20200718-89570-area-text-icons-computer-election-voting

oleh Choo Chon Kai

Parti Sosialis Malaysia (PSM) amat kecewa dengan kenyataan Zuraida Kamaruddin selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada hari ini di Dewan Rakyat bahawa Kerajaan Perikatan Nasional tidak akan melaksanakan rancangan untuk mengembalikan pilihanraya tempatan.

Pilihanraya Kerajaan Tempatan ataupun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merupakan salah satu tunjang yang penting kepada sebuah demokrasi yang sempurna dan sihat. PBT yang termasuk Dewan/Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah, ialah peringkat ketiga dalam komponen sistem pentadbiran kerajaan di negara kita, malah juga peringkat pentadbiran awam yang berkaitan paling rapat dengan kehidupan harian rakyat. Hak rakyat Malaysia untuk mengundi supaya memilih wakil rakyat dalam PBT telah dirampas sejak 55 tahun dahulu oleh Kerajaan Parti Perikatan, dan sekarang ini peluang untuk memulihkan hak demokratik yang asas ini telah dikuburkan oleh seorang Menteri yang pernah menunjukkan “komitmen” dalam isu ini.

Zuraida Kamaruddin pernah menyatakan hasratnya untuk mengadakan pilihanraya tempatan dalam tempoh masa tiga tahun ketika dia baru dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan selepas Pakatan Harapan menang dalam PRU-14, dan berulang kali menyatakan komitmennya dalam mengembalikan pilihanraya tempatan. Malah, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga telah menubuhkan jawatankuasa kerja teknikal untuk mengkaji dan menyediakan cadangan yang sesuai bagi pelaksanaan pilihanraya tempatan. Nampaknya semua ini telah lesap dengan Menteri yang menekan brek dan buat U-turn.

Jika kita tidak mudah lupa, sudah tentu kita masih ingat bahawa Zuraida merupakan salah seorang Menteri dalam Kabinet Pakatan Harapan yang memainkan peranan yang penting dalam menumbangkan Kerajaan Pakatan Harapan dan menggantikannya dengan Kerajaan Perikatan Nasional. Zuraida ialah satu-satunya Menteri dalam Kerajaan Pakatan Harapan yang mengekalkan jawatan Menteri yang sama dalam Kerajaan Perikatan Nasional. Zuraida yang pada awalnya begitu berpendirian teguh dan memberi komitmen dalam memperjuangkan pilihanraya tempatan, sekarang ini sudah tunduk dan akur kepada keputusan untuk tidak melaksanakan pilihanraya tempatan, kerana wujudnya bantahan daripada anggota-anggota dalam Kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin.

Hampir setahun dahulu, ketika Kerajaan Pakatan Harapan masih berkuasa, dalam satu forum yang diadakan di Pulau Pinang pada 17 Ogos 2019, apabila menjawab soalan berkenaan dengan Perdana Menteri pada masa itu Dr. Mahathir Mohamad yang telah menyatakan pendiriannya yang menolak pilihanraya tempatan, Zuraida berkata dengan nada yang penuh keyakinan, “Sebagai seorang Menteri, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab saya untuk menyakinkan beliau bahawa rakyat kita sudah bersedia untuk pilihanraya tempatan!” Setahun kemudian, Zuraida bukan sahaja gagal menyakinkan “rakan-rakannya” dalam Perikatan Nasional yang telah menumbangkan Kerajaan pimpinan Mahathir, malah sekarang pula berkata dia sendiri melihat pilihanraya tempatan itu satu perkaran yang “drastik” dan mengatakan pula masyarakat kita tidak bersedia.

Zuraida sepatutnya meletak jawatan sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan keluar daripada Perikatan Nasional, kerana dia tidak boleh buat apa-apa lagi untuk mengembalikan pilihanraya tempatan. Ini adalah lebih baik daripada terus menekan brek dan membuat U-turn secara drastik dalam isu ini.

==========

Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Ketua Pengarang Sosialis.net.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *