20200223 - coronavirus-2

Dengan penularan wabak Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) yang semakin serius di negara kita, Kerajaan Malaysia mengisytihar pada 16 Mac 2020 untuk pelaksanaan Perintahan Kawalan Pergerakan bermula pada 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020.

Perintahan Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa di seluruh Malaysia ini bertujuan untuk meminimumkan pergerakan rakyat dari satu tempat ke satu tempat yang lain dan juga mengurangkan kontak secara langsung antara orang ramai untuk mengurangkan risiko jangkitan virus wabak. Setakat 18 Mac 2020, sudah 673 orang disahkan dijangkiti wabak COVID-19, dan 2 orang meninggal dunia kerana penyakit ini. Sementara itu, 49 orang yang dijangkiti virus COVID-19 telah sembuh, dengan kebanyakannya daripada gelombang pertama penularan COVID-19 yang semuanya sudah sembuh.

Perintah Kawalan Pergerakan, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 diwartakan pada 18 Mac 2020, dengan pegawai Polis Di-Raja Malaysia dan RELA telah dilantik sebagai pegawai diberi kuasa di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) untuk melaksanakan perintah tersebut.

Arahan yang terkandung dalam Perintah Kawalan Pergerakan ini adalah:

  • Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian;
  • Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Mereka yang baru pulang dari luar negara, dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin diri secara sukarela selama 14 hari.
  • Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.
  • Penutupan semua Taska, Sekolah Kerajaan dan swasta dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti.
  • Penutupan semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swata serta Institut Latihan Kemahiran di seluruh negara.
  • Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan).

Ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, orang ramai telah dinasihatkan supaya berada di rumah kediaman masing-masing sepanjang masa kecuali untuk memenuhi keperluan-keperluan asas. Ini adalah untuk meningkatkan keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan dalam membendung wabak penyakit COVID-19. Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk mengamalkan penjarakan sosial (social distancing) dari orang sekeliling demi mengelakkan jangkitan virus COVID-19.

Perintah Kawalan Pergerakan merupakan langkah yang paling drastik yang diambil setakat ini oleh Kerajaan Malaysia memandangkan situasi penularan wabak COVID-19 yang meruncing baru-baru ini. Namun, tindakan drastik ini hanya berkesan sekiranya semua rakyat mengambil tanggungjawab untuk mengurangkan pergerakan di luar dan mengamalkan penjarakan sosial sepanjang tempoh ini, di samping usaha penyelarasan dan komunikasi yang efektif oleh kerajaan bagi mengelakkan kekeliruan dan kepanikan orang ramai.

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri di talian 03-8888 2010. Anda juga boleh menyertai kumpulan Telegram Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dapatkan maklumat yang terkini: https://t.me/MKNRasmi

(Kemaskini 25 Mac 2020: Perintah Kawalan Pergerakan telah dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 14 April 2020.)

4 thoughts on “Perintahan Kawalan Pergerakan untuk bendung wabak COVID-19

  1. hi, jika saya ingin membuat aduan tentang certain tempat yg saya tahu ada individu yg tidak mematuhi mro, bagaimana cara boleh membuat aduan tersebut supaya tindakan dapat diambil?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *