Bekas pekerja Ladang Bukit Beruntung di Selangor, telah dijanjikan rumah sendiri sejak tahun 1991, tetapi ditipu oleh pemilik ladang, iaitu syarikat rospell Enterprise Sdn Bhd, yang enggan menunaikan janji membina rumah untuk mereka.

Penduduk-penduduk Ladang Bukit Beruntung yang merupakan bekas pekerja di ladang tersebut, diusir keluar dari ladang itu untuk memberi laluan kepada pembangunan Bandar Bukit Beruntung. Prospell Enterprise Sdn Bhd pernah membuat satu perjanjian dengan 54 orang penduduk di Ladang Bukit Beruntung pada tahun 1991 bahawa ia akan membina rumah teres untuk mereka apabila tanah ladang yang diduduki mereka itu dibangunkan. Bekas pekerja Ladang Bukit Beruntung kemudiannya menandatangani surat perjanjian jual beli rumah (S&P) pada tahun 1999 dan mereka juga telah membayar wang deposit untuk rumah berkenaan.

Namun begitu, bekas pekerja Ladang Bukit Beruntung telah diperdaya oleh Prospell Enterprise Sdn Bhd, kerana lot tanah yang sepatutnya digunakan untuk membina rumah bagi bekas pekerja ladang masih berstatus tanah pertanian sehingga kini. Walaupun Kerajaan Negeri Selangor telah memberikan kelulusan untuk menukar syarat tanah kepada tujuan pembangunan pada tahun 1992, tetapi Prospell Enterprise Sdn Bhd tidak menyerahkan geran tanah secara sengaja kepada Pejabat Tanah Negeri Selangor untuk merekodkan tukar syarat.

Sejak tahun 1992, Prospell Enterprise Sdn Bhd hanya membayar cukai tanah mengikut kadar cukai tanah pertanian, iaitu hanya RM3,189 setahun, sedangkan ia sepatutnya membayar cukai tanah hampir RM197,000 setahun sekiranya status tanah telah ditukar kepada tanah pembangunan. Kerajaan Negeri Selangor hilang lebih RM5 juta dalam pendapatan cukai tanah kerana penipuan Prospell Enterprise Sdn Bhd!

“Kami hidup di sini tanpa rumah sendiri. Burung pun mempunyai tempat tinggal, sedangkan penduduk Ladang Bukit Beruntung masih belum ada bumbung di atas kepala kami,” begitu katanya Tamilselvan, seorang bekas pekerja Ladang Bukit Beruntung. “Dalam kes kami ini, bukan sahaja penduduk yang ditipu, malahan kerajaan pun kena tipu.”

Oleh yang demikian, para bekas pekerja Ladang Bukit Beruntung menyeru kepada Kerajaan Negeri Selangor supaya menggunakan peruntukan dalam Kanun Tanah Negara untuk mengambilalih tanah daripada Prospell Enterprise Sdn Bhd dan membina rumah untuk pekerja ladang yang sudah menunggu lebih tiga dekad.

Bekas pekerja Ladang Bukit Beruntung yang merupakan golongan berpendapatan rendah dan pernah bekerja di ladang itu selama 3 generasi, hanya menuntut rumah sendiri yang dapat diduduki mereka. Mereka sudah menunggu untuk mendapatkan rumah sendiri sejak dijanjikan rumah 30 tahun yang lalu. Daripada 54 orang bekas pekerja ladang yang dijanjikan rumah pada awalnya, sudah 15 orang sudah meninggal dunia sekarang. Berapa lama lagi mereka perlu menunggu lagi?

Satu petisyen atas talian telah dilancarkan untuk menggesa Kerajaan Negeri Selangor supaya mengambil tanah dan membina rumah kepada bekas pekerja Ladang Bukit Beruntung untuk menamatkan penderitaan mereka menunggu untuk rumah sendiri.

Sila tandatangani petisyen atas talian menyokong tuntutan bekas pekerja Ladang Bukit Beruntung di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *