20200218 - afp
(foto oleh AFP)

Ribuan wanita Iraq turun berprotes dalam perarakan besar-besaran pada 13 Februari 2020, di bandar-bandar seperti Baghdad, Basra, Karbala, Najaf dan Nasiriyah, untuk membantah keganasan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan dan kumpulan militia bersenjata terhadap demonstran yang menyertai protes anti-kerajaan. Mereka yang berprotes juga mencabar “kod etika” yang diumum oleh Muqtada al-Sadr, seorang ulama mazhab Shia yang amat berpengaruh di Iraq dan juga pemimpin blok politik yang terbesar dalam Parlimen Iraq, untuk pemisahan gender di tapak protes.

Ini merupakan aksi protes yang didominasi wanita yang terbesar sejak tercetusnya gelombang protes massa yang hebat pada 1 Oktober 2019, yang memaksa Perdana Menteri Iraq Adil Abdul-Mahdi untuk meletak jawatan. Wanita yang berarak melaungkan slogan “Revolusi ialah nama saya. Kebisuan lelaki memang memalukan!” Ada pula yang menjerit “Kebebasan, revolusi, feminisme!”

Golongan lelaki turut menyertai protes wanita ini, dengan ramai antara mereka membentuk tembok manusia untuk melindungi wanita yang berprotes daripada serangan puak pelampau yang reaksioner.

Liga Wanita Iraq mengeluarkan kenyataan pada 11 Februari 2020, mengecam keganasan teruk yang dilakukan oleh pasukan keselamatan Iraq. Liga Wanita Iraq mengatakan bahawa wanita yang menyertai malah adanya memimpin sebahagian demonstrasi telah dijadikan sasaran keganasan yang zalim. Liga Wanita Iraq menyeru pada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi antarabangsa yang lain untuk memastikan kerajaan Iraq bertanggungjawab terhadap keganasan berleluasan yang telah membunuh ramai orang dalam serangan ke atas tapak protes sejak kebelakangan ini.

Lebih 660 orang demonstran telah dibunuh dalam beberapa bulan kebelakangan ini sejak tercetusnya gelombang protes pada bulan Oktober 2019, sementara sekurang-kurangnya 27,000 orang cedera. Antara yang dibunuh oleh pasukan keselamatan, termasuk aktivis wanita yang penting seperti Sarah Taleb, Huda Khutheir, Zahra Karlusy dan Jenan Shahmani, di mana keempat-empat aktivis wanita ini ditembak mati semasa menyertai protes jalanan.

20200218 - AP Photo Khalid Mohammed 02
(foto oleh Khalid Mohammed/AP Photo)

Gelombang protes yang berlarutan untuk lebih 4 bulan di Iraq, tercetus kerana ketidakpuasan hati rakyat terhadap masalah korupsi, pengangguran dan perkhidmatan awam yang teruk, kemudiannya berkembang menjadi pemberontakan massa yang terbesar di Iraq sejak tahun 2003, dengan demonstran beraksi di jalanan Baghdad dan bandar-bandar lain, khususnya di wilayah selatan dengan penduduk majoriti Shia. Demonstran telah “menaiktaraf” tuntutan mereka kepada perubahan yang menyeluruh terhadap sistem politik yang wujud di Iraq sejak pencerobohan tentera Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2003.

Blok politik yang dipimpin oleh Muqtada al-Sadr yang memenangi kerusi terbanyak dalam Parlimen Iraq berikutan pilihanraya pada bulan Mei 2019, pada awalnya menyatakan sokongan terhadap gelombang kebangkitan rakyat, tetapi sejak kebelakangan ini telah mengubah pendiriannya selepas elit politik Iraq memilih Mohammed Tawfiq Allawi, seorang bekas menteri semasa kerajaan pimpinan Nouri al-Maliki, untuk menggantikan Adil Abdul-Mahdi sebagai Perdana Menteri Iraq. Muqtada al-Sadr telah menyeru orang ramai untuk menyokong Perdana Menteri baru, tetapi ramai yang menyertai gerakan protes menolak perlantikan Mohammed Tawfiq Allawi sebagai Perdana Menteri kerana dia dianggap sebagai sebahagian daripada elit korup yang patut ditumbangkan.

Walaupun Muqtada al-Sadr memberi amaran sebelum protes, tetapi ramai wanita telah mencabar politik patriaki golongan konservatif dengan turun beramai-ramai ke jalanan Iraq. Kebangkitan wanita memainkan peranan penting dalam membawa gerakan protes rakyat Iraq untuk terus mara ke hadapan.

20200218 - AP Photo Khalid Mohammed
(foto oleh Khalid Mohammed/AP Photo)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *