Sigmundur Davíð Gunnlaugsson, Perdana Menteri Iceland, menjadi pemimpin negara yang pertama terpaksa letak jawatan berikutan pendedahan “Kertas Panama”.

Di bawah penyelarasan Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasat (ICIJ), lebih kurang 100 media massa di seluruh dunia telah memberitakan pendedahan dokumen-dokumen rahsia yang digelar sebagai “Kertas Panama” pada 3 April yang lalu. “Kertas Panama” merupakan himpunan dokumen-dokumen sulit kepunyaan Mossack Fonseca, sebuah firma guaman yang beribupejabat di Panama. Dokumen-dokumen tersebut mengandungi maklumat terperinci berkenaan dengan 214,000 buah syarikat luar pesisir yang didaftarkan oleh Mossack Fonseca di seluruh dunia, termasuklah maklumat yang berkaitan dengan identiti pemegang saham dan pengarah syarikat-syarikat tersebut.

Mossack Fonseca merupakan syarikat pengurusan kewangan luar pesisir yang keempat besar di dunia. Perkhidmatan yang disediakan oleh firma tersebut adalah “pengurusan kekayaan” untuk mereka yang kaya-raya. “Pengurusan kekayaan” itu termasuklah membantu golongan orang kaya untuk membuka syarikat luar pesisir (iaitu syarikat yang didaftarkan di luar daripada negara asalnya) di tempat-tempat yang mudah mendaftarkan perniagaan dan kadar cukai yang rendah. Pengurusan kewangan luar pesisir sebegini telah menjadi satu cara untuk golongan yang kaya untuk mengelakkan diri daripada membayar cukai, dan membolehkan golongan yang rasuah untuk menjalankan aktiviti pelaburan wang haram.

Ada apa dengan Kertas Panama?

Pendedahan Kertas Panama melibatkan sebanyak 11.5 juta rekod dokumen sejak tahun 1970-an sehingga penghujung tahun 2015. Jumlah data dalam Kertas Panama mencecah 2.6 TB, jauh lebih besar daripada jumlah data daripada pembongkaran Cablegate oleh Wikileaks pada tahun 2010 (iaitu data sebanyak 1.7 GB), Kebocoran Luar Pesisir pada tahun 2013 (260 GB), Kebocoran Luxembourg (4 GB) dan Kebocoran Swiss (3.3 GB). Data-data tersebut termasuk e-mel, fail PDF dan petikan daripada pangkalan data Mossack Fonseca.

Maklumat yang dibocorkan tersebut diserahkan oleh satu sumber yang tidak diketahui namanya kepada Süddeutsche Zeitung, sebuah suratkhabar yang beribupejabat di Munich, Jerman, pada lebih kurang setahun sebelum ini. Menurut Bastian Obermayer, wartawan Süddeutsche Zeitung, sumber yang tidak dikenali tersebut menyerahkan maklumat yang dibocorkan itu kerana beliau berpendapat bahawa Mossak Fonseca telah melakukan perkara yang tidak beretika. “Sumber itu berpendapat bahawa firma guaman di Panama ini sedang mendatangkan mudarat kepada dunia, dan beliau mahu menghentikan segala ini. Itulah motivasinya mendedahkan maklumat itu,” begitu kata Obermayer.

Seramai lebih 140 orang pegawai kerajaan dan pemimpin politik di seluruh dunia telah dibongkarkan dalam Kertas Panama, bahawa mereka disyaki terlibat dalam pengelakan cukai melalui syarikat kewangan luar pesisir. Antara pemimpin negara yang didedahkan nama dalam Kertas Panama adalah Sigmundur Davíð Gunnlaugsson (Perdana Menteri Iceland), Mauricio Macri (Presiden Argentina), Salman (Raja Arab Saudi), Khalifa bin Zayed Al Nahyan (President UAE) dan Petro Poroshenko (President Ukraine yang berkuasa selepas pergolakan politik yang menjatuhkan puak pro-Rusia pada tahun 2014). Saudara-mara untuk pemimpin negara juga didedahkan dalam kebocoran maklumat terbaru ini, antaranya abang ipar Xi Jinping (Presiden China), anak Mubarak (bekas Presiden Mesir), sepupu Bashar al-Assad (Presiden Syria) dan rakan karib untuk Vladimir Putin (Presiden Rusia). Malaysia juga tidak ketinggalan apabila pendedahan Kertas Panama mendapati bahawa Mohd Nazifuddin Najib, anak kepada Perdana Menteri Najib Razak, pernah menyandang jawatan pengarah untuk 2 buah syarikat luar pesisir yang didaftarkan di Kepulauan Virgin British.

Apa itu tempat berlindung cukai?

Dalam pendedahan Kertas Panama, didapati bahawa Kepulauan Virgin British adalah destinasi yang paling popular antara mereka yang mendaftarkan syarikat luar pesisir melalui Mossack Fonseca. Selain Kepulauan Virgin British, Panama, Bahamas, Seychelles, Niue dan sebagainya adalah antara destinasi untuk membuka syarikat luar pesisir. Tempat-tempat ini terkenal sebagai tempat berlindung cukai.

Sesuatu tempat menjadi tempat berlindung cukai dengan adanya undang-undang pro-bisnes yang memudahkan sesebuah syarikat itu ditubuhkan dan juga undang-undang kerahsiaan yang melindungi kepentingan mereka yang melabur dalam sesebuah syarikat, tambahan pula dengan sistem percukaian yang mesra perniagaan.

Ambil contoh Kepulauan Virgin British, kepulauan yang merupakan Wilayah Luar Negeri British tersebut tiada cukai perolehan modal, tiada cukai pemberian, tiada cukai keuntungan, tiada cukai pusaka, tiada duti harta pusaka dan tiada cukai korporat. Kadar cukai pendapatan di Kepulauan Virgin British adalah sifar. Ini memang menjadi syurga kepada golongan kaya untuk membuka syarikat di situ, bukannya untuk membuat bisnes atau pengeluaran, tetapi hanya untuk mengelakkan cukai di negara sendiri. Beratus bilion dollar hilang setiap tahun kerana golongan kapitalis menyembuyikan kekayaan mereka di tempat-tempat berlindung cukai di seluruh dunia.

Mungkin ada yang hairan mengapa begitu sedikitnya orang kaya Amerika Syarikat (AS) disenarai dalam Kertas Panama. Adakah disebabkan kapitalis AS itu begitu jujur sekali dan membayar semua cukai yang berwajib? Memang bukannya begitu. Ini kerana perkhidmatan yang disediakan oleh Mossack Fonseca itu mudah didapati di tempat berlindung cukai di tanah besar AS itu sendiri, khususnya di negeri-negeri seperti Delaware, Nevada dan Wyoming.

Di sebuah bangunan satu tingkat yang beralamat 1209 North Orange Street, di Wilmington, negeri Delaware di AS, terdapatnya sebanyak 285,000 buah syarikat didaftarkan di situ, termasuk syarikat gergasi seperti Apple, Google, Coca-cola, KFC dan sebagainya, begitu juga dengan syarikat yang ditubuhkan semata-mata untuk pelaburan wang haram. Di Delaware, untuk menubuhkan sebuah syarikat, maklumat yang diperlukan adalah lebih kurang daripada memohon kad pinjaman buku di perpustakaan. Oleh yang demikian, golongan kaya di AS memang tidak perlu pergi membuka syarikat luar pesiri di Kepulauan Virgin British atau Panama untuk tujuan pengelakan cukai. Mereka boleh buat sedemikian di tanahair sendiri.

PM Iceland jadi korban pertama

2 hari sahaja selepas pembongkaran Kertas Panama, telah ditemui korbannya yang pertama, iaitu Sigmundur Davíð Gunnlaugsson, Perdana Menteri Iceland.

Dalam penemuan Kertas Panama, didapati Gunnlaugsson gagal mengisytihar bahawa dia memegang saham sebuah syarikat yang didaftarkan di Kepulauan Virgin British semasa dia dipilih menjadi ahli parlimen pada tahun 2009. Gunnlaugsson kemudiannya menjual saham tersebut kepada isterinya dengan nilai USD 1. Isterinya telah mendapat keuntungan daripada saham syarikat tersebut. Tindakan tersebut telah mencetuskan kemarahan rakyat.

Lebih kurang 23,000 orang turun ke jalanraya di ibu negara, Reykjavík, dan berhimpun di hadapan bangunan parlimen, menuntut perletakan jawatan PM dan pembubaran parlimen untuk pilihanraya. Jumlah penduduk Iceland hanya 329,000 orang dan penduduk di Reykjavík hanya 120,000. Oleh itu, jumlah rakyat yang berdemonstrasi telah mencecah 7% daripada jumlah penduduk seluruh negara dan 1/5 daripada penduduk ibu negara Iceland, satu jumlah yang amat signifikan. Gunnlaugsson terpaksa meletak jawatan berikutan demonstrasi besar-besaran.

Gunnlaugsson merupakan pemimpin Parti Progresif, sebuah parti berhaluan kanan, yang memperoleh 19 daripada 63 kerusi parlimen semasa pilihanraya umum pada tahun 2013. Parti Progresif telah menubuhkan kerajaan campuran bersama dengan Parti Independen, satu parti berhaluan lebih kanan lagi yang juga memegang sebanyak 19 kerusi.

Parti Independen memainkan peranan penting dalam penswastaan bank dan penyahkawalseliaan sektor kewangan di Iceland pada awal tahun 2000-an, semasa parti tersebut memerintah. Dasar-dasar Parti Independen telah mengundang gelembung kewangan sehingga mencetuskan krisis ekonomi yang amat serius pada akhir tahun 2008. Kerajaan campuran pimpinan Parti Independen terpaksa dibubarkan selepas demonstrasi besar-besaran tercetus berikutan krisis kewangan. Pakatan Demokratik Sosial telah bergabung dengan Gerakan Kiri Hijau berikutan kejatuhan kerajaan campuran pimpinan Parti Independen untuk menggubal perlembagaan baru dan dasar baru untuk menangani krisis ekonomi.

Krisis ekonomi 2008 telah menyebabkan taraf kehidupan rakyat Iceland jatuh secara mendadak, di mana ramai pekerja awam diberhentikan kerja, pencen mengecut, syarikat muflis dan beribu-ribu warga Iceland terpaksa berhijrah ke luar negara untuk mencari kerja. Pada bulan Mei 2015, seramai 70,000 orang pekerja di Iceland telah mengadakan mogok besar-besaran. Yang terlibat dalam mogok tersebut adalah doktor, jururawat, ahli akademik, pekerja sektor pelancongan dan sebagainya. Aksi mogok tersebut telah berjaya menaikkan gaji pekerja. Namun, taraf kehidupan rakyat Iceland masih 25% di bawah paras sebelum krisis.

Rakyat Iceland pernah menjatuhkan kerajaan yang pro-korporat pada tahun 2009 untuk menyelamatkan negara mereka daripada krisis mendalam. Rakyat Iceland juga berjaya menaikkan gaji mereka melalui aksi mogok. Sekali lagi baru-baru ini, rakyat Iceland berjaya menghalau pemimpin kerajaan yang menyembunyikan kekayaan di luar negara. Ini membuktikan bahawa kuasa rakyat yang berorganisasi dari bawah amat berkesan untuk melawan rejim kapitalis yang menghisap titik peluh rakyat biasa seperti parasit. Hanya dengan gerakan rakyat dari bawah, kita dapat selamatkan masyarakat kita daripada terus dihancurkan oleh kapitalis yang parasitik.

Perubahan sistem diperlukan

Apa yang dibongkar dalam Kertas Panama itu bukannya sesuatu yang baru. Namun, sekali lagi melalui pendedahan maklumat yang berjumlah begitu besar ini, dibuktikan bahawa sistem kapitalis global pada hari ini hanya terus membiak golongan parasit yang membolot kekayaan melalui pemerasan ke atas rakyat bawahan dan menyembunyikannya di luar pesisir untuk mengelakkan diri daripada cukai. Rakyat yang dihimpit dengan masalah gaji rendah dan kos hidup semakin tinggi, terpaksa pula membayar cukai regresif seperti GST hanya kerana kerajaan kita gagal menghalang pengelakan cukai daripada golongan maha kaya.

Dengan pengelakan cukai melalui syarikat di luar pesisir yang didirikan di tempat-tempat berlindung cukai di seluruh dunia, golongan yang kaya menjadi lebih kaya lagi kerana mereka tidak perlu bayar cukai, malahan rakyat miskin menjadi lebih miskin kerana kerajaan kehilangan sumber pendapatan untuk membangunkan perkhidmatan awam untuk semua. Kita perlukan struktur percukaian yang baru untuk menangani masalah pengelakan cukai di peringkat antarabangsa, namun perjanjian-perjanjian perdagangan seperti TPPA langsung tidak menyentuh tentang usaha sebegini sebaliknya akan menggalakkan lagi aktiviti pengelakan cukai oleh golongan korporat.

Sekiranya kita tidak menangani masalah pengelakan cukai, jurang kekayaan akan semakin melebar dan bakal mengundung lebih banyak krisis yang serius. Pengelakan cukai perlu dibendung dan golongan korporat yang menyembunyikan kekayaan harus dihukum. Kita perlukan satu sistem percukaian progresif yang mencukai lebih tinggi ke atas golongan kaya dan korporat, supaya kita dapat mewujudkan sistem kesihatan dan pendidikan yang percuma untuk semua.

Ini hanya dapat dilakukan dengan mewujudkan sistem ekonomi yang baru, iaitu sistem ekonomi yang berasaskan kesejahteraan rakyat biasa bukannya keuntungan korporat besar. Untuk melakukan perubahan sistem sedemikian, kita perlu teruskan usaha membina kuasa rakyat dan berjuang.

One thought on “Pembongkaran Kertas Panama: Kapitalis global sembunyi kekayaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *