Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh Karthiges Rajamanickam

Penduduk rumah pangsa PPR (perumahan awam) sering mengalami banyak masalah, terutamanya isu penyelenggaraan kemudahan awam serta pengurusan sisa buangan. Kebanyakan rumah pangsa PPR adalah di bawah kelolaan Majlis Perbandaran. Flat PPR Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan. Oleh kerana ianya tidak diselenggara dengan sempurna, ada banyak unit kosong dan kadang-kadang kawasan awam pula agak gelap keranan pencerahan yang kurang dan lampu-lampu taman yang rosak. Maka ianya mewujudkan keadaan yang tidak sihat dan PPR sering menjadi sarang penumpuan masalah sosial. Masalah rumah pangsa PPR kini semakin parah pada masa pandemik COVID-19, apabila rakyat diminta duduk di rumah. 

Masalah yang biasa diadu oleh penduduk PPR ialah kerosakan lif, penyelenggaraan sampah, pengurusan kumbahan najis serta penjagaan lampu koridor, lampu di tangga dan di jalan. Kerja membaiki kerosakan dilambat-lambatkan dan seringkali, kerja pembaikan yang dilakukan selepas aduan, oleh kerana tidak dilakukan dengan sempurna, ianya rosak semula. Masalah yang sama berbangkit semula selepas beberapa ketika dan pihak penduduk terpaksa naik turun semula pejabat kerajaan untuk membuat aduan dan permohonan.

Masalah terbesar adalah kekurangan dana yang diperuntukkan. Biasanya penghuni flat PPR membayar sewa bulanan antara RM124 hingga RM250 kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Malangnya dana yang diperuntukkan oleh PBT untuk membaiki kerosakan dan menyelenggara flat PPR tidak mencukupi.

PSM menggesa Kerajaan supaya mengambil berat terhadap isu penyelenggaraan flat-flat PPR. Pertama sekali, PSM mendesak agar dana untuk pengurusan rumah-rumah pangsa PPR harus dipertingkatkan. Majlis-majlis tempatan seperti DBKL, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) merupakan antara PBT yang terkaya di Malaysia. Tetapi pada masa kini, dana yang dibelanjakan bergantung kepada kutipan yang dapat dikumpul daripada penyewa. Kadar kutipan tidak mencukupi untuk membayar kos-kos penyelenggaraan yang utama seperti kerosakkan lif yang biasanya memakan belanja yang besar. Tambahannya pula dana tambahan tidak kesampaian daripada PBT ataupun Kerajaan Negeri.

Masalah kedua adalah kebanyakan kontrak yang diberikan kepada syarikat yang dipersoalkan keupayaan mereka. Sepertimana yang diberitahu oleh penduduk PPRT Taman Wahyu 2 di Selayang, lif mereka baru diperbaiki tiga tahun yang lalu tetapi kini kembali rosak. Kontraktor bermasalah ini, iaitu Dover Elevators (M) Sdn Bhd, juga menyelenggara lif di PPR Kerinchi. Malangnya lif di PPR itu telah jatuh pada 2019 menyebabkan kecederaan penghuni. Tujuh tahun sebelum kejadian ini, aduan telah dibuat terhadap Dover Elevators, tetapi malangnya, syarikat ini masih dikekalkan sebagai kontraktor penyelenggara lif. 

Oleh itu, Kerajaan harus memastikan dana yang diperuntukkan tidak dibazir dalam pengambilan kontraktor bermasalah yang tidak mampu memberi perkhidmatan yang berkualiti tinggi. Seolah-olah adanya tangan ajaib yang selalu mempertahankan syarikat bermasalah sebegini dan seringkali, mereka mendapat semula kontrak. Syarikat sebegini harus disenaraihitamkan sebagai kontraktor yang bermasalah. Tindakan tegas sebegini akan memberi pedoman dan ajaran kepada kontraktor lain untuk tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan.

PSM juga mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pemantauan Flat Kos Rendah termasuk PPR di peringkat setiap negeri untuk memantau kualiti penyelenggaraan flat-flat kos rendah. Jawatankuasa pemantau ini harus dianggotai oleh wakil penduduk, kerajaan tempatan, ADUN dan NGO yang berkaitan. Jawatankuasa ini harus membentangkan laporan kepada Dewan Undangan Negeri setiap tahun mengenai pengurusan flat kos rendah. Ketiadaan proses semak dan imbang sebegini adalah antara punca utama kelemahan pengurusan flat.

Rumah PPR ialah tempat berteduh rakyat biasa yang tidak mampu membeli / menyewa rumah di pasaran swasta. Kepincangan sistem pengurusan dan penyelenggaraan flat PPR yang wujud sekarang harus ditangani dengan segera oleh pihak berkuasa. Rakyat marhaen yang tinggal di PPR pula harus menggembleng tenaga untuk memantau dan membaiki kelemahan-kelemahan yang wujud.

Hidup Kuasa Rakyat.

=========

Karthiges Rajamanickam ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Perumahan PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *