17 Oktober 2020 menandakan ulangtahun ke-100 kelahiran gerakan komunisme di India.
Asal usul Gerakan Komunis India
Revolusi Rusia pada tahun 1917 yang menyaksikan pembentukan negara pekerja pertama di dunia, telah membawa inspirasi yang hebat kepada golongan revolusioner di seluruh dunia, termasuk India yang masih dijajah oleh kuasa imperialis British pada masa itu. Revolusioner India pada masa itu telah terlibat dalam perjuangan untuk memerdekakan tanahair mereka daripada pemerintahan penjajah British. Ramai dalam kalangan revolusioner India yang hidup dalam buangan di luar negara telah berhubung dengan Parti Bolshevik dan sesetengah daripada mereka membentuk Parti Ghadar, sebuah parti politik dianggotai ekspariat yang memperjuangkan kemerdekaan India, pada tahun 1913.
Asas untuk pembentukan sebuah parti komunis dalam kalangan warga India yang berada di luar negara telah diwujudkan dalam Kongres Dunia Kedua Komunis Internasional (Comintern, ataupun Internasional Ketiga) yang diadakan pada bulan Ogos 1920. Jawatankuasa Eksekutif Comintern menubuhkan sebuah jawatankuasa kecil untuk memulakan proses tersebut. Jawatankuasa kecil tersebut menganjurkan Kongres Bangsa-bangsa Timur di Baku, ibu kota Azerbaijan, pada bulan September 1920, dengan memberi tumpuan kepada perbincangan berkenaan dengan perjuangan melawan imperialisme di Asia. Berikutan daripada itu, sekumpulan revolusioner India dari beberapa tempat berlainan yang ingin menumbangkan pemerintahan penjajah British di India bertemu di Tashkent, Uzbekistan, pada 17 Oktober 1920. Antara revolusioner India yang hadir ialah M.N. Roy, yang juga merupakan pengasas kepada Parti Komunis Mexico dan anggota jawatankuasa eksekutif Comintern. Dalam pertemuan pada 17 Oktober 1920, golongan revolusioner India yang hidup buangan ini menamakan kumpulan mereka sebagai “Parti Komunis India”. Mesyuarat penubuhan Parti Komunis India ini juga menerima prinsip-prinsip perjuangan Comintern dan memutuskan untuk mewujudkan sebuah program parti yang sesuai dengan keadaan India. Mesyuarat tersebut dihabiskan dengan nyanyian lagu “Internasional”.
Selain Parti Komunis India yang ditubuhkan oleh revolusioner India yang tinggal di luar India, kumpulan-kumpulan komunis juga mula muncul di beberapa tempat di dalam India pada awal tahun 1920-an, dipimpin oleh pemimpin seperti Shripad Amrit Dange di Bombay, Muzaffar Ahmed di Calcutta, Malayapuram Singaravelu di Madras, dan Ghulam Hussain di Lahore. Parti Komunist India yang ditubuhkan di Tashkent telah menjadi sumber kepada pembinaan teori dan pendidikan politik dalam Marxisme-Leninisme kepada kumpulan-kumpulan di dalam India ini.
Golongan komunis yang berhubung dengan M.N. Roy telah mengadakan satu persidangan komunis India yang terbuka di bandar Kanpur (yang terletak di negeri Uttar Pradesh hari ini) pada 25-28 Disember 1925. Persidangan tersebut mengambil keputusan untuk menubuhkan Parti Komunis India (CPI) dengan ibupejabatnya di Bombay. Persidangan tersebut dianggap sebagai usaha pertama membentuk sebuah parti komunis seluruh India di dalam India itu sendiri dan masih dianggap oleh anggota-anggota CPI hari ini sebagai titik permulaan gerakan komunis India.
Gerakan Komunis dan perjuangan kemerdekaan India
Gerakan komunis India yang lahir pada tahun 1920-an dalam gelombang revolusi yang melanda seluruh dunia, bertekad untuk memperjuangkan kemerdekaan yang sepenuhnya daripada pemerintahan kolonial British dan membina sebuah masyarakat di mana rakyat pekerja dapat menguasai nasib mereka sendiri. Bagi mereka, Revolusi Rusia dan pembentukan Kesatuan Soviet membuktikan bahawa matlamat pembebasan masyarakat ini adalah sesuatu yang boleh dicapai. Golongan komunis India telah melakukan kerja-kerja organisasi untuk memperkuatkan gerakan kesatuan sekerja pada tahun 1920-an di kawasan bandar. Satu gelombang mogok pekerja melanda India pada tahun 1928 dan 1929, termasuk perjuangan berpanjangan yang dilakukan oleh pekerja-pekerja kilang tekstil di Bombay dan pekerja-pekerja landasan keretapi di Bengal.
Oleh sebab golongan komunis semakin menonjol dalam perjuangan anti-penjajah, Kongres Kebangsaan India (INC) yang merupakan peneraju utama gerakan nasionalis di India, terpaksa mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap pemerintahan British dan mula beralih daripada aksi penentangan yang lebih lembut kepada yang lebih keras. Idea-idea yang dibawa oleh golongan komunis telah membawa impak kepada perjuangan anti-imperialis. Penjajah British yang menyedari penyebaran idea-idea komunis di India dan bimbang tentang implikasinya terhadap kekuasaan imperialisnya, melancarkan serangan demi serangan terhadap golongan komunis India, seperti yang dilakukannya terhadap golongan radikal yang anti-imperialis di tanah jajahannya yang lain. Antara tahun 1921 hingga 1933, ramai pemimpin komunis India yang utama telah ditangkap dan dipenjarakan. Kerajaan British mengharamkan CPI dan organisasi-organisasi yang bersekutu dengannya pada tahun 1934. Mereka yang mengganggotai CPI diangggap sebagai penjenayah. Namun begitu, golongan komunis meneruskan aktiviti revolusioner mereka secara sulit melalui penglibatan dalam gerakan kemerdekaan India dan membina keanggotaan parti.
Hasil daripada usaha organisasi golongan komunis, satu gelombang mogok pekerja melanda seluruh India pada tahun 1937 dengan lebih 600,000 pekerja mengambil bahagian dalamnya. Selain mengorganisasi pekerja, golongan komunis juga menyedari kepentingan peranan pelajar, anak muda dan golongan intelek dalam gerakan pembebasan nasional, maka cuba memobilisasi mereka untuk matlamat revolusi. Sementara itu, golongan komunis juga menyedari hakikat bahawa lebih 80% penduduk India pada masa itu masih hidup dalam masyarakat pertanian, dan pembebasan nasional tidak mungkin tercapai sekiranya golongan petani tidak bangkit dalam skala besar-besaran, maka gerakan komunis India yang pada awalnya memfokus pada mobilisasi di bandar-bandar juga mula membina kekuatan di kawasan luar bandar. Oleh itu, golongan komunis telah menubuhkan beberapa organisasi massa pada tahun 1936, antaranya Kesatuan Petani Seluruh India (All India Kisan Sabha, AIKS), Persekutuan Pelajar Seluruh India (AISF) dan Persatuan Penulis Progresif. Golongan komunis juga memainkan peranan penting dalam penubuhan Persatuan Teater Rakyat India (IPTA) pada tahun 1943. Bersama dengan Kongres Kesatuan Sekerja Seluruh India (AITUC) yang ditubuhkan sejak tahun 1920, organisasi-organisasi massa ini telah memainkan peranan penting dalam membina kesedaran revolusioner dalam kalangan masyarakat yang berjuang untuk hak dan keadilan.
Gerakan petani di India semakin berkembang hebat di bawah kepimpinan golongan komunis. Gerakan petani India telah memperjuangkan pemansuhan sistem kekuasaan tuan tanah, pemilikan tanah kepada petani-petani yang sedang bercucuk tanah, penghapusan buruh paksaan, pengagihan semula tanah kepada petani-petani yang tiada tanah, perubahan yang radikal terhadap sistem cukai tanah, dan harga yang lebih wajar untuk hasil tanaman. Pada ketika golongan komunis mengorganisasi dan memobilisasi petani-petani untuk memperjuangkan nasib mereka, kepimpinan INC pula bekerjasama secara rapat dengan golongan tuan tanah dan mereka yang berkuasa di banyak tempat. Kelas tuan tanah dan golongan pemilik perusahaan merupakan dua tunjang utama yang menyokong INC. Ini menimbulkan konflik antara golongan komunis dengan golongan berhaluan kanan dalam INC.
Apabila Perang Dunia II tercetus pada tahun 1939, India telah dibawa ke dalam perang oleh penjajah British tanpa diberi pilihan. Hidup rakyat India semakin susah kerana harga barangan naik secara mendadak semasa perang. CPI membantah perang dan menganjurkan aksi protes anti-perang. Kerajaan British melakukan penangkapan besar-besaran terhadap mereka yang membantah perang. Pada bulan Mei 1941, hampir seluruh kepimpinan CPI telah dipenjarakan.
Serangan Jerman Nazi terhadap Kesatuan Soviet pada tahun 1941 telah mengubah dasar Comintern yang pada asalnya tidak mahu terlibat dalam Perang Dunia II kerana menganggapnya perang antara imperialis. CPI yang menganggotai Comintern turut mengikut pendirian Kesatuan Soviet untuk bersekutu dengan Britain dan Amerika Syarikat dalam perang melawan fasisme. CPI membantah Gerakan Keluar India yang dilancarkan oleh Jawatankuasa Kongres Seluruh India pada tahun 1942 untuk mendesak penjajah British untuk “keluar dari India”, dengan pandangan bahawa tindakan tersebut tidak bersesuaian dengan masa ancaman kuasa fasis yang semakin hebat dan akan melemahkan usaha perang anti-fasis. Namun, golongan komunis kemudiannya menyedari bahawa pendirian mereka membantah “Gerakan Keluar India” ini merupakan satu kesilapan yang besar kerana ia bertentangan dengan perasaan popular masyarakat India pada masa itu untuk memerdekakan tanahair mereka daripada penjajahan British.
Pasca Perang Dunia II dan Kemerdekaan India
Perjuangan massa yang dipimpin oleh golongan komunis India semakin memuncak selepas tamatnya Perang Dunia II. Gelombang mogok pekerja tercetus dengan CPI memainkan peranan penting dalam menyusun perjuangan.
Mogok kelasi-kelasi dalam Tentera Laut Diraja India pada 18 Februari 1946 di pelabuhan Bombay, yang pada awalnya memprotes terhadap keadaan hidup yang teruk, telah bertukar menjadi pemberontakan nasional yang merebak ke tempat lain di India British. Dari dari Karachi ke Calcutta, dengan lebih 20,000 orang kelasi di atas 78 buah kapal dan 20 pengkalan tentera laut terlibat dalam aksi pemberontakan. CPI telah menyokong penuh pemberontakan ini dan menyeru untuk mengadakan mogok umum pada 22 Feburari 1946. Ratusan ribu orang pekerja bermogok, sementara peniaga-peniaga menutup perniagaan dan pelajar-pelajar memboikot kelas. Walaupun pemberontakan pegawai-pegawai pangkat rendah tentera laut akhirnya dipatahkan, tetapi sokongan hebat daripada rakyat disebabkan kempen yang dipimpin oleh golongan komunis mengelakkan mereka daripada kehancuran sepenuh.
Kesatuan Petani Seluruh India (AIKS) yang digerakkan oleh CPI melancarkan gerakan Tebhaga di Bengal India pada tahun 1946, untuk menuntut hasil tanaman petani yang diserahkan kepada tuan tanah dikurangkan daripada separuh kepada satu pertiga. Gerakan Tebhaga yang menggabungkan tenaga masyarakat Hindu dan Muslim berasaskan perjuangan kelas ini berjaya merealisasikan tuntutan petani di banyak wilayah.
Satu lagi perjuangan penting yang dipimpin oleh CPI ialah pemberontakan bersenjata di Telangana pada tahun 1946-1951, untuk menentang golongan tuan tanah di wilayah tersebut dan juga pemerintahan autokratik Negeri Keputeraan Hyderabad pada masa itu. Lebih 3,000 buah kampung diambilalih oleh pemberontak daripada tuan tanah feudal, dan 1 juta ekar tanah pertanian diagihkan kepada petani-petani tanpa tanah. Kerajaan INC yang mentadbir India baru merdeka pada masa itu, melancarkan operasi polis pada 13 September 1948 untuk mematahkan perjuangan yang dipimpin oleh golongan komunis di Telangana dan memaksa Kerajaan Nizam di Negeri Hyderabad untuk menyertai Kesatuan India. Kerajaan Nizam menyerah kalah dan penggabungan negeri Hyderabad ke dalam India diisytihar, namun masih tidak mencukupi untuk menguasai Hyderabad. Tentera India kemudiannya menceroboh kampung-kampung di kawasan Telangana untuk menghancurkan perjuangan petani di situ. Lebih 4,000 orang pejuang petani dan komunis dibunuh dalam peristiwa pemberontakan dan penindasan oleh kerajaan India ini, sementara lebih 10,000 orang dibuang ke dalam kem tahanan dan penjara.
Perpecahan Gerakan Komunis India
Pada ketika India mencapai kemerdekaan pada 15 Ogos 1947, gerakan komunis India perlu berdepan dengan beberapa persoalan yang muncul. Kuasa penjajah yang ditentang hebat oleh golongan komunis sudah keluar dari India dan negara India sudah diperintah oleh warga India sendiri. Namun, apakah sifat negara yang baru ini dan siapakah pemerintahnya yang baru? Adakah negara India yang baru ini sebuah negara diperintah oleh kerajaan boneka kuasa penjajah? Atau adakah ia sebuah negara yang merdeka, dengan sokongan daripada kelas pemerintah India? Jika begitu, siapakah kelas pemerintah India? Apakah pendekatan parti komunis terhadap pemerintah baru ini? Apakah hala tuju perjuangan komunis di India selepas ini? Persoalan-persoalan yang timbul dalam gerakan komunis India inilah menyebabkan pembentukan beberapa aliran pemikiran yang berbeza dalam gerakan ini.
Bermula pada pertengahan tahun 1950-an, sudah wujudnya ketidakpuasan hati dan pandangan yang berbeza di kalangan ahli-ahli CPI terhadap kepimpinan mereka. Persoalan yang ketara adalah bagaimana melihat dasar yang diamalkan oleh kerajaan India pimpinan Jawaharlal Nehru daripada INC yang mengambil pendekatan dasar luar yang agak bebas (di samping rapat dengan Kesatuan Soviet) dan mengadakan proses perancangan ekonomi. Sebahagian pemimpin CPI berpendapat bahawa golongan komunis patut bekerjasama dengan golongan kiri dalam INC yang diwakili oleh Jawaharlal Nehru, dengan hujahan bahawa golongan ini mewakili kelas borjuasi nasional dan memainkan peranan dalam melawan imperialisme dan feudalisme.
Ramai anggota CPI di peringkat akar umbi pula menganggap bahawa India masih merupakan sebuah negara semi-feudal, sementara itu CPI tidak patut menggadaikan garis juang politik yang berlandaskan perjuangan kelas hanya kerana kepentingan perdagangan dan diplomasi Kesatuan Soviet. Pada masa yang sama, hubungan Parti Komunis Kesatuan Soviet dengan Parti Komunis China juga semakin merosot. Parti Komunis China yang dipimpin oleh Mao Zedong telah mengkritik Parti Komunis Kesatuan Soviet kerana ia telah mengambil jalan “reviosionis”, khususnya selepas Nikita Khrushchev menjadi Setiausaha Agung Parti Komunis Kesatuan Soviet menggantikan Joseph Stalin. Lebih-lebih lagi, apabila tercetusnya perang sempadan China-India pada tahun 1962, wujudnya dua puak dalam CPI, di mana salah satu puak yang mengambil pendirian pro-China dan satu lagi puak menyokong kerajaan Kongres India (juga pro-Soviet).
Perbezaan pandangan terhadap halatuju CPI akhirnya menyebabkan parti ini berpecah kepada dua pada tahun 1964. Puak yang membantah pendekatan bekerjasama dengan INC, mewakili 60% daripada jumlah CPI pada masa itu, telah menubuhkan Parti Komunis India (Marxis) [dengan nama singkatan CPI(M)]; sementara puak yang satu lagi yang lebih pro-Soviet dan tidak mahu menentang INC sepenuhnya, telah mengekalkan nama asal CPI.
Berikutan Pemberontakan Naxalbari pada tahun 1967, sebahagian golongan komunis yang mengganggotai CPI(M) telah melibat perjuangan bersenjata sebagai sesuatu yang perlu, dan memutuskan untuk menubuhkan Parti Komunis India (Marxis-Leninis) [dengan nama singkatan CPI(ML)] pada tahun 1969. Namun, CPI(ML) pula mengalami perpecahan kepada banyak lagi kumpulan yang lain selepas itu. Kebanyakan parti yang mengambil nama CPI(ML) dipengaruhi oleh fahaman Maois.
Gerakan komunis, pilihanraya dan Kerajaan Kiri
Oleh sebab kejayaan organisasi massa oleh golongan komunis di beberapa wilayah, golongan komunis mempunyai sokongan besar yang membolehkan mereka untuk memenangi pilihanraya malah membentuk kerajaan. Pembentukan kerajaan oleh golongan komunis membolehkan mereka menggubal dasar-dasar alternatif yang mencabar sistem sosio-ekonomi yang sedia ada dan melaksanakan langkah-langkah yang membantu rakyat di samping memberi Pendidikan politik kepada rakyat untuk meningkatkan kesedaran kelas.
CPI mendapat kemenangan pertamanya dalam pilihanraya dewan perundangan negeri dan membentuk kerajaan negeri pada tahun 1957 di negeri Kerala, dengan E. M. S. Namboodiripad dilantik sebagai Ketua Menteri yang pertama negeri itu. Kerajaan Negeri Kerala yang diterajui CPI memperkenalkan ordinan untuk mengharamkan pengusiran petani sewa oleh tuan tanah dan perundangan untuk reformasi tanah. Kerajaan CPI juga meningkatkan pendanaan untuk pendidikan. Namun, dasar pentadbiran kerajaan CPI tidak disenangi oleh golongan tuan tanah dan Gereja Katolik di Kerala, sehingga melancarkan protes dan menimbulkan huru-hara untuk menentang kerajaan CPI. Kerajaan pusat INC menggunakan kesempatan untuk membubarkan kerajaan CPI pimpinan E. M. S. Namboodiripad pada tahun 1959. Namun begitu, golongan komunis kembali mentadbir Kerala pada tahun 1967, apabila Barisan Bersatu yang diterajui oleh CPI dan CPI(M) menang besar dalam pilihanraya dewan perundangan. Sejak itu, CPI(M) menjadi parti kiri terbesar dari segi penguasaan kerusi di Kerala dan banyak kali membentuk kerajaan berhaluan kiri bersama dengan CPI dan parti-parti kiri yang lain.
Pemerintahan parti berhaluan kiri di Kerala telah membawa kepada reformasi tanah yang mengehadkan keluasan tanah yang boleh dimiliki oleh sesebuah keluarga dan meningkatkan pemilikan tanah oleh petani kecil, di samping pembangunan sistem kesihatan awam yang dinyahpusatkan dan pelaburan yang besar dalam pendidikan awam. Setiap kampung mempunyai pusat kesihatan asas dan terdapat hospital di setiap peringkat pentadbiran di dalam negeri tersebut, di samping terdapat 10 buah kolej perubatan di negeri tersebut. Keutamaan yang diberikan oleh kerajaan berhaluan kiri di Kerala kepada sistem kesihatan awam, menjadikan Kerala negeri dengan jangka hayat yang tertinggi dan kematian bayi yang terendah di seluruh India. Kerala juga merupakan negeri dengan kadar literasi yang tertinggi di India. Idea asas di sebalik “model Kerala” ini adalah:
- Sesebuah negara atau wilayah tidak semestinya perlu tunggu sampai ia menjadi cukup kaya baru dapat membawa peningkatan yang penting kepada keadaan hidup rakyat dan mengagihkan semula kekayaan masyarakat.
- Tindakan awam oleh rakyat boleh menggerakkan perubahan dengan memaksa kerajaan mengamalkan dasar-dasar pengagihan semula dan program-program pro-rakyat.
CPI(M) pernah mentadbir negeri Bengal Barat dari tahun 1977 hingga 2011, dengan pencapaian utamanya adalah pemulihan pertanian dan peningkatan kualiti hidup penduduk luar bandar di negari itu. Pembaharuan yang dibawa oleh kerajaan negeri pimpinan CPI(M) telah mengubah imbangan kuasa kelas di kawasan perkampungan luar bandar dengan melemahkan dominasi tuan tanah besar. CPI dan CPI(M) juga pernah membentuk kerajaan di negeri Tripura.
Walau bagaimanapun, kerajaan berhaluan kiri yang diterajui CPI(M) menghadapi cabaran hebat dalam melaksanakan dasar-dasar alternatif di bawah kerangka sistem ekonomi kapitalis, khususnya dalam era ekonomi neoliberal.
India memasuki era neoliberal secara rasminya pada tahun 1991, walaupun pengembangan kekuasaan golongan kapitalis besar dan kecenderungan ke arah itu sudah pun bermula sebelum itu. Kejatuhan Kesatuan Soviet menyebabkan India beralih kepada bentuk kapitalisme yang lebih agresif. Secara bersama-sama dengan penularan neoliberalisme, kuasa politik berhaluan kanan yang hendak mengubah India menjadi sebuah negara Hindu juga semakin berkembang. Kuasa politik pelampau kanan ini diwakili oleh kumpulan fasis seperti Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS) dan Parti Bharatiya Janata (BJP) yang memerintah India sekarang ini.
Golongan komunis India telah berjuang melawan penswastaan perusahaan awam, penjualan aset awam pada harga rendah dan penghakisan hak pekerja, di samping meneruskan perjuangan melawan penindasan kasta sejak dahulu lagu. Gerakan kiri yang diterajui golongan komunis India memainkan peranan penting dalam menangkis ancaman kuasa pelampau kanan.
Sepanjang 100 tahun yang lalu, ratusan ribu pejuang revolusioner daripada Gerakan Komunis India telah mendedikasikan hidup mereka untuk membina sebuah masyarakat yang samarata dan benar-benar demokratik. Ribuan kadre telah mengorbankan nyawa mereka dalam perjuangan ini, namun lebih ramai lagi masih meneruskan usaha pembebasan masyarakat ini.
==========
Rujukan: