Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh Sivarajan Arumugam

Parlimen baru-baru ini dikejutkan dengan kenyataan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan, yang berkata bahawa kejadian bencana alam yang berlaku di kawasan Gunung Jerai, Kedah, pada bulan lepas merupakan takdir Tuhan atau “act of God”. Isunya ialah ia bukan takdir Tuhan, tetapi perbuatan manusia yang “mempertuhankan” keuntungan dan kapitalisme itu.

Di sini mungkin ada yang akan berhujah bahawa bukan semua aktiviti manusia yang membawa kemudaratan kepada alam sekitar, tetapi hanyalah perbuatan segelintir manusia jahat yang “tamak” dan “rakus”. Kalau itu benar, kenapakah isu-isu pencemaran seperti perlombongan, pembalakan, pembersihan cerun, pembinaan hartanah di kawasan sensitif alam sekitar berulang-ulang, tanpa kesudahan walaupun adanya pelbagai undang-undang dan syarat-syarat seperti penilaian impak alam sekitar (EIA) yang perlu dipatuhi.

Laporan terbaru Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) dengannya jelas menunjukkan bahawa umat manusia yang bertanggungjawab ke atas pemanasan global yang meningkatkan suhu purata dunia melebihi 1.1 darjah celsius berbanding suhu zaman sebelum Revolusi Perindustrian di Eropah. Adalah dipercayai bahawa ia akan melepasi had 1.5 darjah celsius yang dimandatkan di bawah Perjanjian Paris yang diratifikasi oleh 175 buah negara. Justeru, tidak dapat dinafikan lagi bahawa iklim dunia berubah lebih ketara sekarang pada kadar yang tidak pernah berlaku dalam tempoh ratusan hingga ribuan tahun lalu sebelum ini. Walaupun spesies manusia telah melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi lebih 300,000 tahun dahulu, tetapi hanya dalam masa 200 tahun kebelakangan ini, kita memperlihatkan suatu perubahan iklim yang mendadak dan kemusnahan alam sekitar yang begitu teruk sekali.

Maka, daripada kita menyalahkan kesemua nenek moyang kita dari dahulu, ianya lebih sesuai untuk menfokuskan kritikan kita terhadap manusia moden kini yang “mempertuhankan” satu model ekonomi kapitalis yang secara nalurinya akan melakukan apa sahaja untuk mengaut keuntungan tanpa had.

Selagi tamadun manusia masih “mempertuhankan” model ekonomi kapitalis ini, secara sedar atau tidak, mereka pasti akan menjahanamkan alam sekitar dan semua aspek kehidupan yang perlu untuk umat manusia terus hidup sebagai satu spesies di dunia ini. Kemusnahan alam bukan sahaja khusus kepada mereka yang tamak haloba, tetapi kepada sesiapa yang menganuti kapitalisme ini. Kapitalisme bertentangan dengan hukum alam sekitar kerana:

A. Ekonomi yang sentiasa menuntut “pertumbuhan”

Ekonomi ini sentiasa menuntut “pertumbuhan”, pengembangan dan pengumpulan kekayaan tanpa had dalam konteks dunia yang mempunyai sumber yang terhad. Jika kapitalisme tidak perkembang, maka ianya akan tersungkur, begitulah nalurinya.

Walaupun kuasa produktif manusia zaman ini begitu cekap dari segi teknologi dan kapasiti pengeluarannya, sehingga dapat memenuhi keperluan manusia berlipat kali ganda, tetapi pemodal, pelabur dan tokoh-tokoh industri akan terus bersaing sesama sendiri untuk meningkatkan produktiviti lagi.

Isunya bukan produktiviti yang tidak cukup, tetapi pengagihan hasil pengeluaran ini kepada masyarakat. Keupayaan memperolehi kemudahan asas bukanlah berdasarkan kepada keperluan anda lagi, tetapi bergantung pada sama ada anda mempunyai wang ringgit untuk membelinya.

Jadi, sifat ekonomi yang “mempertuhankan” naratif bahawa ianya perlu berkembang dengan membina lebih banyak kilang, melabur di luar negara, meningkatkan bisnes, meningkatkan pulangan kepada pelabur, mendahului persaingan dan sebagainya, sudah tentu akan merentasi had-hadnya dan memberikan kesan negatif terhadap alam sekitar.

B. Sumber alam dijadikan sebagai komoditi, bukannya sumber asas untuk hidup

Kehancuran alam sekitar tidak dapat dielakkan jika kita “mempertuhankan” satu model ekonomi yang sentiasa mencari sumber alam seperti mineral, balak atau apa sahaja yang boleh dijadikan komoditi untuk dijual. Ianya mendorong manusia melihat warisan semula jadi sebagai aset percuma untuk dilombong, ditebang, disedut dan dirampas atas alasan ianya untuk keperluan manusia.

Tidakkah mereka sedar bahawa hutan dalam keadaan asal yang tidak tersentuh juga merupakan keperluan kepada kelangsungan kehidupan manusia? Kenapa hutan tidak dilihat sebagai penyedut karbon dioksida yang amat diperlukan sekarang untuk mengurangkan kesan gas-gas rumah hijau?

Kenapakah bukit dilhat sebagai sumber batu kuari dan bukannya sumber air sungai dan tadahan air yang memberikan kita air minuman?

Rasional songsang inilah yang menjadi pegangan manusia yang “mempertuhankan” kapitalisme ini .

C. Matlamat jangka pendek, kemusnahan jangka panjang

Tabiat pendukung kapitalisme ini berfokuskan pada melaksanakan aktiviti mereka dalam jangka masa pendek. Rasional mereka untuk melibatkan diri dalam apa jua bisnes ialah untuk mengaut keuntungan yang paling tinggi dalam jangka masa yang paling pendek. Masa yang panjang dilihat sebagai meningkatkan kos mereka dan ianya tidak berbaloi. Maka pengiat kapitalis biasanya gagal mempertimbangkan impak jangka panjang aktiviti ekonomi mereka. Kesan luaran (externalities) biasanya tidak termasuk dalam perkiraan model bisnes mereka. Ianya bukan bermaksud, mereka ini jahat ataupun tamak, tetapi mana-mana pihak yang melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi sedemikian terpaksa akur kepada “peraturan” kapitalisme ini. Jika tidak, maka kapitalisme tidak mendatangkan hasil yang sepatutnya, iaitu peningkatan dan pengumpulan keuntungan yang berterusan tanpa had.

Ini menyebabkan tatacara aktiviti kapitalis gagal melihat atau menjangkakan impak jangka panjang perlombongan, pembalakan, perindustrian dan sebagainya terhadap alam sekitar dan komuniti yang bergantung kepada alam sekitar tersebut. Walaupun mereka sedar bahawa sumber alam adalah terhad, tetapi ianya tidak menghentikan mereka daripada terus mengeksploitasi semaksimum yang mungkin sumber alam dengan kadar yang lebih cepat.

D. KDNK vs alam sekitar yang terhad

Walaupun kita menerima rasional bahawa semua negara berhak membangunkan ekonominya ke arah meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap tahun, terutamanya negara-negara sedang membangun pasca penjajahan, tetapi pertumbuhan juga dituntut oleh negara-negara yang dikategorikan sebagai sudah membangun.

Mantra “pertumbuhan KDNK” ini menjadi laungan global yang menguji keupayaan alam sekitar untuk mengadaptasinya.

Kesemua pemimpin negara yang membuat janji manis dalam persidangan antarabangsa untuk mengurangkan gas rumah hijau yang dilepaskan dari negara mereka, akan membuat komitmen yang sama kepada rakyat dan komuniti bisnes mereka untuk mengembangkan KDNK masing-masing.

Pertembungan antara desakan untuk terus berkembang dan realiti bahawa umat manusia berada di atas satu muka bumi yang terhad sumbernya ini sedang berterusan. Malangnya kebanyakan komitmen untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau ini dipinggirkan akibat desakan kapitalis yang lebih kuat suaranya menuntut pertumbuhan ekonomi.

E. Pentadbiran yang sehaluan dengan kapitalisme

Manusia yang mempertuhankan “kapitalisme” ini, memerlukan kerajaan dan semua cabang pentadbiran bersehaluan dengan misinya. Maka pihak eksekutif, iaitu kerajaan, kehakiman dan Parlimen haruslah mengubal undang-undang, menguatkuasakannya dan mempertahankannya selaras dengan kehendaknya. Oleh yang demikian, pelbagai pendekatan dilaksanakan agar minda pentadbiran sentiasa kekal pro-perniagaan dan mempertahankan serta menyokong aktiviti untuk terus mengumpul kekayaan dan keuntungan tanpa had.

Jadi, umat manusia yang “mempertuhankan” kapitalisme ini akan terus mempertahankan model ekonomi ini dan mengetepikan apa jua usaha untuk menawarkan satu model ekonomi dan sosial yang alternatif.

Kita perlu sedar bahawa, perubahan personaliti politik tidak akan membawa pembaharuan yang signifikan jika mereka juga “mempertuhankan” kapitalisme ini. Perubahan hanya akan menjadi kenyataan di tangan kuasa politik yang memahami sifat kapitalisme yang secara nalurinya menjahanamkan alam sekitar dan masa depan umat manusia dibumi ini.

Perjuangan menuntut satu ekonomi alternatif yang baharu ini sudah lama tercetus apabila rakyat yang terkesan dengan kehancuran alam sekitar ini bangkit dan lawan. Di seluruh dunia, kita menyaksikan rakyat membantah pencerobohan tanah adat mereka, pembalakan di hutan, pencemaran sungai, perampasan tanah pertanian, aktiviti perindustrian dan perlombongan yang mencemar persekitaran. Perjuangan ini jelas memaparkan kebenaran sifat ekonomi yang “mempertuhankan” kapitalisme ini gagal dan tidak serasi dengan alam sekitar dan keperluan rakyat terbanyak.

Paradigma model ekonomi harus beralih daripada yang berfokuskan keuntungan melalui komodifikasi sumber alam kepada model alternatif yang mampan. Sebuah ekonomi yang berasaskan keperluan asas masyarakat, pengagihannya adil, produktiviti yang sepadan dengan keperluan, boleh menjadi kenyataan jika kita menumpaskan kapitalisme ini dan membina ekonomi baharu yang melihat manusia sebagai sebahagian daripada alam sekitar dan bukan “tuan” kepadanya.

==========

Sivarajan Arumugam ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *