20200430-BM

Kenyataan Bersama Hari Pekerja Sedunia 2020 – 1 Mei 2020

Bina masa depan lebih baik bagi rakyat pekerja ketika zaman pelbagai krisis

(Kenyataan ini dirangka oleh parti-parti kiri dan pertubuhan-pertubuhan buruh di Asia Tenggra, dan disokong oleh kumpulan-kumpulan dari Asia Tenggara dan di luar rantai ini.) 

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dunia terkesan dengan teruk dan dilumpuhkan oleh penularan pandemik koronavirus. Negara-negara di Asia Tenggara juga tidak dapat berkecuali. Krisis kesihatan yang menjejaskan massa ini, merupakan sebahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada krisis kapitalisme global yang telah membiak ketidaksamarataan dan ketidakadilan sosial dalam semua bidang kehidupan. Pandemik ini telah meletus pada ketika wujudnya krisis iklim, dan bakal mendatangkan satu lagi krisis – krisis ekonomi yang berkemungkinan kemelesetan yang paling teruk pada zaman kita ini.

Kelas pekerja dan rakyat miskin paling terjejas kerana pandemik kororavirus sekarang ini. Selain mengancam kesihatan dan nyawa rakyat biasa, pandemik ini juga telah mendatangkan kehilangan pendapatan dan pengangguran kepada kelas pekerja dan rakyat miskin di rantau ini. Pekerja-pekerja menghadapi ancaman penghematan kerja atau pemberhentian kerja, dan pemotongan gaji. Sementara itu, pekerja-pekerja dalam ekonomi gig menghadapi risiko ancaman nyawa kerana terpaksa bekerja tanpa perlindungan yang sesuai daripada pandemik. Pekerja-pekerja migran, pelarian-pelarian, pekerja-pekerja informal, pekerja-pekerja bergaji harian dan ramai lagi merupakan kumpulan masyarakat yang menanggung kesan hebat akibat daripada kegagalan kelas pemerintah dalam menangani krisis ini. Beberapa program bantuan masyarakat telah diperkenalkan oleh kerajaan di negara-negara yang terjejas oleh pandemik, tetapi jauh tidak mencukupi untuk mengurangkan kesusahan dan penderitaan rakyat pekerja dan golongan miskin.

Dasar-dasar neoliberal yang mempermudahkan penswastaan dan pengkomersialan kemudahan awam serta penyahkawalseliaan modal kewangan, telah merosakkan pengimunan masyarakat kita terhadap krisis sosial. Penghakisan teruk ke atas kesihatan awam untuk empat dekad yang lalu, telah melemahkan keupayaan kerajaan-kerajaan dalam menangani krisis sekarang ini secara berkesan.

Ketika krisis pandemik ini, kita telah menyaksikan bahawa kerajaan di sesetengah negara telah mempergunakan krisis ini untuk meningkatkan penindasan terhadap rakyat pekerja dan golongan terpinggir, dengan cara memperluaskan kuasa tentera dan polis. Terdapat juga ancaman peningkatan pemantauan kerajaan untuk memperkuatkan lagi sifat autoritarian kerajaan-kerajaan ini. Kita tidak patut membenarkan pandemik ini digunakan sebagai alasan oleh kerajaan yang represif untuk mengekang ruang demokrasi kita dan menindas gerakan rakyat.

Dengan pelbagai krisis timbul di peringkat antarabangsa, tidak akan wujud lagi “berurusniaga seperti biasa” untuk ekonomi kapitalis. Ini adalah masanya untuk kita memikir semula dan mencabar model ekonomi yang sedia ada, yang telah mewujudkan jurang hebat antara golongan yang kaya dengan golongan yang miskin, dan menjadikan kelas pekerja begitu terdedah kepada kesan pandemik yang paling teruk. Ini masanya untuk kita membina solidariti dalam kalangan rakyat pekerja merentasi sempadan negara untuk memperjuangkan perubahan yang bermakna dalan halatuju sosio-ekonomi demi memastikan dan mempertingkatkan kualiti hidup setiap orang.

Hari Pekerja Sedunia tahun ini, yang jatuh di tengah-tengah krisis global ini, mengingatkan kelas pekerja di seluruh dunia bahawa perjuangan untuk sebuah dunia yang lebih adil, lebih selamat dan lebih baik bagi semua adalah tidak berkemungkinan tanpa solidariti, organisasi dan mobilisasi kelas pekerja dalam menuntut perubahan sosial yang sebenar.

Kami, organisasi-organisasi yang menandatangani kenyataan ini, menyeru untuk perkara-perkara berikut:

  1. Kerajaan-kerajaan negara ASEAN perlu menggunakan semua sumber awam dan swasta dalam sektor kesihatan secara efektif untuk mengawal dan mengurangkan kesan pandemik koronavirus, dengan memberi perhatian khusus kepada rakyat pekerja dan golongan miskin. Pastikan akses kesihatan sejagat yang percuma untuk semua, termasuk migran dan pelarian. Kerajaan perlu juga menjamin perlindungan yang sesuai kepada pekerja-pekerja kesihatan dan pekerja-pekerja sokongan yang berada di barisan hadapan pertempuran menentang pandemik koronavirus ini.
  1. Mempertingkatkan perkhidmatan awam, termasuk sistem kesihatan awam, pendidikan, perumahan sosial, bekalan kuasa, belakan air bersih, pengangkutan awam dan kemudahan sosial yang lain, melalui percukaian progresif ke atas korporat besar dan golongan mahakaya. Pastikan pendidikan percuma untuk semua. Kerajaan-kerajaan negara ASEAN perlu bekerjasama menuju rejim percukaian progresif untuk rantau ini. Perkhidmatan-perkhidmatan awam ini perlu dimiliknegarakan dan didemokrasikan di bawah kawalan rakyat umum.
  1. Menjamin kerja dan pendapatan bagi rakyat pekerja, melalui pelaburan kerajaan dalam sektor yang produktif, seperti pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur sosial, pertanian lestari dan pengeluaran makanan, penjanaan tenaga boleh diperbaharui, peruntukan untuk perumahan sosial, dan sebagainya. Kita perlukan jaminan kerja dan pendapatan bagi jutaan rakyat pekerja di rantau ini. Sistem kapitalis yang berorientasikan keuntungan tidak mampu melakukan ini. Kita perlukan campurtangan kerajaan yang bermakna. Kerajaan-kerajaan ASEAN harus bekerjasama untuk mengemukakan satu “Tawaran Baru” (New Deal) bagi Asia Tenggara supaya membina sebuah ekonomi yang berfungsi untuk penambahbaikan kehidupan rakyat bukannya keuntungan korporat.
  1. Kerajaan-kerajaan negara ASEAN perlu mewujudkan mekanisme gaji layak hidup serantau untuk menghentikan dasar buruh murah dan penekanan gaji pada paras rendah, supaya membolehkan rakyat pekerja di seluruh rantau ini menikmati bahagian hasil buruhyang adil.
  1. Membangunkan rancangan komprehensif untuk meningkatkan jaminan makanan, supaya dapat menangani kekurangan makanan asas pada ketika krisis ini dan melindungi rezeki petani-petani kecil.
  1. Hapuskan semua hutang yang dipaksakan ke atas kerajaan, untuk membolehkan lebih banyak dana dapat diperuntukkan kepada pelaksanaan program bagi rakyat pada ketika krisis ini.
  1. Hentikan semua pengusiran. Kerajaan perlu menjamin hak asasi untuk perumahan bersesuaian bagi semua. Bekukan sewa dan bayaran pinjaman perumahan untuk golongan miskin supaya dapat memastikan keselamatan kepenghunian dan mengurangkan beban pada rakyat. Bina lebih banyak perumahan sosial.
  1. Bebaskan semua tahanan politik. Banduan lain yang bukan disabit kesalahan jenayah keganasan atau mereka yang tidak membawa ancaman kepada masyarakat patut dibebaskan atau diberi parol kerana penjara yang sesak menyumbang kepada penularan pandemik.
  1. Mengiktiraf bahawa langkah-langkah kuarantin, penjarakan dan sekatan pergerakan hanya berkesan dalam melawan pandemik dengan kerjasama rakyat umum. Kerajaan perlu mengelakkan daripada menyalahgunakan sekatan pergerakan, penjejakan orang yang dijangkiti dan sebagainya sebagai alasan untuk memperkenalkan undang-undang represif atau memperkukuhkan kuasa pemaksaan kerajaan. Pelaksanaan langkah-langkah menangani pandemik perlu diarahkan oleh pihak berkuasa kesihatan di bawah pantauan demokratik, bukannya oleh tentera dan polis. Tidak harus benarkan campurtangan tentera dalam politik dan pentadbiran negara dengan dalih membendung pandemik. Perlu berjaga-jaga dengan kerajaan menuju ke arah autoritarianisme.
  1. Kerajaan-kerajaan ASEAN perlu memberi perhatian kepada peningkatan dalam keganasan domestik terhadap wanita yang merupakan kesan daripada sekatan pergerakan, di samping memperuntukkan dana yang mencukupi dan sokongan yang diperlukan untuk menyokong perkhidmatan mengawasi dan membantu mangsa-mangsa keganasan domestik.
  1. Membantah sekatan ekonomi unilateral bersifat jenayah yang dikenakan oleh kuasa imperialis (khususnya Amerika Syarikat) ke atas negara-negara yang tidak sehaluan dengan kepentingan mereka, termasuk Cuba, Venezuela dan Iran.

Penentangan kita dan perjuangan untuk tuntutan serta-merta kita perlu dihubungkaitkan dengan menawarkan alternatif kepada sistem kapitalis – iaitu alternatif sosialis – yang berasaskan pada mengutamakan kelangsungan hidup manusia dan perlindungan kepada alam sekitar, bukannya keuntungan kapitalis. Teras kepada visi sosialis kita perlu berasaskan solidariti, satu keperluan untuk menyelamatkan diri daripada malapetaka, yang mampu mencabar susunan yang sedia ada.

Dengan semangat internasionalisme kelas pekerja, kami menyeru untuk solidariti dan saling menyokong dalam kalangan rakyat pekerja serantau dan sedunia, dalam usaha kita untuk membina sebuah dunia yang lebih baik.

Kenyataan ini disokong oleh:

  1. Partai Rakyat Pekerja (PRP), Indonesia
  2. Lembaga Informasi Perburuhan Sedane (LIPS), Indonesia
  3. Parti Sosialis Malaysia (PSM), Malaysia
  4. Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT), Malaysia
  5. Partido Lakas ng Masa (PLM), Filipina
  6. Bukluran ng Manggagawang Pilipino (BMP), Filipina
  7. Sanlakas, Filipina
  8. Partido Manggagawa (PM), Filipina
  9. Laban ng Masa, Filipina
  10. Socialist Workers Thailand Group, Thailand
  11. Partai Sosialis Papua (PSP)
  12. Socialist Alliance, Australia
  13. Socialist People’s Alliance Party, Mesir
  14. Borderless Movement, Hong Kong
  15. Potere al Popolo!, Itali
  16. Japanese Revolutionary Communist League (JRCL), Jepun
  17. Nava Sama Samaja Party (NSSP), Sri Lanka
  18. Europe solidaire sans frontières (ESSF), Perancis

Versi bahasa lain: Bahasa Inggeris, Bahasa Indonesia, Bahasa Thai, Bahasa Tionghua, Bahasa Itali

2 thoughts on “Bina masa depan lebih baik bagi rakyat pekerja ketika zaman pelbagai krisis (Kenyataan Bersama Parti-parti Kiri Asia Tenggara untuk Hari Pekerja Sedunia 2020)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *