20180819_165249

oleh Dr. Jeyakumar Devaraj 

Pada 27 Julai 2020, Menteri Kewangan Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz menjelaskan pendirian Kerajaan berkenaan moratorium pinjaman bank apabila ditanya oleh Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng dalam sesi soal jawab di Parlimen. Menteri Kewangan mengumumkan bahawa bank yang beroperasi di Malaysia telah bersetuju untuk melanjutkan moratorium pinjaman untuk tiga bulan lagi (dari bulan Oktober hingga Disember 2020) bagi keluarga yang terdapat anggota yang bekerja tetapi masih menganggur. Beliau berkata bahawa bank berkenaan juga bersetuju untuk mempertimbangkan penstrukturan semula pinjaman bagi keluarga yang telah mengalami penurunan dalam pendapatan mereka.

(Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kemudiannya membuat pengumuman tentang Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar  pada 29 Julai 2020.)

Daripada angka yang diberikan oleh Tengku Zafrul dalam jawapannya di dalam Dewan Rakyat, terdapat sebab yang baik untuk pendekatan bantuan bersasar dalam pinjaman bank ini. Yang pertama, sektor perbankan telah mengalami kehilangan pendapatan sejumlah RM1.06 bilion setiap bulan ketika tempoh moratorium pinjaman,  kerana bank-bank telah bersetuju untuk melepaskan faedah yang dapat dikutip oleh mereka. Kita perlu sedar bahawa sebanyak 7.7 juta atau 93% daripada peminjam individu dan 245,000 atau 95% daripada peminjam perniagaan telah memilih untuk mendapatkan moratorium pinjaman yang ditawarkan pada bulan April 2020. Yang kedua,  moratorium pinjaman bermakna bahawa RM79 bilion yang sepatutnya dibayar balik dalam keadaan normal untuk selama 6 bulan dari April hingga September tidak dibayar. Ini telah mengurangkan ketersediaan dana (kecairan) dalam bank dan mungkin mendatangkan kesukaran dalam memberikan pinjaman baru kepada perniagaan yang hendak memulakan semula operasi. (Isu kecairan ini akan menjadi lebih ketara sekiranya moratorium pinjaman secara am dilanjutkan lagi.) Yang ketiga, ekonomi sedang dimulakan semula dan 83% pekerja telah kembali bekerja. Jadi, bilangan mereka yang memerlukan moratorium adalah jauh lebih kecil berbanding bulan April lalu.

Namun begitu, Parti Sosialis Malaysia (PSM) bimbang bahawa menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara bank untuk melanjutkan moratorium atau mengurangkan jumlah pembayaran balik tidak akan menjamin kepentingan banyak keluarga yang pendapatan mereka belum pulih ke tahap sebelum tercetus wabak COVID-19. Terdapatnya keluarga di mana hanya seorang daripada dua orang pencari nafkah kembali bekerja sekarang. Terdapat keluarga lain di mana jumlah pendapatan telah menurun sebanyak 30% kerana kehilangan pendapatan kerja lebih masa. Adakah bank-bank akan bersimpati terhadap keluarga-keluarga ini?

Kita perlu ingat bahawa ramai peminjam daripada kuintil yang kedua terbawah dalam kalangan penduduk negara kita (iaitu persentil ke-21 hingga ke-40) telah melampaui kemampuan mereka dari segi kewangan apabila berkomitmen untuk membeli sebuah rumah. Ini kerana gaji di Malaysia adalah rendah, sementara harga rumah pula terlalu tinggi. Oleh itu, walaupun pada masa-masa yang biasa, keluarga yang lebih miskin ini sudahpun bersusah payah untuk membayar balik pinjaman mereka. Bahkan penurunan 10% dalam pendapatan isi rumah mereka boleh menyebabkan mereka terjerumus dalam situasi di mana mereka tidak dapat memenuhi keperluan asas dan akan ketinggalan dalam pembayaran balik pinjaman bank mereka.

Kenyataan yang dikeluarkan daripada bank yang tertentu, misalnya Maybank, iaitu pemberi pinjaman yang terbesar di Malaysia, adalah juga tidak memberangsangkan. Dalam laporan Starbiz pada 4 Julai 2020, Maybank menyatakan bahawa “ia tidak akan mempertimbangkan lanjutan untuk moratorium, kerana ia percaya bahawa tempoh enam bulan sudah cukup untuk pengguna membuat perancangan tentang bagaimana membiayai pinjaman mereka masing-masing”. Nampaknya terdapatnya kekurangan empati yang hebat di sini! Pada masa kemelesetan ekonomi, adalah agak sukar untuk mencari kerja yang dapat membayar gaji seperti kerja yang anda baru-baru hilang itu.

Malah, sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi, aktivis-aktivis PSM yang pernah pergi ke bank bersama dengan mereka yang mempunyai tunggakan bayaran pinjaman perumahan, telah mendapati bahawa bank-bank boleh menjadi sangat tidak bersimpati dan tidak fleksibel ketika berurusan dengan kes-kes ini. Pegawai-pegawai bank di barisan hadapan biasanya bersikap sopan, tetapi tangan mereka terikat oleh dasar bank. Secara umumnya, bank-bank mengamalkan pendekatan “ambil saja atau biarkan” (take it or leave it) dan sangat mudah bersedia untuk pilihan mengirim surat peguam, tindakan mahkamah dan pelelongan rumah yang semuanya akan menambahkan lagi hutang kerana semua tindakan ini adalah dikenakan bayaran daripada akaun peminjam. Bank-bank juga pantas dalam meningkatkan kadar faedah terhadap pinjaman apabila keluarga peminjam menghadapi kesukaran untuk membayar. Tindakan sebegini oleh bank-bank menyebabkan peminjam lebih terperangkap dalam hutang, dan ia menjadi sangat sukar untuk membebaskan diri daripadanya! Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) tidak dapat membantu sejauh mana, kerana ia hanya boleh menasihati bank. Bank-bank biasanya tidak mendengar nasihat AKPK untuk menstrukturkan semula pinjaman.

PSM menghargai bahawa bank-bank di negara kita bersetuju untuk moratorium bebas faedah untuk selama enam bulan walaupun ia bermakna bank-bank perlu melepaskan pendapatan sejumlah hampir RM6 bilion. Moratorium ini pastinya membantu banyak keluarga dan perniagaan untuk menghadapi kesan daripada PKP. Namun, bank-bank tidak boleh kembali kepada “urusniaga seperti biasa” dengan serta-merta kerana ekonomi negara kita belum lagi kembali kepada normal. Jika mereka berbuat demikian, mereka dengan simpanan kewangan yang paling kurang akan mengalami penderitaan yang hebat. Sejumlah besar daripada mereka yang berada dalam kuintil kedua terbawah akan tidak dapat membayar balik pinjaman mereka dan akhirnya kehilangan rumah mereka.

Golongan ini memerlukan lebih banyak perlindungan daripada naluri pemangsa bank-bank yang berfungsi mengikut corak berurusniaga seperti biasa mereka! Perlunya mewujudkan prosedur semak dan imbang pihak ketiga supaya peminjam boleh merayu sekiranya bank terlalu bersikap tidak mesra. Pada ketika ini, kita perlukan segera Tribunal yang ditubuhkan oleh Bank Negara di peringkat negeri. Tribunal ini patut diberi kuasa yang mencukupi untuk mengarahkan bank supaya tidak memulakan prosiding undang-undang tetapi sebaliknya menawarkan penangguhan sementara kepada peminjam yang berada dalam kesusahan kewangan. Untuk mereka yang kembali bekerja tetapi mengalami penurunan dalam pendapatan mereka, patut diberi pilihan untuk merujuk kes mereka ke tribunal jika bank menolak untuk melonggarkan sementara syarat pinjaman mereka.

PSM bersetuju bahawa kecairan sistem perbankan perlu dikekalkan supaya pemulihan ekonomi tidak dibantutkan oleh kekurangan kredit untuk perniagaan yang hendak memulakan semula operasi. Namun, pastinya terdapat cara lain untuk mengisi semula kecairan itu selain daripada terus menghimpit keluarga-keluarga yang sedang bersusah payah untuk menampung kehidupan! PSM mencadangkan pinjaman kerajaan kepada bank dengan syarat pinjaman yang murah hati, jika kecairan sistem perbankan perlu diisi semula. Kerajaan patut mempertimbangkan secara serius pilihan “Pengewangan Hutang” (Debt Monetization) untuk memperoleh dana bagi mengisi semula kecairan. Kaedah ini telah digunakan di beberapa negara yang lain, termasuk Indonesia, Australia, New Zealand dan India.

PSM berharap bahawa kerajaan akan memberi perhatian yang serius kepada kebimbangan dan cadangan ini, dan mewujudkan mekanisme untuk memantau serta menangani bank-bank yang tidak bersikap simpati.  Ini perlu dilakukan segera, kerana 30 September 2020 adalah tidak lama lagi.

=========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *