KUALA LUMPUR – 7 SEPTEMBER 2020: Pekerja pembersihan sekolah, Valarmathy, menang dalam kesnya melawan PERKESO di mahkamah hari ini. Dalam keputusan yang disampaikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Dato Sri Mariana Binti Haji Yahya, adalah dinyatakan bahawa Valarmathy berhak untuk membuat tuntutan PERKESO berkenaan dengan kemalangannya semasa menghantar rakan sekerjanya pulang ke rumah.
Sebelum ini, pihak PERKESO menafikan hak Valarmathy untuk menuntut faedah skim bencana pekerjaan dengan alasan apa yang berlaku padanya bukan sesuatu bencana kerja. Namun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini telah mengatakan bahawa perjalanan Valarmathy menghantar rakan sekerjanya untuk pulang ke rumah sebelum balik ke rumah sendiri adalah satu lencongan yang munasabah, kerana matlamat akhir perjalanan Valarmathy itu adalah pulang ke rumah.
Di samping itu, berkaitan isu RM50 yang dibayar setiap bulan kepada Valarmathy oleh rakan sekerjanya, Mahkamah tidak menganggapnya sebagai satu perniagaan untuk menjana pendapatan ekonomi tetapi hanyalah duit minyak. Mahkamah juga menyatakan bahawa kes ini memang ada kaitan dengan pekerjaan, kerana Valarmathy dan rakan sekerjanya bekerja di tempat kerja yang sama, dan Valarmathy hanya menghantar rakan sekerjanya pulang pada masa yang sama dengan dia perlu pulang ke rumah.
Keputusan mahkamah ini memberi makna yang penting dan akan membantu pekerja lain dalam mendapatkan faedah skim bencana pekerjaan sekiranya menghadapi situasi yang serupa. Dengan keputusan mahkamah ini, Valarmathy sepatutnya berhak untuk menuntut faedah bencana kerja bagi cuti sakit selama 3 bulan dan juga bayaran yang dapat membantu menanggung kos pembedahannya yang sebanyak RM18,000. Sebelum ini, Valarmathy tidak dapat menjalani pembedahan tersebut kerana tiada wang.
S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), yang hadir bersama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, berkata, “Kami meminta pada pihak PERKESO supaya jangan membuat rayuan lagi terhadap keputusan mahkamah hari ini, dan biarkan ia menjadi satu kes duluan yang memanfaatkan semua pekerja di negara kita.”
Valarmathy diwakili oleh Vivian Kuan, Beatrice Chin dan New Sin Yew.
3 thoughts on “Pekerja pembersihan sekolah menang kes lawan PERKESO di mahkamah”