SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN – 23 APRIL 2021: Penduduk-penduduk Ladang Kirby mengadakan aksi protes dan menyerahkan surat bantahan mereka kepada Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan pada hari ini, untuk menyatakan bantahan mereka terhadap cadangan yang memaksa mereka berpindah ke penempatan rumah pangsa sementara tanpa sebarang rundingan dan persetujuan daripada penduduk-penduduk ladang tersebut.

Turut hadir bersama semasa penyerahan surat bantahan ialah P. Shanmugam, wakil penduduk Ladang Kirby, dan juga aktivis-aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) Seremban, R. Vijaya Gandi dan S. Tinagaran.

Surat yang ditujukan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, daripada 20 buah keluarga bekas pekerja Ladang Kirby tersebut, menyatakan bahawa penduduk-penduduk Ladang Kirby dengan sebulat suaranya menolak cadangan yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Sembilan dalam surat bertarikh 9 April 2021, tanpa sebarang rundingan dengan pihak penduduk dan persetujuan mereka, iaitu memindahkan mereka ke Rumah Pangsa Wangsa Delima (atau juga dikenali sebagai Flat Lobak) yang berjauhan dengan tempat tinggal mereka sekarang, dengan tujuan menggosongkan tanah di Lot PT 45671, 45672, 45673, 45674, 45675, 45676 dan 45677 Mukim Labu, Daerah Seremban, iaitu di mana terletaknya Ladang Kirby.

Penduduk-penduduk Ladang Kirby pernah menghantar surat pada 10 Disember 2020 dan 12 Januari 2021 kepada pihak Menteri Besar Negeri Sembilan, untuk meminta satu temujanji dengan Menteri Besar, telah langsung tidak diendahkan dan tiada apa-apa maklum balas daripada Kerajaan Negeri Sembilan.

20 buah keluarga bekas pekerja ladang berkenaan telah menetap di kawasan Ladang Kirby selama 3 generasi. Kebanyakan mereka yang tinggal di dalam Ladang Kirby ini mempunyai pekerjaan di kawasan berdekatan pada masa kini. Keputusan Kerajaan Negeri Sembilan untuk memaksa penduduk-penduduk ini berpindah ke Rumah Pangsa Lobak yang jauh dari situ akan menjejaskan mata pencarian mereka di samping mengganggu rutin kehidupan harian mereka. Selain itu, kebanyakan keluarga ini mempunyai anak-anak dan cucu-cucu yang belajar di SJK(T) Ladang Kirby, maka pemindahan ini akan menyukarkan mereka dan meningkatkan kos penghantaran anak-anak murid ini ke sekolah mereka. Selain itu, terdapat juga isu-isu yang lain, seperti warga emas di kawasan ladang yang perlu menjalani pemeriksaan kesihatan susulan di klinik kesihatan di kawasan sekarang, dan tempat jagaan kanak-kanak untuk ibu bapa yang bekerja di mana sekarang ini mereka mempunyai jiran yang sudi menjaga anak-anak kecil.

Penduduk-penduduk Ladang Kirby berpendapat bahawa pemindahan yang hendak dilakukan oleh Kerajaan Negeri Sembilan ini, hanya merupakan langkah selesa untuk pihak syarikat Sime Darby dan juga Kerajaan Negeri yang mahu mengisi unit-unit rumah yang tiada penghuni di Rumah Pangsa Lobak. Tindakan ini mungkin dapat menjimatkan kos syarikat Sime Darby dan Kerajaan Negeri, tetapi langsung tidak mengambil kira aspek kebajikan bekas pekerja ladang di situ.

Penduduk-penduduk Ladang Kirby telah menyatakan bahawa mereka bersetuju dengan perumahan yang akan dibina untuk mereka di lokasi yang ditetapkan dan bersedia untuk berpindah keluar untuk membolehkan projek perumahan ini dijalankan, tetapi menolak cadangan yang memaksa mereka berpindah sementara ke Rumah Pangsa Lobak yang akan menimbulkan pelbagai kesulitan kepada mereka.  

Penduduk-penduduk Ladang Kirby juga mencadangkan beberapa tempat alternatif yang jauh lebih baik dan munasabah berbanding dengan cadangan yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri. Menurut penduduk-penduduk Ladang Kirby, Kerajaan Negeri boleh membina rumah sementara di kawasan yang bersebelahan dengan kuil ladang yang tidak akan terjejas oleh projek perumahan tetap ataupun memperbaiki rumah-rumah kosong yang sedia ada di situ untuk penempatan sementara, bukannya memindahkan mereka ke satu tempat yang jauh. Kerajaan Negeri juga boleh memindahkan penduduk-penduduk Ladang Kirby ke Ladang Labu yang berdekatan, dengan mengubahsuai rumah kosong yang sedia ada di situ. Cadangan alternatif daripada penduduk-penduduk Ladang Kirby ini tidak akan menjejaskan pekerjaan mereka dan Pendidikan bagi anak-anak mereka. Mereka menyeru pada Kerajaan Negeri supaya menggunakan kewibawaan politiknya untuk memastikan pihak syarikat Sime Darby menerima alternatif yang lebih baik daripada apa yang dicadangkan sekarang.

Selain itu, penduduk-penduduk Ladang Kirby juga menggesa supaya menyediakan perjanjian jual beli rumah (S&P) sebelum mereka berpindah keluar dari kawasan sekarang sebagai bukti janji bahawa rumah tetap akan dibina untuk mereka.

Penduduk-penduduk Ladang Kirby menegaskan bahawa mereka tidak akan berpindah keluar dari kawasan mereka sekarang, selagi isu-isu yang dibawa oleh mereka ini belum lagi diselesaikan. Oleh itu, mereka meminta pada Kerajaan Negeri Sembilan supaya mengadakan satu perbincangan bersama untuk menyelesaikan isu-isu ini dengan mempertimbangkan cadangan-cadangan daripada penduduk-penduduk Ladang Kirby secara serius.

2 thoughts on “Penduduk Ladang Kirby tolak penempatan rumah pangsa sementara yang ditawarkan tanpa rundingan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *