20200223 - coronavirus-2

oleh M. Sivaranjani 

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan oleh Kerajaan untuk membendung wabak COVID-19, Kerajaan telah mengenakan syarat bahawa hanya industri yang tergolong sebagai “perkhidmatan perlu” (essential service) sahaja yang harus beroperasi dalam tempoh PKP ini. Namun demikian, syarikat perniagaan yang bukan perkhidmatan perlu (non-essential service) dan kilang-kilang lain yang ingin beroperasi telah diminta untuk membuat permohonan kepada pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk terus beroperasi semasa PKP.

Mengikut kenyataan akhbar pihak MITI bertarikh 27 Mac 2020, MITI mengesahkan bahawa Kementerian tersebut telah menerima sebanyak 9,290 permohonan daripada syarikat-syarikat dalam sektor pembuatan untuk meneruskan operasi sepanjang tempoh PKP. Daripada jumlah tersebut, 2,732 buah syarikat atau 29.41% pemohon telah dibenarkan untuk beroperasi, manakala 2,794 permohonan (30.08%) telah ditolak. Sementara itu, 1,885 permohonan (20.29%) berada dalam senarai keep in view (KIV), dan selebihnya (1,879, 20.22%) masih di dalam proses saringan MITI.

[Kemaskini maklumat daripada MITI pada 30 Mac 2020: 4,111 buah syarikat(34.76%) diluluskan untuk meneruskan operasi; 3,495 syarikat (29.55%) ditolak; 2,333 syarikat (19.73%) KIV; 1,850 syarikat (15.64%) masih dalam proses.]

MITI juga menyenaraikan syarikat dalam sektor pembuatan dan pengeluaran barangan keperluan umum penting dan kritikal seperti berikut:

  1. Makanan dan minuman;
  2. Produk barangan rumah (termasuk hand sanitiser);
  3. Peralatan perlindungan peribadi (termasuk topeng muka);
  4. Farmaseutikal;
  5. Bahan pembungkusan dan percetakan, khususnya untuk industri makanan dan minuman;
  6. Peranti perubatandan pembedahan; dan
  7. Minyak dan gas.

Untuk memastikan bahawa syarikat dan kilang mematuhi peraturan PKP dan menjaga kesihatan pekerjanya, Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah membuka talian hotline aduan telefon (010-2402159) dan borang aduan online yang dikendalikan oleh cawangan-cawangan PSM . Skop pemantauan dan tindakan kami adalah seperti berikut:

  • Menerima aduan daripada golongan pekerja dan individu yang mengalami masalah pemangsaan di tempat kerja semasa krisis COVID-19 dan tempoh PKP, seperti tidak dibayar gaji, dipaksa untuk bekerja, tidak mematuhi syarat yang ditetapkan oleh kerajaan, diberhentikan kerja secara mengejut dan lain-lain perkara yang berhubungkait dengan pekerjaaan.
  • Mengetengahkan masalah dan aduan kepada pihak berkuasa,seperti Jabatan Tenaga kerja (JTK), Kementerian Sumber manusia(KSM), MITI dan pihak Polis, untuk tindakan yang sewajar.
  • Memantau dan membuat analisis trend tentang permasalahan serta penyelesaian.
  • Memberikan khidmat nasihat kepada pekerja mengenai hak mereka dan undang-undang pekerjaan.

Statistik pemantauan PSM dari 25 Mac 2020 hingga 29 Mac 2020

  • Jumlah aduan yang diterima: 178
  • Taburan aduan yang diterima mengikut negeri:

Selangor – 83

Perak – 52

Kuala Lumpur – 13

Kelantan – 8

Pulau Pinang – 9

Pahang -5

Terengganu – 4

Kedah  – 3

Sarawak –  1

Taburan aduan

  1. 50% aduan ini adalah daripada sektor perkhidmatan yang diberi kebenaran untuk beroperasi tetapi industri tersebut bukan perkhidmatan penting (non-essential sevice). Contohnya kilang besi, kilang elekrtik dan elektronik semikonduktor, kilang perabot, perlombongan, kilang bahan pembinaan dan sebagainya.
  2. 30% aduan lain adalah daripada pekerja yang syarikatnya tutup sementara waktu sehingga kawalan pergerakan berakhir.
  3. 10% daripada aduanya adalah pekerja daripada sektor perkhidmatan penting/perlu.
  4. 10% syarikat yang tidak patut beroperasi (bukan daripada industri penting /kritikal) tetapi sedang beroperasi, dan pekerja dipaksa hadir kerja, seperti kedai gambar, spa, kedai pakaian dan sebagainya.

Jenis aduan 

1. Industri “bukan perkhidmatan penting” (nonessential)yang dibenarkan oleh MITI

  • Industri yang bukan perkhidmatan penting diberi kebenaran untuk beroperasi, seperti semi-konduktor elektronik, kilang besi, pembinaan dan penyelenggaraan kilang, perlombongan, dan kilang. Ramai pekerja terlibat dalam kilang-kilang ini.
  • Pada mulanya kita diberitahu bahawa perkhidmatan penting sahaja dibenarkan untuk beroperasi, tetapi lama-kelamaan masalah dan kekeliruan wujud apabila MITI mula memberi kebenaran kepada industri-industri di atas satu per satu untuk beroperasi.
  • Ini tidak masuk akal kerana sesetengah syarikat ini mempunyai ribuan pekerja dan penjarakan sosial tidak mungkin dapat dilaksanakan.

2. Kilang yang diberi kebenaran operasi tetapi tidak mematuhi syarat yang ditetapkan oleh kerajaan

  • Ini merupakan aduan tentang kilang yang diberi kebenaran operasi tetapi tidak mematuhi syarat pengurangan bilangan pekerja kepada 50%.
  • Maklumat lengkap tentang syarikat-syarikat ini telah atau sedang dikemukakan oleh PSM kepada Jabatan Tenaga Kerja .

3. Tindakan aduan pekerja dan respon dari pihak berkuasa

  • Di beberapa buah kilang, pihak pekerja telah tampil ke hadapan dan mengambil tindakan untuk membuat aduan polis terhadap syarikat-syarikat ini.
  • Tetapi, kami mendapati bahawa tiada tindakan menutup operasi dijalankan oleh pihak polis apabila syarikat menunjukkan surat kebenaran MITI. Amaran pihak Polis untuk mengurangkan bilangan pekerja yang bekerja dan menyediakan kelengkapan keselamatan seperti topeng muka dan bahan pencuci tangan, tidak dipedulikan syarikat berkenaan.
  • Ada juga pekerja yang membuat aduan polis dan mengambil keputusan untuk tidak hadir kerja atas nasihat pihak polis. Tetapi mereka menerima berita daripada majikan bahawa mereka tidak akan dibayar gaji.

4. Pekerja tidak dibekalkan peralatan keselamatan

  • Pekerja yang hadir kerja di syarikat yang beroperasi tidak dibekalkan peralatan keselamatan seperti bahan pencuci tangan (hand sanitizer) dan topeng muka, sementara pihak majikan tidak memastikan jarak sosial antara pekerja (social distancing).
  • Pekerja juga amat risau kerana syarikat beroperasi walaupun terdapat pekerja yang sedang jatuh sakit. Pekerja berasakan syarikat tidak sensitif dengan wabak COVID-19 dan tidak mengambil berat tentang isu kesihatan pekerja.

5. Dipaksa mengambil cuti tahunan

  • Pekerja yang dibenarkan untuk berada di rumah, dipaksa untuk mengambil cuti tahunan.
  • Ada segelintir majikan memberitahu bahawa tiada gaji akan dibayar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan alasan pekerja upah harian dan tiada perniagaan untuk syarikat maka tiada pendapatan untuk membayar pekerja.

Tindakan yang diambil oleh Biro Pekerja PSM

Apabila kami menerima aduan-aduan ini, kami mengambil beberapa tindakan:-

  1. Setelah mengumpul maklumat penuh tentang aduan pekerja, kami mula berkomunikasi dengan jabatan yang berkenaan – melalui hotline MITI, hotline KSM dan e-mel kepada Kementerian Sumber Manusia.
  1. Kami juga menghubungi balai polis yang berdekatan untuk melapor dan mengadu tentang syarikat yang langgar Perintah Kawalan Pergerakan.
  1. Kami juga membuat panggilan terus kepada sesetengahmajikan
  • Memberitahu pada pihak majikan tentang kepentingan untuk membekalkan peralatan keselamatan seperti topeng muka dan bahan pencuci tangan serta pelaksanaan penjarakan sosial.
  • Memberi amaran kepada pihak majikan bahawa pekerja tidak boleh dipaksa untuk mengambil cuti tahunan mahupun memaksa pekerja hadir kerja bagi industri yang tiada kebenaran.

Cabaran yang dialami oleh Biro Pekerja PSM

  • Hotline MITI selalu tidak dijawab.
  • Jabatan Tenaga Kerja(JTK) pula telah menunjukkan respon yang lebih memberangsangkan kebelakangan ini berbanding pada awalnya yang hanya memberi maklumbalas standard “Terima kasih. Aduan anda telah direkodkan. Sila pergi ke pejabat JTK berdekatan setelah Perintah Kawalan Pergerakan berakhir”. Beberapa hari ini, kami melihat ada lebih tindakan yang diambil oleh JTK, seperti menghubungi pekerja untuk mengetahui keadaan sebenar dan menghubungi majikan untuk melakukan penyiasatan.

Cadangan dan tuntutan Biro Pekerja PSM

  1. Majikan harus menghargai segala pengorbanan pekerja mereka pada masa ini. Ini bukan masanya untuk menyeksa atau memaksa pekerja untuk bekerja demi terus mengaut keuntungan. Isu kesihatan harus diberi keutamaan. Pihak majikan harus bekerjasama untuk mengatasi detik yang sukar ini.

Selaras dengan ini, Kerajaan juga harus membantu majikan dengan perniagaan berskala kecil, seperti perusahaan yang mengupah 15 orang pekerja dan ke bawah, dengan memberi subsidi untuk pembayaran sewa premis mereka selama 3 bulan, subsidi dalam bil air dan elektrik, untuk mengurangkan beban mereka dalam tempoh kawalan pergerakan.

  1. MITI harus menyenaraikan semua syarikat yang dibenarkanuntuk beroperasi dan syarat apa yang dikenakan. Senarai ini harus telus dan dipamerkan dalam laman web MITI supaya semua pihak dapat memantau, termasuk pekerja dan pihak polis.
  1. Jika industri tersebut benar-benar tidak penting atau bukannya perkhidmatan perlu, maka harus berhenti beroperasi. MITI harus tegas dalam perkara MITI tidak harus terpengaruh dengan pujukan majikan. Kerajaan atau majikan tidak seharusnya meggadaikan nyawa rakyat pada waktu yang genting ini!

==========

M. Sivaranjani ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Pekerja PSM.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s