Kemarahan rakyat Amerika Syarikat (AS) terhadap rasisme dan keganasan polis terus membara, dengan gelombang protes terbaru tercetus di negeri Wisconsin selepas insiden seorang lelaki warga Amerika Afrika bernama Jacob Blake ditembak 7 kali dari belakang oleh seorang pegawai polis di bandar Kenosha, Wisconsin pada 23 Ogos 2020.
Blake terkena 4 daripada 7 das tembakan terhadapnya dan mengalami kecederaan parah dengan badannya lumpuh. Isteri Blake dan tiga orang anaknya juga berada di tempat kejadian semasa berlaku penembakan. Dalam beberapa jam selepas insiden tembakan polis, ratusan demonstran berhimpun di tempat kejadian untuk berprotes mengecam keganasan polis. Demonstrasi juga diadakan di luar pejabat polis Kenosha dan beberapa buah bandar lain di negeri Wisconsin. Polis telah bertindak secara ganas terhadap protes massa dan menembak gas pemedih mata terhadap demonstran di Kenosha.Gelombang protes terbaru ini telah meneruskan momentum aksi “Black Lives Matter” (BLM) seluruh negara AS yang dicetuskan selepas pembunuhan George Floyd pada 25 Mei 2020.
Pada 25 Ogos 2020, dua orang demonstran yang berprotes membantah rasisme dan keganasan polis di Kenosha, telah ditembak mati oleh pelampau kanan yang menggunakan senapang semi-automatik. Seorang lagi demonstran mengalami kecederaan kerana tembakan itu. Penembak yang membunuh dua orang itu, seorang lelaki berumur 17 tahun, Kyle Rittenhouse, telah berjalan melepasi polis yang berada di situ tanpa dihalang selepas kejadian penembakan. Rittenhouse ditahan di rumah kediamannya di negeri Illinois yang bersebelahan dengan Wisconsin, dan didakwa dengan pertuduhan membunuh secara sengaja darjah pertama. Rittenhouse telah pergi ke Kenosha dari Illinois untuk menyambut seruan kumpulan pelampau kanan yang berfahaman ketuanan orang putih.
Insiden penembakan oleh anggota kumpulan pelampau kanan bersenjata terhadap demonstran yang membantah keganasan polis ini menimbulkan banyak persoalaan berkenaan penglibatan atau persekongkolan polis dalam usaha mengganggu protes anti-rasisme. Kumpulan pelampau kanan yang bersenjata telah berkeliaran di bandar Kenosha dengan alasan “melindungi perniagaan”, dan mengancam protes anti-rasisme dengan keganasan.
Setakat ini, pegawai polis yang terlibat dalam insiden penembakan Jacob Blake telah dikenakan “cuti administratif” untuk siasatan, tetapi tiada penangkapan atau dikenakan tindakan yang lebih serius lagi. Letetra Widman, kakak kepada Jacob Blake, berkata dalam satu sidang akhbar, “Aku tidak sedih. Aku tidak kecewa. Aku marah. Dan aku penat. Aku tidak pernah menangis sekali pun. Aku berhenti menangis bertahun-tahun dulu. Aku sudah kebas. Aku telah menyaksikan polis membunuh orang yang nampak serupa dengan saya untuk bertahun-tahun… Aku tidak mahu belas kasihan anda, aku mahu perubahan.”
Apa yang berlaku di Kenosha bukannya sesuatu yang unik dan terasing. Ia merupakan sebahagian daripada masalah sistematik yang wujud di negara AS dan mencetuskan gelombang demi gelombang protes BLM dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Rakyat AS telah bermobilisasi dan turun berprotes di jalanan untuk menuntut keadilan dan melawan pencabulan hak asasi manusia.
One thought on “AS: Gelombang protes melanda Wisconsin selepas insiden tembakan polis”