(Berikut ialah manifesto yang dikeluarkan untuk bersempena Minggu Aksi Anti-Imperialis pada 5-10 Oktober 2020.)

Apabila berdepan dengan kita yang berperut lapar, golongan imperialis mencapai senapang mereka. Apabila berdepan dengan imperialis, kita yang berperut lapar berpegangan tangan dan berarak ke hadapan.

Kemanusiaan kita telah diancam oleh sejenis virus halimunan yang merebak dengan cepat; tetapi kita telah lama dicabar oleh virus-virus yang lain, seperti pengangguran, kebuluran, rasisme, patriarki, ketidaksamarataan, dan perang. Virus-virus ini menunjukkan diri mereka secara berbeza di tempat-tempat berlainan di dunia, menyerang secara hebat kehidupan pekerja-pekerja dan petani-petani, serta mereka yang mengalami kesan ketidaksamarataan sosial; sementara itu, terdapat segolongan kecil orang yang mengaut keuntungan daripada kehancuran ini.

Sistem kapitalis tidak mempunyai jawapan kepada krisis-krisis ini; dasar-dasarnya adalah kosong. Bukannya mencari jalan untuk memberikan kita tempat tinggal dan memberikan kita makan, sebaliknya golongan kapitalis membina mesin pemusnah yang besar – pasukan polis dan tentera yang melemaskan nyawa kelas pekerja di negara-negara kaya serta kelas pekerja dan golongan petani di negara-negara yang lebih miskin. Sekiranya sebuah negara yang lebih miskin cuba berdiri tegak, mencuba untuk mengamalkan kedaulatannya, kuasa hebat digunakan untuk menentangnya: kuasa kewangan, diplomatik dan ketenteraan. Mereka mendominasi kita dengan senjata, dan juga dengan idea; mereka cuba menyakinkan kita bahawa pandangan mereka adalah pandangan yang betul.

Pengurus-pengurus sistem kapitalis adalah cepat untuk mengeluarkan senapang mereka dan mengarahkannya pada musuh yang jauh, memandu kereta kebal mereka ke dalam tanah kita dan menduduki rumah kita, merobek alam semulajadi dan memusnahkan dunia kehidupan kita; adalah mudah untuk mereka memprovokasikan perang berbanding mengisi perut manusia dengan makanan. Mereka lebih rela menghasut rakyat dengan rasisme dan jingoisme daripada menangani hakikat bahawa sistem yang rosak telah semakin bergantung pada buruh penjagaan wanita yang tidak diiktiraf, keadaan kerja teruk yang dikenakan ke atas pekerja lombong dan pekerja kilang. 

Planet ini sedang terbakar, virus-virus sedang mara ke hadapan, kebuluran sedang melanda bumi ini, dan walaupun dalam kekecohan sebegini, kita – sebahagian besar rakyat di planet ini – belum lagi berputus asa terhadap kemungkinan untuk masa depan. Kita mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada ini, sebuah dunia yang melangkaui keuntungan dan keistimewaan, sebuah dunia yang mengatasi kapitalisme dan imperialisme, sebuah dunia yang menyanyikan lagu kemanusiaan. Hati kita adalah lebih besar berbanding senapang mereka; kasih sayang kita dan perjuangan kita akan mengatasi ketamakan dan sikap tidak peduli mereka.

Banyak benih telah ditanam oleh gerakan kita. Kita perlu menyiram mereka, menjaga mereka, memastikan mereka berkembang. Kita akan membina sebuah masa depan yang menghargai kehidupan bukannya keuntungan, sebuah masa depan dengan persaudaraan antara rakyat bukannya perang rasis, sebuah masa depan di mana hirarki masyarakat dimansuhkan, dan kita menikmati maruah bersama.

Hanya apabila cukup gelap barulah anda melihat bintang-bintang. Sekarang sudah cukup gelap.

==========

Manifesto ini disokong oleh gerakan-gerakan sosial dan parti-parti politik kiri seperti Perhimpunan Rakyat Antarabangsa, Gerakan ALBA, Parti Kiri Eropah, Forum São Paulo, La Vía Campesina, Democratic Way (Morocco), Parti Pekerja Tunisia, Parti Komunis Nepal, Parti Pekerja Bangladesh, Parti Sosialis Malaysia (PSM), Potere al Popolo! (Itali), Parti Pekerja Komunis Rusia, Kesatuan Pusat Pekerja Kuba, Parti Sosialis Bersatu Venezuela (PSUV), Parti Sosialis Zambia, Parti Pekerja Revolusioner Sosialis (SRWP) Afrika Selatan dan sebagainya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *