20200131 - CHINATOPIX - via Associated Press Screenshot_2020-01-31 merlin_167871375_cdf74c26-fede-49d0-9de6-ac809128d5aa-articleLarge jpg (WEBP Image, 600 × 400 pixels)
(foto oleh CHINATOPIX via Associated Press)

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytihar Darurat Kesihatan Awam yang Membimbangkan Antarabangsa (Public Health Emergency of International Concern, PHEIC) terhadap penularan wabak koronavirus baru, 2019-nCoV, yang tercetus di bandaraya Wuhan di China dan sedang menular di dalam dan luar negara China sekarang ini. Pengisytiharan ini dibuat selepas mesyuarat kedua Jawatankuasa Kecemasan yang dipanggil oleh Ketua Pengarah WHO di bawah Peraturan Kesihatan Antarabangsa 2005 (IHR) pada 30 Januari 2020 mengenai penularan wabak 2019-nCoV, yang juga dikenali sebagai wabak koronavirus Wuhan.

Setakat 31 Januari 2020, telah disahkan bahawa lebih 9,800 kes yang dijangkiti koronavirus 2019-nCoV di 23 buah negara (dengan majoritinya, iaitu lebih 9,700 kes, dikesan di Tanah Besar China), dan seramai 213 orang mati kerana wabak ini (semuanya pesakit di Tanah Besar China). Angka jangkitan wabak terbaru ini telah melebihi angka jangkitan wabak SARS (sindrom pernafasan akut serius) yang juga disebabkan oleh sejenis koronavirus yang baru ditemui ketika itu, SARS-Cov. Sebanyak 8,096 kes jangkitan penyakit SARS disahkan dari bulan November 2002 hingga bulai Julai 2003 di 29 buah negara, antaranya 774 orang mati kerana SARS, dengan China dan Hong Kong yang menerima impak yang terbesar.

Darurat Kesihatan Awam Antarabangsa diisytihar kerana wujudnya kejadian luar biasa yang berisiko mengancam kesihatan masyarakat negara lain melalui penularan penyakit yang melangkaui sempadan negara dan memerlukan respon antarabangsa yang terkoordinasi.

Perisytiharan Darurat Kesihatan Awam Antarabangsa oleh WHO diperkenalkan dalam Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) yang digubal pada tahun 2005 dan mula berkuatkuasa pada tahun 2007. Melalui perisytiharan Darurat Kesihatan Awam Antarabangsa, Jawatankuasa Kecemasan di bawah Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) akan mengemukakan cadangan-cadangan untuk tindakan yang patut diambil oleh Ketua Pengarah WHO dan negara-negara anggota WHO untuk menangani krisis kesihatan awam berkenaan. Cadangan-cadangan tersebut adalah sementara dan akan disemak semula setiap 3 bulan.

Sejak tahun 2009, sudah adanya 6 Perisytiharan Darurat Kesihatan Awam Antarabangsa, iaitu pandemik influenza H1N1 pada tahun 2009, kemunculan semula polio selepas hampir dihapuskan sepenuh pada tahun 2014, wabak Ebola di Afrika Barat pada tahun 2014, wabak virus Zika 2015-2016, wabak Ebola Kivu 2018, dan wabak koronavirus baru sekarang ini.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kecemasan IHR pernah mengadakan mesyuarat pada 22 dan 23 Januari 2020 mengenai penularan wabak koronavirus 2019-nCoV, tetapi memutuskan ketika itu bahawa masih terlalu awal untuk mengisytihar Darurat Kesihatan Awam Antarabangsa kerana masih tidak mempunyai data yang mencukupi mengenai wabak tersebut dan juga skala impak globalnya masih tidak jelas. Namun, selepas seminggu, Jawatankuasa Kecemasan WHO telah mengubah keputusan tersebut, selepas jangkitan manusia ke manusia turut berlaku di luar negara China.

WHO telah memutuskan beberapa tindakan kritikal yang harus diambil segera, bukan sahaja oleh Kerajaan China, tetapi juga oleh kerajaan negara lain untuk membendung penularan wabak 2019-n-Cov.

Walaupun penularan wabak koronavirus 2019-nCoV perlu diberi perhatian serius, WHO telah menasihatkan negara-negara di dunia supaya tidak melakukan sekatan perjalanan dan perdagangan yang tidak perlu dengan China untuk ketika ini. WHO mengatakan bahawa masyarakat antarabangsa perlu menyokong negara dengan sistem kesihatan yang lebih lemah untuk menghadapi krisis ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Tedros Adhanom, Ketua Pengarah WHO, beliau menyeru pada semua negara anggota WHO untuk melaksanakan keputusan yang berasaskan bukti dan secara konsisten.

WHO juga menggesa untuk tindakan seperti:

  • Mempercepatkan pembangunan vaksin dan rawatan untuk wabak koronavirus 2019-nCoV.
  • Menghentikan penularan khabar angin yang tidak berasas dan maklumat palsu.
  • Berusaha merawat mereka yang sudah terkena penyakit sementara menghadkan penularan.
  • Berkongsi data, pengetahuan dan pengalaman dengan WHO dan negara lain untuk mengatasi wabak.
20200131 - Fabrice Coffrini - AFP - Getty Images gettyimages-11976276161
Tedros Adhanom, Ketua Pengarah WHO (foto oleh Fabrice Coffrini / AFP / Getty Images)

Tedros Adhanom menegaskan bahawa satu-satunya cara untuk kita menewaskan penularan wabak ini adalah semua negara bekerjasama dengan semangat solidariti dan kerjasama.

Ini masanya untuk fakta, bukan ketakutan. Ini masanya untuk sains, bukan khabar angin. Ini masanya untuk solidariti, bukan stigma,” begitu katanya Tedros Adhanom.

Cadangan tindakan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Kecemasan IHR kepada negara China termasuk:

  • Melaksanakan strategi komunikasi risiko yang komprehensif untuk menyampaikan maklumat secara kerap kepada penduduknya berkenaan dengan perkembangan wabak, langkah-langkah pencegahan dan perlindungan, serta pendekatan respon yang diambil untuk membendung wabak.
  • Meningkatkan pendekatan kesihatan awam dalam membendung penyebaran wabak terkini.
  • Memastikan daya tahan sistem kesihatan dan melindungi tenaga kerja kesihatan.
  • Meningkatkan pemantauan dan pencarian kes secara aktif di seluruh China.
  • Bekerjasama dengan WHO dan rakan-rakannya untuk menjalankan siasatan bagi memahami epidemiologi dan evolusi wabak ini, serta pendekatan untuk membendungnya.
  • Berkongsi data yang relevan tentang kes jangkitan manusia.
  • Meneruskan usaha untuk mengenalpasti punca wabak bawaan haiwan, dan potensi untuk penyebarannya, secepat mungkin bersama dengan WHO.
  • Menjalankan pemeriksaan tapisan di lapangan terbang antarabangsa dan pelabuhan, dengan tujuan pengesanan awal terhadap pelancong yang menunjukkan simtom penyakit untuk penilaian lanjut dan rawatan, sementara meminimumkan gangguan terhadap trafik antarabangsa.

Jawatankuasa Kecemasan IHR telah mencadangkan kepada semua negara lain di dunia supaya:

  • Perlu bersiap sedia untuk membendung wabak, termasuk menggerakkan secara aktif pemantauan, pengesanan awal, pengasingan dan pengurusan kes, penjejakan orang yang mungkin bersentuhan dengan orang yang dijangkiti dan pencegahan penyebaran lanjut jangkitan 2019-nCoV, dan berkongsi semua data dengan WHO.
  • Berkongsi keseluruhan maklumat dengan WHO seperti yang dikenakan oleh Peraturan Kesihatan Antarabangsa.
  • Melaporkan sebarang kes 2019-nCoV yang ditemui dalam haiwan (termasuk maklumat tentang spesies, ujian diagnosis dan maklumat epidemiologi yang berkaitan) dengan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE).
  • Menekankan khususnya pada langkah mengurangkan jangkitan di kalangan manusia, mencegah jangkitan sekunder dan penyebaran antarabangsa, menyumbang kepada respon antarabangsa melalui komunikasi dan kerjasama multi-sektoral dan penyertaan aktif dalam meningkatkan pengetahuan tentang virus dan penyakit, di samping meningkatkan penyelidikan.
  • Perlu memaklumkan kepada WHO mengenai sebarang pendekatan terhadap penjalanan yang diambil. Semua negara diberi ingatan supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang menimbulkan stigma atau diskriminasi.

Dalam keadaan menghadapi ancaman krisis kesihatan awam yang sedang melanda di peringkat antarabangsa ini, termasuk di negara Malaysia, adalah penting untuk Kerajaan mengambil tindakan yang sepatutnya bagi melindungi orang ramai daripada ancaman wabak dan memberikan rawatan serta penjagaan yang sesuai untuk mereka yang sakit. Ini juga satu peringatan penting kepada Kerajaan supaya meningkatkan usaha menambahbaikkan sistem kesihatan awam, bukannya menggadaikan kesihatan awam kepada sektor swasta yang bermotifkan keuntungan.

Bagi masyarakat umum, adalah penting untuk kita membangunkan kesedaran sosial yang rasional, termasuk mengambil langkah pencegahan yang sesuai (seperti membasuh tangan secara kerap) untuk melindungi diri sendiri dan orang lain daripada jangkitan, di samping berhati-hati dalam membaca dan berkongsi maklumat yang tersebar di laman media sosial berkenaan penularan wabak, supaya tidak menjadi sebahagian daripada pencetus kepanikan masyarakat.

One thought on “Wabak Koronavirus 2019-nCoV: Darurat Kesihatan Awam Global terbaru

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *