(foto: Johan Ordonez / AFP via Getty Images)

Ribuan rakyat Guatemala telah berdemonstrasi sejak 29 Julai 2021 di tempat-tempat yang berlainan di negara itu untuk menuntut perletakan jawatan Alejandro Giammattei sebagai Presiden Guatemala.

Gelombang protes yang tercetus di Guatemala baru-baru ini, merupakan protes terbesar di negara Amerika Tengah tersebut sejak bulan November 2020. Pada 21 November 2020, protes jalanan tercetus di Bandar Guatemala, ibu negara itu, dan juga bandar-bandar lain untuk membantah kelulusan belanjawan yang mengurangkan perbelanjaan untuk pesakit COVID-19 dan agensi hak asasi manusia. 8 bulan kemudian, rakyat Guatemala turun ke jalanan sekali lagi untuk membantah penglibatan pegawai-pegawai kerajaan dalam skandal korupsi dan kegagalan kerajaan menangani pandemik COVID-19.

Para demonstran yang beraksi di jalanan menggesa perletakan jawatan Presiden Alejandro Giammattei yang berhaluan kanan, anggota-anggota kabinetnya dan juga Peguam Negara. Mereka menuntut pembasmian korupsi yang berleluasa di negara itu dan juga dasar yang komprehensif untuk menangani pandemik COVID-19. Setakat 4 Ogos 2021, kes jangkitan COVID-19 yang terkumpul di Guatemala telah melebihi 370,000 di negara yang mempunyai jumlah penduduk lebih kurang 17 juta itu sementara kes kematian telah mencecah 10,524.  

(foto: Nelton Rivera / Prensa Comunitaria)

Satu aksi mogok besar-besaran telah diadakan pada 29 Julai 2021, dengan ribuan rakyat Guatemala, termasuk masyarakat orang asal, pelajar-pelajar dan anggota-anggota kesatuan sekerja telah bermobilisasi di merata tempat di negara itu. Di Bandar Guatemala, para demonstran berarak dari Universiti San Carlos ke bangunan Kongres, Rumah Presiden dan bangunan kementerian di ibu negara itu. Di luar Bandar Guatemala, demonstran juga mendirikan sekatan jalan untuk berprotes. Adanya demonstran yang mengadakan aksi duduk bantah di sepanjang Lebuhraya Antara-Amerika.

Rakyat Guatemala juga menolak keputusan Peguam Negara, Maria Consuelo Porras, yang memecat Juan Francisco Sandoval daripada jawatan Ketua Pejabat Pendakwaraya Khas Terhadap Kekebalan (FECI). Sandoval telah mengetuai penyiasatan terhadap dakwaan penyelewengan dalam pemerolehan vaksin COVID-19 dan bekalan perubatan. Ramai berpendapat bahawa pemecatan tersebut merupakan tindakan untuk melindungi kepentingan golongan berkuasa dan meneruskan amalan korupsi serta kekebalan dalam kalangan elit pemerintah.

Organisasi-organisasi masyarakat orang asal di Guatemala juga menekankan semula tuntutan mereka untuk pembentukan sebuah negara yang plurinasional.

Guatemala diperintah oleh kerajaan berhaluan kanan yang silih berganti sejak tahun 1954 selepas satu kudeta tentera yang disokong oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat. Kerajaan berhaluan kiri hanya dibentuk pada tahun 2008-2012 selepas Álvaro Colom daripada “Perpaduan Harapan Nasional” (UNE) menang dalam Pilihanraya Presiden 2007, tetapi kuasa pemerintahan kembali ke dalam tangan parti politik berhaluan kanan pada tahun 2012. Protes rakyat menentang amalan korupsi golongan berkuasa sering berlaku di negara itu. Presiden Guatemala sekarang, Alejandro Giammattei, mula berkuasa sejak 14 Januari 2020 selepas menang dalam Pilihanraya Presiden 2019 sebagai calon yang mewakili Vamos, sebuah parti konservatif yang disertai oleh sesetengah bekas pemimpin tentera yang terlibat dalam jenayah perang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *