20200223 - coronavirus-2

Wabak Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19), telah menjadi tumpuan dunia hampir dua bulan kebelakangan ini, dan membunyikan loceng amaran kepada kesihatan rakyat sedunia.

Wabak yang bermula dari bandaraya Wuhan di negara China pada bulan Disember 2019 ini, telah merebak ke seluruh negara China dan juga sudah lebih 30 buah negara atau wilayah di peringkat dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytihar Darurat Kesihatan Awam yang Membimbangkan Antarabangsa (Public Health Emergency of International Concern, PHEIC) terhadap penularan wabak ini pada 30 Januari 2020 selepas jangkitan manusia ke manusia turut berlaku di luar negara China.

Sehingga 23 Februari 2020, seramai 78,773 orang telah disahkan dijangkiti COVID-19, dengan majoritinya iaitu 76,936 orang di negara China. Wabak ini telah merebak ke 32 buah negara atau wilayah yang lain di dunia, termasuk Malaysia. Seramai 2,462 orang telah meninggal dunia kerana penyakit ini (2,442 orang di China, dan 20 orang lagi di luar negara China), satu angka yang telah melebihi jumlah kematian semasa penularan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), yang juga disebabkan oleh sejenis koronavirus, pada tahun 2002-2003, iaitu 774 kematian dalam tempoh 9 bulan (kebanyakan di China dan Hong Kong, diikuti dengan Taiwan, Kanada dan Singapura). Lebih 23,121 orang telah dilaporkan sembuh dari penyakit COVID-19 setakat ini.

Ketika peringkat awal penularan wabak COVID-19, WHO menamakan secara sementara virus berjangkit yang baru ini sebagai 2019-nCoV. Namun, oleh sebab tiadanya nama rasmi tentang virus berjangkit ini, maka timbulnya kebimbangan tentang penggunaan nama tidak rasmi yang bersifat prejudis atau mewujudkan stigma. Oleh yang demikian, Jawatankuasa Taksonomi Virus Antarabangsa (ICTV) telah menamakan secara rasmi virus ini sebagai SARS-CoV-2 (Koronavirus Sindrom Pernafasan Akut Teruk 2) pada 11 Februari 2020, sementara WHO menamakan secara rasmi penyakit yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2 sebagai Wabak Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19).

Walaupun negara China paling terjejas dengan penularan wabak COVID-19, khususnya di wilayah Hubei di mana paling awal dikesan perebakan wabak COVID-19, dari segi kesihatan awam dan kehidupan harian sehingga ke aspek ekonomi, namun negara lain turut menerima impak yang tidak kurang hebatnya. Pada ketika ini, penularan wabak COVID-19 paling teruk di luar negara China adalah di Korea Selatan (556 kes jangkitan yang disahkan, 4 orang mati) dan Jepun (135 kes jangkitan dan 1 orang mati), diikuti oleh Singapura (89 kes jangkitan, tiada kematian), Itali (79 kes jangkitan, 2 kematian) dan Hong Kong (70 kes jangkitan, 2 kematian). Laporan kes jangkitan pertama di Iran sejak 19 Februari 2020 menimbulkan kebimbangan, kerana sudah adanya 29 kes yang disahkan dalam tempoh beberapa hari sahaja dan 6 kematian telah dilaporkan.

Penularan wabak COVID-19 juga agak serius di beberapa buah kapal pesiar yang membawa ramai penumpang, khususnya kapal Diamond Princess yang dikuarantin di perairan Jepun telah mengesan sebanyak 634 kes jangkitan.

Beberapa fakta penting tentang COVID-19

Dari ketidakpastian pada awal berlakunya penularan wabak COVID-19 sehingga kini, kita sudah dapat pasti beberapa fakta, iaitu:

  • Wabak COVID-19 mudah berjangkit dari manusia ke manusia. Walaupun kadar kematian wabak COVID-19 lebih rendah daripada SARS, tetapi oleh sebab kadar jangkitannya yang jauh lebih tinggi, maka angka kematiannya pun lebih besar malah sudah melebihi jumlah kematian pesakit yang dijangkiti SARS pada tahun 2002-2003.
  • Tempoh inkubasi untuk virus ini (iaitu masa pendedahan kepada virus sehingga timbulnya simtom penyakit) adalah antara 2 hingga 14 hari (dengan adanya kajian yang menemui kes yang sangat jarang di mana tempoh inkubasi mencecah 24 hari). Simtom penyakit termasuk demam, batuk dan kesusahan bernafas. Komplikasi pula termasuk pneumonia (keradangan paru-paru) dan sindrom kesusahan bernafas akut (ARDS).
  • Virus COVID-19 boleh menjangkiti orang lain sebelum subjek yang dijangkiti virus ini menunjukkan simtom penyakit yang serius.
  • Tiada lagi vaksin atau rawatan anti-viral yang khusus untuk penyakit COVID-19, dengan rawatan untuk pesakit COVID-19 pada takat ini adalah mensasarkan pada mengawal simtom penyakit dan memberikan rawatan sokongan pada pesakit.
  • Kaedah pencegahan termasuk: mencuci tangan dengan betul dan kerap; mengelakkan daripada menyentuh mata, hidung atau mulut dengan tangan yang belum dicuci; sesiapa yang disyaki dijangkiti virus atau mempunyai simtom respiratori harus memakai penutup muka (khususnya di tempat awam).
  • Sekarang ini kita hidup dalam dunia globalisasi yang dihubungkan oleh jaringan pengangkutan antarabangsa yang meluas, maka pemindahan dan perebakan sesuatu wabak menjadi semakin mudah.

COVID-19 di Malaysia: Kerajaan perlu tingkatkan usaha membendung wabak

Sejak kes penyakit COVID-19 yang pertama di Malaysia dikesan pada 25 Januari 2020, sebanyak 22 kes jangkitan COVID-19 telah dilaporkan. Antaranya 17, orang yang dijangkiti COVID-19 sudah sembuh dari penyakit ini. Keadaan wabak COVID-19 pada masa kini boleh dikatakan masih terkawal. Kakitangan di Kementerian Kesihatan Malaysia, termasuk doktor, jururawat dan kakitangan kesihatan di barisan hadapan memang memainkan peranan penting dalam membendung penularan wabak. Ini sesuatu yang tidak boleh dinafikan. Walau bagaimanapun, kita masih perlu berhati-hati dan tidak boleh terlepas pandang daripada ancaman kesihatan awam ini.

Dalam menghadapi ancaman penularan wabak COVID-19 yang masih berterusan ini, adalah penting untuk kerajaan mengambil langkah-langkah yang sewajar untuk membendung perebakan virus, termasuk:

  • Semua kes jangkitan yang dikenalpasti harus dimasukkan ke dalam wad kuarantin.
  • Semua orang yang berhubung dengan pesakit COVID-19 (tetapi belum lagi menunjukkan simtom sakit) perlu dikuarantin di rumah sehingga disahkan tiada jangkitan.
  • Semua individu yang mempunyai simtom respiratori (seperti batuk dan kesusahan bernafas) patut memakai penutup mulut dan hidung atau topeng muka pernafasan semasa berada di luar, dan pergi ke klinik yang disenaraikan khas untuk menjalani pemeriksaan tapisan.

Namun, untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan wabak ini, kerajaan perlu menyediakan kemudahan yang secukupnya, dan mampu menangani keadaan peningkatan kes secara tiba-tiba walaupun kita tidak inginkannya berlaku. Adakah Kementerian Kesihatan mempunyai tempat yang mencukupi untuk menempatkan mereka yang dijangkiti virus sehingga mereka sembuh? Adakah kerajaan mempunyai rancangan untuk mengambilalih sesetengah tempat penginapan atau asrama untuk menempatkan pesakit dengan keadaan penyakit yang tidak begitu teruk? Kita perlukan pelan kontingensi untuk menghadapi peningkatan kes jangkitan virus, bukan sahaja untuk COVID-19, tetapi juga untuk epidemik yang mungkin akan berlaku pada masa hadapan.

Satu lagi isu yang perlu ditangani adalah kehidupan untuk mereka yang dikuarantin. Ramai orang gusar dan takut dijangkiti penyakit, malah sampai ke tahap panik, selain bimbang pada keselamatan nyawa diri dan keluarga mereka, satu lagi sebab ketakutan adalah kuarantin yang mengganggu kehidupan harian mereka. Untuk rakyat biasa yang merupakan pekerja bawahan ataupun penjaja kecil, pengkuarantinan di rumah akan membawa kerumitan kepada kehidupan mereka. Seorang pekerja biasa, jika dikuarantin, adakah kepastian bahawa dia tidak akan diberhentikan kerja oleh majikan atau tidak dipotong gajinya? Bagaimana pula dengan keperluan harian mereka sepanjang tempoh kuarantin? Bolehkah kerajaan menyediakan peruntukan untuk membiayai keperluan asas mereka yang dikuarantin dan menghantar keperluan asas tersebut (seperti makanan) ke rumah mereka sepanjang tempoh kuarantin? Bolehkah kerajaan memperuntukkan bayaran elaun sara hidup kepada mereka yang dikuarantin, sebagai bayaran ganti gaji sepanjang tempoh tidak bekerja, khususnya untuk pekerja yang diupah oleh perusahaan kecil? Pendapatan asas universal (universal basic income, UBI) menjadi begitu relevan dalam senario ancaman wabak penyakit supaya rakyat jelata dapat meneruskan kehidupan sama ada dijangkiti penyakit atau tidak.

Memperuntukkan klinik atau pusat yang khusus untuk menjalankan pemeriksaan terhadap pesakit yang disyaki dijangkiti COVID-19 adalah penting. Sekiranya mereka yang mempunyai simtom respiratori pergi ke unit pesakit luar yang penuh sesak untuk mendapatkan pemeriksaan, akan meningkatkan risiko jangkitan COVID-19 dalam komuniti. Oleh itu, klinik atau pusat pemeriksaan penapisan perlu dijauhkan daripada orang ramai. Ataupun bolehkah kerajaan menyediakan kemudahan pemeriksaan di rumah pesakit? Pesakit yang mempunyai simtom respiratori hanya perlu memangil satu nombor dan pihak hospital akan menghantar pembantu perubatan ke rumahnya untuk mengumpul sampel bagi pemeriksaan tapisan. Adakah sistem kesihatan awam kita mempunyai kakitangan yang cukup untuk menjalankan prosedur sedemikian? Juga perlu mengutamakan keselamatan petugas kesihatan ini termasuk membekalkan kelengkapan perlindungan yang mencukupi.

Adakah Kerajaan Malaysia mempunyai peruntukan dana yang mencukupi untuk meningkatkan ketersediaan kita dalam menghadapi ancaman wabak COVID-19 dan juga wabak lain yang mungkin akan berlaku?

Selain itu, satu isu yang penting adalah dasar kerajaan kita terhadap pekerja-pekerja migran yang berada di negara kita, termasuk mereka yang tidak berdokumen. Selagi pekerja-pekerja migran menghadapi halangan untuk mengakses perkhidmatan awam, termasuk caj tinggi untuk mendapatkan rawatan doktor di hospital (walaupun rawatan penyakit berjangkit adalah percuma untuk semua di hospital awam, tetapi pekerja migran perlu membayar 10 kali ganda lebih tinggi berbanding warga tempatan untuk berjumpa doktor di unit pesakit luar) dan pekerja migran tanpa dokumen akan terus ditangkap apabila mendapat rawatan di hospital, maka wabak penyakit berjangkit akan mudah menular dalam kalangan mereka dan akhirnya juga akan terkena rakyat tempatan. Bolehkan kerajaan menjadikan hospital dan klinik awam kawasan untuk larangan penguatkuasaan imigresen, di mana pekerja migran sama ada atau tiada dokumen dapat datang ke hospital untuk pemeriksaan atau rawatan tanpa kebimbangan ditangkap oleh imigresen? Ini adalah satu isu yang amat penting berkaitan dengan kesihatan awam di negara kita.

Bukannya masa untuk kapitalisme

Di bawah ancaman penularan wabak berjangkit, adalah jelas sistem kapitalis itu langsung tidak dapat menjamin kesihatan dan keselamatan nyawa rakyat jelata. Sistem pasaran bebas yang berasaskan keuntungan korporat langsung tidak berguna dalam membendung penularan wabak dan menyelamatkan nyawa pesakit. Memang bukannya masa untuk kapitalisme pada ketika kita sedang menghadapi ancaman kesihatan awam.

Peranan kerajaan dan sistem kesihatan awam menjadi begitu penting dalam usaha kita menangani krisis ancaman wabak virus. Oleh yang demikian, kerajaan harus serius dalam memastikan peruntukan dana yang mencukupi untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam, bukannya lagi menjadi ejen mempromosi pelancongan kesihatan yang hanya menguntungkan sektor swasta yang menggilakan keuntungan, atau menyerahkan kesihatan awam kepada syarikat insurans swasta.

Sistem sosio-ekonomi telah membiak kemiskinan dan ketidakadilan di seluruh dunia. Di Malaysia, dasar ekonomi neoliberal (yang merupakan salah satu jelmaan kapitalisme) yang diamalkan oleh kerajaan selama ini telah menghakis hak asasi rakyat, termasuk hak untuk perlindungan dan penjagaan kesihatan. Penyakit berjangkit menular lebih cepat dalam dunia globalisasi neoliberal, bukan sahaja kerana pergerakan manusia merentasi sempadan negara yang meningkat secara hebat, tetapi juga oleh sebab sistem perlindungan sosial yang semakin dirosakkan oleh dasar neoliberal yang mengutamakan keuntungan korporat.

Dasar neoliberal yang menyajikan formula penswastaan, penyahkawalseliaan terhadap modal dan pengurangan perbelanjaan sosial, telah menghakis dengan teruk keupayaan pertahanan masyarakat kita dalam menghadapi ancaman krisis seperti penularan wabak. Kita tidak akan dapat mengharungi krisis epidemik dengan impak yang paling minimum tanpa mengatasi logik ekonomi neoliberal.

Hanya dengan sistem kesihatan awam dan sistem perlindungan sosial yang sempurna, yang dijamin oleh dasar sosio-ekonomi yang mengutamakan rakyat bukannya keuntungan korporat, baru kita dapat menghadapi apa-apa krisis penularan wabak dengan sentiasa penuh bersedia dan menjamin kesejahteraan rakyat secara berterusan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *