84346927_888930258191932_8632974180100341760_n (2)

GEORGETOWN, PULAU PINANG: Dari isu perumahan dan pengangkutan awam, sehingga isu pencemaran alam dan perubahan iklim, peserta-peserta yang hadir dalam Forum Peduli Rakyat yang diadakan di Pulau Pinang pada 15 Februari 2020 telah menyatakan keprihatinan mereka terhadap isu-isu tempatan yang mempengaruhi kehidupan rakyat biasa dan menuntut pada kerajaan supaya mendengar keluhan rakyat serta mengambil tindakan yang sewajar untuk menangani masalah-masalah ini.

Forum Peduli Rakyat yang dianjurkan oleh Penang Forum, sebuah gabungan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil yang sudah lama terlibat dalam usaha membangkitkan isu masyarakat di Pulau Pinang, merupakan satu inisiatif dan platform untuk rakyat daripada pelbagai latar belakang untuk menyuarakan isu-isu tempatan yang merentasi sektor masyarakat.

Khoo Salma, aktivis Penang Forum, berkata, “Tujuan menganjurkan forum ini adalah untuk memartabatkan rakyat dan memperkasakan rakyat dalam memperjuangkan isu-isu setempat.”

000-86447027_491795771770495_1475095338011328512_n (2)

Seramai 21 orang telah membentangkan isu yang merangkumi pelbagai aspek sosial dalam forum yang berlanjutan untuk 4 jam ini, dan penyertaan hadirin juga memberangsangkan.

Antara isu yang dibawa dalam Forum Peduli Rakyat, termasuk:

1. Cabaran pengurusan bekalan air

Prof. Dr. Chan Ngai Weng daripada Water Watch Penang, berkongsi tentang isu pengurusan air di Pulau Pinang. Topik ini menjadi begitu relevan ketika ini kerana Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah memberi amaran ketiga dalam tempoh sebulan apabila kapasiti Empangan Muda telah merosot sehingga hanya 7.44%, dan paras air Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang dilaporkan hanya 1.77 meter pada 13 Februari 2020. Antara cabaran yang dikemukakan oleh Prof. Dr. Chan ialah perubahan iklim (musim kemarau yang lebih panjang dan kesan Super El Nino), hanya satu sumber air mentah utama untuk Pulau Pinang (iaitu Sungai Muda yang membekalkan sekitar 80% daripada keseluruhan bekalan air di Pulau Pinang, sementara skim penyaluran air mentah dari Sungai Perak telah tertangguh lama), pembalakan dan pencemaran yang menjejaskan kualiti air, serta penggunaan air per kapita yang tinggi (276 liter/kapita/hari berbanding purata nasional yang hanya 209 liter/kapita/hari) . Cadangan yang dikemukakan oleh oleh Prof. Dr. Chan untuk menangani cabaran ini termasuk membina sistem air yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim, mencari sumber air yang alternatif, menilai semula dasar “tiada catuan air”, hadkan penggunaan air per kapita kepada kurang 200 liter sehari, dan menghentikan pencemaran di Sungai Muda.

2. Perubahan iklim dan pencemaran alam sekitar

Beberapa isu berkaitan dengan ancaman pembangunan yang tidak terkawal terhadap alam sekitar dan kualiti kehidupan rakyat telah dibangkitkan dalam Forum Peduli Rakyat. Ahmad Izzudin, aktivis daripada Klima Action Utara Malaysia, membentangkan isu kecemasan perubahan iklim yang memerlukan perhatian semua kerana banyak tempat di persisiran laut di negara kita akan ditenggelami air dalam tempoh masa dua puluh tahun akan datang ini sekiranya tiada tindakan yang segera dan sewajar diambil untuk membendung krisis iklim. Nur Munira Azman daripada Persatuan Pencinta Alam Malaysia berkongsi tentang impak aktiviti akuakultur di pesisir pantar Teluk Ayer Tawar terhadap ekologi di situ dan juga mengemukakan visinya untuk masa hadapan Teluk Ayer Tawar yang mampan. Selain itu, Dr. Tneoh Shen Jen, penasihat kepada Persatuan Tindakan Alam Sekitar (PTAS), membincang tentang aktiviti kitar semula sisa-sisa buangan yang diimport dari luar negara terhadap alam sekitar di Sungai Petani, Kedah, yang berdekatan dengan Pulau Pinang.

3. Penambakan laut

Isu penambakan laut, khususnya projek penambakan di Selatan Pulau Pinang, turut menjadi tumpuan kerana projek yang menghancurkan habitat pesisir pantai ini mengancam kehidupan ramai nelayan. Nazri Ahmad daripada Persatuan Nelayan Pulau Pinang telah menegaskan bantahannya terhadap projek penambakan di Selatan Pulau Pinang, demi melindungi rezeki para nelayan dan juga memastikan jaminan bekalan makanan kepada rakyat jelata. Mazlan bin Abdul daripada Unit Bagan Ajam Persatuan Nelayan Kawasan Seberang Perai pula menyatakan bantahannya terhadap penambakan di pesisir pantai Butterworth yang mengancam nelayan di situ.

4. Pengangkutan awam dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang

Zulfikar Aziz daripada Persatuan Penumpang Pengangkutan Awam Pulau Pinang (PeTua), sebuah organisasi yang baru ditubuhkan untuk memperjuangkan perkhidmatan pengangkutan awam untuk semua yang efisien, selamat, selesa dan inklusif, telah membentangkan cadangannya untuk mempertingkatkan pengangkutan awam di Pulau Pinang, khususnya perkhidmatan bas, termasuk penambahan bilangan bas, penambahan laluan bas, merangkumkan “batu terakhir” dalam perancangan perkhidmatan pengangkutan awam, memperbaiki rekabentuk hentian bas, mempertingkatkan laluan pejalan kaki dan sebagainya.

Dr. Lim Mah Hui daripada Penang Forum membangkitkan isu Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang penuh kontroversi, kerana ia bukan sahaja tidak mampu menangani secara menyeluruh dan mampan isu pengangkutan atau mobiliti rakyat di Pulau Pinang, sebaliknya memasang perangkap hutang yang akhirnya akan ditanggung oleh semua rakyat Pulau Pinang. Dr. Lim mengatakan bahawa SRS Consortium selaku rakan pelaksana projek Pelan Induk Pengangkutan telah melanggar syarat pertama kertas cadangannya iaitu SRS akan menanggung segala kewangan untuk pembinaan projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan sehingga tanah tambakan laut dijual, tetapi Kerajaan Negeri terpaksa pula mengemukakan permohonan bon jaminan bernilai RM10 bilion daripada Kerajaan Persekutuan pada tahun 2019. Dr. Lim juga mengatakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bukan lagi untuk satu pelan untuk pengangkutan awam, tetapi hanya pelan induk untuk pemaju hartanah. Seorang lagi aktivis sosial Eric Cheah, membentangkan masalah yang timbul daripada pembinaan lebuhraya Pan Island Link (PIL), salah satu projek mega yang merupakan komponen utama kepada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.

5. Perumahan

R. Karthiges daripada Jaringan Perumahan Pulau Pinang, telah membentangkan cadangan hasil daripada Bengkel Isu Perumahan Pulau Pinang yang dianjurkan oleh Jaringan tersebut pada tahun lepas, yang merangkumi 4 aspek: program perumahan rakyat (PPR), rumah mampu milik, perumahan untuk golongan terpinggir, dan perundangan untuk menghentikan pengusiran paksa. Karthiges menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu mengkaji semula syarat untuk kelayakan mendapatkan unit PPR sewa dan menambahkan pembinaan unit PPR supaya rakyat miskin mendapat perlindungan hak untuk perumahan. Karthiges juga menegaskan bahawa rumah bukannya komoditi untuk korporat mengaut keuntungan lumayan, tetapi merupakan hak asasi untuk rakyat. “Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan rumah, dalam harga yang disubsidi secara progresif, untuk rakyat B40 dan M40.”

6. Pekerja migran

Zikrullah Ismail daripada Pertubuhan Warisan Tanah dan Teroka Bandar (TEROKA) mengupaskan isu pembinaan asrama pekerja asing di Selatan Pulau Pinang yang melibatkan beberapa aspek, di samping mengemukakan cadangan supaya mewajibkan kajian impak sosial terhadap semua projek pembinaan asrama pekerja asing dan memperbaiki garis panduan pembinaan asrama pekerja asing yang sedia ada dengan menitikberatkan aspek kemanusiaan. Zikrullah menyarankan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu bekerjasama dalam mengambil inisiatif untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dalam jangka masa panjang, mengadakan program latihan asimilasi kepada pekerja asing supaya para pekerja asing dapat memahami budaya tempatan dan bergaul secara harmoni dengan penduduk tempatan (bukannya sekadar dengan adanya asrama bersepadu pekerja asing), dan mengadakan program kesedaran rakyat untuk mencegah xenofobia di kalangan penduduk tempatan serta memupuk semangat menghormati pekerja asing supaya membolehkan ruang untuk hidup bersama. James Lochhead daripada Penang Stop Human Trafficking Campaign, mengulas isu yang dihadapi oleh pekerja asing dan pelarian yang berada di Pulau Pinang secara khusus dan di negara kita secara umum, dengan tuntutan kepada kerajaan supaya mengambil tindakan yang konkrit untuk melindungi hak asasi manusia yang sepatutnya dinikmati oleh semua orang termasuk pekerja asing dan menghentikan segala pemangsaan terhadap pekerja asing.

7. Cukai pintu

Lee KN, Presiden kepada Persatuan Pembayar Cukai Pulau Pinang, membangkitkan isu berkaitan dengan kenaikan kadar cukai pintu dan juga pengenalan cukai petak di Pulau Pinang baru-baru ini. Lee KN mengatakan bahawa persatuannya tidak menolak kenaikan cukai pintu sepenuhnya, tetapi berpandangan bahawa kenaikan cukai pintu pada keadaan ekonomi sedang merudum adalah satu tindakan yang membebankan ramai orang, sementara juga mempersoalkan tentang sama ada cukai taksiran yang dikutip ini digunakan dengan sebaiknya atau tidak.

8. Banjir, hakisan cerun bukit dan pembangunan tidak terkawal

Dr. Kam Suan Pheng daripada Penang Hills Watch membentangkan isu banjir yang sering melanda Pulau Pinang yang membawa kesan yang semakin buruk. Isu banjir berkaitan rapat dengan pembangunan yang tidak terkawal yang digerakkan oleh golongan pemaju yang bermotifkan keuntungan semata-mata. Rexy Prakash Chacko yang juga daripada Penang Hills Watch pula membentangkan isu pembangunan lereng bukit di Pulau Pinang yang telah mendatangkan risiko tanah runtuh yang semakin serius. Shirlyne Byrne daripada kumpulan kempen Selamatkan Mount Erskine yang juga merupakan penduduk tempatan di kawasan Mount Erskine, telah menyatakan bantahan penduduk di situ terhadap projek pembinaan terowong bawah tanah di situ yang membazir wang dan tidak membawa faedah yang sebenar.

Suara rakyat perlu didengari 

Keluhan rakyat terhdap pelbagai isu yang disuarakan dalam Forum Peduli Rakyat ini, memang berkait rapat dengan kepentingan rakyat biasa dan memerlukan perhatian yang serius daripada pihak kerajaan. Kerajaan Negeri Pulau Pinang patut menerima kritikan dan cadangan daripada masyarakat sivil dengan hati terbuka dan serius, bukannya menggunakan sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri penyokong kerajaan untuk mengeluarkan kenyataan yang bersikap defensif dan sekadar untuk menyerang kumpulan masyarakat sivil yang tidak sehaluan dengan mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *