20200217- 85046755_10158215226247472_6285074365792911360_o (2)

BANDAR BARU BANGI, SELANGOR – 17 FEBRUARI 2020: Seramai 130 orang pekerja migran dari Bangladesh tidak dibayar gaji 5 bulan dan terpaksa hidup dalam keadaan menderita tanpa pendapatan asas untuk makanan serta keperluan asas lain, kerana majikan yang mengupah mereka gagal melaksanakan tanggungjawabnya untuk melindungi hak asasi pekerja. Lebih-lebih lagi, pemegang saham terbesar syarikat yang tidak mempedulikan kebajikan pekerjanya ini ialah sebuah syarikat milik Kerajaan Negeri Melaka,  Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI).

Sekumpulan wakil untuk pekerja yang diupah oleh SSN Medical Products Sdn Bhd telah membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Cawangan Bangi pada hari ini kerana majikan mereka gagal membayar gaji dari bulan Oktober 2019 sehingga sekarang. Selain itu, majikan mereka juga tidak memperbaharui permit kerja pada tahun lalu untuk semua pekerja migran yang dibawa masuk sejak bulan Mei 2018. Pekerja-pekerja migran ini masih bekerja selepas tamat tempoh permit kerja kerana kontrak mereka adalah untuk 3 tahun. Majikan juga tidak membeli tiket penerbangan pulang ke negara asal untuk semua perja walaupun permit kerja sudah tamat tempoh sejak bulan Mei 2019, seperti dikehendaki undang-undang.

Pemegang saham yang terbesar sekarang untuk SSN Medical Products Bhd Bhd dengan kilang pengeluar barangan perubatan getah yang terletak di Kampung Baru Balakong, Seri Kembangan, Selangor, ialah Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) yang memiliki 80% daripada jumlah saham syarikat tersebut.

Syarikat SSN Medical Products Bhd Bhd membawa masuk 130 orang pekerja dari Bangladesh melalui perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan Bangladesh (G2G) sejak tahun 2018. Pekerja-pekerja ini dibawa masuk secara berperingkat dalam lima kumpulan mulai bulan Mei 2018. Pekerja-pekerja ini mempunyai kontrak pekerjaan dengan syarikat tersebut untuk tempoh 3 tahun dari tarikh masuk ke negara ini. Permit kerja mereka hanya diambil untuk jangkamasa setahun ketika mereka dibawa masuk, iaitu tamat tempoh permit antara bulan Mei 2019 hingga Januari 2020. Namun, pihak syarikat gagal memperbaharui permit kerja mereka sehingga hari ini.

Pasport untuk pekerja-pekerja ini masih dipegang oleh pihak majikan. Keadaan ini menyebabkan mereka sering menghadapi gangguan daripada pihak polis kerana tidak memiliki dokumen sah, walaupun keadaan ini wujud bukan kerana kesalahan mereka.

Menurut pekerja-pekerja migran ini, pengeluaran syarikat telah berkurangan dan jumlah hari bekerja juga semakin berkurangan sejak bulan November 2019. Kelewatan dalam pembayaran gaji bermula sejak bulan Julai 2019, kemudiannya langsung tidak dibayar gaji sejak bulan Oktober 2019. Keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa meminjam wang daripada kawan-kawan lain untuk mendapatkan keperluan asas mereka. Pekerja-pekerja ini tinggal di asrama yang disediakan oleh majikan dengan RM50 dipotong daripada gaji mereka setiap bulan.

Pihak pekerja juga pernah mengadu masalah ini kepada Kedutaan Bangladesh pada bulan Ogos 2019 dan 8 Feb 2020, namun tiada sebarang tindakan diambil. Pada 12 Feb 2020, pekerja-pekerja telah membuat satu aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja di Putrajaya.

Memandangkan situasi pekerja semakin teruk, di samping pihak majikan langsung tidak mengambil peduli tentang kebajikan dan kesihatan pekerja, dalam aduan yang dibuat di JTK Bangi pada hari ini, para pekerja menggesa JTK Bangi untuk mengambil tindakan berikut:

  • Mendapatkansemula gaji 3 bulan pekerja berkenaan yang disimpan oleh pihak majikan sebagai deposit sekuriti.
  • Mendapatkan semula gaji pekerja yang tidak dibayar dari bulan Oktober 2019 hingga Februari 2020 (5 bulan).
  • Menguruskan pas sementara untuk semua pekerja berkenaan(yang tamat tempoh permit kerja) sehingga gaji tertunggak dan  pampasan yang lain dibayar penuh.
  • Memastikan majikan membelikan tiket penerbanganuntuk semua pekerja yang berkenaan supaya mereka dapat kembali ke negara asal selepas di ayar gaji tertunggak dan pampasan lain.

Aktivis daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cawangan Kajang, Letchimi Devi dan Vaani, telah membantu pekerja-pekerja migran ini untuk mengemukakan aduan mereka kepada pihak JTK. Turut hadir bersolidariti untuk pekerja migran ini ialah S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi PSM.

“Kami berharap pihak JTK akan mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan perkara ini memandangkan situasi pekerja-pekerja ini yang tidak mempunyai sebarang pendapatan atau simpanan untuk keperluan asas mereka. Tanpa dokumen sah, mereka juga tidak boleh bekerja di tempat lain,” kata Letchimi Devi.

One thought on “Pekerja migran derita kerana syarikat milik CMI Melaka gagal laksana tanggungjawab sebagai majikan yang berperikemanusiaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *