Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh Sivarajan Arumugam

Begitu ironinya keadaan para pekerja yang bekerja di premis sekolah, bangunan hospital dan jabatan-jabatan kerajaan yang lain. Mereka bekerja setiap hari di bawah bumbung bangunan kerajaan, tetapi malangnya gagal dilindungi oleh Kerajaan kita sendiri.

Siapakah mereka ini? Mereka ialah para pekerja pembersihan bangunan kerajaan dan juga pengawal keselamatan di sekolah-sekolah, hospital-hospital kerajaan, Kementerian-kementerian, jabatan-jabatan kerajaan dan agensi-agensi kerajaan yang lain. Adalah dianggarkan seramai 230 ribu orang pekerja memberi perkhidmatan tersebut kepada premis kerajaan.

Sebelum pertengahan tahun 1990-an, semua pekerja pembersihan, tukang kebun dan pengawal keselamatan di premis bangunan kerajaan adalah penjawat awam kerajaan yang mempunyai jaminan kerja. Namun, sejak dasar penswastaan diperkenalkan oleh Perdana Menteri ke-4, Tun Dr. Mahathir, pada tahun 1996, sistem ini telah ditukar kepada sistem kontrak yang menghancurkan jaminan kerja.  

Sistem kontrak ini dimulakan bertujuan untuk mewujudkan golongan kontraktor Melayu, dengan hasrat meningkatkan penyertaan usahawan Melayu dalam bidang perniagaan dan sebagainya. Maka kesemua pekerja yang dahulunya bekerja secara langsung sebagai staf kerajaan disuruh untuk masuk bekerja di bawah syarikat-syarikat kontraktor ini dan meneruskan tugas mereka seperti biasa di premis yang sama.  

Kontraktor-kontraktor ini pula diberikan kontrak oleh unit perolehan jabatan kerajaan untuk satu tempoh tetap, biasanya 3 tahun. Selepas tamatnya tempoh 3 tahun, kontraktor tersebut akan membida semula tender tersebut . Jika syarikat lain yang berjaya memperolehi tender tersebut, maka para pekerja yang sama akan terus diserap masuk sebagai pekerja baharu di bawah kontraktor baharu ini.

Oleh itu, walaupun pekerja tersebut telah bekerja sebagai pekerja pembersihan bangunan sekolah, sebagai contohnya untuk tempoh 20 tahun, tetapi beliau akan dilayan sebagai pekerja baharu setiap 3 tahun, dan gaji dan kemudahan lain yang dinikmatinya kekal pada tahap pekerja baharu. Maksudnya beliau hanya dibayar gaji minimum walaupun telah bekerja lama. Tiada peningkatan gaji, kerana bagi setiap kontraktor mengupahnya sebagai pekerja baharu! Kelayakan cuti tahunan dan cuti sakit juga kekal sama sebagai pekerja baharu.

Selain itu, para pengawal keselamatan pula mengalami masalah lambat dibayar gaji, gaji dipotong tanpa sebab, penyelewengan dalam pengiraan upah kerja lebih masa, caruman KWSP, PERKESO dan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang tidak cukup, dan sebaginya.

Jika dilihat keadaan pekerja kontrak yang bekerja sebagai pembersih bangunan hospital kerajaan, mereka dilayan begitu teruk walaupun mereka ini adalah barisan hadapan (frontliner) yang melawan COVID-19. Pada ketika dunia kita sedang berjuang melawan pandemik COVID-19, Kerajaan pula enggan memberikan pengiktirafan kepada pekerja kontraktor ini sebagai “frontliner”.

Para doktor dan jururawat di hospital diiktiraf sebagai frontliner dan diberikan elaun khas sebanyak RM600 dalam pakej stimulus pandemik pada tahun 2020. Belanjawan 2021 juga ada peruntukan untuk elaun khas kepada mereka. Tetapi pekerja-pekerja kontrak pembersihan dan pengawal keselamatan di premis hospital kerajaan yang sama tidak diiktiraf oleh Kerajaan. Kerajaan mengamalkan diskriminasi terhadap golongan ini. Seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Mohd Redzuan Md Yusof, pernah berkata dalam Parlimen bahawa pekerja pembersihan hospital tidak akan diberikan bayaran “one-off” sebanyak RM300.

Tidakkah mereka sedar bahawa, sebelum dan selepas doktor atau jururawat merawat pesakit, pekerja pembersihanlah yang kena membersihkan tempat tersebut dan bagaimana pula mereka ini tidak layak diiktiraf sebagai frontliner padahal risiko yang dihadapi oleh mereka sama dengan doktor dan jururawat.

Inilah penindasan yang dialami pekerja akibat sistem kontrak ini. Demi menjadikan segelintir kaum Melayu sebagai usahawan Melayu, majoriti pekerja Melayu ditindas dan dirampas hak mereka.

Jelas sistem kontrak yang dipraktikkan ini bertentangan dengan Akta Kerja 1955 sendiri. Seksyen 11 Akta Kerja menyatakan bahawa, suatu kerja hanya boleh ditawarkan sebagai kerja tempoh tetap (fixed term contract) jika ianya kerja bermusim, spesifik dan tidak diperlukan selalu. Sebagai contohnya, kerja-kerja pembinaan atau penyelenggaraan yang akan selesai apabila pembinaan atau penyelenggaraan itu siap.

Tetapi kerja pembersihan bangunan premis kerajaan dan juga kerja kawalan keselamatan bangunan ini sentiasa diperlukan selagi bangunan ini masih berfungsi. Jadi, kenapa pula pekerja-pekerja ini diambil kerja sebagai pekerja kontrak khidmat tempoh tetap dan dicampakkan keluar apabila tidak diperlukan lagi?

Sistem kontrak ini hanya untuk menjaga kroni-kroni politik demi mengekalkan sokongan politik dan kewangan kepada kerajaan yang memerintah. Sistem ini membenarkan orang tengah, iaitu syarikat kontraktor, yang tiada kaitan dengan kerja dan tempat kerja untuk mengawal dan mentadbir pekerja. Orang tengah ataupun kontraktor-kontraktor ini melanggar undang-undang pekerjaan dan sering memangsakan pekerja, seperti gagal membayar caruman PERKESO, KWSP dan sebagainya.

Walaupun banyak aduan dibuat terhadap kontraktor-kontraktor yang menindas ini, tetapi mereka seolah-olah kebal dan terus berjaya memperolehi kontrak daripada Kerajaan. Jika disenarai hitam pun, mereka dengan mudahnya menggunakan syarikat kontraktor lain atas nama ahli keluarga mereka untuk meneruskan perniagaan dan membida untuk tender kerajaan.

Sistem kontrak yang diperkenalkan dahulu, sepatutnya mengurangkan kos bagi kerajaan apabila perkhidmatan sedemikian disumberkan luar. Maka kerajaan tidak perlu membayar pekerja dan menjaga kebajikan mereka.

Tetapi dalam tempoh 25 tahun kebelakangan ini, secara realitinya ianya menimbulkan lebih banyak kos kepada Kerajaan apabila banyak aduan pekerja terpaksa dikendalikan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) ataupun Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) kerana layanan kontraktor-kontraktor swasta ini terhadap pekerja mereka.

Justeru, sistem pengambilan pekerja secara kontrak akibat penyumberan luar perkhidmatan sokongan di premis kerajaan ini harus dihentikan. PSM mendesak agar Kerajaan terus menyerap pekerja-pekerja ini sebagai pekerja tetap kerajaan dengan segala perlindungan kemudahan yang dinikmati oleh penjawat awam lain. Penindasan hak pekerja secara tidak langsung oleh Kerajaan sendiri ini adalah amatlah ironik dan memalukan. Demi menjamin hak pekerja, ianya haruslah dihentikan segera.

===========

Sivarajan Arumugam ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *