Mesej Hari Kemerdekaan 2021 oleh Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK)
Menjelang ulangtahun ke-64 kemerdekaan negara kita daripada penjajah British, golongan pekerja negara kita sedang giat melawan penjajahan COVID-19. Dalam keadaan di mana ramai golongan pekerja yang tersungkur sedang cuba memulakan langkah baru untuk membaik pulih keadaan ekonomi masing-masing, pekerja barisan hadapan seperti doktor, jururawat dan tukang cuci terus berkhidmat dengan gigih walaupun pelbagai halangan muncul berpunca dari dalam negara kita sendiri.
64 tahun selepas merdeka, tiada lagi rakyat Malaysia yang diacukan senjata atau terpaksa mengangkat senjata untuk mempertahankan maruah diri. Tetapi ingin kami bertanya, adakah pekerja kontrak kerajaan seperti tukang cuci, tukang kebun dan pengawal keselamatan benar-benar merdeka? Apakah bentuk penjajahan yang masih perlu ditempuhi mereka dalam kehidupan mereka hari ini?
Mereka masih dirantai oleh sistem kontrak yang terus membelenggu mereka dalam kemiskinan. Belenggu penghambaan yang menindas mereka masih wujud. Rantai-rantai ini menghalang mereka daripada menikmati sebarang kenaikan gaji, jaminan kerja, cuti sakit. Malah, hasil titik peluh mereka disedut oleh parasit-parasit yang mengambil kesempatan ke atas kepincangan sistem pengupahan secara kontrak, memangsakan pekerja yang bekerja keras dan ikhlas hanya untuk menyara kehidupan.
Pekerja masih belum menikmati kemerdekaan sebenar, selagi belum bebas daripada kemiskinan yang disebabkan sistem kontrak! Sempena ulangtahun kemerdekaan ini, diharapkan golongan pekerja dapat sedar bahawa kemerdekaan sebenar mesti dituntut oleh golongan yang diperhambakan, dan golongan penjajah tidak akan memberi semula kemerdekaan selagi yang dipijak belum bersatu untuk bangun melawan.
#HapusSistemKontrak
#JaminanKerjaHakSemua
#CleanerJugaFrontliner