20200212 - ireland
Presiden Sinn Féin, Mary Lou McDonald (tengah), bersama dengan penyokong semasa meraihkan pencapaian parti tersebut yang memberangsangkan dalam pilihanraya umum Ireland tahun 2020.

oleh Hadri A Rahman

Pengiraan undi untuk pilihan raya umum yang diadakan di Republik Ireland pada 8 Februari yang lalu telah berakhir pada 10 Februari dengan keputusan yang mengejutkan, di mana parti nasionalis kiri Sinn Féin (SF), mendapat 37 kerusi, sementara parti nasionalis konservatif Fianna Fail (FF), meskipun mendapat 38 kerusi, dikira mendapat 37 kerusi kerana speaker parlimen daripada parti tersebut dipilih semula tanpa bertanding, lantas dianggap terikat dengan parti SF dari segi nombor kerusi.

Pilihan raya pada kali ini juga menunjukkan sokongan kepada parti liberal-konservatif Fine Gael (FG) yang telah memerintah Ireland sejak tahun 2011 merosot, di mana bilangan kerusi parlimen yang dimiliki oleh parti tersebut berkurangan daripada 50 kepada 35 kerusi. Selain itu, Parti Buruh mendapat 6 kerusi, Solidariti-Rakyat Sebelum Keuntungan (sebuah gabungan yang terdiri daripada 3 parti sosialis yang berbeza: Solidariti, Rakyat Sebelum Keuntungan dan RISE)  mendapat 5 kerusi, Parti Hijau mendapat 12 kerusi, Parti Demokrat Sosial mendapat 6 kerusi, 19 kerusi dipegang oleh ahli parlimen bebas, dan 1 kerusi dimenangi oleh parti Aontú dan parti Independents 4 Change.

Antara isu yang dibangkitkan pada pililhanraya kali ini adalah isu perumahan yang kian meruncing akibat harga rumah yang kian meningkat, serta respon pihak kerajaan untuk membantu golongan tiada rumah yang saban meningkat dianggap tidak berkesan serta sistem kesihatan awam yang dianggap tidak memuaskan.

Dengan memaparkan diri mereka sebagai ejen perubahan, parti SF berjaya mendapat sokongan sebanyak 32% daripada golongan berumur 18-34 tahun, sementara sokongan terhadap parti tersebut daripada golongan berumur 65 tahun dan lebih memihak kepada parti FF dan FG adalah sebanyak 20%.

Meskipun kemenangan yang diperolehi parti SF dianggap sebagai sesuatu yang memberangsangkan, para pemerhati politik mengatakan ianya adalah mustahil untuk parti tersebut menjadi parti pemerintah kerana sejarah parti tersebut yang dianggap sebagai sebuah fron politik kepada Tentera Republikan Ireland semasa “The Troubles” dari tahun 1960-an hingga 1998.

Tambahan pula, parti FG menganggap polisi berhaluan kiri yang dibawa oleh SF termasuk peningkatan perbelanjaan awam, penurunan cukai untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana dan peningkatan cukai untuk golongan atasan, peningkatan perbelanjaan untuk perumahan, peningkatan cukai untuk syarikat besar dan mengembalikan pencen kepada 65 tahun, menyebabkan ianya mustahil untuk merekamembentuk sebuah gabungan dengan parti tersebut, dengan Leo Varadkar, pemimpin parti dan penyandang jawatan Perdana Menteri Ireland bercadang untuk membuat satu pakatan berhaluan tengah dengan parti FF.

Meskipun begitu, Mary Lou McDonald, pemimpin parti SF mengatakan bahawa beliau masih terbuka untuk berbincang dengan parti FF and FG, kerana kemengan yang diperolehi parti tersebut melambangkan penyusunan semula lanskap politik Ireland yang sebelum ini didominasi oleh FF and FG.

Meskipun beliau mengakui lebih gemar untuk membentuk kerajaan tanpa salah satu daripada dua parti tersebut, dia akan berbincang dengan Varadkar dan Micheál Martin, pemimpin parti FF kerana “itulah yang dilakukan oleh orang dewasa”.

“Sinn Féin telah memenangi pilihan raya. Kami telah memenangi undi popular, ” ujarnya.

Sumber Maklumat:

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *