20200821-p03npr6g

80 tahun dahulu, pada 20 Ogos 1940, Leon Trotsky, seorang tokoh revolusioner Rusia yang pernah memainkan peranan amat penting dalam Revolusi Oktober 1917 tetapi terpaksa hidup dalam buangan di Mexico pada masa itu, telah diserang oleh seorang ejen NKVD (polis rahsia Kesatuan Soviet) yang bertindak di bawah arahan Joseph Stalin. Ejen pembunuh itu menyerang Trotsky dengan sebilah beliung ais, di mana hujung tajam beliung ais itu menusuk ke dalam tengkorak Trotsky sedalam 7 cm. Trotsky dibawa ke hospital, tetapi meninggal dunia sehari selepas itu, pada 21 Ogos 1940. Pembunuhan Trotsky merupakan satu tragedi dalam sejarah gerakan perjuangan sosialis antarabangsa.

Lev Davidovich Bronstein (1879-1940), atau lebih dikenali sebagai Leon Trotsky, nama samarannya yang dipinjam daripada nama seorang pegawai penjara di penjara Odessa di mana dia pernah dikurung di situ selama dua tahun, ialah salah seorang pemimpin utama dalam Revolusi Bolshevik pada tahun 1917 yang menubuhkan negara pekerja yang pertama di dunia. Beliau juga merupakan pengasas dan pemimpin kepada Tentera Merah yang berjaya mempertahankan Revolusi Rusia daripada serangan musuh semasa Perang Saudara Rusia (1917-1923). Namun, perbalahannya dengan Joseph Stalin yang semakin berkuasa pada tahun 1920-an, menyebabkannya terpaksa hidup dalam buangan di negara luar. Stalin yang menganggap Trotsky sebagai ancaman utama kepadanya, tidak mahu melepaskan Trotsky walaupun dia sudah tidak lagi berada di dalam Kesatuan Soviet, malah beberapa kali mengatur rancangan untuk membunuhnya. Sebelum Trotsky dibunuh pada 21 Ogos 1940, rumahnya di Mexico sudahpun diserbu dan diserang dengan tembakan oleh ejen suruhan Stalin pada bulan Mei 1940, di mana pada ketika itu seorang pembantu dan pengawal peribadi Trotksy, Robert Sheldon Harte (1915-1940), diculik dan dibunuh, sementara cucunya yang berumur 14 tahun ditembak pada kakinya. Trotsky menulis sebuah rencana yang bertajuk “Stalin mencari kematian saya” selepas kejadian itu, yang menyatakan bahawa satu lagi cubaan pembunuhan pasti akan berlaku. Tiga bulan kemudian, rancangan Stalin untuk membunuh Trotsky telah berjaya.

Pembunuhan Trotsky di bawah arahan Stalin merupakan satu cubaan golongan Stalinis untuk memadamkan seorang revolusioner yang pernah memimpin sebuah revolusi hebat daripada sejarah dunia. Namun, ia tidak akan dapat membenamkan idea-idea revolusioner yang dibawa oleh Trotsky.

Trotsky yang dilahirkan di Yanovka (sekarang dinamakan Bereslavka), sebuah kampung di tengah Ukraine yang di bawah pemerintahan Empayar Rusia pada masa itu, mula melibatkan diri dalam aktiviti revolusioner pada umur 17 tahun. Trotsky pada awalnya seorang penyokong Narodnik (aliran pemikiran sosialis agraria yang populis di Rusia ketika itu), tetapi telah dipengaruhi untuk menerima idea-idea Marxisme oleh Aleksandra Sokolovskaya yang kemudiannya menjadi isteri pertamanya. Trotsky pernah ditahan, dipenjarakan dan dibuang negeri ke Siberia kerana menyebarkan idea sosialis dalam kalangan pekerja.

20200821-leon-trotsky
Gambar Trotsky yang diambil oleh polis selepas dia ditahan bersama dengan anggota-anggota soviet yang lain pada tahun 1905.

Trotsky menyertai Parti Buruh Demokratik Sosial Rusia (RSDRP) sejak penubuhannya pada tahun 1898. Selepas Trotsky melarikan diri dari Siberia ke London, dia menyertai kumpulan pengarang akhbar Iskra, iaitu lidah rasmi Parti Buruh Demokratik Sosial Rusia, yang turut disertai oleh golongan Marxis seperti Georgi Plekhanov, Julius Martov dan Vladimir Lenin. Apabila Parti Buruh Demokratik Sosial Rusia berpecah kepada Bolshevik dan Menshevik ketika kongresnya yang kedua pada tahun 1903, Trotsky berpihak kepada golongan Menshevik yang dipimpin oleh Martov, dan tidak bersetuju dengan Bolshevik yang diterajui oleh Lenin. Dari tahun 1904 hingga 1917, Trotsky mengambil posisi tidak menyertai mana-mana puak dalam Parti Buruh Demokratik Sosial Rusia, dan cuba mendamaikan kumpulan-kumpulan yang berbeza aliran pemikiran dalam parti tetapi tidak berjaya.

Ketika tercetusnya Revolusi 1905, Trotsky menyeludup masuk semula ke Rusia untuk melibatkan diri dalam revolusi. Trotsky pernah menyandang jawatan Pengerusi Soviet Saint Petersburg semasa Revolusi 1905, tetapi ditangkap dan dijatuhkan hukuman buang negeri ke Siberi sekali lagi selepas Revolusi 1905 digagalkan. Trotsky juga sekali lagi berjaya melarikan diri ke luar negara sehingga tahun 1917. Trotsky pulang sekali lagi ke Rusia berikutan Revolusi Februari pada tahun 1917 yang menjatuhkan pemerintahan Tsar. Trotsky menyertai Bolshevik sejurus sebelum Revolusi Oktober pada tahun 1917, dan bersama-sama dengan Lenin yang sering berdebat dengannya sebelum itu, menjadi pemimpin utama dalam Revolusi yang mengubah wajah sejarah dunia abad ke-20 itu.

Leon Trotsky merupakan salah seorang daripada 7 orang anggota Politbiro (Biro Politik) Parti Bolshevik yang dibentuk pada tahun 1917 untuk memimpin Revolusi Bolshevik, bersama-sama dengan Vladimir Lenin, Grigory Zinoviev, Lev Kamenev, Joseph Stalin, Grigori Solkonikov dan Andrei Bubnov. Selepas Revolusi Oktober, Trotsky dilantik sebagai Komisar Rakyat untuk Hal Ehwal Luar Negeri Republik Soviet Bersekutu Sosialis Rusia. Trotsky terlibat dalan rundingan damai yang menghasilkan Perjanjian Brest-Litovsk dengan negara Jerman untuk menarik keluar Rusia daripada Perang Dunia I.  Trotsky juga pernah dilantik sebagai Komisar Rakyat Hal Ehwal Ketenteraan dan Tentera Laut dan menjadi komander untuk Tentera Merah, yang memainkan peranan penting untuk mempertahankan kejayaan Revolusi Bolshevik dan memastikan kemenangan Tentera Merah dalam Perang Saudara Rusia.

20200821-19695da3b933f0c829c72ee3dbf62d94
(Dari kiri) Trotsky, Lenin dan Kamenev

Pada pertengahan tahun 1920-an, Trotsky telah memimpin perjuangan Oposisi Kiri dalam Parti Komunis Rusia (Bolshevik) untuk melawan ancaman pembirokrasian dalam pentadbiran negara Kesatuan Soviet dan juga menangkis kekuasaan yang semakin tertumpu dalam tangan golongan birokrasi yang diketuai oleh Joseph Stalin. Oposisi Kiri yang dipimpin oleh Trotsky berhasrat untuk menyelamatkan Kesatuan Soviet daripada ancaman birokrasi dan revolusi balas yang diterajui golongan Stalinis. Mereka telah menggariskan beberapa cara untuk berbuat demikian, termasuk:

  • Mempercepatkan proses perindustrian di Kesatuan Soviet, supaya meningkatkan nisbah golongan proletariat dalam masyarakat.
  • Meningkatkan gaji dan menyelesaikan masalah pengangguran, supaya memperkukuhkan keyakinan diri pekerja.
  • Memperdalamkan demokrasi dalam majlis pekerja (soviet) dan parti komunis, supaya meningkatkan keaktifan politik dan taraf kesedaran kelas pekerja.
  • Mengambil serius tentang perbezaan kelas dalam kalangan petani. Memberi pinjaman dan bantuan mesin pertanian kepada petani miskin, dan mengenakan cukai progresif ke atas petani kaya.
  • Terus mempersiapkan diri untuk revolusi antarabangsa, di samping memperbetulkan kesilapan Internasional Ketiga (Comitern) dari segi taktik dan strategi.

Namun, program yang digariskan oleh Oposisi Kiri ini tidak dapat dilaksanakan kerana sekatan dan penindasan daripada golongan birokrat Stalinis. Trotsky telah dipecat daripada Parti Komunis pada tahun 1927, dan kemudiannya dibuang negeri keluar dari Kesatuan Soviet pada tahun 1929. Trotsky telah berpindah-pindah dari Turki ke Norway, kemudian ke Perancis sebelum akhirnya mendarat di Mexico pada tahun 1937.

20200821-trotsky
Trotsky berucap di atas kereta kebal semasa menjadi komander Tentera Merah.

Semasa hidup dalam buangan di luar negera, Trotsky bersama dengan penyokongnya cuba menubuhkan Internasional Keempat untuk meneruskan usaha menentang birokrasi Stalinis di Kesatuan Soviet. Internasional Keempat ditubuhkan untuk mencabar Internasional Ketiga (Comintern) yang didominasi oleh golongan Stalinis, di samping mempertahankan Kesatuan Soviet sebagai sebuah negara pekerja. Namun, pengaruh Internasional Keempat amat terhad kerana telah disekat hebat oleh pelbagai pihak sejak penubuhannya. Anggota-anggota Internasional Keempat sama ada diburu oleh polis rahsia Kesatuan Soviet, ataupun ditindas oleh kerajaan negara kapitalis (seperti di Perancis dan Amerika Syarikat). Selepas kematian Trotsky, Internasional Keempat dan gerakan Trotskyis telah mengalami masalah perpecahan yang berterusan. Pada hari ini, terdapat banyak kumpulan kiri kecil yang menggelar diri mereka sebagai Trotskyis atau penyambung warisan pemikiran Trotsky.

Sepanjang hidupnya yang terlibat dalam gerakan revolusioner sosialis, Trotsky telah berpegang kuat pada prinsip internasionalis proletariat dan mendukung perjuangan pembebasan kelas pekerja yang berlandaskan demokrasi soviet. Trotsky membantah fahaman Stalinis yang berpegang pada idea “Sosialisme Dalam Satu Negara” yang memperkukuhkan kekuasaan birokrasi sehingga menghalang proses revolusi pekerja.

Antara teori-teori penting yang dibangunkan oleh Trotsky ialah:

  • Konsep Revolusi Berterusan (iaitu idea bahawa tugas untuk menyempurnakan revolusi demokratik-borjuis di negara kapitalis yang kurang maju, seperti Rusia awal abad ke-20, hanya dapat disempurnakan oleh kelas pekerja, bukannya kelas borjuis liberal.)
  • Revolusi politik perlu dilakukan di “negara pekerja yang merosot”, seperti Kesatuan Soviet yang dikuasai Stalnis, untuk membendung perluasan kuasa birokrat dan melanjutkan usaha membina sosialisme.
  • Konsep “barisan bersatu” untuk menyatukan golongan revolusioner dan reformis dalam usaha menangkis ancaman reaksioner (seperti fasisme di Jerman dan Sepanyol), sementara mempengaruhi golongan pekerja untuk menarik sokongan mereka kepada revolusi.
  • Program Transisi yang merupakan strategi menggunakan tuntutan yang bersifat “transisi” yang menghubungkaitkan perjuangan harian kelas pekerja dengan idea “maksimum” untuk transformasi masyarakat menuju sosialisme. (Tuntutan transisi adalah bertujuan untuk mendapatkan sokongan seluas mungkin untuk melawan kapitalisme. Pada waktu yang bukan revolusi, program transisi menjadi jambatan antara “program maksimum” untuk revolusi dengan “program minimum” yang merupakan perubahan reformis di bawah sistem kepitalis.)

Stalin dan pemerintah Stalinis selepasnya telah berusaha kuat untuk memadamkan pengaruh pemikiran Trotsky dalam kalangan rakyat di negara Blok Timur. Trotsky pernah menegaskan bawah sekiranya pemerintahan birokrasi Stalinis tidak digantikan dengan pemerintahan langsung kelas pekerja yang mengamalkan demokrasi proletariat, “negara pekerja” yang dibentuk dalam revolusi proletariat boleh terus merosot dan akhirnya kembali semula kepada kapitalisme. Kejatuhan Tembok Berlin dan pembubaran Kesatuan Soviet pada penghujung abad ke-20, membuktikan pandangan Trotsky itu memang mempunyai asasnya.

Walaupun Trotsky sudah meninggal dunia selama 80 tahun, tetapi beliau telah meninggalkan warisan idea revolusionernya yang tetap akan memberi pencerahan dan menjadi inspirasi kepada perjuangan masyarakat.

20200821-Top-questions-answers-Leon-Trotsky

One thought on “Leon Trotsky: Revolusioner yang dipadamkan oleh Stalinis

  1. Thank you for confirming that the PSM is Trotkyite – somthing I had suspected for a long time already.

    May I point you to a paragraph in the article, The Western Left and the Russian Revolution by Diane Johnstone in Monthly Review:-

    “One ironic effect of the Trotskyist critique (of the revolution for not being revolutionary enough) has not been to promote the permanent revolution, but rather to advocate the permanent counterrevolution, in one form or another. By far the strangest example of this metamorphosis is provided by a small but extraordinarily influential American cohort of prewar Trotskyists whose hostility toward Stalinism reached fever pitch in reaction to mistreatment of Jews in the Soviet Union, after their revolutionary ideal had shifted to Israel. After successfully campaigning to press the United States to punish the USSR for restricting educated Jewish emigration to Israel, these activists transformed themselves into the “neoconservatives” who today dominate U.S. foreign policy. All that remains of their Trotskyism is devotion to the idea of “permanent revolution”—the permanent revolution of neoliberalism under the banner of human rights. In short, the permanent counterrevolution.”

    https://monthlyreview.org/2017/07/01/the-western-left-and-the-russian-revolution/

    Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s