

  MALAYSIABANDARLUAR BANDAR
Nota    
aPendapatan Garis Kemiskinan (PLI, RM)2,2082,2082,208
 Purata pekerja per isi rumah1.21.21.2
bGaji median (RM)2,0622,2681,340
cPertumbuhan produktiviti buruh (P %)2.20%2.20%2.20%
dIndeks harga pengguna (CPI %)1.70%1.60%1.50%
eKadar pengangguran (UE %)4.50%4.60%4.50%
 Gaji minimum (RM)2,0172,1201,641
Sumber:
a. Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah & Kemudahan Asas 2019, DOSM
b. Laporan Survei Gaji & Upah 2020, DOSM
c. Laporan Produktiviti 2018/2019, MPC
d. Consumer Price Index, March 2021, DOSM
e. Laporan Survei Tenaga Buruh 2020, DOSM

Pada bulan Julai 2020, Kerajaan telah mengkaji semula metodologi pengukuran insiden kemiskinan dan mengumumkan pengunaan Pendapatan Garis Kemiskinan Relatif (PGK Relatif) bagi mengukur kemiskinan isi rumah. Definasi PGK Relatif Kerajaan ialah “isi rumah dikategorikan miskin relatif di peringkat nasional apabila pendapatan isi rumah bulanan puratanya kurang daripada nilai 50 peratus pendapatan penengah nasional.

Penggunaan kaedah PGK Relatif adalah satu langkah yang jitu dan munasabah dalam konteks status Malaysia sebagai negara “berpendapatan tengah atas” (upper middle income). Maka, cara pengiraan yang kami cadangkan untuk menentukan gaji minimum adalah dengan menggunakan PGK Relatif, iaitu RM 2,937, seperti yang ditetapkan oleh Kerajaan.

Pada tahun 2020, gaji penengah (median) untuk pekerja Malaysia ialah RM 2,062 (RM2,268 bagi bandar, RM1,340 bagi luar bandar).

Pengiraan gaji minimum mengikut gaji median bulanan berdasarkan kadar kemiskinan relatif adalah seperti berikut:

Nota:
a. Kadar kemiskinan relatif adalah 50% daripada penengah pendapatan isi rumah bulanan seperti yang digunakan oleh Kerajaan pada bulan Julai 2020.
Rujuk Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah & Kemudahan Asas 2019, DOSM, ms.111

Pengiraan relatif ini memberi gambaran sebenar dan gaji minimum baharu harus ditetapkan pada kadar RM2,331 di seluruh Malaysia, atau RM2,586 di bandar dan RM2,068 di luar bandar.

Tetapi, kadar gaji minimum yang dituntut oleh PSM adalah hanya RM1,800 dengan mengambil kira dilema kerajaan bahawa tidak boleh membuat satu lonjatan yang tinggi daripada RM1,200 yang ditetapkan sekarang dan pada masa yang sama juga meringankan keperitan hidup rakyat marhaen.

Selain itu, sentimen ketidaksamaan pendapatan dan kekayaan juga nyata dalam kalangan rakyat. Sentimen ini juga bukanlah sesuatu yang tidak berasas. Jurang ketidaksamaan ini boleh diukur dengan menggunakan Pekali Gini, iaitu sebuah ukuran penyebaran statistik yang bertujuan untuk mewakili ketidaksamaan pendapatan atau ketidaksamaan kekayaan dalam sesebuah negara. Berdasarkan data daripada anggaran Bank Dunia dan DOSM (2019), Pekali Gini bagi pembahagian pendapatan bagi negara-negara di Asia Tenggara adalah seperti berikut:

NegaraPekali GiniTahun
Filipina47.92018
Kemboja36.52018
Vietnam35.72018
Indonesia38.22019
Laos38.82018
Thailand34.92019
Myanmar30.72017
Malaysia40.72019

Malaysia adalah negara dengan Pekali Gini kedua tertinggi di Asia Tenggara. Ini bermakna masyarakat Malaysia mempunyai jurang ketidaksamaan pendapatan yang amat tinggi. Kami percaya bahawa dengan peningkatan gaji minimum dapat sedikit sebanyak mengurangkan jurang ketidaksamaan ini.

Justifikasi 2: Kos dan kualiti hidup rakyat

Segolongan besar rakyat Malaysia didapati tidak mempunyai simpanan untuk masa kecemasan dan pada hari tua. Sila baca berita ini: “Hanya 22% punyai simpanan cukup tampung persaraan – KWSP”. Ini mewujudkan satu masa depan yang tidak terjamin. Di Malaysia, hampir 60% pekerja swasta yang tidak mempunyai skim pencen dan tiada simpanan akibat gaji yang rendah akan mati dalam kemiskinan.

Pada tahun 2020, Kajian Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2019 bersama Visa mendedahkan sebanyak 43% rakyat Malaysia membelanjakan keseluruhan pendapatan mereka. Bank Negara Malaysia (BNM) juga mendapati bahawa 75% daripada rakyat Malaysia tidak mempunyai sekurang-kurangnya RM1,000 sebagai simpanan mereka. BNM juga mendapati bahawa hanya 6% rakyat mampu untuk meneruskan kelangsungan hidup selama 6 bulan menggunakan simpanan mereka dan 13% selama 3 bulan.

Fenomena ini adalah sangat membimbangkan bagi masa hadapan rakyat negara ini. Setelah lebih setahun menghadapi pandemik COVID-19, ramai daripada kalangan pekerja telah diberhentikan dan mereka terpaksa menggunakan seberapa simpanan yang dipunyai mereka dan juga wang KWSP mereka sendiri untuk meneruskan kehidupan. Bertentangan dengan pendapat ramai, kadar literasi kewangan rakyat bukanlah rendah kerana mereka tidak tahu untuk menyimpan, tetapi keutamaan mereka adalah untuk membekalkan keluarga mereka dengan bahan makanan dengan seberapa sedikit gaji yang diperolehi mereka. Peningkatan gaji minimum dapat sedikit sebanyak membantu mereka untuk berupaya menyediakan keluarga dengan kemudahan asas dan menabung pada masa yang sama.

Maka, jumlah RM1,800 sebagai gaji minimum masih satu jumlah pendapatan yang rendah dan hidup dalam kemiskinan, tetapi ia pasti boleh mengubah keadaan daripada terhumban menjadi miskin tegar.

Berikut adalah pengiraan kos bakul makanan asas bagi sebuah keluarga nukleus yang mempunyai ibu, bapa, dan 3 orang anak untuk satu bulan:

Barangan asasper kg/ unitHarga (RM)Untuk sebulan
Beras20 kgRM54.00RM54.00
Telur1 papanRM9.80 x 4RM39.20
Minyak1 paketRM2.70 x 4RM10.80
Gula1 paketRM3.20 x 6RM19.20
Sayur-sayuran15 kgRM2.00 (200g)RM150.00
Roti1 paketRM2.80 x 15RM42.00
Bawang & kentang1 kgRM 3.80 x 10RM38.00
Buah-buahan1 kgRM12.50 x 3RM37.50
Ayam / Daging1 kgRM6.50 x 25kgRM162.50
Produk lain (Tenusu & rempah dll)  RM150.00
JUMLAH  RM703.20

Ini hanya perbelanjaan untuk barangan makanan asas bagi pemakanan yang optimum dan sihat. Perbelanjaan bulanan lain juga perlu diambil kira seperti:

  1. Sewa – RM600
  2. Bayaran bulanan kereta/motor – RM400
  3. Bas sekolah anak-anak – RM150
  4. Perubatan – RM300
  5. Insurans kad kesihatan – RM270.00 sebulan (family coverage – low coverage)
  6. Kecemasan – RM300

Pengiraan kasar ini berjumlah sebanyak RM2723.20 sebulan bagi menyara hidup 5 orang sekeluarga yang boleh dianggap sebagai agak rendah. Berdasarkan kadar kemiskinan tahun 2019, jumlah ini hanyalah sedikit di atas garis kemiskinan yang telah ditetapkan, iaitu RM2,208. Jika kedua-dua ibu dan bapa bekerja pada gaji minimum, keluarga ini hanya dapat membawa pulang RM2,400 sebulan, iaitu RM323 kurang daripada perbelanjaan asas keluarga ini. Peningkatan gaji minimum kepada RM1,800 dapat sedikit sebanyak memberikan kehidupan yang bermaruah kepada keluarga ini dan juga keluarga-keluarga yang terkesan.

Pada tahun 2018, Bank Negara telah memperkenalkan konsep “living wage”, iaitu pendapatan minimum yang diperlukan untuk isi rumah mengambil bahagian dalam masyarakat, peluang untuk pembangunan peribadi dan keluarga dan kebebasan mengatasi tekanan kewangan yang teruk. Bank Negara menetapkan amaun RM2,700 untuk seorang dewasa bujang, RM4,500 untuk keluarga dengan seorang anak dan RM6,500 bagi keluarga dengan sepasang anak. Kami menyambut baik konsep yang lebih berperikemanusiaan ini, tetapi juga memahami bahawa lonjatan daripada kadar gaji minimum sedia ada kepada living wage akan membawa kesan-kesan yang drastik kepada ekonomi.

Justeru, PSM berpendapat bahawa peningkatan gaji minimum kepada kadar RM1,800 sebulan adalah relevan dan boleh dicapai oleh kerajaan dengan kehendak politik dan desakan yang cukup bagi meringankan beban yang dipikul rakyat terbanyak.

Justifikasi 3: Perbandingan gaji minimum negara lain

Kerajaan Malaysia menguar-uarkan bahawa gaji minimum di Malaysia adalah antara yang tertinggi di Asia. Tetapi apabila kita membuat perbandingan dengan gaji minimum di negara lain dengan kuasa beli pekerja (PPP), kita jauh berbeza dan ketinggalan.

Kuasa membeli berdasarkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dikenali sebagai “purchasing power parity” (PPP) merupakan satu metodologi yang adil untuk membanding gaji minimum antara negara ASEAN.

*Berdasarkan IMF World Economic Outlook (April 2021) dari https://statisticstimes.com/economy
**Berdasarkan kadar penukaran mata wang ke USD sekarang

Kadar gaji minimum bulanan bagi Indonesia, Filipina dan Thailand adalah berdasarkan Jakarta, Metro Manila dan Bangkok.

Kuasa membeli rakyat dengan gaji minimum tersebut merupakan yang terendah di ASEAN kerana pekerja di Malaysia hanya mendapat 12.62% (10.45% pada 2018) kuasa membelinya berbanding pendapatan per kapita. Maka ramai rakyat biasa sengsara dalam memenuhi keperluan hidup. Kadar gaji minimum yang rendah berdasarkan pendapatan per kapita nominal menerangkan jurang kekayaan Malaysia yang besar kerana 33.68% (29.81% pada 2018) sahaja daripada kekayaan negara sampai kepada seseorang pekerja walhal selanjutnya disimpan majikan.

Berikut adalah beberapa kelebihan dalam menentukan gaji minimum di negara Asia Tenggara lain berbanding dengan Malaysia:

  1. Indonesia – Gaji minimum ditentukan setelah mengambilkira 60 komponen makanan dan bukan makanan. Gaji minimum dikemaskini pada setiap tahun berdasarkan kadar inflasi negara dan kadar pertumbuhan ekonomi negara.
  2. Vietnam – Setiap tahun debat akan diadakan untuk menentukan gaji minimum pada tahun seterusnya, dan bukan seperti di Malaysia, 2 tahun sekali dan selalunya lambat dilaksanakan.
  3. Laos – Gaji minimum dinaikkan sebanyak 50% pada tahun 2015 untuk mengurangkan pengaliran buruh ke negara Thailand.
  4. Thailand – Tidak mempunyai sebarang formula atau mekanisma pengiraan. Manakala, gaji minimum ditentukan berdasarkan kadar upah yang mencukupi bagi seorang pekerja untuk membangunkan kemahiran bagi membolehkan pekerja tersebut mempunyai mata pencarian yang sesuai dengan keadaan ekonomi dan sosialnya, dan mempunyai taraf hidup yang sepadan dengan keupayaan perniagaan tempatan.

Justifikasi 4: Di mana gaji sosialnya?

Kita sedar bahawa, kerajaan akan berhujah bahawa gaji minimum pekerja tidak boleh dinaikkan tinggi kerana ianya akan meningkatkan kos bagi majikan, lebih-lebih lagi waktu pandemik ini lagilah majikan-majikan akan bising tentang isu ini walaupun realitinya bukan begitu. Jika kos untuk majikan bertambah, maka ianya akan disalurkan kepada produk atau perkhidmatan yang dibekalkan oleh perniagaan tersebut dan inflasi akan naik.

Selain itu, kerajaan juga akan mula risau bahawa Malaysia akan kehilangan daya tarikan untuk pelabur asing jika gaji minimum ditingkatkan. Untuk memaksimumkan keuntungan, pelabur asing akan selalu mencari lokasi yang menawarkan gaji minimum yang paling rendah.

Masalahnya ialah, warga pekerja tidak dapat menyokong kerajaan dalam dua hujah tersebut, kerana pihak kerajaan tidak membantu pekerja menampung kos hidup dengan membayar gaji sosialnya.

Gaji sosial ialah insentif kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyatnya dengan menawarkan khidmat kesihatan yang percuma, pendidikan sehingga ke Universiti secara percuma, subsidi kemudahan asas dan perumahan yang benar-benar mampu milik, dan sebagainya. Dengan adanya perlindungan sosial sedemikian, maka rakyat tidak akan mengalami kemiskinan yang teruk, walaupun gaji minimum pekerja rendah.

Tetapi kini di Malaysia, Kerajaan ingin mengekang gaji minimum supaya ianya tidak menaikkan kos majikan dan menjadikan Malaysia menarik untuk pelabur, dan pada masa yang sama merampas balik semua subsidi yang pernah dinikmati oleh rakyat dahulu.

Subsidi kepada pendidikan dikurangkan, maka pentadbiran sekolah dan PIBG terpaksa mencari duit sendiri, kos perubatan naik apabila ubat-ubatan dan pembedahan yang disubsidi penuh dikurangkan, subsidi untuk barangan makanan keperluan harian dikurangkan secara berperingkat dan dibiarkan naik turun mengikut pasaran, dan sebagainya.

Rakyat menerima tekanan dua belah, apabila gaji ditekan dan kos hidup naik. Jika kerajaan tidak ingin melindungi rakyat melalui gaji sosial ini, maka gaji minimum haruslah dinaikkan selaras dengan kos sebenar hidup.

Syor PSM

Berdasarkan justifikasi dan alasan yang dinyatakan diatas, kami syorkan bahawa:

  1. Kerajaan menetapkan gaji minimum RM1,800 sebulan untuk tahun 2021 2.
  2. Majlis Perundingan Gaji Negara harus menggunakan tempoh kitaran setahun (annual cycle) bagi menetapkan gaji minimum.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

4 thoughts on “Tingkatkan gaji minimum ke RM1,800 – Memorandum kepada Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *