(gambar: ICIJ)

Masih ingatkah Panama Papers dan Paradise Papers yang masing-masing didedahkan pada bulan April 2016 dan November 2017? Tak mengapa jika tidak ingat, kerana satu lagi pendedahan dokumen yang dikenali sebagai “Pandora Papers”, mengingatkan dunia bahawa masalah golongan mahakaya menyembunyikan kekayaan mereka di tempat-tempat berlindung cukai itu masih berterusan…

Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasat (ICIJ), sebuah jaringan antarabangsa yang disertai oleh wartawan-wartawan penyiasat dan organisasi-organisasi media di lebih 70 buah negara yang memainkan peranan dalam pendedahan Panama Papers dan Paradise Papers sebelum ini, membuat satu lagi pendedahan yang dikenali sebagai “Pandora Papers” dalam apa yang dikenali sebagai usahasama kewartawanan antarabangsa yang terbesar dalam sejarah, mulai 3 Oktober 2021.

Hampir 12 juta dokumen (dengan saiz data sebanyak 2.94 TB) yang didedahkan dalam Pandora Papers, menawarkan maklumat mengenai rahsia kewangan untuk banyak orang kenamaan, termasuklah 35 orang pemimpin dunia (ketua kerajaan dan bekas ketua kerajaan), lebih 330 orang ahli politik dan penjawat awam di 91 buah negara dan wilayah, lebih 100 orang bilionair serta selebriti-selebriti yang terkenal di dunia. Pendedahan dokumen-dokumen rahsia kewangan ini memberi gambaran yang lebih jelas tentang cara kerja ekonomi bayangan yang memanfaatkan golongan mahaya dan mereka yang berkuasa tetapi merugikan semua orang yang lain.

Saiz dokumen dalam Pandora Papers adalah lebih besar berbanding Panama Papers (2.6 TB) dan Paradise Papers (1.4 TB). Dokumen-dokumen berkenaan diperoleh daripada 14 buah institusi kewangan luar pesisir dan dianalisis oleh ICIJ. Maklumat untuk pendedahan pusingan pertama telah diserahkan kepada organisasi-organisasi media yang terpilih di seluruh dunia dan dikaji oleh lebih kurang 600 orang wartawan.

Antara “rahsia” yang didedahkan dalam Pandora Papers, termasuk urusan kewangan luar pesisir oleh Ratu Elizabeth II (Ratu Britain), Raja Abdullah II (Raja Jordan), Tamim bin Hamad Al Thani (Amir Qatar), Sebastián Piñera (Presiden Chile), Uhuru Kenyatta (Presiden Kenya), Andrej Babiš (Perdana Menteri Republik Czech), Syeikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum (Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu dan Amir Dubai), Tony Blair (bekas Perdana Menteri Britain), Silvio Berlusconi (bekas Perdana Menteri Itali), Dominique Strauss-Kahn (bekas Pengarah Urusan IMF), Shakira (penyanyi terkenal Colombia) dan banyak lagi. Malaysia juga tidak ketinggalan dalam senarai pendedahan Pandora Papers, dengan nama Daim Zainuddin (bekas Menteri Kewangan dan anggota Majlis Penasihat Kerajaan semasa pentadbiran Mahathir Mohamad), Tengku Zafrul Aziz (Menteri Kewangan), Yamani Hafez Musa (Timbalan Menteri Kewangan), Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO), Mahmud Abu Bekir Abdul Taib (anak kepada Abdul Taib Mahmud, Yang di-Pertua Negeri Sarawak) dan beberapa orang kenamaan lagi, turut muncul dalam pendedahan dokumen yang bersejarah ini.

Antara pendedahan yang “menarik” dalam Pandora Papers ialah:

  • Rajah Abdullah II dari Jordan yang memiliki empayar hartanah yang membentang luas di seluruh dunia, telah menggunakan 36 buah syarikat cangkerang untuk membeli 14 hartanah mewah di Amerika Syarikat dan Britain dengan nilai melebihi USD106 juta.
  • Andrej Babiš, Perdana Menteri Republik Czech daripada parti populis berhaluan kanan yang juga merupakan seorang bilionair, telah membeli sebuah château (rumah mewah di kawasan luar bandar) di Selatan Perancis, yang dilengkapi dengan sebuah pawagam dan dua buah kolam renang, dengan harga USD22 juta melalui sebuah syarikat luar pesisir. Pembelian hartanah mewah di luar negara melalui syarikat luar pesisir ini jelasnya bercanggah dengan retorik Babiš yang bersembang kencang tentang membasmi korupsi di negaranya.
  • Walaupun Imran Khan, Perdana Menteri Pakistan, memanjat tangga kekuasaan melalui tangisan anti-korupsi dan menjanjikan “Pakistan yang baharu”, tetapi orang yang rapat dengannya, termasuk ahli-ahli keluarganya, Menteri-menteri kabinetnya dan penyumbang dana kepadanya, semuanya mempunyai syarikat-syarikat luar pesisir yang memegang kekayaan tersembunyi yang besar.
  • Syeikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Amir Dubai yang juga merupakan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu, memiliki hartanah mewah di Eropah melalui syarikat luar pesisir yang ditubuhkan di tempat berlindung cukai. Syeikh Mohammed merupakan salah seorang pemilik tanah terbesar di Britain. Pandora Papers menunjukkan Syeikh Mohammed ialah pemegang saham kepada 3 buah syarikat yang didaftarkan secara rahsia untuk mengembangkan perniagaannya di peringkat antarabangsa.
  • Anak-anak kepada Ilham Aliyev, Presiden Azerbaijan yang berkuasa sejak tahun 2003, memegang saham 44 buah syarikat yang didaftarkan di Kepulauan Virgin British antara tahun 2006 dan 2018. Antaranya 5 buah syarikat telah digunakan untuk membeli hartanah mewah bernilai sebanyak lebih USD120 juta di London antara tahun 2006 dan 2009, di mana kebanyakannya dijual kemudian dengan keuntungan yang lumayan.
  • Bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, dan isterinya Cherie, telah mengelak daripada membayar cukai hartanah sebanyak lebih USD400,000 apabila mereka membeli sebuah pejabat di London yang bernilai USD8.8 juta, dengan cara membeli syarikat berdaftar di Kepulauan Virgin British yang memiliki hartanah tersebut.
  • Dua orang anak termuda Daim Zainuddin (bekas Menteri Kewangan Malaysia), menjadi pemilik kepada sebuah syarikat yang berdaftar di Kepulauan Virgin British semasa mereka berusia 9 dan 12 tahun masing-masing pada tahun 2007. Apabila mereka mencapai umur awal 20-an pada tahun 2017, mereka sudah menjadi pemilik kepada beberapa buah syarikat yang ditubuhkan di tempat berlindung cukai, termasuk sebuah syarikat yang memiliki hartanah bernilai sebanyak £12 juta (lebih kurang RM60 juta pada tahun 2017) di London.
  • Siasatan ICIJ mendapati bahawa amanah yang ditubuhkan di Amerika Syarikat menjadi pilihan popular untuk kerahsiaan kewangan. ICIJ mengenalpasti lebih 200 buah amanah ditubuhkan atau dipindahkan ke Amerika Syarikat dari tahun 2000 hingga 2019, dengan jumlah paling besar berdaftar di negeri Dakota Selatan, diikuti dengan Florida, Delaware, Texas dan Nevada.

Walaupun dikatakan sebagai pendedahan maklumat kerahsiaan kewangan yang terbesar dalam sejarah, tetapi pendedahan Panama Papers ini sebenarnya tidak mengejutkan dunia. Ini kerana sudah lama kita menyedari tentang kewujudan tempat berlindung cukai di seluruh dunia dan juga sistem kewangan luar pesisir yang digunakan oleh golongan kaya untuk menyembunyikan kekayaan mereka. Tambahan pula, banyak pendedahan juga telah dibuat sebelum ini, termasuklah Panama Papers dan Paradise Papers. Pendedahan kali ini hanya membuktikan sekali lagi bahawa masalah pengelakan cukai dan penyembunyian kekayaan oleh golongan berkuasa dunia ini masih berterusan.

Menurut satu kajian yang dibuat oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pada tahun 2020, kekayaan yang bernilai sekurang-kurangnya USD11.3 trilion telah disembunyikan secara “luar pesisir” (offshore) di seluruh dunia. Oleh sebab kekompleksan dan kerahsiaan dalam sistem kewangan luar pesisir, saiz sebenar kekayaan yang berkaitan dengan pengelakan cukai dan kegiatan jenayah yang lain adalah sukar untuk diketahui. Walaupun wujudnya usaha di peringkat antarabangsa untuk membendung pengelakan cukai dan mengawalselia sektor kewangan selepas Krisis Ekonomi 2008, tetapi gejala penyembunyian kekayaan oleh golongan mahakaya di tempat berlindung cukai masih berleluasa.

Tutup semua tempat berlindung cukai untuk hapuskan kapitalis parasit

Pembongkaran maklumat dalam Pandora Papers menjadi salah satu daripada bukti bertimbunan yang menunjukkan bahawa sistem kapitalis global pada hari ini masih terus membiak golongan parasit yang mengkayakan diri mereka sendiri dengan cara memiskinkan orang lain di dunia. Kekayaan yang dibolot melalui eksploitasi terhadap pekerja bawahan, telah disimpan di “luar pesisir” untuk mengelakkan daripada dicukai. Orang kaya memanggil ini sebagai “pengurusan kekayaan” (wealth management), tetapi realitinya ialah perampasan yang berterusan terhadap masyarakat.

Penyembunyian kekayaan di tempat berlindung cukai, telah menyebabkan kerajaan-kerajaan di seluruh dunia kehilangan dana yang signifikan untuk melaksanakan dasar atau program yang menjamin kesejahteraan masyarakat dan meningkatkan kualiti hidup jutaan rakyat. Jurang kekayaan juga semakin melebar.

Apabila golongan mahakaya menjadi lebih kaya lagi kerana mereka tidak perlu membayar cukai, rakyat bawahan yang miskin pula menjadi lebih miskin lagi kerana kerajaan kehilangan sumber pendapatan untuk membangunkan perkhidmatan awam untuk semua. Dunia kita pada abad ke-21 sudah semakin kaya, malah jauh lebih kaya berbanding abad-abad sebelum ini, tetapi rakyat majoriti yang membanting tulang untuk menghasilkan kekayaan dunia ini masih hidup dalam kesusahan. Pekerja-pekerja yang sebelum ini mempunyai kerja tetap dengan pendapatan yang stabil, telah kehilangan jaminan kerja dan perlindungan sosial apabila penyumberan luar dan ekonomi gig yang menguntungkan kapitalis parasit itu semakin berleluasa. Pemiskinan golongan pekerja merupakan “pengumpulan primitif” bagi kapitalis yang bersifat parasit pada zaman yang dilanda dengan pelbagai krisis ini.

Sistem ekonomi kapitalis global yang berlandaskan mekanisme pasaran bebas tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah jurang kekayaan yang semakin melebar, kerana ia sendiri ialah punca kepada masalah ini. Kita perlukan sistem percukaian progresif ke atas golongan mahakaya dan korporat untuk memastikan kekayaan yang dicipta oleh golongan pekerja dapat diagihkan semula dengan labih adil. Kita perlu menutup semua tempat berlindung cukai supaya tiada lagi lubang untuk golongan mahakaya menyembunyikan kekayaan mereka. Kita perlu membendung pengelakan cukai dan menghukum golongan mahakaya yang menyembunyikan kekayaan mereka. Semua ini hanya dapat dilaksanakan dengan membangunkan gerakan masyarakat dari bawah, memobilisasi rakyat tanpa mengira kaum untuk melawan ketidakadilan sosial yang wujud pada hari ini, dan memperjuangkan sebuah sistem ekonomi baharu yang berasaskan solidariti masyarakat dan kesejahteraan bersama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *