Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh Gandipan Nantha Gopalan

Malaysia telah mencecah lebih 9,000 kes kematian akibat COVID-19 pada 2 Ogos 2021. Kematian yang dicatatkan pada setiap hari adalah implikasi langsung kegagalan kerajaan dalam mengawal pandemik ini. Ia menyedihkan apabila pihak kerajaan tidak ambil peduli langsung tentang sosio-ekonomi keluarga yang mempunyai kematian akibat COVID-19.

Pemuda Sosialis masih berpegang teguh dengan 5 tuntutan yang kami sarankan sejak bulan Januari 2021:

  • Moratorium hutang automatik kepada semua B40 dan M40 tanpa faedah. Kita dapat lihat bank-bank komersial mengaut keuntungan berjuta-juta atau berbillion-billion ringgit walaupun dengan pandemik yang aktif dan pendapatan rakyat merosot.
  • Pendapatan Asas Sejagat yang diubahsuai (‘Modified UBI’) kepada rakyat yang telah kehilangan punca pendapatan agar rakyat dapat memenuhi keperluan asas mereka.
  • Moratorium sewa tempat tinggal melalui kerangka undang-undang untuk memastikan rakyat yang mengalami kesusahan tidak kehilangan tempat tinggal mereka. Tuntutan ini juga selari dengan tuntutan Jaringan Beku Sewa yang terdiri daripada pelbagai organisasi termasuklah Parti Sosialis Malaysia (PSM).
  • Program sokongan untuk menyerap penganggur belia sebagai pekerja sosial kerajaan sepanjang tempoh masa pandemik ini. Kita dapat melihat bentuk pelaksanaan program ini melalui program sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) kebelakangan ini. Program ini harus dibesarkan supaya bantuan kerajaan dapat sampai kepada rakyat dan keperluan rakyat dapat dikemukakan kepada pihak kerajaan.
  • SOP yang jelas dan implementasi yang sama rata.

5 tuntutan ini akan membantu rakyat Malaysia untuk mengharungi wabak pandemik ini. Namun, persoalan di sini adalah sama ada kehidupan akan kembali kepada normal selepas pandemik ini. Apakah nasib keluarga yang telah kehilangan anggota keluarga yang merupakan punca pendapatan yang tunggal? Kita perlu ingat bahawa wabak ini bukanlah akibat daripada kesalahan rakyat.

Sebagai contoh, pasangan A dan B dengan tanggungan seramai 2 orang anak dan berpendapatan bulanan sebanyak RM5,000 hasil daripada pendapatan pasangan A dan B. Ini adalah pendapatan yang ‘cukup makan’ sahaja sebenarnya. Kalau salah seorang daripada pasangan meninggal dunia akibat wabak, apakah nasib keluarga tersebut? Adakah A/B boleh menjaga dan memastikan keperluan tanggungan dipenuhi hanya dengan RM2500? Ini adalah contoh yang mungkin sesebuah keluarga M40 hadapi hari ini. Bagaimana pula B40?

Pemuda Sosialis berpendapat bahawa perlu adanya program sokongan untuk kejadian sebegini supaya akses rakyat kepada keperluan asas seperti pendidikan, kesihatan, perumahan, air, makanan, elektrik dan internet tidak terjejas. Hujah bahawa duit KWSP boleh digunakan tidak lagi relevan dengan 71 peratus daripada ahli aktif dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam simpanan mereka. Parah lagi akibat skim i-Sinar.

Pemuda Sosialis ingin mencadangkan beberapa pendekatan yang kerajaan perlu ambil untuk perhatian kerajaan dan juga untuk wacana rakyat:

  • Nyahaktifkan hutang PTPTN/HRDF supaya anak muda tersebut tidak perlu mengeluarkan duit untuk membayar balik hutang malah dapat menggunakan duit untuk memenuhi keperluan sendiri/keluarga.
  • Mengambil alih kos pendidikan anak muda yang terlibat sekiranya pendidikan tertiari diteruskan di institusi awam.
  • Bantuan kewangan sekiranya mempunyai kanak-kanak di sekolah supaya dapat memenuhi keperluan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan buku/alat tulis. Ia akan memastikan pendidikan kanak-kanak di sekolah tidak terjejas.
  • Rebat kos elektrik/air/internet sehingga mereka mencapai tahap tertentu yang memberi mereka kapasiti kewangan untuk membayar kos penuh. Paras kapasiti ini boleh ditentukan oleh kerajaan mengikut kes.
  • Pekerjaan kerajaan atau pekerjaan jaminan kerajaan sekiranya keluarga tersebut mempunyai penganggur yang sedang mencari peluang pekerjaan.
  • Mengambil alih kos bayaran insuran kesihatan swasta terutamanya sekarang apabila hospital-hospital kerajaan melimpah dengan kes-kes COVID-19. Ini akan memastikan rakyat kekal sihat dan mendapat rawatan yang secukupnya.

Pemuda Sosialis mengikuti sandiwara yang berlangsung di parlimen dan berpendapat bahawa kita sebagai rakyat perlu mempunyai naratif dan pandangan kita sendiri terhadap isu yang berlaku sekitar kita. Ahli-ahli parlimen yang bukan daripada kerajaan mungkin akan beretorik ‘sosialis’ tetapi tidak mempunyai cadangan-cadangan polisi yang kukuh. Kerajaan pula kerajaan yang gagal. Sekurang-kurangnya, kita sebagai rakyat harus mewujudkan perbincangan tentang polisi ekonomi progresif untuk ahli-ahli politik mengambil dan berbahas nanti. Sebagai contohnya, moratorium sewa tempat tinggal dapat kita lihat sedang dicadangkan oleh rakyat dan dicadang oleh parti-parti politik baru-baru ini.

==========

Gandipan Nantha Gopalan ialah Setiausaha Pemuda Sosialis PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *