20200218 - a (2)

BUKIT TINGGI, SELANGOR: Walaupun penyelesaian untuk penempatan semula penternak yang mengusahakan kandang lembu dan kambing di Bukit Tinggi masih boleh dimuktamadkan, tetapi Kerajaan Selangor masih tergesa-gesa untuk merobohkan kandang penternakan tersebut. Anggota-anggota penguatkuasa daripada Pejabat Daerah dan Tanah Klang, Majlis Perbandaran Klang dan polis telah dikerahkan secara beramai-ramai pada 17 Februari 2020, untuk merobohkan kandang milik Thevindran a/l Arumugam. Ini merupakan kali kedua kandang lembu yang diusahakan oleh Thevindran dirobohkan dalam tempoh 18 bulan.

Kandang lembu Thevindran pernah menghadapi ancaman perobohan daripada pihak berkuasa pada 27 Ogos 2018 sebelum lagi tercapai apa-apa penyelesaian. Selepas itu, usaha untuk mencari penyelesaian telah diteruskan. Pada 15 Januari 2020, Thevindran menerima satu surat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor yang bertarikh 9 Januari 2020, yang menyatakan bahawa kerajaan menawarkan tanah berbentuk pajakan kepada Thevindran untuk penternakan lembunya. Thevindran telah membalas surat tersebut pada 21 Januari 2020 dengan menyatakan bahawa dia boleh menerima tawaran tersebut tetapi meminta pihak kerajaan untuk mempertimbangkan beberapa isu yang dibangkitkannya sejak dahulu lagi, termasuk tawaran geran hakmilik dan juga penternakan kambing yang sedang diusahakannya tetapi tidak diambilkira dalam tawaran. Namun, sebelum lagi penyelesaian untuk isu yang tertangguh lama ini dimuktamadkan, pihak kerajaan telah bertindak tergesa-gesa untuk merobohkan kandang kepunyaan Thevindran sebelum dia sempat menerima apa-apa tawaran lagi.

Thevindran merupakan penternak asal di Ladang Bukit Tinggi yang sudah mengusahakan penternakan untuk 3 generasi sebelum kawasan ladang itu dibangunkan. Datuk dan bapa Thevindran juga ialah penternak, dan dia menyambung usaha penternakan sebagai penternak generasi ketiga. Thevindran ditawarkan tempat alternatif oleh syarikat Gamuda 2003 selepas kandang asalnya di Ladang Bukit Tinggi dirobohkan kerana pembangunan Bandar Botanik, dan dijanjikan dokumen kelulusan untuk tanah tersebut, tetapi tidak pernah ditunaikan. Thevindran mula menghadapi ancaman pengusiran sejak tahun 2016, dan tiada penyelesaian adil yang tercapai setelah beberapa perjumpaan dengan pihak berkuasa. Selepas berlaku perobohan sebahagian kandang lembunya pada bulan Ogos 2018, Thevindran masih teruskan usaha untuk berbincang dengan pihak kerajaan berkenaan dengan penempatan semula yang sesuai. Namun, sebelum penyelesaian dapat dimuktamadkan lagi, kandangnya sudah hancur dirobohkan.

20200218 - g (2)
Selepas kandang lembu dirobohkan pada 17 Februari 2020.
20200218 - 6 (2)
Sebelum kandang lembu dirobohkan.

Bacaan lanjut:

Perobohan kandang lembu Thevindran pada bulan Ogos 2018 dan latar belakang isu

Menjawab persoalan tentang isu perobohan kandang lembu Bukit Tinggi (tulisan oleh S. Arutchelvan pada 28 Ogos 2018)

One thought on “Kandang Lembu diroboh sebelum penyelesaian muktamad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *