20200818-PCV Venezuela

Parti Komunis Venezuela (Partido Comunista de Venezuela, PCV) dan “Tanahair untuk Semua” (Patria Para Todos, PPT), dua buah parti berhaluan kiri yang menyokong Kerajaan Venezuela pimpinan Nicolás Maduro, telah mengumumkan bahawa mereka akan membentuk gabungan politik baru untuk bertanding dalam Pilihanraya Parlimen Venezuela yang akan diadakan pada 6 Disember 2020.

Selain dua parti berhaluan kiri, pakatan pilihanraya berhaluan kiri baru yang dikenali sebagai “Alternatif Revolusioner Popular” (APR) ini akan merangkumkan penyertaan daripada anggota-anggota gerakan sosial, kesatuan-kesatuan sekerja, kumpulan-kumpulan LGBTIQ, pertubuhan-pertubuhan petani dan juga aliran politik kiri yang lebih kecil di negara itu. Mereka tidak akan menyokong calon-calon daripada parti pemerintah, iaitu Parti Sosialis Bersatu Venezuela (PSUV), dan akan bersaing untuk memenangi sebanyak kerusi yang mungkin dalam Perhimpunan Kebangsaan, iaitu badan perundangan atau parlimen di Venezuela.

Gabungan ini tidak akan merangkumkan parti-parti sekutu mereka sebelum ini, termasuk PSUV, atau parti-parti lebih kecil yang lain seperti Tupamaro, Perpaduan Popular Venezuela (UPV) dan Pertubuhan Pembaharuan Tulen (ORA), yang dijangkakan akan bersekutu dengan PSUV atau menyokong calon-calon parti pemerintah.

Walaupun PCV dan PPT pernah mencabar calon daripada parti pemerintah PSUV dalam pilihanraya di peringkat tempatan sebelum ini, namun pembentukan gabungan parti politik APR yang baru ini merupakan kali pertama wujudnya parti-parti berhaluan kiri yang bekerjasama di luar kerangka gabungan parti pemerintah di peringkat seluruh negara sejak tahun 1998. Selepas pengumuman pembentukan APR, perwakilan APR telah mengadakan perjumpaan dan rapat umum untuk membincangkan pilihan calon yang bakal bertanding dan strategi pilihanraya di beberapa negeri, termasuk Barinas, La Guaira, Lara and Carabobo.

Walaupun PCV dan PPT membentuk pakatan pilihanraya yang baru untuk pilihanraya parlimen akan datang, tetapi mereka masih akan kekal dalam “Kutub Patriotik Agung Simón Bolívar” (GPPSB), satu gabungan politik yang menghimpunkan parti-parti politik, kesatuan-kesatuan sekerja, golongan intelek dan gerakan sosial yang mendukung proses Revolusi Bolivar yang dimulakan oleh mendiang Hugo Chávez. GPPSB pada asalnya ditubuhkan pada tahun 2012 untuk menyokong Chávez dalam Pilihanraya Presiden tahun itu. Kedua-dua PCV dan PPT sebelum ini telah menyokong kuat proses Revolusi Bolivar, dan menyokong PSUV pada kebanyakan masa sejak penubuhan PSUV pada tahun 2007. Mereka juga sentiasa memberi sokongan kepada calon PSUV dalam Pilihanraya Presiden, Gabenor dan Datuk Bandar. PCV pada masa ini menguasai 2 kerusi dalam Parlimen sementara PPT memegang 4 kerusi dalam Parlimen Venezuela.

20200818 - venezuela

Menurut hantaran twitter PCV pada 5 Ogos 2020, “APR dilahirkan untuk mempertahankan rakyat pekerja daripada serangan imperialis dan kelemahan reformisme, menentang dasar-dasar yang menghancurkan pendapatan rakyat, memudahkan pemberhentian kerja dan menyerang petani-petani untuk kepentingan golongan borjuis dan tuan tanah besar”. PPT pula menyatakan bahawa, “APR ialah keperluan bersejarah yang wujud daripada usahasama semua orang yang berjuang untuk mempertahankan kemenangan revolusi”.

Berikutan pengumuman pembentukan pakatan pilihanraya yang baru daripada dua buah parti berhaluan kiri, Presiden Venezuela Mauro menyeru untuk “perpaduan”. Namun, Diosdado Cabello, Naib Presiden PSUV, telah mendakwa PCV dan PPT “menyemai perpecahan”. Walau bagaimanapun, tindakan PCV dan PPT ini menunjukkan bahawa wujudnya suara kritikan dalam kalangan gerakan yang mendukung proses Revolusi Bolivar. Parti-parti berhaluan kiri telah menyuarakan kritikan mereka terhadap sesetengah langkah yang diambil oleh kerajaan, termasuk penswastaan harta awam, kekebalan sesetengah pihak yang terlibat dalam keganasan berkaitan dengan isu tanah di kawasan luar bandar, dasar yang meminggirkan usaha pemberdayaan komuniti dan agenda ekonomi yang menjejaskan pekerja. PCV telah mengecam PSUV kerana gagal menunaikan janji yang dibuatnya ketika mendapatkan sokongan PCV terhadap Maduro dalam Pilihanraya Presiden 2018.

Sebanyak 277 kerusi akan dipertandingkan dalam Pilihanraya Parlimen Venezuela kali ini, meningkat daripada 167 kerusi yang dipertandingkan pada tahun 2015. Selain pertambahan jumlah kerusi, pembaharuan yang telah dilakukan terhadap sistem pilihanraya Venezuela kali ini adalah peningkatan nisbah kerusi yang dipilih melalui undian perwakilan berkadar. Daripada 277 kerusi, sebanyak 144 kerusi (52%) akan dipilih melalui undi mengikut parti dan diagihkan mengikut cara perwakilan berkadar, sementara kerusi yang lain dipilih mengikut undian majoriti. Hanya 51 daripada 167 kerusi sebelum ini dipilih melalui undian perwakilan berkadar. Perubahan kepada komposisi kerusi ini mewujudkan lebih banyak peluang kepada parti-parti kecil untuk dipilih ke dalam Perhimpunan Kebangsaan Venezuela tanpa perlu bergabung dalam satu pakatan pilihanraya yang lebih besar.

Sebanyak 20,733,941 orang pengundi layak mengundi dalam Pilihanraya Parlimen pada 6 Disember 2020 nanti.

Pilihanraya Parlimen Venezuela pada tahun 2015 telah menyaksikan kemenangan besar kepada parti-parti politik pembangkang yang menentang Revolusi Bolivar. Gabungan parti pembangkang “Meja Bulat Perpaduan Demokratik” (MUD) menang 109 kerusi pada tahun 2015. Puak pembangkang berhaluan kanan telah cuba menggunakan kelebihannya yang menguasai badan perundangan ini untuk menimbulkan pelbagai gangguan terhadap Kerajaan Venezuela pimpinan Maduro. Juan Guaidó yang dipilih sebagai Presiden Perhimpunan Kebangsaan pada bulan Januari 2019, terus melakukan cubaan untuk merampas kuasa dengan mengisytiharkan dirinya sebagai Presiden Venezuela, dengan sokongan daripada kuasa imperialis Amerika Syarikat dan sekutunya. Namun, pelbagai usaha daripada Guaidó dan puak pembangkang berhaluan kanan telah menemui kegagalan. Walaupun Guaidó tidak dipilih lagi sebagai Presiden Perhimpunan Kebangsaan pada bulan Januari 2020, tetapi dia masih menyatakan dia ialah Presiden Perhimpunan Kebangsaan dan Presiden Venezuela yang sah, dengan sokongan daripada kuasa imperialis Amerika Syarikat. Guaidó tidak mungkin akan menjadi Presiden Perhimpunan Kebangsaan selama-lamanya kerana tempoh perlantikan perwakilan dalam Perhimpunan Kebangsaan akan tamat pada bulan Disember 2020 dan perlu dipilih semula.

Guaidó dan parti-parti politik pembangkang berhaluan kanan yang merupakan budak suruhan kuasa imperialis Amerika Syarikat, telah menyatakan pendirian mereka untuk memboikot Pilihanraya Parlimen Venezuela pada bulan Disember nanti, seperti yang pernah dilakukan oleh mereka semasa Pilihanraya Presiden tahun 2018. Puak pembangkang berhaluan kanan enggan mengiktiraf keputusan Pilihanraya Presiden 2018 dan juga Maduro sebagai Presideen yang sah, sebaliknya menyokong Guaidó yang sendiri mengisytihar dirinya sebagai “Presiden”. Kerajaan Amerika Syarikat pimpinan Trump telah mengambil posisi untuk tidak mengiktiraf apa-apa proses pilihanraya demokratik di Venezuela selagi Maduro masih menjadi Presiden. Niat Kerajaan Amerika Syarikat adalah terus mewujudkan krisis politik di Venezuela selain usaha sekatan ekonomi yang bertujuan untuk menyahstabilkan negara itu demi menjatuhkan kerajaan yang mengancam kepentingan ekonomi dan geopolitik kuasa imperialis.

One thought on “Venezuela: Gabungan parti politik kiri baru dibentuk untuk tanding Pilihanraya Parlimen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *