Parti Kiri Jerman, Die Linke, telah mengadakan kongresnya yang ke-7 pada 26-27 Februari 2021. Kepimpinan baharu telah dipilih dalam kongres digital yang pertama untuk parti yang berhaluan kiri di Jerman ini.

Die Linke (“Kiri”), ialah sebuah parti sosialis demokratik yang utama di Jerman. Parti ini ditubuhkan pada tahun 2007 hasil penggabungan antara Parti Sosialisme Demokratik (PDS) dan “Buruh dan Keadilan Sosial – Pilihan Alternatif” (WASG). PDS ialah pengganti dan penyambung warisan politik Parti Bersatu Sosialis Jerman (SED) yang merupakan parti pemerintah untuk Republik Demokratik Jerman (iaitu Jerman Timur) dari tahun 1949 sehingga kejatuhan Tembok Berlin pada tahun 1989. WASG pula ditubuhkan oleh golongan berhaluan kiri dalam Parti Demokratik Sosial (SPD) yang dipinggirkan dan tidak bersetuju dengan dasar neoliberal yang dibawa oleh SPD pada awal tahun 2000-an, termasuk Oskar Lafontaine (bekas Menteri Kewangan Jerman). PDS dan WASG membentuk gabungan pilihanraya untuk mengambil bahagian dalam Pilihanraya Persekutuan Jerman pada tahun 2005, dan berjaya meraih undi sebanyak 8.7% pada masa itu yang membolehkannya melepasi ambang perolehan undi 5% untuk mendapat kerusi dalam Parlimen Jerman. Selepas itu, PDS dan WASG secara rasminya bergabung membentuk sebuah parti politik yang dipanggil Die Linke pada tahun 2007. Terdapat banyak aliran politik kiri yang berbeza dalam Die Linke, namun rata-ratanya mendukung sosialisme yang demokratik untuk mengatasi sistem kapitalis. Die Linke pada masa kini menguasai 69 daripada 709 kerusi dalam Bundestag (Parlimen Persekutuan Jerman) dengan undian sebanyak 9.2% dalam Pilihanraya Persekutuan pada tahun 2017, menjadikannya kumpulan parlimen yang kelima besar dalam Parlimen Jerman. Die Linke juga mempunyai perwakilan dalam 10 daripada 16 Parlimen Negeri, termasuk kelima-lima buah negeri di Bahagian Timur Jerman dan Berlin; ia merupakan sebahagian daripada kerajaan campuran di negeri-negeri seperti Berlin, Bermen dan Thüringen, setakat tahun 2021.  

Susanne Hennig-Wellsow dan Janine Wissler telah dipilih sebagai Pengerusi Bersama untuk parti Die Linke. Kedua-dua orang menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti kali ini. Ini merupakan kali pertama dalam sejarah parti Die Linke memilih dua orang pengerusi wanita, dan juga merupakan satu-satunya parti di Jerman yang dipimpin bersama oleh dua orang wanita. Sementara itu, empat orang Timbalan Pengerusi yang dipilih ialah Katina Schubert, Martina Renner, Jana Seppelt, Ali Al-Dailami, Ates Gürpinar dan Tobias Pflüger. Jörg Schindler kekal sebagai Setiausaha Parti, jawatan yang disandangnya sejak tahun 2018, begitu juga dengan Harald Wolf yang dipilih semula sebagai Bendahari Persekutuan untuk parti Die Linke.

Janine Wissler (kiri) dan Susanne Hennig-Wellsow (kanan), Pengerusi Bersama yang baharu untuk Parti Kiri Jerman. (foto: Martin Heinlein / DIE LINKE)

Susanne Hennig-Wellsow dan Janine Wissler menggantikan Katja Kipping dan Bernd Riexinger yang telah menyandang jawatan Pengerusi Bersama untuk parti Die Linke selama lebih 8 tahun. Perwakilan dalam Kongres Die Linke telah menyampaikan penghargaan kepada Katja Kipping dan Bernd Riexinger atas sumbangan mereka semasa menjadi pimpinan tertinggi parti tersebut. Kepimpinan gandingan Kipping dan Riexinger merupakan hasil kompromi dalaman parti Die Linke, antara golongan kiri yang radikal dengan golongan yang lebih moderat atau pragmatik dalam politik pilihanraya. Parti Die Linke agak stabil di bawah kepimpinan mereka berdua walaupun terdapatnya perbezaan pandangan yang ketara antara golongan yang berlainan. Namun begitu, Die Linke menghadapi kesukaran untuk meningkatkan sokongannya dalam pilihanraya. Penampilan Kipping dan Riexinger sebagai pimpinan bersama parti adalah tidak menonjol di mata khalayak umum Jerman, malah sering dicabar oleh Sahra Wagenknecht, pemimpin Die Linke yang merupakan Pengerusi Kumpulan Parlimen untuk Die Linke pada tahun 2010-2019, yang pernah cuba melancarkan gerakan populis kiri, Aufstehen, pada 2018 tetapi malangnya tidak berjaya juga. Pemilihan Hennig-Wellsow dan Wissler sebagai pimpinan baharu boleh dikatakan lanjutan penyatuan antara golongan radikal dengan golongan moderat dalam menghadapi cabaran politik di Jerman pada masa kini. Wissler merupakan bekas anggota kumpulan sosialis radikal, Marx21; sementara Hennig-Wellsow merupakan pemimpin utama parti di negeri Thüringen yang mempunyai pengalaman membentuk kerajaan campuran “Merah-Merah-Hijau” melalui kerjasama dengan Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD) dan Parti Hijau (Bündnis 90/Die Grünen).

Kongres Parti Die Linke kali ini membawa tema “Jadikan negara ini adil!” dan meluluskan usul utama yang bertajuk “Bagaimana kita melepaskan diri daripada krisis ini secara adil – dengan perubahan sistem yang sosial, aman dan ekologikal”. Kongres Die Linke juga meluluskan kenyataan yang memberi pengiktirafan kepada kerja-kerja solidariti internasionalis yang dilakukan oleh pasukan doktor Kuba yang telah memberi sokongan kepada usaha melawan wabak COVID-19 di banyak negara. Die Linke mengecam ancaman serangan terhadap Kuba yang semakin hebat semasa pentadbiran bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan menuntut supaya menghentikan sekatan ekonomi, komersial dan kewangan yang dikenakan oleh Washington ke atas Kuba selama hampir enam dekad.

Pemilihan muka baharu untuk parti Die Linke, boleh dikatakan usaha parti berhaluan kiri ini untuk menjana tenaga baharu yang muda dan dinamik, demi menghadapi Pilihanraya Persekutuan Jerman yang bakal diadakan pada bulan September 2021. Pilihanraya Negeri juga akan diadakan untuk negeri-negeri seperti Berlin, Mecklenburg-Vorpommern dan Thuringia, serentak dengan Pilihanraya Parlimen Persekutuan Jerman akan datang, manakala Pilihanraya Negeri Sachsen-Anhalt bakal diadakan pada bulan Jun 2021.

Cabaran untuk Die Linke dalam pilihanraya memang sangat besar, kerana pengaruh politik pelampau kanan yang semakin membimbangkan di negara Jerman. Peratusan sokongan yang diperoleh Die Linke dalam pilihanraya dan tinjauan pendapat untuk beberapa tahun kebelakangan ini hanya berlegar pada sekitar 6% hingga 9%, jauh kurang daripada 11.9% undian yang diperolehnya semasa Pilihanraya Persekutuan tahun 2009. Die Linke hanya meraih sebanyak 5.5% undian dalam Pilihanraya Parlimen Eropah di Jerman pada tahun 2019, sesuatu yang agak membimbangkan untuk politik kiri di Jerman. Walaupun Die Linke telah berkembang menjadi sebuah parti yang mempunyai penampilan nasional, iaitu mempunyai pengaruh politik di kedua-dua Bahagian Barat dan Timur Jerman, dan bukan lagi parti yang tertumpu kekuatannya di Bahagian Timur Jerman, tetapi ia mengalami kesukaran dalam meningkatkan sokongan undinya dalam pilihanraya, lebih-lebih lagi perkembangan politik di benua Eropah dalam beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan kemunculan perluasan pengaruh kuasa politik pelampau kanan yang membangkitkan sentimen perkauman dan xenofobia, termasuk di negara Jerman. Parti pelampau kanan, Alternative für Deutschland (AfD), yang mengapi-apikan sentimen anti-migran, anti-semitik, Islamofobia malah berhubung rapat dengan fahaman neo-Nazi, sudah pun memintas Die Linke dari segi peratusan perolehan undi semasa Pilihanraya Persekutuan pada tahun 2017. Sebahagian besar pengundi di Bahagian Timur Jerman, yang sebelum ini merupakan penyokong kepada Die Linke, telah beralih kepada kecenderungan mengundi AfD, menunjukkan kehilangan sokongan Die Linke di kubu kuatnya dan kelemahan dalam menarik semula sokongan pengundi kelas pekerja Jerman yang semakin hari semakin dicuci otak oleh fahaman pelampau kanan.  

Dalam ucapannya, Janine Wissler, yang juga merupakan Ahli Parlimen Negeri Hesse sejak tahun 2008 dan menjadi pemimpin kumpulan parlimen negeri tersebut untuk Die Linke sejak tahun 2019, berkata bahawa sasaran kepimpinan baharu ini memang adalah untuk mengubah masyarakat. “Ini bukan lagi berkenaan dengan bahagian pai yang lebih besar. Ia adalah berkenaan dengan keseluruhannya, berkenaan dengan kedai pembuat roti itu,” kata Wissler.

“Dasar kami adalah radikal kerana ia tidak menyembunyikan punca masalah dan ia adalah pragmatik kerana kami memfokus pada melaksanakan penambahbaikan yang konkrit. Kami mahukan perubahan yang sebenar. Kami hendak menunjukkan kebolehpercayaan golongan kiri dan menunjukkan bahawa kami boleh membawa perubahan,” tegas Wissler.

Hennig-Wellsow pula menyeru pada ahli-ahli partinya untuk bersatu dan bersedia untuk mengambil tanggungjawab dalam kerajaan yang mungkin dibentuk dalam masa hadapan secara bekerjasama dengan SPD dan Parti Hijau. “Jangan tunggu lagi! Rakyat tidak mempunyai masa untuk menunggu kita,” kata Hennig-Wellsow.

Sama ada Die Linke dapat meningkatkan sokongan undinya ataupun sekurang-kurangnya mengekalkan peratusan undi yang diperolehnya empat tahun dahulu atau tidak, akan menjadi penentu kepada pergolakan politik di Jerman dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Dalam keadaan krisis pandemik, ekonomi dan politik yang berterusan, dengan kuasa pelampau kanan masih memperluaskan pengaruhnya dengan menanam kebencian dalam minda rakyat, adalah mustahak untuk mewujudkan pertahanan politik kiri yang kukuh. Die Linke telah memikul peranan penting dalam membangunkan kuasa politik kiri yang mampu menangkis kemaraan politik pelampau kanan di Jerman, dan ini merupakan satu tugasan yang mencabar untuk kepimpinan baharunya.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *