Pertempuran bersenjata tercetus semula di wilayah Nagorno-Karabakh sejak 27 September 2020. Konflik terbaru di wilayah bergunung-ganang yang terletak di Selatan Kaukasus ini, merupakan krisis perang yang paling serius di wilayah yang dipertikaikan dan mempunyai konflik berlarutan ini sejak “Perang Empat Hari” yang berlaku pada bulan April 2016.

Konflik di Nagorno-Karabakh bukan sahaja pertembungan antara kumpulan etnik di Kawasan setempat, tetapi juga sering dianggap sebagai “perang proksi” antara kuasa besar serantau, iaitu Rusia dan Turki.

Latar belakang sejarah konflik di Nagorno-Karabakh

Nagorno-Karabakh merupakan sebahagian daripada wilayah geografi yang lebih besar yang dikenali sebagai Karabakh (yang dibahagikan kepada 3 bahagian, iaitu: Karabakh Tanah Tinggi yang meliputi hamper seluruh Nagorno-Karabakh hari ini, Karabakh Tanah Rendah yang terletak antara Sungai Kura dan Sungai Aras; dan bahagian timur Pergunungan Zangezur). Wilayah Nagorno-Karabakh ditadbir secara de facto oleh kerajaan Republik Artsakh yang disokong oleh kerajaan negara Armenia, tetapi tidak mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa kerana kebanyakan negara di dunia mengiktiraf wilayah tersebut sebagai sebahagian daripada negara Azerbaijan secara de jure (sah di sisi undang-undang).

Konflik etnik di Nagorno-Karabakh boleh dijejak balik ke awal abad ke-20 apabila berlakunya pertembungan antara kuasa imperialis pada penghujung Perang Dunia I. Selepas kejatuhan Empayar Rusia kerana Revolusi Rusia pada tahun 1917, wilayah Karabakh yang pada awalnya di bawah pemerintahan Empayar Rusia menjadi sebahagian daripada Republik Persekutuan Demokratik Transkaukasia pada tahun 1918. Namun, Republik Persekutuan Demokratik Transkaukasia hanya bertahan sebulan sahaja dan berpecah kepada tiga buah negara (iaitu Armenia, Azerbaijan dan Georgia). Armenia dan Azerbaijan berperang pada tahun 1918-1920 kerana pertikaian terhadap wilayah Karabakh, Nakhchivan dan Zanzegur. Karabakh diceroboh oleh tentera Turki Uthmaniyyah tidak lama kemudian dan warga Armenia melancarkan penentangan bersenjata terhadap pencerobohan Turki. Selepas kekalahan Empayar Uthmaniyyah dalam Perang Dunia I, Karabakh diduduki oleh tentera British. Pemerintah tentera British mengiktiraf penguasaan Azerbaijan terhadap Karabakh, tetapi penduduk beretnik Armenia tidak bersejutu dengannya dan meneruskan perjuangan gerila mereka. Tidak lama kemudian, Azerbaijan bersama dengan Armenia dan Georgia jatuh dalam tangan Bolshevik. Bolshevik pada awalnya bersetuju untuk memasukkan Karabakh, Nakhchivan dan Zanzegur ke dalam Armenia; tetapi untuk menarik sokongan daripada Turki demi mewujudkan benteng perlindungan daripada ancaman kuasa imperialis lain ketika Perang Saudara Rusia, Bolshevik akhirnya bersetuju dengan pembahagian di mana Karabakh dan Nakhchivan dimasukkan ke dalam Azerbaijan. Namun demikian, Wilayah Berautonomi Nagorno-Karabakh ditubuhkan pada tahun 1923, sebagai sebahagian daripada Republik Soviet Persekutuan Sosialis Transkaukasia dan kemudiannya Republik Sosialis Soviet Azerbaijan yang menganggotai Kesatuan Soviet. Konflik antara kumpulan etnik di wilayah ini hampir tidak wujud selama beberapa dekad sehingga tahun 1980-an, di mana sentimen nasionalis diapi-apikan oleh golongan elit politik pada ketika Kesatuan Soviet mengalami proses pembubaran.

Semasa Kesatuan Soviet mengalami perpecahan, kawasan Nagorno-Karabakh mempunyai penduduk yang terdiri daripada golongan Muslim Shia Azerbaijan dan golongan etnik Armenia yang beragama Kristian. Seperti negara-negara bekas Kesatuan Soviet yang lain, perbezaan etnik menjadi satu permasalahan serius dalam negara yang baru dibentuk. Golongan etnik Armenia yang merupakan majoriti di wilayah Nagorno-Karabakh, dengan sokongan daripada Republik Sosialis Soviet Armenia memulakan gerakan untuk menuntut pemindahan pentadbiran wilayah berautonomi tersebut kepada Armenia pada tahun 1980-an. Pada bulan Ogos 1987, golongan beretnik Armenia di Karabakh mengemukakan petisyen yang ditangani puluhan ribu orang untuk bergabung dengan Armenia. Tuntutan untuk bergabung dengan Armenia telah ditolak oleh Moskow dan Republik Sosialis Soviet Azerbaijan pada masa itu. Konflik memuncak apabila tercetusnya Perang Nagorno-Karabakh pada tahun 1988 dan berlarutan selama 6 tahun hingga 1994. Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet pada tahun 1991, konflik peperangan di Nagorno-Karabakh yang melibatkan Armenia dan Azerbaijan, telah menjadi “perang proksi” antara kuasa besar yang berkepentingan geopolitik. Armenia mendapat sokongan daripada tentera Rusia, sementara Azerbaijan disokong oleh Turki yang merupakan anggota NATO. Pejuang Mujahidin dari Afghanistan juga menyertai Perang Nagorno-Karabakh dan bertempur untuk pihak Azerbaijan. Perang Nagorno-Karabakh 1988-1994 telah meragut nyawa ribuan rakyat dan ratusan ribu orang menjadi pelarian. Penduduk beretnik Armenia di Azerbaijan dan penduduk beretnik Azerbaijan di Armenia, terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka kerana konflik ini.

Satu persetujuan genjatan senjata tercapai pada bulan Mei 1994 untuk memberhentikan konflik perang 1988-1994, tetapi kedua-dua pihak Armenia dan Azerbaijan gagal mencapai perjanjian pendamaian untuk menyelesaikan pertelingkahan mereka secara berkekalan. Wilayah Nagorno-Karabakh telah dikuasai oleh Republik Artsakh secara de facto dengan sokongan Armenia sejak tamatnya Perang Nagorno-Karabakh 1988-1994, tetapi tidak mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Selepas persetujuan gencatan senjata pada tahun 1994, konflik masih berterusan di wilayah yang dipertikaikan ini dengan insiden yang paling serius sebelum terjadinya perang terbaru adalah “Perang Empat Hari” pada tahun 2016 dan konflik sempadan Armenia-Azerbaijan pada bulan Julai 2020.

Perkembangan terbaru – konflik berterusan

Kerajaan Azerbaijan di bawah pimpinan Ilham Aliyev yang berkuasa sejak tahun 2003, telah melancarkan serangan ketenteraan terbaru terhadap wilayah Nagorno-Karabakh pada 27 September 2020. Sejak pembukaan saluran minyak Baku-Ceyhan yang mengepam minyak dari Laut Kaspia ke Barat melalui Turki pada tahun 2006, Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev sering melakukan ugutan secara terbuka untuk menawan semula Nagorno-Karabakh dengan menggunakan kekerasan. Aliyev telah beria-ia untuk membelanjakan pendapatan daripada minyak dalam meningkatkan perbelanjaan ketenteraan.

Terdapat dakwaan bahawa tentera Azerbaijan mendapat sokongan daripada kumpulan pemberontak Syria dan kerajaan Turki, tetapi dinafikan oleh kerajaan Azerbaijan dan Turki. Kerajaan Turki pula mendakwa bahawa pejuang-pejuang Parti Pekerja Kurdistan (PKK) dan kumpulan militia Kurdi Unit Perlindungan Rakyat (YPG) dari Syria memasuki wilayah Nagorno-Karabakh untuk bertempur dengan Azerbaijan, tetapi tidak membekalkan apa-apa bukti.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah menyeru pada kedua-dua pihak Armenia dan Azerbaijan untuk menghentikan pertempuran dan kembali ke meja rundingan tanpa prasyarat.

Rusia dan Turki, dua kuasa serantau ini mempunyai peranan dalam meredakan keadaan dan mewujudkan penyelesaian untuk mengelakkan konflik daripada menjadi lebih teruk. Hubungan antara Rusia dan Turki semakin rapat beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi saling bertentangan dalam beberapa isu geopolitik, termasuk konflik di Nagorno-Karabakh. Konflik terbaru di Nagorno-Karabakh sedang memberi cabaran hebat kepada hubungan antara dua kuasa serantau ini.

Turki bersempadan dengan Armenia, sementara Rusia bersempadan dengan Azerbaijan. Kerajaan Rusia mempunyai pengaruh kuat terhadap kerajaan Armenia pimpinan Nikol Pashinyan, sementara Turki merupakan penyokong penting kepada kerajaan Azerbaijan. Rusia telah membentuk pakatan ketenteraan dengan Armenia, sementara menjual persenjataan kepada kedua-dua pihak Armenia dan Azerbaijan. Rusia mempunyai hasrat untuk mengimbangi kuasa geopolitik di rantau Kaukasus, maka sering cuba untuk meredakan keadaan secepat mungkin supaya mengelakkan pergolakan berterusan yang menjejaskan kepentingan geopolitiknya.

Sekiranya konflik di Nagorno-Karabakh berterusan, sudah pasti akan berkembang menjadi pentas pertembungan antara kuasa besar melalui proksi mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *