20200427 - Benih

(Berikut ialah kenyataan media PSM bersempena dengan Hari Benih Antarabangsa yang jatuh pada 26 April setiap tahun.)

oleh Sharan Raj

Krisis COVID-19 telah menunjukkan kepentingan kedaulatan makanan selepas negara asing enggan menjual makanan kepada Malaysia. Selama dua dekad, Parti Sosialis Malaysia (PSM) menekankan kepentingan melindungi petani tempatan untuk mengelakkan situasi sebegini.

Petani di Malaysia terus diancam oleh dasar neoliberal atas nama pembangunan. Pada ketika ini, PSM Perak sedang mengendalikan isu pengusiran paksa ratusan petani kecil di negeri itu. Ancaman terbaru adalah sistem paten benih seperti UPOV-91 yang sedang dilobi oleh syarikat korporat antarabangsa (MNC).

Komuniti petani telah menyimpan, menyemai, mengembang, berkongsi dan melakukan kacukan baka (cross-breed) untuk lebih 10,000 tahun. Mekanisme benih petani ini menurunkan kos pertanian dan meningkatkan variasi baru. Sistem paten benih membenarkan beberapa pihak korporat untuk mengawal benih dunia untuk dijual pada harga tinggi.

Sistem paten benih seperti UPOV-91 menghalalkan pencurian-bio (bio-piracy) kerana syarikat korporat boleh mengambil benih tumbuhan dari rantau Nusantara dan dijual di Eropah tanpa pengetahuan komuniti tempatan. Kedaulatan sektor pertanian negara tidak dapat dicapai tanpa kedaulatan petani dalam proses pertanian.

Sempena Hari Benih Antarabangsa 2020, PSM menyeru pada rakyat Malaysia untuk mempertahankan rezeki petani tempatan daripada ancaman sistem paten benih seperti UPOV-91 demi menjamin bekalan makanan.

==========

Sharan Raj ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Alam Sekitar & Krisis Iklim.

One thought on “Pertahankan kedaulatan pertanian negara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *