Prakata – oleh S. Arutchelvan

Perjuangan Ladang Kirby telah berlanjutan untuk lebih dua dekad setelah pekerja-pekerja di situ diberhentikan kerja. Mereka telah di satu pihak diugut dengan pengusiran paksa, dan di satu pihak lagi ditaburkan pelbagai janji seperti kerja gantian dan perumahan alternatif… Namun, janji ini biasanya datang pada musim pilihanraya dan tidak ditunai selepasnya.

Pekerja-pekerja Ladang Kirby yang enggan keluar dari estet telah memberontak dan melawan dengan cara mengadakan protes di hadapan pejabat Sime Darby dan juga pejabat Kerajaan Negeri Sembilan. Mereka juga membuat puluhan aduan polis, aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan puluhan rundingan. Setelah bertukar kerajaan, mereka masih berjuang untuk mendapatkan hak mereka.

Akhirnya, mereka mencapai satu kejayaan yang luar biasa. Mereka mendapat perumahan dengan harga yang sangat rendah, iaitu RM36,000 seunit, pada zaman harga rumah adalah dalam lingkungan RM300,000. Selain itu, mereka juga diberikan sewa sementara menanti rumah mereka siap dibina, dan pinjaman boleh dibuat secara sewa beli. Kemenangan yang paling besar adalah rumah akan dibina di tempat yang diduduki mereka sekarang, dengan kuil mereka kekal di tempat yang sama. Satu kejayaan yang memberangsangkan.

Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Negeri Sembilan sekarang, pihak MBI dan pihak pemaju kerana akhirnya menunaikan tuntutan para pekerja ini. Syabas kepada aktivis daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM), Jaringan Rakyat Terindas (JERIT) dan Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) yang bersama penduduk-penduduk Ladang Kirby untuk lebih dua dekad dalam pasang surut perjuangan ini. Akhirnya perjuangan mana-mana pekerja ladang tidak akan berjaya tanpa penglibatan aktif golongan pekerja dan kepimpinan mereka, untuk berani melawan sehingga saat kemenangan.

Ini adalah satu kemenangan signifikan untuk pekerja ladang dan kelas pekerja di seluruh negara. Titik peluh tiga generasi sebelum mereka tidak sia-sia sahaja.

**********

Sejarah Ladang Kirby

Ladang Kirby ini dari sejarah lisan telah wujud lebih kurang 100 tahun. Pada awalnya, pihak pengurusan ialah Sibil Estate,dan kemudian telah bertukar kepada Selatan Estate. Pada asalnya, ada lebih daripada 100 keluarga tinggal di Ladang Kirby/Carotina. Ladang ini juga mempunyai kuil, taman asuhan kanak-kanak, kelab sekolah dan kuil.

Pada tahun 2001, masalah mula timbul untuk pekerja-pekerja apabila ladang ini akan menjalani penanaman semula. Tetapi pekerja tidak sangka bahawa mereka akan diberhentikan kerja.

Majikan Selatan Estate Sdn Bhd (ejen pengurusan untuk Sime Darby Plantations) telah mengadakan mesyuarat dengan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang (NUPW) tempatan yang diketuai oleh Setiausaha Cawangan Negeri Sembilan, Narayanasamy, pada 25 April 2001.

Dalam mesyuarat tersebut, majikan mengatakan hanya akan membayar faedah pemberhentian kerja jika pekerja mengosongkan rumah. Gaji pula akan dikira pada purata 12 bulan terakhir. (Ini adalah apa yang diberikan secara minimum dalam Akta Pekerja 1955).

Sementara itu, NUPW meletakkan empat cadangan untuk pekerja-pekerja Ladang Kirby, iaitu mencadangkan purata gaji dikira dengan ambil 5 tahun terakhir, bayaran pampasan ex gratia RM300 untuk setiap tahun kerja, tanah untuk membina rumah bagi pekerja yang diberhentikan kerja, dan akhir sekali pekerja dibenarkan tinggal di ladang sehingga 31 Disember 2001. Namun, tiada sebarang keputusan dicapai dalam mesyuarat tersebut.

Pada 2 Mei 2001, majikan telah menyerahkan notis pemberhentian kerja yang bertarikh 1 Mei 2001 kepada 108 orang pekerja atas alasan ladang akan ditanam semula dengan kelapa sawit.

Pekerja-pekerja telah diberhentikan kerja dengan tipu muslihat, di mana pada awalnya majikan menyuruh pekerja untuk memohon balik kerja dan berjanji akan memberikan semula kerja di ladang jika berbuat demikian. Seramai 80 orang pekerja telah memohon, tetapi kesemuanya telah ditolak oleh pengurus ladang pada masa itu, Yoong Ching Pin. Malah, 120 orang pekerja asing dari Indonesia, Bangladesh dan India telah dibawa untuk bekerja di dalam ladang.

Untuk menyelesaikan masalah pekerja ini, maka pada 12 September 2001, Ahli Exco Kerajaan Negeri Sembilan pada masa itu, T. Rajagopalu, telah memanggil NUPW tempatan dan Sime Darby untuk satu mesyuarat. Sime Darby diwakili oleh Encik Fauzi dan NUPW diwakili oleh Encik Narayanasamy. Namun, tiada sebarang keputusan diambil tetapi Ahli Exco berjanji akan mengaturkan satu mesyuarat susulan.

2001-2004

Ahli-ahli Comunity Front (CF) yang merupakan sebuah kumpulan akar umbi kiri telah melibatkan diri dalam membantu gologan marhaen di Negeri Sembilan. CF mula melibatkan diri di Ladang Kirby pada tahun 2001 apabila dipanggil untuk membantu sebuah keluarga yang mengalami masalah bumbung rumah bocor. Vijaya Gandi dan Cecelia daripada CF telah membantu keluarga tersebut.

Pada bulan Ogos 2001, CF juga telah mengadakan sebuah Program Pendidikan PERINTIS untuk pelajar darjah 4 hingga 6 di Sekolah Tamil Ladang Kirby selama 1 minggu. Pada hari terakhir program tersebut, satu perjumpaan diadakan bersama wakil CF, Vijaya Gandi, dan para pekerja ladang. Pada ketika itulah para pekerja yang diketuai oleh K. Muniandy telah memberitahu berkenaan masalah pembuangan kerja, masalah perumahan yang dihadapi mereka dan mereka perlukan bantuan daripada CF kerana NUPW sudah cuci tangan.

Sejak itu, CF telah melibatkan diri dalam perjuangan perumahan Ladang Kirby/Carotina, dan diteruskan oleh Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Pada 15 September 2004, majikan Sime Darby telah menghantar notis pengosongan rumah dalam tempoh 14 hari kepada semua pekerja. Majikan juga mengugut akan menggunakan apa jua taktik, termasuk tindakan mahkamah untuk menghalau pekerja keluar dari rumah jika pekerja gagal berbuat demikian.

2004-2006

Semua pekerja telah mendapat satu notis daripada peguam Shearn Delomore & Co yang mewakili majikan Sime Darby pada 17 Ogos 2005, di mana pekerja hanya diberi masa sebanyak empat belas hari untuk keluar dari ladang dan jika tidak, majikan akan mengambil tindakan mahkamah.

Oleh sebab intimidasi majikan, pekerja-pekerja telah membuat aduan polis pada 2 September 2005 berkenaan notis pengosongan rumah dari peguam Shearn Delomore & Co.

Pada 16 Ogos 2006, Satu mesyuarat telah diaturkan oleh Sime Darby Plantations selepas mengetahui pekerja-pekerja akan turun ke pejabat mereka. Mesyuarat tersebut diadakan di Bilik Mesyuarat Ladang New Labu, antara Jawatankuasa Bertindak Pekerja Ladang Kirby/ Carotina (JBPLK/C) dengan pihak Pengurusan Sime Darby Sdn Bhd.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Haji Kamarul selaku Pengurus Ladang dan turut dihadiri oleh Encik Mohd Fauzi selaku wakil daripada ibu pejabat Sime Darby, serta wakil-wakil daripada JBPLK/C.

Antara tuntutan yang dikemukan oleh Jawatankuasa adalah:

  1. Rumah ganti kepada setiap keluarga atau tanah ganti di kawasan Ladang Kirby/Carotina
  2. Pampasan RM1,000
  3. Kuil di tempat yang sama
  4. Sehingga perumahan baharu dibina, pekerja menuntut supaya terus mendiami rumah kuarters ladang dengan segala kemudahan air, elektrik, pembersihan dan sebagainya diteruskan seperti biasa.

2007

Sekali lagi pada 17 April 2007, pekerja-pekerja mendapat notis daripada Sime Darby dengan kepala surat Sime Darby sendiri untuk mengosongkan rumah, manakala sebelum ini notis dihantar oleh peguam yang dilantik oleh Sime Darby.

Mulai 3 Mei 2007, Sime Darby telah mula merobohkan rumah-rumah kosong di Ladang Kirby. Pada 5 Mei 2007, Jawatankuasa Bertindak Pekerja Ladang Kirby/ Carotina (JBPLK/C) telah membuat aduan polis berkenaan perobohan rumah kosong oleh Sime Darby.

Pekerja-pekerja mendapat satu lagi notis pada 16 Jun 2007 daripada Sime Darby yang mengarahkan mereka untuk mengosongkan rumah sebelum 30 Jun 2007. Surat tersebut mengugut bahawa pihak Sime Darby akan ambil tindakan mahkamah jika pekerja gagal berbuat demikian. Sime Darby terus merobohkan rumah-rumah kosong.

Pada 12 Mac 2007, satu protes diadakan di hadapan Pejabat Sime Darby di Wisma Consplant Subang Jaya kerana Sime Darby tidak mahu mendengar tuntutan pekerja dan bertindak merobohkan rumah-rumah kosong. Sebanyak dua bas pekerja telah hadir ke pejabat Sime Darby.

Pada hari itu, satu perjumpaan diaturkan antara wakil pekerja K. Muniandy, Ramalingam dan Arutchelvan daripada PSM, bersama dengan Pengarah Urusan, En. Azahar Abdul Hamid, di mana Pengarah Urusan sama sekali telah menolak tuntutan-tuntutan pekerja dengan alasan Sime Darby tidak membuat sebarang projek perumahan mahupun menawarkan rumah kepada pekerja ladang.

Pada 25 Julai 2007, pekerja-pekerja telah pergi ke Bangunan SUK Negeri Sembilan untuk menyerahkan memorandum yang menyeru Menteri Besar Negeri Sembilan untuk mencampurtangan dalam menyelesaikan isu perumahan ganti bagi pekerja-pekerja Ladang Kirby. Walaupun sebelum itu isu tersebut sudah dibawa kepada perhatian Ahli EXCO Rajagopalu dan ADUN kawasan, namun tiada sebarang tindakan daripada pihak mereka dan Sime Darby pula tidak mahu melayan permintaan para pekerja. Justeru, pekerja-pekerja tidak ada pilihan lain selain menyeru Menteri Besar untuk menggunakan kewibawaan politiknya untuk membantu para pekerja.

Memorandum tersebut diterima oleh Ahli Exco Alam Sekitar, Sumber Manusia dan Pengaduan Awam pada masa itu, Peter Lai, bagi pihak Menteri Besar dan berjanji akan mengaturkan satu mesyuarat dengan Menteri Besar. Perjumpaan tersebut diadakan bersama wakil Jawatankuasa Bertindak Pekerja Ladang Kirby/ Carotina (JBPLK/C), K. Muniandy, Sivarajan dan Parames daripada JERIT.

Pada 29 September 2007, satu memorandum aduan telah diserahkan oleh wakil Jawatankuasa Bertindak Pekerja Ladang Kirby/ Carotina (JBPLK/C) kepada Pesuruhjaya SUHAKAM, Dato’ Sivasubramaniam, berkenaan isu perumahan, sikap Sime Darby dan Kerajaan Negeri Sembilan.

Susulan daripada insiden-insiden ini, pada 8 Oktober 2007, satu mesyuarat diadakan di Balai Raya Batu 9, Labu, Negeri Sembilan, di mana ADUN kawasan Dato’ Haji Mohd Shalan, peguam Encik Sharif dan Encik Sukumaran (seorang NGI yang kemudian menipu wang pekerja) serta seramai 150 orang pekerja telah menyertai mesyuarat ini. Mereka berjanji untuk mendapatkan tanah atau rumah di kawasan ladang dan memberikan nasihat guaman dengan percuma.

Pada 30 Oktober 2007, Pesuruhjaya SUHAKAM, Dato’ Sivasubramaniam, telah mengadakan lawatan ke Ladang Kirby susulan daripada aduan yang dibuat oleh pekerja-pekerja ladang di SUHAKAM. Satu mesyuarat telah diaturkan pada 20 November 2007 oleh SUHAKAM, di mana turut dijemput adalah pekerja-pekerja Ladang Kirby/ Carotina, Arutchelvan selaku wakil JERIT, Haji Kamarul selaku Pengurus Ladang dan Dato Shalan selaku ADUN Labu pada masa itu. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pesuruhjaya SUHAKAM, Dato Sivasubramaniam, tersebut telah mengetengahkan 3 perkara:

  1. Pekerja-pekerja Ladang Kirby/Carotina telah hidup sebagai sebuah komuniti untuk beberapa generasi dan jika mahu pindahkan mereka, ianya perlu dilakukan dengan cara yang baik, iaitu menyediakan semua keperluan mereka.
  2. Menyeru Sime Darby agar menghentikan perobohan rumah dengan segera.
  3. Sime Darby sedia membawa isu yang dibincangkan kepada pengetahuan majikan dan menawarkan 5 ekar tanah atau rumah seperti yang dijanjikan oleh Dato Rajagopal.

Disebabkan tiada apa-apa respon daripada pihak Sime Darby dan juga pejabat Menteri Besar, maka untuk kali ke-2 para pekerja telah berkumpul di hadapan Bangunan SUK Negeri Sembilan pada 27 Disember 2007 untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, namun malangnya Menteri Besar tidak ada di SUK, maka Saiful Mahadir bin Nordin selaku Pegawai Khas kepada Menteri Besar telah berjumpa dengan 5 orang wakil pekerja ( Muniandy, Shanmugam, Ravi, Jayabalan dan Segar), dan berjanji mengakan aturkan satu mesyuarat dengan Menteri Besar.

2008

Pada 4 Januari 2008, satu mesyuarat dipanggil oleh Datuk Rajagopalu di Wisma Negeri. Mesyuarat tersebut dihadiri oleh Arutchelvan selaku penasihat jawatankuasa dan 4 orang wakil Jawatankuasa Bertindak Pekerja Ladang Kirby/ Carotina (JBPLK/C), iaitu K. Muniandy, Thanam, Shanmugam dan Ramalingam.

Pada 12 Januari 2008, satu mesyuarat berjaya diaturkan bersama Menteri Besar Negeri Sembilan pada masa itu, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hassan. S. Arutchelvan daripada PSM dan E. Parameswary daripada JERIT tidak dibenarkan untuk turut serta dalam perjumpaan tersebut. Walau bagaimanapun, delegasi pekerja yang diketuai oleh K. Muniandy dan P. Shanmugam telah mengetengahkan tuntutan mereka untuk mendapatkan rumah dan kuil di tempat yang sama, pampasan yang adil serta 5 ekar tanah yang dijanjikan oleh Datuk Rajagopalu kepada penduduk.

Menteri Besar yang tidak begitu mengambil berat akan tuntutan mereka, hanya menawarkan rumah majlis perbandaran (town council house) di Senawang yang berpuluh-puluh kilometer jauh dari tempat asal mereka. Untuk isu 5 ekar tanah pula, Menteri Besar berkata bahawa ia adalah tanah Sime Darby Plantations dan pihak Kerajaan Negeri tidak boleh buat apa-apa. Ini menyebabkan para pekerja keluar dari rundingan sebagai tanda bantahan terhadap Menteri Besar yang tidak mahu memenuhi tuntutan mereka.

Walaupun keputusan Menteri Besar ini tidak memihak kepada penduduk, namun Menteri Besar kemudian berjumpa dengan Arutchelvan di luar Dewan di mana Arutchelvan membuat seruan kepada Menteri Besar dan akhirnya, Menteri Besar telah memberi jaminan kepada penduduk bahawa mereka tidak akan diusir keluar dan kuil tidak akan dirobohkan oleh Sime Darby Plantations.

2011

Pada bulan Mac 2011, pekerja-pekerja telah berkumpul di hadapan jalan utama masuk ke ladang, di mana pekerja-pekerja memegang sepanduk tuntutan, dan isu tersebut dilaporkan dalam suratkhabar Bahasa Melayu Sinar Harian dan surakatkhabar Bahasa Tamil Makkal Osai. Disebabkan tiada perkembangan dan tindakan daripada Pejabat Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Sembilan, maka pekerja-pekerja telah mengadakan protes ini untuk mendapatkan perhatian media.

Ekoran daripada protes pekerja, pada 28 Mac 2011, Ahli Exco Negeri Sembilan pada masa itu, Dato’ Hashim Rusdi, dan ADUN Kawasan Labu telah datang ke Ladang Kirby. Mereka memberi janji bahawa akan selesaikan isu Ladang Kirby. Pada 30 Mac 2011, Datuk Rajagopalu telah melawat Ladang Kirby ekoran daripada berita Makkal Osai, di mana Muniandy selaku wakil jawatankuasa telah menyatakan bahawa Datuk Rajagopalu tidak membantu perjuangan mereka walaupun isu ini sudah banyak kali dibawa kepada perhatiannya.

ADUN Senawang dan Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan pada masa itu, P. Gunasekaran, telah melawat pekerja Ladang Kirby pada 17 April 2011. Manakala, ADUN BN, Dato Hashim Rusdi, telah memberikan janji demi janji untuk mendapatkan tanah bagi pekerja ladang selepas memenangi PRU-12 pada tahun 2008 dan PRU-13 pada tahun 2013. Tetapi pergolakan politik negara telah menyebabkan Kerajaan BN tergugat, di mana barisan pembangkang mendapat sokongan yang kuat daripada rakyat. Justeru , apabila menghampiri PRU-14 pada tahun 2018, Kerajaan Negeri telah mula memberikan perhatian kepada isu pekerja Ladang Kirby.

Pada 1 Mei 2018, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Mohamad Hasan, telah mengumumkan pemberian rumah teres untuk 43 orang bekas pekerja Ladang Kirby dalam satu majlis perasmian Projek Perumahan Desa Sutra di Ladang Kirby. Akan tetapi, pada 9 Mei 2018, BN yang diketuai oleh Menteri Besar Negeri Sembilan pada masa itu Dato Seri Mohd Hassan kalah dalam PRU-14, dan Kerajaan Negeri Sembilan jatuh ke dalam tangan Pakatan Harapan.

2020

Satu kenyataan akhbar telah dikeluarkan oleh penduduk Ladang Kirby pada 11 Ogos 2020 dengan tajuk “setelah Pakatan Harapan mengambil alih Kerajaan Negeri, apakah sudah jadi dengan projek perumahan Ladang Kirby yang dijanjikan oleh kerajaan Barisan Nasional dahulu?”.

Pada 13 September 2020, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan melancarkan rumah mampu milik di Port Dickson. Jawatankuasa Penduduk Ladang Kirby menghadiri majlis ini. Kerajaan Negeri mengumumkan bahawa akan memberikan tawaran rumah dengan harga RM45 ribu kepada bekas pekerja Ladang Kirby.

Pada 26 November 2020, mesyuarat bersama Menteri Besar Incorporation (MBI), pemaju, Sime Darby, ADUN Labu Hj. Ismail dan penduduk Ladang Kirby diadakan di pejabat Sime Darby, Ladang Labu. Beberapa pengumuman telah dibuat seperti berikut:

  1. Tawaran rumah RM45 ribu
  2. Rumah ganti sementara
  3. Sewa untuk pindah rumah
  4. Projek rumah akan siap dalam jangka masa 2 tahun

Mereka yang hadir, termasuk wakil jawatankuasa seperti Shanmogam, Muniandy, Thanam, Sathasivam, Ravendran, Annamah, Paskaran, serta Jayapalan dan Gandi selaku wakil PSM.

Pada 5 Disember 2020, pekerja-pekerja Ladang Kirby menerima notis pengosongan rumah sebelum daripada MBI yang mengarahkan mereka keluar dari situ sebelum 28 Februari 2021. Oleh itu, pada 10 Disember 2020, Jawatankuasa telah menghantar surat kepada Menteri Besar, untuk mendapatkan temujanji supaya membincang isu-isu seperti berikut:

  1. Senarai nama bekas pekerja Ladang kirby yang ditawarkan dan hal berkaitan;
  2. Harga rumah yang ditawarkan dan subsidi perumahan untuk bekas pekerja ladang;
  3. Isu pengusiran dari rumah sedia ada dan rumah ganti sementara tunggu rumah tetap siap dibina;
  4. Kemudahan seperti kuil, dewan, padang dan lain lain.
  5. Perkara-perkara lain yang berkaitan dengan isu rumah.

2021

Pada 12 Januari 2021, pekerja-pekerja Ladang Kirby menghantar surat kedua kepada Menteri Besar untuk mendapatkan temujanji. Pada 6 Mac 2021, pemaju cuba untuk merobohkan rumah kosong di ladang. Penduduk-penduduk di situ telah menghentikan perobohan dan membuat aduan polis pada hari yang sama. Surat tawaran bersama notis telah diberi kepada penduduk Ladang Kirby oleh MBI pada 9 April 2021, di mana ia memberikan beberapa tawaran seperti berikut:

  1. Tawaran rumah RM45 ribu;
  2. Rumah ganti sementara di flat Lobak;
  3. Perlu kosongkan rumah sedia ada sebelum 1 Mei 2021.

Pada 23 April 2021, bekas pekerja Ladang Kirby bersama wakil PSM telah menghantar surat bantahan dan berprotes di hadapan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Surat dihantar kepada Pejabat Menteri Besar dan diterima oleh kerani Pejabat Menteri Besar. Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tiada pegawai atasan yang menerima surat tersebut.

Satu perjumpaan bersama antara Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, ADUN Labu Hj Ismail, Ahli Exco Perladangan Arulkumar, pemaju, MBI, Pegawai Unit Perancangan Perumahan Negeri, 20 orang wakil penduduk Ladang Kirby, wakil daripada PSM Gandi dan Tina, telah diadakan pada 30 April 2021, di mana beberapa keputusan telah diambil:

  1. Menteri besar menarik balik cadangan rumah sementara di flat Lobak;
  2. ADUN Labu dan pemaju akan mencari rumah sementara di kawasan berhampiran Ladang Kirby;
  3. Akan memberi surat tawaran atas nama setiap individu;
  4. Akan kaji semula harga rumah.

Susulan daripada perjumpaan itu, pada 29 Mei 2021, surat tawaran baharu telah diberikan kepada penduduk Ladang Kirby. Surat tawaran baharu menawarkan perkara seperti berikut:

  1. Harga rumah telah dikurangkan daripada RM45 ribu kepada RM36 ribu;
  2. Sewa rumah RM500 bagi 13 buah keluarga yang masih tinggal di ladang sehingga rumah ganti siap dibina;
  3. Rumah sementara perlu dicari sendiri oleh pekerja ladang.

Pada 8 Jun 2021, Sime Darby bersama PLUS Highway cuba untuk memotong bekalan air di ladang. Penduduk ladang dan wakil daripada PSM menghentikan pemotongan dengan bantuan Ketua Balai Polis Labu, Mohd Aris Bin Mohd Saleh.

Dengan itu, satu mesyuarat penting telah diadakan di Ladang Kirby untuk mengambil beberapa keputusan. Mesyarakat tersebut turut dihadiri oleh wakil PSM. Beberapa keputusan telah diambil, iaitu majoriti penduduk akan menerima tawaran harga rumah RM36 ribu, menerima sewa RM500 sehingga rumah ganti siap dibina dan akan berpindah keluar selepas menandatangani perjanjian jual beli (S&P).

Pada 21 September 2021, mesyuarat bersama MBI, pemaju dan wakil Jawatankuasa Ladang Kirby diadakan. Dalam mesyuarat tersebut, penduduk ladang telah memberitahu bahawa mereka setuju dengan tawaran baharu ini dengan syarat perlu menandatangani S&P. Pemaju mengatakan bahawa memang sukar untuk menyediakan S&P kerana terdapat beberapa proses yang belum dilaksanakan, namun berjanji akan memberikan “surat pengesahan jaminan” (letter of undertaking).

Shanmugam dan Gandi menghadiri mesyuarat bersama MBI untuk mengemaskini senarai nama pada 8 November 2021. Selepas itu, MBI mengeluarkan surat tawaran pada 24 November 2021, namun ia tidak lengkap dan banyak kandungan yang dibincang dan dipersetujui tidak dimasukkan.

Pada 14 Disember 2021, surat bantahan terhadap “surat pengesahan jaminan” telah dihantar kepada Pengarah MBI dan Menteri Besar. Pemaju cuba merobohkan rumah kosong pada 30 Disember 2021, tetapi berjaya dihentikan oleh penduduk dan aduan polis telah dibuat pada hari yang sama oleh wakil jawatankuasa, Muniandy.

2022

Pada 6 Januari 2022, satu mesyuarat bersama antara MBI, Ahli Exco Arul kumar, Pegawai Unit Perancangan Perumahan, Pemaju Datuk Law, wakil Jawatankuasa Ladang Kirby, Arutchelvan dan Gandi daripada PSM telah diadakan. Dalam mesyuarat tersebut, pemaju dan MBI bersetuju untuk memasukan semua perkara yang dicadangkan oleh penduduk Ladang Kirby dalam surat tawaran atau “letter of undertaking”. Dalam mesyuarat ini, beberapa persetujuan telah dibuat, iaitu:

  • 35 orang bekas pekerja akan terima tawaran rumah berharga RM36 ribu;
  • 5 orang bekas pekerja kontrak dan seorang pemandu traktor akan dibawa ke mesyuarat kerajaan untuk mendapat rumah tanpa undian.
  • 5 orang itu ditawarkan rumah dengan harga RM80 ribu, dan seorang lagi dapat tawaran RM36 ribu.

Sejarah dicipta pada 27 Januari 2022, apabila 35 orang penduduk Ladang kirby telah menandatangani surat tawaran dan Arul kumar selaku Ahli Exco Kerajaan Negeri telah membuat pengumuman bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) telah meluluskan rumah untuk 5 orang bekas pekerja kontrak dengan harga RM80 ribu dan seorang bekas pemandu traktor menerima rumah subsisdi dengan harga RM36 ribu. 13 orang penduduk yang masih tinggal di Ladang Kirby juga menandatangani satu surat perjanjian untuk menerima sewa rumah RM500 supaya berpindah keluar seperti dipersetujui.

Pada 30 Januari 2022, Pesta PONGAl telah diadakan di Ladang Kirby bersama PSM. Lima orang pekerja kontrak telah menerima dan menandatangani surat tawaran rumah RM80 ribu, dan En Jayapalan, bekas pemandu tractor, menerima dan menandatangan surat tawaran rumah subsidi RM36 ribu. Dengan itu, semua tuntutan pekerja telah dipenuhi.

Pada 27 Februari 2022, bekas pekerja Ladang Kirby menyambut Hari Kemenangan Perjuangan Ladang Kirby, sebelum mereka keluar dari Ladang Kirby pada 28 Februari 2022.

3 thoughts on “Berjuang 22 tahun buahkan hasil: Kronologi perjuangan pekerja Ladang Kirby 2001-2022

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *