IPOH, PERAK – 22 MAC 2021: 2 orang pekerja yang bekerja sebagai “pegawai pemulihan kredit” (recovery officer) dengan syarikat pemungut hutang APS & Partners Sdn. Bhd, telah menang kes tuntutan gaji mereka yang dipotong oleh majikan, dalam satu keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Buruh Ipoh pada hari ini.

Dua orang pekerja ini masing-masing telah berkhidmat dengan syarikat tersebut selama lebih 1 tahun dan 4 bulan. Syarikat APS & Partners telah mengurangkan gaji kedua-dua orang pekerja ini sebanyak 30% dari bulan Mei 2020 hingga bulan Julai 2020, dengan menggunakan alasan penularan wabak COVID-19 telah menjejaskan perniagaannya. Selain itu, syarikat tersebut juga telah mengurangkan gaji bulan Jun 2020 bagi kedua-dua orang pekerja ini sebanyak RM300, dengan alasan “pencapaian kerja yang tidak memuaskan” (poor performance).

Oleh sebab 2 orang pekerja ini merasai diri mereka telah dilayan secara tidak adil oleh pihak syarikat, mereka telah memfailkan kes tuntutan untuk baki gaji yang tidak dibayar oleh pihak syarikat di Jabatan Tenaga Kerja Ipoh pada bulan Ogos 2020. Perbicaraan untuk kes ini telah ditangguhkan beberapa kali oleh kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun begitu, pekerja-pekerja ini akhirnya menang dalam kes menuntut baki gaji yang tidak dibayar kepada mereka, kerana majikan tidak boleh memotong gaji pekerja sewenang-wenangnya.

Selepas pendengaran mengenai kes ini, Mahkamah Buruh Ipoh memutuskan bahawa dua orang pekerja ini berhak untuk mendapat tuntutan gaji yang tidak dibayar kepada mereka yang berjumlah sebanyak RM5,612.49. Mahkamah Buruh mengarahkan pihak syarikat APS & Partners Sdn. Bhd. untuk membayar jumlah baki gaji yang dituntut tersebut kerana pihak syarikat tidak mendapatkan persetujuan daripada pekerja semasa mengurangkan gaji mereka.

Dua orang pekerja ini dibantu dan diwakili oleh L. Danaletchumi, seorang aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM), semasa perbicaraan kes mereka di Mahkamah Buruh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *