20200819 - Annie Risemberg - AFP- Getty Images
(foto oleh Annie Risemberg / AFP/ Getty Images)

Selepas gelombang protes besar-besaran beberapa bulan kebelakangan ini dan pemberontakan oleh sebahagian pegawai dalam Angkatan Tentera Mali, Presiden Mali, Ibrahim Boubacar Keïta, mengumumkan perletakan jawatannya dalam siaran televisyen pada 19 Ogos 2020, di samping membubarkan kerajaan dan parlimen. Keïta berkata, “Saya tidak mahu pertumpahan darah untuk kekalkan kuasa saya.”

Kudeta tentera yang terbaru di negara Afrika Barat ini, berlaku apabila sekumpulan askar melancarkan pemberontakan pada 18 Ogos 2020, bermula dari sebuah pangkalan tentera di Kati, yang terletak 15 km ke barat laut dari bandar Bamako, ibu negara Mali. Anggota tentera yang memberontak telah menahan beberapa orang pegawai tinggi kerajaan, termasuk Presiden Keïta dan Perdana Menteri Boubou Cissé. Dengan berita penahanan Keïta mula tersebar, demonstran turun semula ke jalanan di Bamako untuk menuntut perletakan jawatannya. Keïta mengumumkan perletakan jawatan sebagai Presiden pada hari keesokannya. Rampasan kuasa ini telah disambut positif oleh “Gerakan 5 Jun”, satu gabungan pembangkang yang terlibat dalam aksi protes anti-kerajaan yang tercetus pada 5 Jun 2020.

Kumpulan anggota tentera yang melancarkan kudeta, yang menggelar diri mereka sebagai “Jawatankuasa Nasional untuk Kesejahteraan Rakyat”, menjanjikan peralihan politik ke dalam tangan orang awam semula melalui pilihanraya umum yang diadakan dalam “tempoh masa yang munasabah”.

Pemimpin-pemimpin daripada banyak negara mengecam tindakan kudeta ini, termasuklah Kesatuan Eropah, Perancis, Amerika Syarikat, Kanada, China, Rusia dan Turki, satu “perpaduan” yang agak jarang wujud dalam kalangan negara-negara yang sedang berkonflik dalam pelbagai isu pada hari ini. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), António Guterres, menyeru untuk “pemulihan serta-merta susunan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.”

20200819 - Malik Konate- AFP - Getty Images Screenshot_2020-08-19 Mali soldiers promise 'civilian political transition' leading to general election
(foto oleh Malik Konate / AFP / Getty Image)

Mali yang masih menghadapi konflik bersenjata berterusan di bahagian utaranya, telah terjerumus dalam krisis politik baru sejak dua tahun kebelakangan ini. Ketegangan politik di negara itu mula meruncing berikutan Ibrahim Boubacar Keïta menang untuk kali kedua dalam Pilihanraya Presiden pada tahun 2018, di mana peratusan keluar mengundi agak rendah dan parti-parti pembangkang mendakwa wujudnya penyelewengan dalam pilihanraya tersebut. Krisis timbul lagi pada tahun 2020 apabila keputusan pilihanraya parlimen yang diadakan pada bulan Mac dan April 2020 telah dipertikaikan. Mahkamah Perlembagaan Mali memutuskan pada 30 April 2020 untuk mengubah keputusan pilihanraya bagi 31 kerusi, membolehkan parti yang dipimpin oleh Keïta, “Perhimpunan untuk Mali” (RPM), memperoleh 10 kerusi tambahan dan kekal sebagai blok yang terbesar dalam Parlimen Mali. Keputusan mahkamah ini mencetuskan gelombang protes di beberapa buah bandar di Mali.

Pada 30 Mei 2020, parti-parti pembangkang utama dan kumpulan-kumpulan masyarakat sivil di Mali membentuk sebuah gabungan pembangkang yang baru, digelar sebagai “Gerakan 5 Jun – Perhimpunan Kuasa Patriotik”, dan menyeru untuk mengadakan demonstrasi dengan tuntutan perletakan jawatan Keïta. Puluhan ribu orang telah turun berdemonstrasi. Demonstran yang berprotes di jalanan tidak berpuas hati dengan kerajaan pimpinan Keïta yang gagal memperbaiki keadaan ekonomi negara itu yang amat teruk dan tidak mampu membendung konflik bersenjata yang sudah mengorbankan ribuan nyawa serta menimbulkan keadaan huru-hara di banyak tempat di dalam negara itu.

20200819-mali

Walaupun Keïta cuba menawarkan cadangan pembaharuan politik untuk meredakan keadaan, tetapi pihak pembangkang telah menolaknya dengan tegas. Gerakan protes meneruskan tuntutan untuk pembubaran parlimen dan menggesa rakyat untuk melakukan ketidakpatuhan sivil. Pada 10 Julai 2020, protes telah bertukar menjadi pertembungan ganas antara demonstran dengan pasukan keselamatan yang melepaskan tembakan ke arah demonstran. Sekurang-kurangnya 11 orang mati dalam pertembungan di jalanan yang berlarutan selama 3 hari itu.

Masyarakat Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat (ECOWAS), sebuah kesatuan politik dan ekonomi serantau yang terdiri daripada 15 buah negara Afrika Barat, cuba menjadi perantara untuk menyelesaikan krisis di Mali. Sebuah delegasi yang diketuai oleh Goodluck Jonathan, bekas Presiden Nigeria, cuba mengemukakan cadangan seperti pembentukan kerajaan perpaduan untuk menangani situasi yang berada di jalan buntu, tetapi cadangan tersebut telah ditolak oleh gerakan protes Mali. Pihak pembangkang menegaskan tuntutan mereka untuk Keïta meletak jawatan. Keïta melantik 9 orang hakim baru ke dalam Mahkamah Perlembagaan pada 10 Ogos 2020, sebagai sebahagian daripada cadangan ECOWAS untuk menyelesaikan pertikaian, tetapi tindakan yang melantik sekutu yang rapat dengan Keïta sebagai hakim, mencetuskan lagi kemarahan rakyat terhadap penyelewengan kuasa. Aksi protes kembali ke jalanan pada 11 Ogos 2020. Di bawah keadaan gelombang protes yang semakin memuncak inilah, sekumpulan anggota tentera Mali melancarkan kudeta untuk menjatuhkan Keïta.

Gelombang protes yang melanda Mali kebelakangan ini, berkaitan rapat dengan ketidakpuasan hati rakyat Mali terhadap keadaan hidup yang semakin susah dan kegagalan kerajaan dalam menangani masalah rakyat. Hampir separuh rakyat Mali hidup dalam kemiskinan tegar dan ramai orang tidak mempunyai akses kepada pendidikan ataupun pekerjaan. Ekonomi Mali yang sangat bergantung kepada perlombongan emas dan pertanian, amat terkesan oleh turun naik harga pasaran komoditi antarabangsa dan juga masalah penggurunan yang semakin serius. Kesusahan hidup, tambahan pula dengan korupsi yang berleluasa serta pencabulan hak asasi manusia oleh pasukan keselamatan, menyebabkan sesetengah orang menyertai kumpulan bersenjata.

Peperangan tercetus di bahagian utara Mali pada tahun 2012 apabila “Gerakan Nasional untuk Pembebasan Azawad” (MNLA) yang disertai oleh golongan masyarakat beretnik Tuareg melancarkan pemberontakan untuk menuntut pemisahan wilayah utara Mali. Pemberontak telah dilengkapkan dengan senjata yang mengalir dari negara Libya yang berdekatan berikutan pencetusan perang saudara di negara itu pada tahun 2011. Kumpulan pelampau Islamis yang berhubungkait dengan Al-Qaeda dan ISIS turut mempergunakan kesempatan keadaan huru-hara berikutan pemberontakan Tuareg untuk menguasai wilayah di situ. MNLA dan Al-Qaeda berjaya menguasai sebahagian besar kawasan di utara Mali berikutan pemberontakan pada tahun 2012. Kerajaan pimpinan Presiden Amadou Toumani Touré pada masa itu telah dijatuhkan dalam satu kudeta tentera pada tahun 2012. Kudeta tersebut dilancarkan oleh anggota tentera yang tidak berpuas hati dengan respon yang lemah daripada kerajaan terhadap pemberontakan di utara Mali.

Keïta dipilih sebagai Presiden dalam pilihanraya tahun 2013 dengan mandat untuk mengadakan rundingan damai. Satu perjanjian damai ditandatangani pada tahun 2015 antara Kerajaan Mali dengan gabungan pemberontak yang terdiri daripada beberapa kumpulan Tuareg termasuk MNLA, tetapi mengecualikan kumpulan pelampau yang lain. Serangan pengganas masih berterusan selepas itu.

Bekas penjajah di Mali, Perancis, telah mencampurtangan dalam konflik di Mali sejak tahun 2013, dengan mengerahkan tentera Perancis ke situ. Penempatan hampir 5,000 orang anggota tentera Perancis di Mali, telah memakan kos lebih USD 1 bilion setiap tahun. Pendudukan tentera Perancis di Mali turut menimbulkan ketidakpuasan hati rakyat tempatan, dan pernah adanya protes yang menuntut pengunduran tentera Perancis. Serentak dengan campurtangan ketenteraan Perancis di Mali, adalah peningkatan keganasan konflik etknik di Mali. Kerajaan Mali dan pasukan keselamatan G5 (iaitu 5 buah negara di rantau Sahel: Burkina Faso, Chad, Mauritania, Niger dan Mali) yang disokong oleh Perancis telah terlibat dalam menyokong militia etnik Dogon yang membunuh masyarakat Fulani beragama Islam di utara Mali dengan alasan mereka disyaki menyokong kumpulan bersenjata Islamis. Pada 23 Mac 2019, kumpulan militia Dogon membunuh seramai 160 orang penduduk kampung beretnik Fulani, dan mencetuskan serangan balas yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 95 orang.

Mali ialah negara pengeluar emas yang ketiga besar di benua Afrika, selepas Ghana (yang terletak di selatan Mali) dan Afrika Selatan. Ia juga berjiran dengan Niger, di mana Perancis telah juga menempatkan tenteranya di situ di mana Perancis memperoleh kebanyakan bekalan uranium untuk penjanaan tenaga nuklear di Perancis. Mali merupakan salah satu daripada 10 buah negara termiskin di dunia, dan salah satu daripada 37 buah negara miskin yang berhutang tinggi. Kemiskinan negara Mali yang kronik ini merupakan produk dasar neo-kolonialisme yang diamalkan oleh negara-negara kuasa besar terhadap negara-negara yang kurang maju.

20200819-ddfff817a1f34e1596d208258ef302b0_18

One thought on “Mali: Protes dan kudeta jatuhkan Presiden Keïta

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *