20200505-refugee

oleh Nik Aziz Afiq

Ramadhan adalah bulan yang begitu mengujakan bagi umat Islam. Selama sebulan umat Islam akan menahan lapar dan dahaga pada waktu siangnya dan memperbanyak solat serta ibadah lain pada waktu malamnya. Bulan ini dijanjikan keampunan, dijanjikan ganjaran yang pelbagai malah diberitakan ketika Ramadhan, syaitan akan diikat daripada kerja-kerja menghasut umat supaya melakukan kejahatan.

Tetapi, belum pun separuh Ramadhan berlangsung, nampaknya “jawatan kosong” yang ditinggalkan para syaitan itu cepat sahaja diisi oleh begitu banyak permohonan masuk oleh puak manusia rasis. Ketenangan menyambut bulan ibadah ini terganggu dek kerana naiknya sentimen rasis atau xenofobia yang mendadak.

Semuanya bermula apabila pihak media melaporkan tindakan pihak Tentera Laut Diraja Malaysia pada 16 April lalu yang menyekat sebuah bot pelarian Rohingya yang dinaiki kira-kira 200 orang daripada memasuki perairan negara. Tindakan sama turut dilakukan oleh negara jiran yang lain seperti Thailand.

Manakala AFP melaporkan sehari sebelum itu Kerajaan Bangladesh telah pun memintas sebuah bot pukat tunda di Teluk Bengal yang sarat dengan pelarian Rohingya yang terkandas dan kebuluran setelah dua bulan terlantar di lautan kerana tidak dapat mendarat. Sejumlah 60 nyawa terkorban dan mayat mereka terpaksa dibuang di laut.

Saya tergamam ketika membaca berita tersebut. Saya menjangkakan pasti akan ada respon prihatin segera daripada rakyat Malaysia. Sama seperti keprihatinan yang ditonjolkan rakyat Malaysia ketika melihat foto mayat adik Aylan Shenu atau lebih dikenali sebagai Alan Kurdi, kanak-kanak pelarian Syria berusia 3 tahun yang lemas ketika merentas Laut Mediterranean.

Saya fikir pastilah umat akan berhimpun sekali lagi seperti yang pernah dilakukan pada 3 Disember 2016 lalu. Lagi-lagi kerana ikon yang berhimpun pada waktu itu ialah Najib Razak dan Hadi Awang. Hadi Awang malah hari ini merupakan sebahagian daripada Kerajaan. Mereka (PAS dan UMNO) yang menjadikan isu Rohingya sebagai titik mula buat membangun kerjasama sebelum ini pastilah setelah bersama berkuasa akan memberikan respon yang lebih hebat.

Oh yillek!

Bukan sikap prihatin yang ditunjukkan, malah sebaliknya di media sosial isu ini didominasi oleh puak rasis buat menzahirkan sokongan mereka ke atas tindakan sekatan itu sekaligus menanamkan hasutan ketakutan dan kebencian. Takut nanti kalau pelarian berterusan datang, habis pekerjaan dalam negara kita kena rampas. Benci sebab “banyak” pengalaman pahit sebelum ini kerana etnik ini dikatakan pengotor, tak reti bergaul, serta berbuat jahat.

Media sosial menggelegak dibanjiri dengan komen dan kiriman status anti-pelarian atau anti-imigran. Tidak cukup mengeji yang di tengah laut, yang sedia ada di negara ini pun diminta untuk dihalau keluar. Sesiapa yang zahirkan simpati akan dikecam secara berjemaah, menjadi mangsa buli siber, dimalukan, didedahkan identiti peribadinya, diselongkar gambar dan disebarkan seolah penjenayah, malah diugut dan diajak bertumbuk.

Di tengah kebakaran ini kemudiannya datang lagi bantuan minyak mencurah-curah dengan tersebarnya banyak berita palsu. Antaranya adalah, kononnya para pelarian Rohingya di negara ini menuntut kerakyatan. Semua pakat sebar tanpa semak. Setelah semakan dilakukan ternyata ia tidak benar.

Kerajaan pula entah kenapa tidak mahu masuk campur dalam meredakan api permusuhan dan kebencian ini. Adakah Najib Razak dan Hadi Awang yang bersama dengan parti kerajaan ketika ini tidak mendapat akses berita kerana Perintah Kawalan Pergerakan?

Bomm! Meledak satu lagi bom. Seakan merestui gelombang kebangkitan rasis sayap kanan, kerajaan melangkah untuk menunjukkan “kehebatan” dengan mengadakan operasi pembersihan PATI di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor Mansion dan Malayan Mansion. Dalam keadaan getir isu COVID-19 dan statusnya sebagai kawasan merah, kerajaan entah kenapa tiba-tiba jadi rajin mahu menyemak setiap penghuni sama ada memiliki dokumen atau tidak.

Maka menjadi wira-lah kerajaan di mata penyokong rasis “beley-beley(dialek Kelantan : sambil) menggunakan peluang menutup kelemahan pentadbiran dan prestasi menteri yang mula terlondeh sedikit demi sedikit.

Sedarlah kita dalam menganalisis keadaan ini, maka kita akan melihat dua punca penyakit kepada masalah rasisme. Penyakit pertama adalah prejudis. Prejudis berlaku apabila kita menghukum awal sesuatu perkara tanpa asas. Belum apa-apa kita dah beri tanggapan negatif. Bersangka-sangka dengan sangkaan yang buruk.

Perit untuk saya tuliskan kembali komen-komen yang sempat saya baca, tetapi kerana ia penting maka saya tampilkan juga.

Kalau orang Rohingya ni baik, tak ada kerajaan Myanmar nak halau.” 

Kalau betul Islam pergilah lawan balik kat sana, mati syahid, jangan jadi pengecut larikan diri.” 

Dah menumpang buat cara menumpang, ini datang sini esok naik tocang, pijak kepala kita.”

Apabila penyakit prejudis ini mula menjangkiti, dia akan menjadi separah COVID-19 juga sebenarnya. Habis semua berita palsu dicedok dan diagih berjemaah.

Penyakit kedua adalah tidak rasional. Rupa lebih kurang penyakit pertama tetapi sedikit berbeza. Kalau prejudis adalah tanggapan awal, tidak rasional ini lebih kepada ketidakmampuan akal untuk digunakan bagi menimbang baik buruk sesuatu perkara. Semua balun ikut arus.

Kalau arus mengajak untuk menangisi Palestin atau Syria, maka pakatlah mereka menangis. Kalau arus mengajak membenci pelarian Rohingya maka membencilah mereka. Padahal kita semua jelas adalah saudara satu agama yang sama-sama diwajibkan puasa ketika Ramadhan ini. Saya kira layanannya mesti lebih buruk kalau pelarian Rohingya ini bukan Islam.

Tidakkah hal ini boleh direnung sejenak? Cuba berfikir paling tidak pun sebab dan akibat perkara ini berlaku. Bagaimana boleh satu etnik dilabel pengotor, penjahat, pemalas dan sebagainya? Apa tidak ada dalam kaum kita sendiri yang buat benda sama? Habis? Takkan Tuhan yang kamu beriman dan mengharap keampunan waktu Ramadhan ini ciptakan satu kaum dari kanak-kanak sampai orang tuanya semua buat jahat? Tak logik, bukan?

Orang susah, kita tolong. Orang ditindas, kita bela. Sifirnya mudah sahaja. Tak perlu gali seribu kitab pun nak bagi faham.

Mujurlah dua penyakit ini berjaya ditemui ubatnya. Ubat pertama adalah dialog. Sebenarnya kita mudah bersangka-sangka negatif apabila kita tidak kenal mana pun dengan orang itu. Quran pernah menyebut bahawa dijadikan berbilang kaum ini tujuan adalah untuk berkenal-kenalan.

Aktivis-aktivis yang sudah bertahun-tahun terlibat dengan pelarian Rohingya tidak pun bereaksi macam kebanyakan orang yang kononnya banyak sangat pengalaman dengan etnik ini. Agak kelakar jugalah. Orang yang popular ke depan 7-8 tahun masih zahirkan sokongan, ini mengkarung mana datang pun tak tahu tiba-tiba kata perit dan tak larat nak terus membantu.

Andai melalui dialog dan berkenal-kenalan tadi memang kita jumpa ada keburukan, memang ada individu jahat dan sebagainya, maka ambil tindakan pada individu tersebut. Bukan pada semua orang. Quran yang diturunkan pada Ramadhan ini menyebut, janganlah kerana kebencian kepada sesuatu kaum mendorong untuk berlaku tidak adil. Yang salah dihukum, yang tidak bersalah jangan dihukum. Adil, bukan?

Ubat yang kedua adalah empati. Empati adalah dengan meletakkan diri kita di tempat orang tersebut. Sebelum nak orang faham kita, ikut budaya kita dan sebagainya, mestilah kita kena faham mereka dulu. Cuba bayangkan apa yang dilalui. Terusir dari tanahair sendiri, berhimpit ratusan orang di atas sebuah bot yang kecil dan mengharung ombak besar untuk sampai ke sini.

Apaila kita ada empati barulah kita faham. Peradaban mereka dimusnahkan puluhan tahun, selama hayat dilayan macam binatang. Tanpa pendidikan dan hidup dalam buruan. Jadi dalam keadaan sebegitu, baru hendak bernafas di negara kita terus kita kata akhlak teruk, pengotor, jahat dan sebagainya.

Ini sebenarnya perkara biasa bagi rakyat yang datang ke negara yang lebih maju daripada negara asalnya. Tak payah pandang jauh, kita cuma perlu ke Singapura sahaja, maka cukup kita terkedu melihat cara penjagaan kebersihan mereka.

Akhir sekali, satu pertanyaan terpenting adalah siapa yang sebenarnya mendapat untung daripada perbalahan ini? Pepatah Melayu mengatakan “menang jadi arang, kalah jadi abu”. Justeru marilah melihat manusia sebagai manusia kerana kita semua adalah kaum pekerja yang sama tanpa mengira status kewarganegaraan.

Namun, bagi memastikan satu sintesis terhasil daripada pertembungan dua kutub idea dalam isu ini, saya merasakan kerajaan perlu mewujudkan sebuah pelan latihan dalam satu tempoh masa tertentu bagi melatih setiap pelarian yang datang ke negara ini supaya mendapat beberapa latihan asas seperti kemahiran berbahasa Malaysia, memahami budaya tempatan, penjagaan kebersihan dan kesihatan. Program latihan ini penting supaya asimilasi boleh berlaku dan merapatkan jurang antara warga tempatan dan pelarian.

Sebenarnya, kita boleh menghasilkan ribuan idea bahkan jutaan dalam menangani apa juga isu. Sekali lagi pepatah Melayu menyebut “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”. Semuanya perlu bermula dengan Kerajaan meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951. Sudah begitu banyak desakan dibuat oleh banyak pihak selama ini, tetapi masih belum terlaksana.

Semoga Ramadhan ini, mendatangkan keinsafan dan menguatkan lagi persaudaraan kita. Bukan hanya nafsu yang perlu diruntuhkan, tetapi individualistik hasil ajaran kapitalis juga perlu dikuburkan.

==========

Nik Aziz Afiq bin Abdul ialah Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (Pemuda PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *