oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Biasanya, apabila seorang sosialis diminta untuk menjelaskan puncanya kemiskinan dalam masyarakat, dia akan merujuk pada formula yang dihurai oleh Marx dalam Das Kapital, iaitu: c + v + s = nilai penukaran (exchange value) sesuatu komoditi. Dalam formula ini,

   c = modal malar (harga kilang, mesin, barangan mentah, alat-alat, elektrik dan lain-lain lagi, yang semuanya dibeli daripada kapitalis yang lain pada harga sebenar barangan itu);

   v = modal boleh ubah yang merupakan gaji yang dibayar kepada pekerja; dan

   s = nilai surplus ataupun keuntungan yang diperolehi kapitalis itu daripada proses pembuatan tersebut.

Bagi Marx, s merupakan bahagian sumbangan pekerja kepada nilai komoditi yang tidak dibayar kepada pekerja tetapi diperas oleh kapitalis. Ini disifatkan oleh Marx sebagai “eksploitasi” terhadap pekerja.  

Analisis ini memang tepat dan proses “eksploitasi” di tempat kerja memang punca kekayaan (surplus) yang dinikmati oleh kaum kapitalis. Tetapi kita mesti mengambil kira 3 proses lain yang juga beroperasi dan menindas/menyusahkan para pekerja dan petani di Malaysia. Mereka adalah –

1. Proses pertama: Kewujudan kapitalis gergasi antarabangsa (Multinational Corporations, MNC) yang menganjurkan rantaian pembekalan barangan global (global supply chain) yang memeras kekayaan (surplus) daripada negara-negara sedang membangun.

Si gemuk di tengah-tengah ialah kapitalis antarabangsa (MNC) yang mewujudkan rantaian bekalan antarabangsa dengan menyumberkan luar pembuatan ke negara-negara sedang membangun. Dia memeterai persetujuan dengan kapitalis tempatan di mana MNC membekalkan mesin dan teknologi kepada kapitalis tempatan untuk mengeluarkan barangan tertentu. MNC melakukan ini kerana dia boleh memperolehi barangan yang dibuat di Bayan Lepas ataupun di Bandar Ho Chi Minh pada 1/8 (satu perlapan) harganya di kilang yang sama di California. Oleh kerana kos pembuatan barangan dapat dikurangkan tetapi harga jualan di pasaran di Amerika Syarikat dan Eropah tetap pada harga asal, MNC dapat melipatgandakan keuntungannya.

Jika kapitalis tempatan di Bayan Lepas mendesak untuk harga yang lebih munasabah bagi barangan yang dikeluarkannya, MNC akan mengugut untuk memindahkan tempahannya ke Vietnam. Dengan cara memainkan kapitalis tempatan antara satu sama lain, MNC boleh memastikan harga barangan itu tetap rendah.

Kapitalis tempatan pula mendesak Kerajaan Malaysia untuk kekalkan gaji minimum di paras yang rendah dan membenarkan kemasukan ratusan ribu pekerja migran supaya gaji pekerja dapat ditekan ke paras yang lebih rendah lagi supaya kapitalis tempatan dapat menikmati untung yang lebih besar sedikit. Tetapi hujah-hujah kapitalis tempatan berkisar kepada pentingnya Malaysia dapat bersaing dengan Vietnam dan Thailand untuk mendapat lebih banyak FDI (Foreign Direct Investment = pelaburan asing) lagi.

Fenomena ini, yang digelar sebagai “wage suppression” (penekanan gaji ke paras yang rendah), adalah sebabnya fenomena “kemiskinan bekerja” (working poor) di mana walaupun kaum pekerja dan petani kuat bekerja, pendapatan mereka sentiasa rendah dan mereka tidak dapat menyimpan wang untuk masa depan mereka. 

Pendapatan median dan min untuk pekerja di Malaysia

PEKERJAANGAJI MEDIAN [RM/BULAN]GAJI MIN [RM/BULAN]
Pekerja asas12741727
Pekerja pertanian, perhutanan, penternakan dan perikanan12911547
Pekerja perkhidmatan dan jualan13801926
Operator loji dan mesin16151918
Pekerja pertukangan dan bidang berkaitan15471891
Sumber: Labour Force Survey Report 2020, DOSM

[Jadual ini menunjukkan bahawa 50% daripada pekerja kilang di Malaysia (Nombor 4 dalam jadual) mendapat gaji yang kurang pada RM1,615 sebulan. Garis kemiskinan di Malaysia adalah RM2,206 sekarang.]

2. Proses Kedua: “Komodifikasi” keperluan asas

“Komodifikasi” adalah proses di mana keperluan asas yang dahulunya dapat disediakan oleh keluarga-keluarga dengan tenaga dan kebolehan mereka sendiri dijadikan komoditi yang terpaksa dibeli mereka di pasaran. Perumahan adalah satu contoh yang baik – pada tahun 1960-an hingga 1980-an, kebanyakan keluarga dari luar bandar yang datang ke bandar untuk mencari kerja dapat membina rumah papan mereka sendiri di atas tanah kosong di pinggiran bandar. Mereka memperolehi bahan-bahan pembinaan yang murah dan, dengan bantuan kawan dan saudara mara, mendirikan rumah di mana mereka dapat duduk dengan selesa. Yang penting sekali, mereka tidak berhutang kepada bank. Sejak pertengahan tahun 1980-an, ini tidak dapat dilakukan lagi. Semua tanah kerajaan yang kosong dilupuskan kepada agensi-agensi kerajaan seperti PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak).

Agensi-agensi ini (yang dikuasai oleh pemimpin politik di peringkat negeri) menjual tanah ini kepada pemaju swasta yang membina rumah dan menjual kepada rakyat. Orang awam terpaksa meminjam wang puluhan ribu ringgit untuk membeli rumah-rumah ini. Bayaran hutang ini biasanya menelan 20% hingga 40% daripada pendapatan keluarga itu dan berterusan untuk jangka masa 20 atau 30 tahun. Jadi, sebahagian besar daripada jumlah pendapatan keluarga-keluarga pekerja biasa diperas daripada mereka kerana mereka dipaksa meminjam wang daripada bank untuk memenuhi satu keperluan asas – perlindungan untuk diri dan keluarga. Pihak-pihak yang beruntung adalah pemaju swasta dan pengarah / pegawai eksekutif agensi kerajaan (seperti PKNP), pemimpin politik di peringkat negeri dan bank-bank yang mengutip bunga. Yang dimiskinkan adalah rakyat jelata yang terpaksa meminjam wang untuk memperolehi satu keperluan asas yang pada satu masa duhulu mereka dapat perolehi tanpa beban hutang.

Cerita “komodifikasi” berlanjutan lagi – apabila sebuah keluarga miskin menduduki rumah papan di pinggiran bandar, keluarga itu ada kesanggupan untuk menjemput seorang mak saudara yang memerlukan perlindungan untuk tinggal bersama – jika perlu, sebuah bilik kecil boleh disambung kepada rumah papan asal itu. Ini tidak boleh dilakukan dengan rumah pangsa yang diduduki sekarang. Sekarang orang tua itu terpaksa dihantar ke asrama warga emas dan caj bulanan sebanyak RM1,000 (ataupun lebih) harus dibayar. Ini adalah satu contoh lagi “komodifikasi” di mana kapasiti keluarga untuk menjaga ahli keluarga warga emas telah dirampas dan perkhidmatan itu terpaksa dibeli dalam pasaran.

Apabila seorang mak saudara duduk bersama keluarga, ibu kanak-kanak boleh keluar rumah untuk bekerja kerana orang tua di rumah boleh menjaga kanak-kanak ini. Apabila rumah terlalu kecil dan mak saudara tidak dapat duduk bersama, keluarga itu terpaksa menghantar anak kecil mereka kepada seorang penjaga kanak-kanak dan membayarnya untuk pekhidmatan itu. Suatu lagi contoh “komodifikasi”.

“Memagarkan harta awam” (Fencing up the commons)

Jadi, proses komodifikasi pelbagai keperluan dan perkhidmatan asas menambahkan kos hidup rakyat kita dan merunsingkan lagi tekanan ekonomi yang telahpun disebabkan oleh fenomena “penekanan gaji” (wage suppression).     

3. Proses ketiga: Sekatan pada pembayaran “gaji sosial”

Perjuangan kelas pekerja di negara-negara Barat pada abad ke-20 melalui kesatuan sekerja mereka telah mewujudkan parti-parti politik yang berpihak kepada para pekerja di negara-negara itu. Parti-parti sosial-demokratik ini telah memperjuangkan dasar-dasar sosial progresif supaya sebahagian daripada kekayaan negara diperolehi oleh kerajaan melalui cukai terhadap kaum korporat dan digunakan untuk mewujudkan jaringan keselamatan bagi semua rakyat dalam bentuk perkhidmatan yang disubsidi – pendidikan percuma sehingga kolej, perkhidmatan kesihatan percuma, rumah untuk disewa dengan harga yang murah kepada golongan pendapatan rendah (“council housing”), pencen warga emas sejagat, pembayaran sagu hati pengangguran dan sebagainya. Kesemua kemudahan ini digelar “gaji sosial” kerana ia merupakan perkongsian kekayaan negara dengan kaum pekerja bukan melalui gaji tetapi dalam bentuk subsidi untuk keperluan asas. Kaum kapitalis termasuk MNC besar yang bertapak di negara-negara Barat terpaksa akur kepada dasar-dasar ini pada tahun 1950-an hingga tahun 1980-an kerana pada zaman itu, Perang Dingin berlangsung dan MNC tidak mempunyai pilihan menyumberkan luar produksi ke mana-mana negara lain.

Tetapi dengan kemenangan kuasa Barat dalam Perang Dingin pada lewat tahun 1980-an dan pemilihan strategik negara China dan Vietnam untuk menyertai ekonomi kapitalis antarabangsa dan membuka ekonomi mereka kepada pelaburan asing, situasi ekonomi antarabangsa telah berubah dengan pantas. Pendapatan kerajaan-kerajaan Barat daripada cukai korporat menurun kerana banyak syarikat memindahkan kilang-kilang mereka ke negara sedang membangun. Penyumberan luar kerja juga menghakiskan pendapatan pekerja biasa kerana ramai dalam kalangan mereka kehilangan kerja – jadi caruman mereka kepada skim-skim sosial pun berkurangan. Oleh kerana dua proses ini, kebolehan fiskal kerajaan untuk meneruskan dengan skim-skim jaringan sosial di banyak negara Barat telah disekat. Di beberapa buah negara Eropah, caj tambahan dikenakan terhadap rawatan di hospital (co-payments), dan/atau pendidikan percuma di peringkat tertiari digantikan dengan skim pinjaman pelajar, dan/atau umur kelayakan untuk menerima pencen warga mas ditingkatkan dari 60 tahun ke 65 atau 67 tahun.  

Perkara yang serupa juga berlaku di rantau Asia Tenggara. Cukai korporat di Malaysia telah dikurangkan daripada 40% keuntungan para korporat pada tahun 1980-an ke 24% sahaja sekarang. Ini kerana kita terlibat dalam satu perlumbaan ke bawah (race-to-the-bottom) dengan negara-negara ASEAN lain dalam merebut pelaburan asing (FDI) – cukai korporat di Thailand adalah 19% keuntungan dan di Singapura 18% sahaja. Jadi, amat susah untuk Malaysia meningkatkan cukai terhadap pihak korporat ataupun kaum terkaya di masyarakat secara perseorangan.

Oleh kerana ini, pendapatan Kerajaan Persekutuan Malaysia telah kurang daripada 21.4% KDNK (Keluaran Kasar Dalam Negara) pada tahun 2012 kepada 15.4% KDNK pada tahun 2019. Sesebuah negara memerlukan dana yang mencukupi untuk memperkembangkan skim perlindungan sosial. Malangnya, banyak negara menghadapi masalah kewangan dan mempunyai hutang yang besar. Kerajaan Persekutuan Malaysia pada takat ini menanggung hutang sebanyak RM910 bilion ataupun 60.7% daripada KDNK negara, dan kena membayar bunga sebanyak RM36 bilion setiap tahun. Jadi, Malaysia menghadapi sekatan dalam usaha memperluaskan jaringan perlindungan sosial untuk rakyatnya.

Peratusan hasil pendapatan kerajaan berbanding KDNK telah mengalami kemerosotan sejak tahun 2012.

 Apakah poinnya?

Artikel ini telah mendedahkan empat proses utama yang menyebabkan tekanan ekonomi terhadap rakyat:      

  1. eksploitasi di tempat kerja;
  2. “penekanan gaji”(wage suppression) kerana dibuli oleh MNC gergasi;
  3. komodifikasi keperluan asas; dan
  4. sekatan terhadap keupayaan kerajaan untuk memperkembangkan gaji sosial.

Sesiapa yang ingin meringankan beban ekonomi yang ditanggung oleh rakyat biasa mesti memahami faktor-faktor utama yang memiskinkan rakyat kita. Malangnya, ramai penganalis di Malaysia telahpun dikelirukan oleh pihak Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Kedua-dua agensi ini memesongkan isu sebenar dengan berhujah bahawa “produktiviti” pekerja kita rendah dan bahawa kita harus menumpukan kepada latihan pekerja. Pakar-pakar ini (yang merupakan jurucakap MNC) menasihatkan negara seperti Malaysia untuk lebih mesra kepada  perniagaan dan meteraikan lebih banyak Perjanjian Perdagangan yang berpihak kepada MNC.

Usaha Bank Dunia dan IMF yang memperbodohkan kita harus didedah. Kita harus mengkaji secara lebih mendalam untuk memahami siapa yang mengaut keuntungan daripada hasil peluh pekerja dan petani kita. Kita mesti mengenalpasti pihak-pihak yang melakukan pemerasan terhadap rakyat kita dan cara-cara mereka melakukannya. Barulah kita dapat mengaturkan strategi jangka masa pendek dan panjang untuk mengatasi setiap satu kekangan yang wujud.

Marilah berkerja bersama kita untuk mewujudkan satu masyarakat yang lebih adil dan harmoni.

Salam perjuangan!

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

4 thoughts on “Apakah punca-punca sebenar kemiskinan di Malaysia?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *