Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang pelbagai agama menyeru pada Kerajaan agar merangka satu pelan jangka Panjang untuk menangani masalah banjir dan krisis perubahan iklim secara bersepadu dan menyeluruh. Seruan ini dibuat dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Jaringan NGO Pelbagai Agama Menangani Isu Perubahan Iklim (Climate Change Interfaith Network, CCIN) pada 12 Januari 2021.

CCIN merupakan sebuah gabungan NGO yang terdiri daripada pertubuhan-pertubuhan pelbagai agama seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Friendship Group of Inter Religious Services (FGIS).

CCIN memandang berat isu bencana banjir yang masih melanda beberapa negeri di dalam negara kita pada masa kini. CCIN menegaskan pendiriannya bahawa isu bencana banjir yang sering berlaku berulang kali ini adalah disebabkan beberapa faktor besar yang di mana seluruh pihak harus mengambil tanggungjawab. Antara faktor utama ini adalah:

1. Perubahan Iklim: Perubahan Iklim menyebabkan berlakunya “cuaca yang tidak boleh ramal” (unpredictable weather) seperti yang berlaku kini di mana tiada musim yang boleh dijangka berlaku mengikut masa seperti musim tengkujuh. Situasi ini mengakibatkan ketidaktentuan waktu hujan turun dan kadar taburan hujan pada sesuatu masa. Lantas, situasi ini menjadi penyebab berlakunya banjir besar apabila kemudahan yang disediakan bagi membendung limpahan air tidak dapat berfungsi. Justeru, pihak berkuasa dan masyarakat harus menitikberatkan isu perubahan iklim yang berlaku ini yang pasti menjadi faktor utama kepada masalah banjir.

2. Aktiviti pembalakan yang berleluasa tanpa kawalan:Aktiviti pembalakan yang berleluasa pasti akan mengakibatkan stok air di kawasan hutan simpan di hulu sungai terjejas dan mengakibatkan berlakunya banjir lumpur. Aktiviti pembalakan secara “land clearing” atau “cuci mangkuk” juga akan memburukkan keadaan kerana jumlah larian air melebihi “infiltration” (jumlah air yang meresap masuk ke dalam tanah untuk “groundwater recharge”, iaitu “takungan simpanan” kita). Seharusnya aktiviti pembalakan dan sebagainya dikawal sebaiknya, dan hanya menjalankan pembalakan secara selektif bagi memastikan hutan yang berfungsi melindungi stok air itu dapat dipelihara.

3. Sungai: Sungai yang tidak diselenggara dengan kerap seperti dikorek dalam sesuatu masa untuk memastikan kedalamannya menepati sukatan tertentu serta bebas daripada sampah-sarap, juga menjadi penyebab kepada berlakunya banjir. Justeru, pihak berkuasa harus meningkatkan aktiviti menyelenggara sungai dengan baik, termasuklah memelihara tebing sungai daripada diceroboh.

4. Lembangan sungai: Lembangan sungai seperti kawah takungan banjir di kawasan hilir yang berfungsi untuk menakung limpahan air harus sentiasa dipelihara. Aktiviti pihak tidak bertanggungjawab yang menjejaskan lembangan sungai harus ditangani dan diambil tindakan yang tegas oleh pihak berkuasa. Aktiviti memperbanyak kolam tebatan banjir harus diperbanyakkan oleh pihak berkuasa untuk menampung air yang berlebihan.

5. Aktiviti penanaman semula: Setiap kali penanaman semula di ladang-ladang, ia menjadi penyumbang tambahan kepada larian air permukaan. Maka, berkemungkinan aktiviti penanaman semula harus dikaji untuk dilakukan secara berperingkat. Selain itu, kekurangan pokok di kawasan bandar terutama di kawasan tengah dan hilir sungai juga menyumbang kepada banjir. Maka usaha menanam dan memelihara pokok di kedua-dua kawasan ini harus dipertingkatkan. Usaha ini boleh melibatkan komunit melalui konsep hutan bandar komuniti.

6. Perumahan: Kita juga harus maklum bahawa pertambahan perumahan akan mengurangkan lagi kawasan berpokok. Peranan pokok adalah sebagai penyerap air, maka jumlah air akan bertambah apabila semakin kurang pokok. Justeru, pihak CCIN mencadangkan agar setiap perumahan baharu diwajibkan pemasangan sistem tuaian air hujan atau rainwater harvesting system (RWH), dan dikuatkuasakan kewajipannya. Kawasan perumahan sedia ada harus diberi inisiatif untuk memasang sistem tersebut. Sistem RWH ini juga perlu diperluaskan untuk kawasan luar bandar. Sistem ini boleh mengurangkan jumlah air yang masuk ke sistem peparitan dan sungai.

7. Pendidikan alam sekitar: Masyarakat harus ditekankan pendidikan alam sekitar secara menyeluruh yang meliputi isu perubahan iklim dan implikasi daripada tingkah laku kita yang tidak beretika seperti membuang sampah di longkang yang menyebabkan berlakunya banjir. Pendidikan alam sekitar harus dirancang secara sistematik kepada masyarakat.

8. Perancangan bersepadu jangka Panjang : Pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri merentasi semua kementerian, jabatan dan agensi harus duduk bersama untuk mengemukakan pelan jangka panjang yang lebih holistik dan bersepadu bagi menangani isu banjir. Ia memandangkan kesan perubahan iklim dan penjejasan alam sekitar berlaku akibat daripada segenap aktiviti yang berkait dengan pembangunan, pembalakan, etika masyarakat dan sebagainya. Sudah pasti ia perlu melibatkan penguatkuasaan secara bersepadu untuk pihak berkuasa menangani sebaik-baiknya.

Oleh yang demikian, CCIN menggesa pada Kerajaan untuk menyediakan satu pelan jangka Panjang yang meliputi rangka kerja bersepadu semua pihak meliputi Kerajaan Persekutuan, Negeri, Kementerian, Jabatan dan Agensi.

“Kegagalan pihak berkuasa untuk mengemukakan pelan yang lebih bersepadu pasti akan menyebabkan permasalahan banjir berulang kembali dan pasti akan menambahkan beban rakyat setiap kali berlakunya bencana ini. Selain itu, kerosakan prasarana seperti lebuh raya, jalan, dan kemudahan awam akibat banjir pasti menelan belanja yang amat besar untuk dibaiki yang pasti ia satu pembaziran terhadap duit rakyat,” begitu katanya Muhammad Faisal Abdul Aziz, Penyelaras CCIN merangkap Presiden ABIM. Kenyataan media CCIN juga disokong oleh Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (Grass Malaysia) dan Projek Wawasan Rakyat (POWR).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *