(Manifesto Antarabangsa untuk Kehidupan ialah seruan yang dikemukakan oleh Minggu Perjuangan Anti-Imperialis Antarabangsa.)

Mempertahankan kehidupan bukannya keuntungan: Vaksin dan kesihatan awam yang percuma untuk semua!

Pandemik COVID-19 secara umumnya menunjukkan percanggahan-percanggahan kapitalisme yang mengutamakan keuntungan berbanding kehidupan rakyat:

  • Syarikat-syarikat farmaseutikal hanya mementingkan keuntungan mereka; mereka memberikan vaksin terlebih dahulu kepada sesiapa yang bersedia untuk membayar. Daripada semua vaksin yang diagihkan sehingga kini, 75% pergi kepada 30 buah negara terkaya, sementara 130 buah negara yang miskin di Selatan Global masih tidak dapat mengaksesnya.
  • Kebanyakan kerajaan mengambil langkah-langkah untuk melindungi ekonomi bukannya kehidupan rakyat. Sangat sedikitnya kerajaan yang mempunyai keberanian untuk menghentikan sepenuhnya aktiviti yang tidak penting demi menyekat penularan virus.
  • Di seluruh dunia, ramai rakyat tidak mempunyai akses kepada vaksin, pekerjaan atau pendapatan. Mereka ditinggalkan tanpa masa hadapan. Situasi ini, apabila mengambil kira etnik dan gender, adalah lebih teruk lagi untuk wanita, anak muda, orang berkulit hitam dan orang asal.
  • Kita sedang berada dalam perang menentang satu virus halimunan yang mendatangkan kesan kepada seluruh umat manusia dan sudah menyebabkan hampir 3 juta kematian.
  • Imperialisme Amerika Syarikat (AS) dan sekutu-sekutunya, hanya mengambil berat tentang isu-isu geopolitik dan keuntungan syarikat-syarikat mereka. Ini berlaku walaupun mereka mempunyai sumber-sumber ekonomi, teknikal dan kewangan yang lebih daripada mencukupi yang dapat digunakan untuk menyelamatkan nyawa.
  • Kerajaan AS tidak melepaskan apa-apa peluang untuk mengekalkan dan meningkatkan sekatan ekonomi, komersial dan kewangan, khususnya terhadap Kuba, Venezuela dan Iran.
  • Di samping itu, ia terus mempromosikan “Perang Dingin Baharu” terhadap China, dengan retorik bermusuhan terhadap kerajaan dan rakyat China, mengenakan sekatan ekonomi dan melakukan pendakwaan terhadap syarikat-syarikat China, serta menyebarkan pembohongan bahawa kerajaan China harus disalahkan kerana menyebabkan pandemik.

Dengan mengambil kira situasi ini, kita harus menyatukan usaha-usaha semua bentuk organisasi sosial, popular, kejiranan dan politik di seluruh dunia untuk menyokong dan menuntut pelaksanaan langkah-langkah yang perlu untuk perlindungan kehidupan manusia. Daripada organisasi-organisasi kami, bersetuju dengan dan memperluaskan orientasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kami mencadangkan langkah-langkah berikut:

  • Vaksin percuma untuk semua rakyat. Jamin pemerolehan vaksin bagi semua negara dalam cara yang paling adil dan samarata, menyingkirkan paten yang menjadikan vaksin sebagai harta milik industri farmaseutikal swasta. Vaksin ialah kebaikan bersama umat manusia.
  • Hentikan sepenuhnya semua aktiviti yang tidak penting di negara-negara di mana wabak COVID-19 adalah di luar kawalan.
  • Jamin pendapatan asas kepada semua keluarga, yang memastikan keadaan kehidupan bermaruah untuk keluarga-keluarga termiskin yang paling terkesan oleh pandemik, supaya dapat menguruskan kehidupan mereka.
  • Penangguhan semua hutang awam negara-negara dari Selatan Global yang terhutang kepada negara-negara Utara dan institusi-institusi kewangan mereka.
  • Penggantungan semua aktiviti ketenteraan, di dalam semua negara di seluruh dunia, semasa pandemik. Ini termasuk penghentian penindasan polis yang bertindak balas terhadap mobilisasi rakyat dan keluarga yang menduduki rumah dan tanah. Tidak mahu perang lagi! Kami mahukan keamanan dan vaksin!
  • Wujudkan rancangan aktiviti-aktiviti pengeluaran untuk zaman pasca COVID-19 dengan objektif merangsang kehidupan di seluruh dunia, berasaskan pekerjaan untuk semua dan pengeluaran barangan asas untuk sebuah kehidupan yang bermaruah.
  • Program sokongan untuk pengeluaran makanan sihat bagi rakyat dan pasaran tempatan mereka di semua negara.
  • Pembinaan semula dan penyusunan semula Negara dengan pelaksanaan dasar-dasar awam dan undang-undang yang bertanggungjawab untuk pengeluaran semula sosial, supaya menggalakkan penyahkomersialan kehidupan dan penyediaan perkhidmatan awam serta perlindungan sosial kepada kelas pekerja.
  • Hentikan semua langkah-langkah paksaan unilateral yang dikenakan oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya, yang melanggar undang-undang antarabangsa. “Sekatan-sekatan” ini membawa kesan serius kepada akses rakyat untuk makanan, perubatan, kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan malah bahan api yang sesuai, yang semuanya unsur-unsur asas untuk melawan pandemik.
  • WHO dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) harus memikul tanggungjawab mereka, untuk mengakses sumber-sumber kewangan di tempat berlindung cukai dan meletakkan had ke atas kerajaan-kerajaan yang tidak menghormati peraturan demokrasi dan kehidupan rakyat mereka pada ketika krisis kesihatan awam antarabangsa yang serius ini.

Untuk mengecam apa yang sedang berlaku dan untuk menuntut transformasi yang perlu, kami akan mengambil kesempatan minggu di mana jatuhnya 7 April, Hari Kesihatan Sedunia, yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 1948, untuk:

Menyeru pada semua organisasi rakyat, sosial dan politik, kolektif-kolektif, kempen-kempen dan entiti-entiti tempatan, nasional dan antarabangsa dari semua negara, untuk membantu dalam membina Minggu Perjuangan Anti-Imperialis Antarabangsa, dari 7 hingga 11 April 2021, dengan objektif menunjukkan kemarahan kita terhadap situasi dunia sekarang, dan pada masa yang sama, menegaskan semula komitmen kita untuk membina sebuah dunia yang lebih adil dan samarata, di mana kehidupan adalah lebih penting berbanding keuntungan.

Kami yakin bahawa dengan bersatunya, kita boleh memajukan perjuangan kita dalam mempertahankan kemanusiaan.

Salam Anti-Imperialis!

Manifesto ini disokong oleh:

  • IPA – International Peoples’ Assembly
  • ALBA Movimientos
  • FDIM – Women’s International Democratic Federation
  • Foro de São Paulo
  • La Vía Campesina
  • MMM – World March of Women
  • PIE – European Left
  • Progressive International
  • People’s Health Movement

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *