(Berikut ialah tulisan Setiausaha Agung PSM bersempena dengan Ulangtahun ke-22 Penubuhan PSM pada 30 April 2020.)
oleh Sivarajan Arumugam
22 tahun telah berlalu sejak penubuhan sebuah parti yang telah mencabar norma politik di Malaysia pada masa itu. Pada 30 April 1998, wakil jawatankuasa penaja parti telah mengemukakan borang-borang penubuhan Parti Sosialis Malaysia (PSM) kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS), walaupun ramai aktivis pada masa itu yang menasihati kami bahawa sosialis tidak akan diterima rakyat Malaysia.
Kini, kami merasakan semakin penting dan relevan isu-isu dan tuntutan-tuntutan sosialis yang kami telah perjuangkan selama 22 tahun ini, terutamanya pada ketika ini apabila Malaysia dan dunia sedang menghadapi ancaman pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi. Kenapa kami kata begitu? Ikutilah jalan perjuangan kami.
Gaji minimum
Saya masih ingat lagi, apabila aktivis PSM melancarkan kempen menuntut gaji minimum pada tahun 2003, kami telah bergerak mengumpul tandatangan di seluruh negara sehinggalah gaji minimum menjadi kenyataan pada tahun 2012. Dengan adanya gaji minimum, majikan tidak dapat menekan gaji pekerja pada paras yang lebih rendah lagi terutamanya dalam keadaan krisis sekarang dan ianya menjamin kebajikan pekerja dan keluarga mereka. Malah Pakej Rangsangan Ekonomi Kerajaan juga menyediakan subsidi upah sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja yang berpendapatan RM4,000 dan ke bawah kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang mengupah kurang daripada 75 orang pekerja. Konsep gaji minimum yang menjamin pendapatan minimum untuk mempermudahkan pekerja menguruskan keluarga selari dengan kos hidup, kini menjadi suatu norma yang diterima umum dan dituntut oleh warga pekerja.
Perlindungan Sosial – Skim Insurans Pekerjaan
PSM melontarkan idea ini pada tahun 2016, memandangan model ekonomi kapitalis tidak stabil dan mengalami krisis ekonomi setiap 10 tahun (1997/1998 – 2008 – 2020) , dan golongan yang paling terjejas ialah pekerja, akibat daripada kehilangan kerja. Walaupun Akta Kerja memperuntukkan majikan untuk membayar faedah rentikerja, tetapi hampir 30% daripada majikan gagal membayar faedah ini kerana gulung tikar. Maka pada tahun 2016, PSM melancarkan kempen mendesak Kerajaan untuk menubuhkan sebuah Tabung Pemberhentian Kerja. Desakan kami menjadi kenyataan apabila Akta Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) 2017 diluluskan di Parlimen dan pekerja -pekerja mula menerima bantuan apabila diberhentikan kerja mulai tahun 2019.
Kini, SIP menjadi satu instrumen penting Kerajaan untuk meringankan beban pekerja dalam menangani impak ekonomi dan pemberhentian kerja akibat COVID-19.
Perumahan
Sejak perjuangan dimulakan oleh mantan Pengerusi PSM Dr. Nasir Hashim pada tahun 1980-an, akvitis-aktivis PSM amat terkenal dalam perjuangan mempertahankan rumah peneroka bandar daripada dirobohkan. Pada ketika pihak pemerintah (kedua-dua BN dan PH berpendirian yang sama) merasakan bahawa peneroka bandar boleh diusir dan dicampak begitu sahaja ke dalam unit rumah PPR dengan keluasan 650 kaki persegi , PSM berpendirian bahawa hak peneroka perlu dijaga dan perkampungan tradisional bandar harus diiktiraf. Malangnya kedua-dua blok politik itu terlalu taksub dengan konsep sistem pemilikan tanah kolonial (Sistem Torrens) yang menyerahkan hak penuh kepada pemegang sekeping kertas hakmilik tanah itu. Tangisan rakyat yang teraniaya tidak didengari golongan pemerintah dan kampung halaman peneroka bandar diranapkan dengan kejam.
Sekarang ini dalam krisis pandemik, seruan Kerajaan kepada rakyat untuk duduk di rumah menjadi begitu mencabar kerana amatlah sukar bagi warga miskin kota (kebanyakannya bekas peneroka bandar) sekeluarga tinggal di rumah bersaiz 650 kaki persegi itu. Cabaran duduk rumah adalah berbeza antara golongan miskin dengan golongan kaya untuk mematuhi Perintahan Kawalan Pergerakan (PKP).
Selain dari peneroka bandar, PSM juga dicari oleh mereka yang akan kehilangan rumah kerana gagal membayar ansuran rumah. Pada masa kehilangan mata pencarian ketika krisis ekonomi, ramai warga B40 kehilangan rumah kerana dilelongkan oleh pihak bank jika gagal membayar pinjaman untuk 3 bulan berturut. Kini, seruan kami menuntut agar pihak bank bertolak ansur dan menstrukturkan semula pinjaman nampaknya mampu dilaksanakan, apatah lagi dengan moratorium bayaran pinjaman sehingga 6 bulan! Inilah yang dilaungkan PSM selama ini!
Perkukuhkan kesihatan awam
Fahaman Sosialis juga mengajar kami bahawa betapa pentingnya sektor kesihatan awam bagi sesebuah negara. Pada ketika Kerajaan bertindak untuk menswastakan stor bekalan ubat dan juga perkhidmatan sokongan seperti pembersihan dan penyelengaraan di hospital awam, PSM bangkit melawannya dengan bersungguh-sungguh. PSM menerajui Gabungan Membantah Penswastaan Perkhidmatan Kesihatan (GMPPK) untuk lebih 15 tahun yang lal, bersama dengan pelbagai NGO prihatinm dengan melancarkan perjuangan menentang penswastaan dispensari ubat di hospital kerajaan, membantah perkara yang menghakis kesihatan awam, seperti program sayap swasta di hospital kerajaan dan Skim Pesakit Bayar Penuh, penghijrahan doktor pakar dari hospital kerajaan ke hospital swasta, skim MySalam yang pro-syarikat insurans, pelancongan kesihatan dan sebagainya.
Kini, pandemik COVID-19 membuktikan bahawa Hospital Kerajaan yang menjadi “barisan hadapan” dalam memerangi penyakit dengan efektif dan ianya harus diperkukuhkan.
Jaminan makanan
Jaminan makanan dan tahap sara diri juga menjadi tunjang perjuangan sosialis. Sejak munculnya isu rundingan perjanjian perdagangan bebeas Amerika-Malaysia pada tahun 2005, PSM bersama dengan Gabungan Bantah FTA dan kemudiannya bersama Gabungan Bantah TPPA, telah menolak klausa-klausa perjanjian yang akan menjahanamkan petani tempatan. Kami juga terlibat dalam banyak kes mempertahankan tanah yang diusahakan oleh petani dan penternak kecil daripada pengusiran. Hampir 60 kawasan petani dan penternak di seluruh negara masih terlibat dalam perjuangan dengan sokongan PSM.
Pada masa kini, akibat daripada pandemik COVID-19, ramai pakar meramalkan wujudnya kesukaran pergerakan bekalan makanan dari negara-negara yang biasa kita import makanan, apabila sempadan negara ditutup dan pergerakan dikawal. Krisis ini menunjukkan bahawa, negara tidak boleh bergantung kepada bekalan makanan import dan kebergantungan ini harus dikurangkan, malah harus diperkukuhkan sektor pertanian tempatan. Sekali lagi perjuangan mempertahankan jaminan makanan kini menjadi konsep yang begitu penting sekali.
Perubahan iklim
Pada bulan Januari 2020, PSM baru melancarkan kempen mengenai Krisis Perubahan Iklim dengan tuntutan mendesak Kerajaan untuk mengisytihar Darurat Iklim. Kami juga terpegun, apabila pandemik COVID-19 secara tidak langsung membuktikan kepada umat manusia bagaimana kehidupan flora dan fauna mula menyerlah apabila aktiviti ekonomi manusia disekat. Inilah yang perlukan oleh Bumi kita untuk pulih semula. Justeru, amatlah perlu untuk Kerajaan menyedari perkara ini dengan segera dan menilai semula aktiviti ekonomi yang mencemar dan merosakkan alam sekitar. Perjuangan melawan krisis perubahan iklim menjadi fokus utama kebanyakan parti politik sosialis di seluruh dunia, dengan seruan mendesak pengurangan pelepasan gas rumah hijau yang meningkatkan suhu global.
Pandemik COVID-19 dan juga kelemesetan ekonomi yang menyusul telah memberi tamparan kepada cara hidup tidak lestari yang kita amalkan. Ia juga memberikan tamparan hebat kepada pelobi dan penyokong ekonomi neoliberal yang sentiasa mendesak pembangunan tanpa kawal selia. Mereka ini ingin menswastakan perkhidmatan kesihatan, menekan gaji pekerja pada paras rendah, melonggarkan perlindungan pekerja, merampas tanah peneroka bandar dan petani untuk membina hutan batu, merampas hak petani kecil dengan paten benih agar industri tani dimonopoli oleh korporat besar.
Alternatif yang diperlukan pada masa krisis
Selama 22 tahun yang lalu, walaupun PSM tidak ah memberikan impak yang besar dalam politik pilihanraya, tetapi ideologi dan posisi sosialis nampaknya semakin diperlukan dan relevan, menjadi penyelamat kepada rakyat pada masa kritikal sebegini.
Dalam era pasca COVID-19, posisi dan analisis sosialis harus menjadi kayu ukur sama ada pemerintah membawa undang-undang dan polisi yang benar-benar memanfaatkan rakyat atau tidak.
PSM gembira kerana perjuangan kami menegakkan konsep-konsep seperti yang disebut di atas tidaklah sia-sia dan akhirnya dibuktikan sebagai dasar yang bernas dalam menjamin kesejahteraan sejagat. Ayuh teruskan perjuangan sosialis bersama kami.
Berjuang bersama rakyat! Demi kesejahteraan sejagat !
=========
Sivarajan Arumugam ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).