Kenyataan oleh Forum Kesihatan Rakyat

(foto: Maksim Goncharenok / Pexels)

Perlukah Vaksinasi terhadap COVID-19?

Beberapa organisasi dan individu berpandangan bahawa pemvaksinan besar-besaran tidak diperlukan segera di negara kita pada ketika ini kerana kadar kematian daripada COVID-19 dalam kalangan rakyat Malaysia agak rendah (lebih kurang 0.37% daripada kes COVID-19 yang didiagnosis setakat 17 Mac 2021). Mereka mendakwa bahawa ini bukan satu krisis kecemasan kesihatan dan pihak berkuasa sedang memperbesar-besarkan isu tersebut. Namun, pewaham-pewaham ini tidak mempertimbangkan bahawa sekitar 14% individu yang disahkan dijangkiti COVID-19 (setakat ini di Malaysia) mengalami reaksi berlebihan dalam sistem keimunan badan yang dikenali sebagai “Lampau Sitokin” (Cytokine Storm). Pesakit dengan reaksi berlebihan ini terpaksa dimasukkan ke dalam hospital kerana mereka memerlukan rawatan yang bersesuaian seperti terapi oksigen, jika tidak, lebih dalam kalangan mereka akan mati.

Angka nilai kebolehjangkitan (R0) untuk COVID-19 adalah lebih kurang 3 jikalau tiada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kes baru yang disahkan setiap hari akan meningkat secara eksponen (contohnya, daripada 100 kepada 300, kemudian 900, 2700, 8100 dan 24,300 dalam tempoh masa sebulan). Sistem kesihatan negara kita boleh mengendalikan 14% kes yang mengalami lampau sitokin apabila jumlah kes baru sehari adalah 1,000, dengan mengambil kira bahawa setiap pesakit ini perlu dirawat selama 2 hingga 3 minggu di hospital. Sistem kesihatan negara kita akan terlampau dibebankan jikalau kita membenarkan angka kes baru meningkat kepada 20,000 sehari, dan kadar kematian akan meningkat. Kesan buruknya terhadap kes COVID-19 dan juga kes penyakit bukan COVID-19 akan turut meningkat.

Ketika kita menghampiri keadaan sebegitu, maka kita memerlukan perintah kawalan pergerakan yang ketat untuk membawa R0 kepada bawah 1.0, kerana hanya dengan itu kita boleh memberikan rawatan yang secukupnya kepada pesakit COVID-19. Tetapi, PKP telah menyebabkan kesusahan ekonomi kepada sekitar 20% keluarga rumah di Malaysia yang telah kehilangan lebih daripada 50% pendapatan isi rumah mereka. Mereka berada di keadaan yang sangat teruk dari segi kewangan.

Oleh itu, program vaksinasi besar-besaran bukan sahaja satu keperluan, malah harus dilaksanakan pada kadar segera. Sejak pertengahan bulan Februari, R0 telah jatuh kepada bawah 1.0 tetapi berpotensi meningkat semula jikalau tiadanya kawalan pergerakan. Dengan program vaksinasi besar-besaran, kita mampu mewujudkan keimunan kelompok agar R0 berada di bawah paras 1.0 tanpa terlalu mengekang aktiviti ekonomi dan sosial ketika melindungi rakyat daripada penyakit.

Selain isu keimunan kelompok, kita juga perlu melaksanakan vaksinasi secepat mungkin untuk mencegah kemunculan varian-varian virus COVID-19 dalam kalangan penduduk. Strain-strain virus yang berbeza telah dikesan di beberapa buah negara, seperti United Kingdom, Afrika Selatan, dan Brazil, di mana pandemik tidak dikawal dengan baik. Sesetengah varian ini boleh menjadi lebih mudah berjangkit dan membawa maut, maka tindakan segera diperlukan supaya kita dapat menghentikan penularan virus seboleh mungkin dan secepat mungkin. 

Adakah vaksin berkesan?

Peristiwa kes baru dalam kalangan penerima vaksin telah menurun mendadak di United Kingdom dan Israel. Kadar individu dimasukkan ke hospital turut menurun. Ini membuktikan bahawa vaksin mampu mengurangkan jangkitan COVID-19 yang serius.

Namun, kita masih kurang pasti sama ada penerima vaksin masih membawa virus COVID-19 dalam hidung dan tekak untuk beberapa hari. Jikalau perkara sebegini berlaku pun, jumlah virus yang berada dalam hidung dan tekak adalah rendah (maka mereka mungkin tidak memiliki simptom), serta kemampuan mereka untuk menjangkitkan virus itu kepada orang lain akan menjadi lebih rendah berbanding mereka yang tidak menerima vaksin. Tetapi, kita perlukan lebih banyak data untuk kepastian. Oleh sebab itu, ianya penting untuk orang ramai terus memakai pelitup muka di ruangan awam walaupun selepas divaksinkan.

Adakah vaksin selamat?

Setakat 15 Mac 2021, lebih daripada 381 juta dos vaksin COVID-19 telah diberi kepada individu di seluruh dunia dengan sebanyak 85.6 juta individu menerima vaksinasi sepenuhnya (1.1 % daripada jumlah populasi dunia). Sebahagian kecil daripada penerima vaksin telah mengalami alahan yang dikenali sebagai “anafilaksis”, di mana tekanan darah individu boleh jatuh secara mendadak dan mereka mengalami kebengkakan pada tekak yang boleh menyekat saluran pernafasan. Kejadian ini hanya berlaku kepada individu yang telah pernah mengalami alahan yang serupa sebelum itu.

Selain anafilaksis, tiada sebarang kesan sampingan segera terhadap vaksin yang dilaporkan. Sakit otot di tempat suntikan dan demam untuk satu atau dua hari selepas suntikan adalah amat biasa.

Tetapi bukankah terdapat banyak laporan mengenai kesan-kesan negatif selepas disuntik vaksin?

Ya. Memang terdapatnya laporan mengenai angin ahmar (strok), kelumpuhan saraf muka, thrombocytopenia (kejatuhan dalam jumlah platelet), bekuan darah, dan malah juga kematian. Walau bagaimanapun, tiada sebarang bukti bahawa semua kejadian ini adalah disebabkan vaksin. Terdapat banyak kejadian yang sebegini berlaku dalam populasi umum setiap tahun sama ada atau tidak terdapat pemberian vaksin. Untuk membuktikan kejadian ini adalah disebabkan oleh vaksinasi, kita perlu mempertimbangkan sama ada kejadian-kejadian seperti ini telah meningkat secara mendadak berbanding dengan garis dasar yang biasa dalam populasi tertentu selepas vaksinasi. Langkah berjaga-jaga sememangnya diperlukan supaya kes-kes seperti ini disiasat untuk menentukan sama ada kejadian-kejadian ini berkaitan dengan vaksin atau tidak. Setakat ini, analisis sebegini tidak menunjukkan sebarang peningkatan kejadian ini yang membimbangkan dalam kalangan golongan yang divaksinasikan.

Jelasnya, kita perlu mempunyai sistem pemantauan yang bersesuaian untuk merekodkan semua kesan negatif terhadap vaksin, begitu juga dengan membentuk satu pasukan pakar epidemiologi dan ahli statistik untuk mengkaji sama ada petanda bahawa kesan negatif telah melampaui keadaan biasa. Kelulusan vaksin COVID-19 oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan Malaysia juga mempunyai syarat tambahan yang menyatakan bahawa pihak pengeluar harus melaporkan sebarang maklumat baru yang ada.

Bagaimana pula dengan kesan sampingan jangka panjang?

Secara jujurnya, pada peringkat ini tiada cara untuk menjamin secara sepastinya bahawa vaksin ini tidak akan mempunyai kesan sampingan jangka panjang. Terdapat terlalu banyak kemungkinan yang boleh dihipotesis. Sebagai contoh, bahan kimia yang digunakan untuk menyahaktifkan virus mungkin boleh menyebabkan masalah dalam sesetengah individu, sementara untuk sesetengah orang pula, teknologi RNA yang membolehkan sel untuk menghasilkan protein pepaku mungkin boleh mencetuskan reaksi autoimun.

Ia adalah mustahil bagi mana-mana pihak berkuasa untuk memberikan jaminan 100% mengenai keselamatan penggunaan vaksin dalam jangka masa yang panjang. Namun begitu, kesan pandemik pada kesihatan masyarakat, ekonomi dan kehidupan adalah jelas ternyata untuk semua orang. Sebagai sebuah masyarakat, kita seharusnya mengambil risiko kecil ini, di mana ada kemungkinan sebilangan kecil individu akan mengalami kesan negatif dalam jangka masa yang panjang, untuk menangani ancaman bahaya yang mendesak dan hebat ini. Apa yang penting adalah sekiranya kesan sampingan jangka panjang berlaku, kita seharusnya memberi sokongan sepenuhnya dan menyediakan rawatan yang terbaik secara percuma kepada individu-individu yang terjejas.

==========

Forum Kesihatan Rakyat ialah satu inisiatif yang diwujudkan oleh beberapa organisasi dan individu yang memperjuangkan hak asasi manusia untuk kesihatan. Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga merupakan salah sebuah organisasi yang memulakan dan menyertai inisiatif ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *